Sunday, 22 February 2026

Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

*Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa*

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

_*Daripada Sahl RA, Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa semasa di dunia akan masuk ke syurga melewati pintu tersebut. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana orang yang berpuasa?, maka orang yang berpuasa pun bangkit. Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut".*_ (HR Bukhari No: 1896) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

2.  Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa. Ganjarannya bersifat khusus dan ekslusif. Tidak semua ahli syurga melalui pintu yang sama.

3.  Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array” dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila  memasukinya akan hilanglah segala kehausan selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.

4.  Al-Rayyan membawa maksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.

5.  Berkata Mulla al-Qari: *“Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.”*

6.  Syurga itu indah dan terlalu mahal harganya. Sudah pasti untuk memasukinya memerlukan rahmat Allah SWT yang Maha Luas. Di bulan Ramadhan ini, rahmat Allah SWT mencurah-curah untuk hamba-Nya yang berpuasa dan sudah disediakan kepada orang yang berpuasa satu pintu untuk memasukinya. Orang yang berpuasa Ramadan, pada hari kiamat akan memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan (pintu yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa).

Ayuh kita laksanakan ibadah puasa dengah sungguh-sungguh, semoga kita menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan. 

*Rebut Pahala Bersihkan Jiwa*

05hb Ramadan 1447H
23hb Februari 2026M

Saturday, 21 February 2026

Menghidupkan Malam Ramadan Menjadi Penghapus Dosa

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Menghidupkan Malam Ramadan Menjadi Penghapus Dosa*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

_*Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mendirikan Ramadhan (Ibadat di malam hari - menghidupkan dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain) dengan penuh keimanan dan keikhlasan mengharap rahmat Allah, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu"*_ (HR Bukhari No: 36) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Mengikut Imam Nawawi, Qiam Ramadan bermaksud menghidupkan malam Ramadan dengan solat sunat tarawih, qiamullail, tilawah al-Quran, iktikaf, berdoa, berwirid dan lain-lain amal soleh kerana taat kepada Allah dan dilakukan dengan penuh kesungguhan serta keikhlasan.

2.  Ihtisab membawa maksud Ikhlas dan mengharap pahala semata-mata dari Allah SWT. Tidak merasa berat melaksanakan ibadah. Tidak dilakukan atas dasar riya’, mencari pujian atau hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3.  Ibadat qiam bulan Ramadan di malam hari sama ada untuk qiamullail solat sunat, tilawah, zikir, doa, iktikaf mahupun bangun sahur, akan menjadi sebahagian daripada elemen menghapuskan dosa-dosa yang lalu.

4.  Menurut ulama, qiam Ramadan mempunyai hikmah tarbiah rohani yang tinggi kerana malam adalah waktu sunyi yang lebih dekat dengan keikhlasan, mampu menguatkan hubungan dengan Allah serta melatih kesabaran dan mujahadah melawan nafsu dan rasa malas.

5.  Antara ibadat di malam hari di bulan Ramadan ialah solat sunat Tarawikh. Orang yang solat sunat bersama imam hingga selesai solat, dituliskan baginya seolah-olah ia bersolat sepanjang malam. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ ..... فَقَالَ إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ ...

*Daripada Abu Zar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 'Barangsiapa yang berdiri bersama imam (solat sunat malam), hingga selesai (hingga imam beredar) dituliskan baginya ganjaran pahala orang yang qiam sepanjang malam.'* (HR Tirmizi No: 734) Status: Hasan Sahih

6.  Solat Tarawih dan qiamullail merupakan sunnah yang sangat dituntut malam hari di bulan Ramadan.

Ayuh, pastikan kita menghidupkan malam Ramadan dengan dapat bersama solat tarawikh di masjid atau surau bersama imam hingga selesai kerana ganjarannya ditulis pahala seperti ia qiam sepanjang malam. Rugilah kita yang balik awal dari masjid atau tidak menunggu sehingga selesai sedangkan imam masih bersolat.

*Rebut Pahala Bersihkan Jiwa*

04hb Ramadan 1447H
22hb Februari 2026M

Friday, 20 February 2026

Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Yang Lalu

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Yang Lalu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". (HR Bukhari No: 37) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berpuasa  atas dasar iman ialah melaksanakan ibadat puasa  dengan meyakini akan kewajipan melaksanakan ibadat puasa atas dasar ketaatan kepada perintah Allah dengan penuh keikhlasan.

2.  Ihtisab adalah mengharap ganjaran pahala dari Allah dengan melakukan ibadat puasa penuh ikhlas, menyempurnakan ibadat puasa dengan memelihara perkara yang boleh merosakkan puasa, tidak merasa berat melaksanakannya dan tidak hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekeliling.

