Friday, 12 December 2025

MENGHADIRI MAJLIS WALIMAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

MENGHADIRI MAJLIS WALIMAH

عن ابن عمر قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
إِذَا دُعِىَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah ﷺ bersabda:
“Apabila kamu diundang ke majlis kenduri perkahwinan (walimah), maka hendaklah kamu menghadirinya.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5173) — Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Majlis walimah bertujuan menzahirkan kesyukuran atas pernikahan serta menghebahkan perkahwinan kepada masyarakat.


2. Ulama bersepakat bahawa wajib menghadiri kenduri perkahwinan apabila diundang, selagi majlis tersebut tidak bercampur dengan maksiat.
Abu Hurairah RA berkata:
شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ، وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ، وَمَنْ تَرَكَ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ ﷺ
“Seburuk-buruk makanan kenduri kahwin ialah kenduri yang hanya dijemput orang-orang kaya dan tidak dijemput orang miskin. Sesiapa yang meninggalkan jemputan, maka dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5177) — Hadis Sahih


3. Syarat-syarat yang menjadikan seseorang wajib menghadiri kenduri perkahwinan:

Jemputan tidak dikhususkan kepada golongan kaya sahaja

Jemputan ditujukan khusus kepada kita, bukan sekadar jemputan umum

Orang yang menjemput ialah seorang Muslim

Tiada keuzuran syarie seperti sakit dan seumpamanya



4. Haram menghadiri kenduri perkahwinan yang diisi dengan perkara maksiat. Namun jika seseorang mampu menghentikan maksiat tersebut dengan kehadirannya, sebahagian ulama membenarkannya.


5. Ulama berbeza pendapat tentang hukum memenuhi jemputan selain kenduri perkahwinan. Menurut mazhab Syafie, hukumnya tidak wajib.



Ramai yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan pada hujung tahun ini.
Tunaikan jemputan jika tiada keuzuran syarie dan majlis tersebut bebas daripada maksiat.

22 Jamadil Akhir 1447H
13 Disember 2025

No comments:

Post a Comment