السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
BERSAMA DENGAN ORANG YANG DICINTAI
عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
Daripada Abu Wa`il dari Abdullah dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda: "Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya."
(HR Bukhari No: 5702) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Orang yang mencintai seseorang akan sentiasa bersama dengan orang yang dicintai.
2. Ibnu Hajar menjelaskan: sesungguhnya kita akan bersama dengan orang yang kita cinta, sentiasa akan didekatkan dengan orang yang dicintai malah kita akan termasuk dalam golongan yang dicintai.
3. Cintailah orang yang soleh dengan meneladani cara hidup, akhlak, perjuangan dan amalan mereka kerana seseorang akan dibangkitkan di hari kiamat bersama orang yang dicintai.
4. Ibnu Battal dalam Syarah Sahih Al-Bukhari (9/333) menyatakan: Ketika seseorang mencintai orang soleh kerana ketaatan mereka kepada Allah, sedangkan cinta itu adalah perbuatan hati dan keyakinan, maka Allah memberi pahala kepadanya sebagaimana pahala orang soleh yang dicintainya.
قِيلَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الرَّجُلُ يُحِبُّ الْقَوْمَ وَلَمَّا يَلْحَقْ بِهِمْ، قَالَ: الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
Ada yang berkata kepada Nabi SAW, “Ada seseorang yang mencintai suatu kaum, namun ia tidak pernah berjumpa dengan mereka.” Nabi SAW lantas bersabda, “Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang ia cintai.”
(HR Muslim No: 2640) Status: Hadis Sahih.
5. Orang yang cinta kepada Rasulullah SAW akan tetap dapat bersama baginda memasuki Syurga walaupun tingkatan syurganya berbeza (Fathul Bari, 10:555).
6. Cinta kepada Rasulullah SAW ialah dengan mencontohi, mengikuti dan mentaati perintah serta larangan baginda. Amalan ini akan menatijahkan kecintaan Rasulullah SAW kepada kita walaupun kita tidak pernah berjumpa dengan baginda.
🌸 Rabiul Awal, bulan mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Marilah kita menunjukkan kecintaan kepada baginda. Dalam membina kehidupan di negara tercinta ini, kita mengharapkan kebahagiaan bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat. Jadikanlah Rasulullah SAW serta orang-orang soleh sebagai qudwah untuk kita contohi dan cintai.
Moga kita akan bersama mereka di Syurga nanti.
✨ Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1447H
08 Rabiul Awal 1447H
01 September 2025M