3.  Puasa yang dilakukan atas dasar keimanan dan menginginkan reda Allah semata-mata dengan dilaksanakan penuh keikhlasan, akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu (dosa kecil). Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ مَا اجْتُنِبَتْ الْكَبَائِرُ

Daripada Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Solat lima waktu yang didirikan, satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar". (HR. Ahmad No: 8830) Status Sahih

4.  Hadis ini menekankan bahawa ibadah puasa tidak hanya melibatkan tindakan fizikal (iaitu menahan diri daripada makan dan minum), tetapi yang lebih penting adalah niat yang ikhlas dan tawakal kepada Allah. Puasa harus dilakukan dengan keyakinan iman, bukan sekadar sebagai kebiasaan atau terpaksa. Niat yang ikhlas kepada Allah akan membawa keberkatan dan ganjaran yang lebih besar. 

5.  Semoga ibadat Puasa yang dilaksanakan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu dan menjadikan kita hamba yang bertaqwa di sisi Allah.

Rebut Pahala Bersihkan Jiwa

03hb Ramadan 1447H
21hb Februari 2026

Thursday, 19 February 2026

Makan dan Minum Ketika Berpuasa Kerana Terlupa

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Makan dan Minum Ketika Berpuasa Kerana Terlupa

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ

Daripada Nabi SAW bersabda: "Jika seseorang terlupa lalu dia makan dan minum (ketika sedang berpuasa) maka hendaklah dia meneruskan puasanya kerana hal itu bererti Allah telah memberinya makan dan minum" (HR Bukhari No: 1797) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang terlupa lalu dia makan atau minum di siang hari ketika berpuasa, puasanya tetap sah dan dia perlu memberhentikan pengambilan makanan atau minuman segera apabila diingatkan.

2.  Orang yang terlupa tadi hendaklah meneruskan ibadat puasanya seperti biasa. Puasanya tidak perlu dibatalkan kerana perbuatan makan atau minum itu berlaku disebabkan oleh kelalaian atau lupa.

3.  Hadis ini memberikan penjelasan bahawa jika seseorang lupa, puasanya tidak batal dan mereka tidak perlu menggantikannya atau mengqadha puasa tersebut. Hal ini menenangkan hati mereka yang khawatir akan hal tersebut.

4.  Menurut para fuqaha: Lupa termasuk dalam perkara yang diangkat dosa, tidak membatalkan ibadah jika berlaku tanpa sengaja serta menunjukkan Islam adalah agama yang mudah dan tidak membebankan.

5.  Bagi orang yang terlupa, makanan dan minuman yang telah masuk ke dalam perutnya menunjukkan bahawa perbuatan makan atau minum yang berlaku akibat kelupaan bukan disebabkan oleh keinginan atau niat untuk melanggar puasa, tetapi ia merupakan suatu pemberian daripada Allah.  

6.  Hadis ini mencerminkan kasih sayang Allah yang besar terhadap hamba-Nya. Allah tidak membebani kita dengan kesulitan yang tidak mampu ditanggung. Jika seseorang berpuasa dan secara tidak sengaja melanggar puasanya akibat lupa, Allah tidak menghukum, tetapi memberikan kemudahan dan peluang untuk meneruskan puasa.

Rebut Pahala Bersihkan Jiwa

02hb Ramadan 1447H
20hb Februari 2026

Wednesday, 18 February 2026

Ibadah Puasa dan Anugerah

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Ibadah Puasa dan Anugerah

عَنْ أَبِي صَالِحٍ الزَّيَّاتِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ فَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفِطْرِهِ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ

Daripada Abu Soleh Az Zayyat bahawa ia mendengar Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Allah 'azza wajalla telah berfirman; 'Setiap amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah bagi-Ku, dan Akulah yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai. Maka apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah kamu rosakkan puasamu dengan rafats, dan jangan pula menghina orang. Apabila kamu dihina orang atau pun mengajak bergaduh, maka katakanlah, 'Sesungguhnya saya sedang berpuasa.' Demi Allah, yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kesturi. Dan bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan. Ia merasa gembira ketika berbuka puasa, dan kegembiraan ketika bertemu dengan Rabbnya juga kerana puasanya." (HR Muslim No:  1944) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amalan yang dilakukan oleh anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah untuk Allah dan hanya Allah yang akan memberi ganjaran pahalanya.

2.  Puasa itu adalah perisai atau pendinding seseorang dari melakukan perbuatan buruk, dosa, dan godaan nafsu. Puasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga menahan diri daripada segala perbuatan yang boleh merosakkan pahala puasa.

3.  Bagi orang yang berpuasa, mereka perlu menjaga puasanya dari dirosakkan dengan sebab rafats (perhubungan suami isteri di siang hari) termasuk perbuatan dan perkataan yang kasar, kotor, lucah dan buruk serta hina, sama ada yang diucapkan, ditulis serta ditularkan.

4.  Orang yang berpuasa, jika dihina, dimarah ataupun diajak bergaduh, maka hendaklah ia bersabar dan katakanlah: Sesungguhnya saya sedang berpuasa. Ia menunjukkan kawalan diri dan kesabaran.

5.  Puasa yang sebenar bukan hanya mampu mencegah makan dan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa di siang hari malah berjaya menjaga lidah juga anggota lain daripada maksiat serta memelihara hati daripada sifat buruk dan cintakan dunia.

6.  Bagi orang yang berpuasa, mulutnya mungkin akan berbau yang kurang enak, namun bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kasturi.

7.  Untuk orang yang berpuasa, mereka akan dikurniakan dengan dua kegembiraan:

a.  Gembira ketika berbuka puasa
b.  Gembira ketika berjumpa dengan Allah kerana ibadat puasanya yang dilaksanakan dengan Ikhlas akan menjadi syafaat untuknya pada hari kiamat.
  
Semoga  Ramadan tahun ini lebih baik untuk kita dengan kualiti dan kuantiti amal yang bertambah bagi mengapai Taqwa. Ramadan Aku Kembali Mendamba Redha Ilahi. Andaikan  Ramadan Tahun Ini Terakhir Buat Kita.

Rebut Pahala Bersihkan Jiwa

01hb Ramadan 1447H
19hb Februari 2026

Tuesday, 17 February 2026

Ramadan Bulan Ibadah

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Ramadan Bulan Ibadah*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ

_*Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila bulan Ramadan tiba, maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan."*_ (HR Muslim No: 1793) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

Apabila Ramadan menjelang, Rasulullah SAW mengingatkan para sahabat agar bersedia dengan kedatangan bulan Ibadah:

1.  Ramadan adalah *bulan istimewa*  yang dianugerahkan kepada umat Islam. Selain diwajibkan ibadah puasa juga dianugerahkan pelbagai ganjaran yang besar.

2.  Ramadan adalah *bulan Syiam* (berpuasa di siang hari) *dan Qiam* (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah al-Quran, zikir dan doa). 

3.  Bulan Ramadan adalah waktu yang penuh rahmat, keberkatan, dan kesempatan yang luar biasa untuk mendekatkan diri kepada Allah. *Pintu syurga dibuka* seluasnya, dan Allah memberi peluang kepada umat Islam untuk meningkatkan amalan mereka. Masa yang sangat istimewa, dan setiap Muslim harus memanfaatkan kesempatan ini sebaik-baiknya untuk memperbanyakkan ibadah dan amal soleh. Menyediakan  diri dengan rahmah Allah untuk masuk ke syurga.

4.  *Pintu neraka ditutup* di bulan Ramadan. Ertinya, dengan kehadiran bulan Ramadan, kita dianjurkan  untuk memperbanyak amal kebaikan maka dengan sendirinya perbuatan yang tidak baik (maksiat) dihindarkan. Malah peluang untuk mendapatkan pengampunan Allah melalui taubat, memohon ampun atas dosa-dosa yang lalu, dan berusaha memperbaiki diri. Dengan demikian, maka tidak ada lagi kesempatan untuk bermaksiat, dengan itu tertutuplah pintu-pintu neraka.

5.  Bulan Ramadan dipermudahkan kepada umat Islam melaksanakan ibadah kerana *syaitan telah dirantai* atau dibatasi pergerakkannya untuk mengganggu atau menggoda. Peluang untuk lebih mudah menghindari dosa dan godaan. Tanpa gangguan syaitan, kita lebih mudah untuk meningkatkan ibadah dan menjaga diri dari perbuatan buruk. 

6.  Ramadan adalah bulan penuh rahmat dan keberkatan. Dengan pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan dibelenggu, Ramadan adalah bulan terbaik untuk memperbaiki diri, meningkatkan ibadah, dan memperoleh pengampunan Allah. Manfaatkanlah kesempatan ini dengan beribadah lebih giat, memperbanyakkan doa dan amal soleh, serta bertaubat untuk mendapatkan keberkatan dan rahmat Allah di bulan yang mulia ini.

Ayuh kita menyediakan diri dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Ramadan yang akan menjelang. Ahlan Ya Ramadan. 

*Rebut Pahala Bersihkan Jiwa*

30hb Syaaban 1447H
18hb Februari 2026M

Monday, 16 February 2026

Amal Masuk Syurga

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Amal Masuk Syurga*

عن جابر بن عبد الله رضي الله عنهما  أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُولَ اللهِ صل الله عليه و سلم فَقَالَ: أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ الْمَكْتُوبَاتَ وَصُمْتُ رَمَضَانَ وَأَحْلَلْتُ الْحَلاَلَ وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئاً أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَالَ: نَعَمْ 
 
_*Daripada Jabir bin Abdullah RA, bahawa seorang lelaki telah bertanyakan Rasulullah SAW, dia berkata: Bagaimana pandanganmu jika aku mendirikan solat-solat fardhu, aku berpuasa bulan Ramadhan, aku menghalalkan perkara yang halal dan aku mengharamkan perkara yang haram. Aku tidak akan menambah apa-apa lagi selain daripada itu. Apakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: Ya!.*_ (HR Muslim, no. 15) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Setiap muslim dituntut untuk bertanya kepada orang yang arif tentang syariat Islam, tentang kewajibannya dan apa yang dihalalkan dan diharamkan baginya jika hal tersebut tidak diketahuinya.

2.  Penghalalan dan pengharaman merupakan aturan syariat, tidak ada yang berhak menentukannya kecuali Allah SWT.

3.  Keinginan dan perhatian yang besar dari para sahabat terhadap syurga diperlihatkan pada kesungguhan mereka dalam mencari jalan untuk sampai ke sana dengan bertanya kepada Rasulullah SAW melalui amal soleh yang boleh dilakukan.

4.  Menurut Imam al-Nawawi, menunaikan solat-solat fardhu bermaksud: *Melaksanakan solat lima waktu dengan sempurna, dengan menjaga rukun, syarat dan kekhusyukan sekadar kemampuan. Solat merupakan tiang agama; jika ia dijaga, maka asas agama telah ditegakkan.*

5.  Apabila seorang mukmin menunaikan segala tanggungjawab agama yang fardhu dengan sempurna (tanpa cacat) seperti solat fardhu dan puasa di bulan Ramadan, menghalalkan perkara yang halal (mengambilnya) dan mengharamkan perkara yang haram (meninggalkan), dia akan masuk syurga dengan kemurahan dan rahmat Allah SWT terhadap hamba-hambaNya, walaupun dia tidak melakukan amalan-amalan sunat yang lain.

6.  Menjaga kewajipan lebih utama daripada memperbanyakkan amalan sunat tetapi mengabaikan yang wajib.

7.  Melaksanakan kewajipan dan menjauhi larangan sudah cukup untuk memperoleh keselamatan, namun amalan sunat berfungsi menyempurnakan dan menampung kekurangan dalam amalan fardhu.

28hb Syaaban 1447H
16hb Februari 2026M

Ibadat Yang Sia-Sia

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

*Ibadat Yang Sia-Sia*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

_*Daripada Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Berapa ramai orang yang berpuasa, namun tidak memperoleh pahala puasanya kecuali lapar, dan berapa ramai orang yang mendirikan solat malam, namun tidak memperoleh pahala solat malamnya kecuali berjaga malam (menyengkang mata)."*_ (HR Ahmad No: 9308) Status Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Puasa dan solat merupakan ibadat mendekatkan hamba kepada Allah.

2.  Puasa dan solat hendaklah dilaksanakan dengan sempurna dan  ikhlas.

3.  Bagi mereka yang berpuasa, ia bukan sekadar meninggalkan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa malah perlu meninggalkan perkataan dan perbuatan yang keji atau dusta. 

4.  Menurut Ibn Rajab, orang yang hanya mendapat lapar ialah mereka yang berpuasa namun;

•  Tidak menjaga lidah daripada dusta dan mengumpat,

•  Tidak menjaga pandangan dan pendengaran daripada maksiat,

•  Berpuasa secara zahir tetapi tidak berpuasa secara batin.

5.  Terdapat sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

*“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”.* (HR Bukhari No: 1770)

6.  Di dalam Syarah Miskkah al-Masabih, qiam seseorang itu menjadi sia-sia apabila hilangnya dua syarat iaitu ikhlas dan khusyu’. (Lihat: Mir’ah al-Mafatih, 6/1053) Tambahan pula, riya’ juga boleh menyebabkan qiam seseorang itu boleh menjadi sia-sia. 

7.  Ibadat yang tidak sempurna dan  tidak ikhlas akan menyebabkan  ibadat puasa hanya mendapat lapar dan dahaga, ibadat solat malam hanya sekadar bersengkang mata.

Moga Ibadat dilakukan dengan sempurna mengikut syarat dan rukun di samping keikhlasan melaksanakan.

29hb Syaaban 1447H
17hb Februari 2026M

Saturday, 14 February 2026

Amal Kebaikan

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

*Amal Kebaikan* 

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْحَارِثِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَشْعَرِيِّ  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيْمَانِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلآنِ – أَوْتَمْلأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَالصَّلاَةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائِعُ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا 
 
_*Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan (amal). Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Solat itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi (bukti). Sabar itu adalah sinaran (memberi cahaya). Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar pada waktu pagi (berusaha), ada yang menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsu dengan melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), ada yang memerdekakan dirinya (daripada kehinaan di dunia dan azab akhirat) dan ada pula yang mencelakakan dirinya (dengan melakukan maksiat).*_ (HR Muslim No: 223) Status Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, sehingga menganggapnya sebahagian daripada lman. Jagalah kebersihan, sama ada kebersihan zahir pada tubuh badan juga kebersihan batin iaitu hati daripada syirik, hasad juga riyak.

2.  Bersuci merupakan syarat sahnya ibadah, oleh itu setiap Muslim perlu sentiasa mengambil perhatian.

3.  Zikir yang ikhlas mempunyai nilai yang besar di sisi Allah.

4.  Menjaga ibadat solat akan mendatangkan cahaya petunjuk dan mampu memperbaiki diri seorang muslim terhadap manusia lain, menjadikan ia  berakhlak dan berperilaku terpuji, memiliki sifat kewarakan dan ketakwaan di sisi Allah.

5.  Semua amalan soleh merupakan kebaikan dan keindahan bagi seorang mukmin dan mempunyai nilai yang tinggi. Ada amalan yang menjadi hujah baginya, ada yang menjadi cahaya baginya, ada yang menjadi pemberat timbangannya dan sebagainya. Antaranya;

*a.  Zikir al-Hamdulillah* yang Ikhlas akan memenuhi neraca timbangan amal di akhirat. 

*b.  Zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah* kedua-duanya akan memenuhi ruangan antara langit dan bumi. 

*c.  Solat adalah cahaya,* kerana ia menerangi hati, membimbing kehidupan dan menjadi cahaya di dunia dan akhirat.

*d.  Sedekah adalah saksi* dimana berinfaq pada jalan kebaikan dan bersegera melakukannya merupakan pertanda dan bukti benar keimanannya.

*e.  Sabar adalah sinaran* kerana sabar memerlukan pengorbanan dan kesungguhan serta perjuangan melawan nafsu.

*f.  Al-Quran adalah hujah* bagi mukmin (Membaca Al Quran dengan pemahaman dan mentadabbur (merenungkan) maknanya, mengamalkan kandungannya kerana hal tersebut dapat memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat).

6.  Setiap manusia dalam kegiatan hariannya mendedahkan dirinya sama ada kepada kebaikan atau kecelakaan. Ada yang menjual dirinya kepada Allah, lalu beroleh kebaikan dan kejayaan dan ada yang menjual dirinya kepada syaitan lalu beroleh kecelakaan.

7.  Pastikan segala aktiviti harian kita membawa kebaikan dan pahala bukan keburukan dan dosa.

27hb Syaaban 1447H
15hb Februari 2026M

Friday, 13 February 2026

Hiasi Diri Dengan Sifat Malu

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Hiasi Diri Dengan Sifat Malu*

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا كَانَ الْفُحْشُ فِي شَيْءٍ إِلَّا شَانَهُ وَمَا كَانَ الْحَيَاءُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ

_*Daripada Anas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah sifat buruk berada pada sesuatu melainkan ia akan memburuknya, dan tidaklah sifat malu ada pada sesuatu melainkan ia akan menghiasinya".*_ (Sunan Tirmidzi No: 1897) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Sifat buruk merujuk kepada perkataan yang kotor dan kesat, perbuatan yang melampaui batas juga sikap kasar, mencela, menghina dan tidak berakhlak.

2.  Sifat buruk yang ada pada seseorang akan menjadikannya bertambah buruk dan hina di sisi Allah dan makhluk lain.

3.  Sifat malu yang lahir daripada keimanan akan menjadi penyebab seseorang malu untuk melanggar perintah Allah, malu kepada manusia lain dengan cara memelihara adab serta sentiasa menjaga maruah diri.

4.  Sifat malu yang ada pada seseorang akan menjadi penghias akhlak terpuji dan diberikan ganjaran pahala antaranya malu melakukan maksiat.

5.  Sifat malu diganjari Syurga, sifat buruk diganjari neraka:

اَلْحَيَاءُ مِنَ الْإِيمَانِ وَالإِيمَانُ فِي الْجَنَّةِ وَالْبَدَاءُ مِنَ الْجَفَاءِ وَالْجَفَاءُ فِي النَّارِ

*“Rasa malu adalah sebahagian dari keimanan dan keimanan berada disyurga. Sedangkan tindakan atau ucapan kotor adalah sebahagian dari perangai yang kasar dan perangai kasar tempatnya di neraka”* (Sunan Tirmidzi No: 1932)

Hiasilah diri kita dengan mulia dan terpuji seperti sifat malu. Moga sifat malu yang ada sebagai ganjaran ke syurga. Jauhi sifat dan perangai buruk seperti menghina, mengeji, memfitnah kerana balasannya adalah neraka.

26hb Syaaban 1447H
14hb Februari 2026M

Ganjaran Menunjukkan Kebaikan

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Ganjaran Menunjukkan Kebaikan

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.

Daripada Abu Mas'ud 'Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya." (HR Muslim, No: 1893) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:
   
1.  Amal kebaikan yang dilakukan serta diusahakan oleh seseorang Muslim akan menjadi bekalan pahala di sisi Allah.

2.  Antara amal kebaikan seseorang ialah menunjukkan suatu kebaikan kepada orang lain sama ada untuk kebaikan di dunia atau di akhirat. Kemudian amal kebaikan itu diikuti dan dilakukan oleh orang lain dan pelakunya akan mendapat ganjaran pahala. 

3.  Amalan menunjukkan kepada kebaikan merupakan amalan yang boleh dicontohi oleh orang lain  dan lebih besar manfaatnya berbanding amalan yang manfaatnya  hanya terbatas untuk diri sendiri.

4.  Menurut Imam al-Nawawi, maksud “menunjukkan kepada kebaikan” merangkumi:

•  Mengajar dan menyampaikan ilmu
•  Memberi nasihat dan bimbingan
•  Mengajak kepada ibadah dan akhlak mulia
•  Menjadi contoh teladan dalam kebaikan

Ia tidak terbatas kepada arahan lisan semata-mata, bahkan termasuk segala bentuk petunjuk dan dorongan yang membawa orang lain melakukan kebaikan.

5.  Amalan kebaikan yang boleh ditunjukkan merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan.  Contohnya menghasilkan poster, menulis tazkirah dan berkongsi di media sosial serta diamalkan oleh orang lain seperti tazkirah menghadapi ibadah Ramadan.

6.  Hadis ini membuka ruang luas bahawa dakwah bukan hanya melalui mimbar. Ia termasuklah senyuman, contoh akhlak, perkongsian ilmu dan nasihat.  Setiap Muslim berpeluang memperoleh pahala besar walaupun dengan usaha kecil

7.  Setiap langkah ke arah kebaikan yang kita tunjukkan kepada orang lain, menjadi saham pahala yang berpanjangan di sisi Allah SWT.

25hb Syaaban 1447H
13hb Februari 2026

Wednesday, 11 February 2026

Berwaspada Dalam Mengharungi Kehidupan

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Berwaspada Dalam Mengharungi Kehidupan*

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ خَطَبَنَا عُمَرُ بِالْجَابِيَةِ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي قُمْتُ فِيكُمْ كَمَقَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِينَا فَقَالَ أُوصِيكُمْ بِأَصْحَابِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَفْشُو الْكَذِبُ حَتَّى يَحْلِفَ الرَّجُلُ وَلَا يُسْتَحْلَفُ وَيَشْهَدَ الشَّاهِدُ وَلَا يُسْتَشْهَدُ أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ مَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فَذَلِكُمْ الْمُؤْمِنُ

_*Daripada Ibnu 'Umar RA dia berkata; Suatu ketika Umar menyampaikan pidato kepada kami di al-Jabiyah (sebuah kampong). Katanya: "Wahai sekalian manusia, aku berdiri di hadapan kalian sebagaimana Rasulullah SAW pernah berdiri dihadapan kami, dan baginda telah bersabda: 'Aku berwasiat kepada kalian supaya berpegang dengan para sahabatku kemudian generasi selepas mereka kemudian generasi yang datang setelah mereka. Kemudian setelah itu akan berleluasalah pembohongan, sehingga seseorang bersumpah tanpa diminta untuk bersumpah, kemudian seseorang memberi kesaksian padahal ia tidak diminta untuk menjadi saksi. Ingatlah, tidaklah seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita melainkan syaitan menjadi yang ketiga antara mereka. Hendaklah kamu bersama Jamaah dan jauhi perpecahan, kerana syaitan bersama dengan orang yang sendirian, sedangkan dua orang, ia jauh lebih baik (berjemaah). Barangsiapa yang menginginkan kemewahan syurga, maka hendaklah ia berjamaah. Barangsiapa merasa gembira dengan  amal kebajikannya yang ia lakukan, dan berasa tidak senang dengan keburukan atau kejahatannya, maka dialah orang yang benar-benar beriman.'*_ (HR Tirmidzi No: 2091) Status: Hadis Hasan Sahih

*Pengajaran:*

1.  Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa para sahabat, tabi‘in dan tabi‘ tabi‘in ialah generasi terbaik umat ini. Mereka menjadi rujukan utama dalam memahami al-Quran dan Sunnah. Setiap Muslim sewajarnya menjadikan mereka contoh dan panduan.

2.  Rasulullah SAW berpesan akan datang suatu zaman dimana berleluasa keruntuhan akhlak dimana akan ada orang yang suka bersumpah walaupun tanpa diminta hanya semata-mata untuk membenar dan membuktikan kebenaran sesuatu perkara supaya orang memberi kepercayaan kepadanya walaupun ia merupakan sumpah palsu.

3.  Rasulullah SAW juga berpesan akan datang suatu zaman dimana berleluasa orang yang suka memberi kesaksian padahal ia tidak diminta untuk menjadi saksi. Ia sebagai saksi palsu hanya kerana kepentingan peribadi.

4.  Rasulullah SAW melarang perbuatan khalwat atau berdua-duaan yang berlaku antara seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang boleh mendatangkan syak wasangka serta maksiat malah Syaitan akan mengambil peluang menggoda walaupun kedua-duanya berniat baik.

5.  Rasulullah SAW mengarahkan kita agar sentiasa hidup berjamaah, saling berukhuwah, tolong menolong dan bantu membantu, saling nasihat menasihati kearah mewujudkan kehidupan yang sejahtera dan diredhai Allah.

6.  Kita dilarang hidup dengan mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan orang lain.

7.  Barangsiapa merasa gembira dengan  kebajikan yang ia lakukan, dan berasa tidak senang dengan keburukan atau kejahatannya, maka dia adalah seorang mukmin.

23hb Syaaban 1447H
11hb Februari 2026M

Tuesday, 10 February 2026

Bersifat Tawaduk

*ASSALAMUALAIKUM WBT.*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Bersifat Tawaduk*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ

_*Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu (dari segi nikmat dunia) dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi darjatnya daripada kamu, itulah yang lebih baik supaya kamu tidak merendah-rendahkan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu".*_ (HR Tirmidzi No: 2437) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Memiliki sifat redha dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki adalah suatu yang dituntut.

2.  Buatlah perbandingan nikmat yang kita miliki dengan orang lain yang tidak memilikinya, nescaya kita akan sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang kita ada, tidak akan kecewa, sedih mahupun dengki pada orang lain.

3.  Elakkan dari  membuat perbandingan dengan orang yang lebih kaya dan berada kerana akan menghilangkan rasa bersyukur malah akan mendatangkan rasa kecewa, sedih malah sentiasa berdengki dengan kelebihan pada orang lain.

4.  Dalam hal yang berkaitan dengan akhirat, kita hendaklah sentiasa melihat orang yang lebih baik daripada diri kita untuk bersaing dan berlumba mencontohinya.

5.  Kita perlu merasa cemburu melihat kealiman dan kesolehan orang lain untuk diikuti dan dicontohi.

وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ وَأَحۡسِن كَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِي ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٧٧ 

*Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.* (al-Qasas: 77).

6.  Dengan melihat kepada mereka yang kurang bernasib baik, hati akan menjadi lembut, rasa bersyukur akan bertambah disamping hidup akan lebih tenang dan diberkati.

22hb Syaaban 1447H
10hb Februari 2026M

Sunday, 8 February 2026

Bahaya Memuji Orang Berlebihan

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bahaya Memuji Orang Berlebihan

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلًا ذُكِرَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَثْنَى عَلَيْهِ رَجُلٌ خَيْرًا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ يَقُولُهُ مِرَارًا إِنْ كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا لَا مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ أَحْسِبُ كَذَا وَكَذَا إِنْ كَانَ يُرَى أَنَّهُ كَذَلِكَ وَحَسِيبُهُ اللَّهُ وَلَا يُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا

Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya bahawa seorang lelaki telah disebut di hadapan Nabi SAW, lalu seorang lelaki lain memuji kebaikan laki-laki tersebut, lalu Nabi SAW bersabda: "Celakalah kamu, kamu telah memenggal leher saudaramu." Baginda mengulangi beberapa kali. Kemudian Baginda bersabda: Jika seseorang daripada kamu ingin memuji temannya, hendaklah ia mengucapkan: 'Aku menyangka dia begini dan begitu, walaupun jika diperhatikan ia memang seperti itu. Cukuplah Allah yang menentukan kebaikannya dan janganlah mendahului Allah dalam memuji seseorang." (HR Bukhari No: 5601) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memuji kebaikan yang ada pada seseorang tidaklah dilarang secara mutlak. Namun Rasulullah menegur dengan keras orang yang memuji orang lain dengan:

a.  Pujian yang berlebihan
b.  Pujian yang mengandung sifat yang tidak ada pada diri orang yang dipuji.
c.  Pujian yang menimbulkan fitnah (timbul ujub, menyombongkan diri) pada orang yang dipuji terutama apabila dipuji dihadapannya.

2.  Rasulullah memberi teguran keras kepada orang yang memuji orang lain yang disetarakan dengan memenggal leher kawan tersebut kerana bimbang terjerumus seperti ummat terdahulu, khususnya kaum Yahudi dan Nasrani yang memuji sehingga menyamakan dengan sifat Allah (syirik yang merupakan dosa besar).

3.  Amal yang kita lakukan adalah ikhlas untuk mencari redha Allah bukan pujian manusia. Dzun Nuun menyebutkan tiga tanda ikhlas:

a.  Tetap merasa sama antara pujian dan celaan orang lain.
b.  Melupakan amalan kebajikan yang dulu pernah diperbuat.
c.  Mengharap balasan dari amalan di akhirat (dan bukan di dunia).

(Lihat At Tibyan fi Adabi Hamalatil Qur’an, An Nawawi, hal. 50-51, Maktabah Ibnu ‘Abbas, cetakan pertama, tahun 1426 H)

4.  Menurut Imam al-Nawawi, pujian di hadapan orang yang dipuji hukumnya makruh malah boleh menjadi haram jika membawa kepada:
o  Kesombongan,
o  Rasa selamat daripada dosa,
o  Hilang muhasabah diri.

5.  Menurut Imam al-Ghazali, pujian yang dibenarkan ialah:
•  Untuk maslahat syarie (motivasi, pengiktirafan, keadilan),
•  Tanpa berlebih-lebihan,
•  Tidak membawa kepada fitnah jiwa.

6.  Jika kita dipuji orang, berdoalah seperti doa Abu Bakar RA apabila menerima pujian: 

اللَّهُمَّ أَنْتَ أَعْلَمُ مِنِّى بِنَفْسِى وَأَنَا أَعْلَمُ بِنَفْسِى مِنْهُمْ اللَّهُمَّ اجْعَلْنِى خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّوْنَ وَاغْفِرْ لِى مَا لاَ يَعْلَمُوْنَ وَلاَ تُؤَاخِذْنِى بِمَا يَقُوْلُوْنَ

Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan diriku daripada diriku sendiri dan aku lebih mengetahui keadaan diriku daripada mereka yang memujiku. Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui dariku, dan janganlah menyiksaku dengan perkataan mereka. 
(Diriwayatkan oleh Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman, 4/228, no.4876. Lihat Jaami’ul Ahadits, Jalaluddin As Suyuthi, 25/145, Asy Syamilah)

21hb Syaaban 1447H
09hb Februari 2026M

Saturday, 7 February 2026

Reda Terhadap Maksiat Itu Berdosa

ASSALAMUALAIKUM WBT.

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Reda Terhadap Maksiat Itu Berdosa

عَنْ الْعُرْسِ ابْنِ عَمِيرَةَ الْكِنْدِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا عُمِلَتْ الْخَطِيئَةُ فِي الْأَرْضِ كَانَ مَنْ شَهِدَهَا فَكَرِهَهَا وَقَالَ مَرَّةً أَنْكَرَهَا كَانَ كَمَنْ غَابَ عَنْهَا وَمَنْ غَابَ عَنْهَا فَرَضِيَهَا كَانَ كَمَنْ شَهِدَهَا

Daripada Al 'urs bin Amirah Al Kindi dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Apabila ada satu maksiat dikerjakan dimuka bumi, maka orang yang melihat lalu membencinya, dalam riwayat lain, "lalu ia mengingkarinya, maka ia sama seperti orang yang tidak melihatnya. Barangsiapa tidak melihatnya, namun ia reda dengan maksiat tersebut, maka ia seperti orang yang melihatnya."  (HR Abu Daud No: 3782)  Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Barangsiapa melihat kemungkaran lalu ia membencinya atau mengingkari dengan berusaha mencegahnya maka ia seperti orang yang tidak melihat mungkar tersebut (seorang yang beriman).

2.  Menurut Imam al-Nawawi, membenci kemungkaran dengan hati Adalah tahap iman paling minimum, namun tetap mempunyai nilai di sisi Allah jika disertai keikhlasan.

3.  Barangsiapa mengetahui suatu maksiat yang berlaku dan dia reda dengannya (tidak berusaha mencegah dengan kuasa, lisan atau benci dengan hati) sesungguhnya dia telah melakukan dosa.

4.  Muslim yang tidak melihat kemungkaran tetapi reda dengannya, maka dosanya adalah sama dengan orang yang melihat dan tidak mengingkarinya. Ia menandakan mati rasa iman dan hilangnya rasa benci terhadap dosa.

5.  Reda terhadap maksiat akan menghilangkan perasaan ingin mengingkarinya dengan hati. Sedangkan mengingkari maksiat dengan hati adalah fardhu ain.

6.  Jadilah Mukmin yang berjaya. Firman Allah:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤

Dan hendaklah ada di antara kamu sekumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebaikan  dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104).

Semoga kita sentiasa memiliki sifat mukmin dengan tidak meredhai kemungkaran yang berlaku walaupun tidak mampu mencegahnya secara fizikal.

20hb Syaaban 1447H
08hb Februari 2026M

Friday, 6 February 2026

Takutlah Kepada Azab

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Takutlah Kepada Azab*

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ

_*Daripada Hudzaifah bin Al Yaman RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, hendaknya kalian melakukan amar makruf dan nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran). Jika tidak, nescaya Allah akan mengirimkan siksaan dari sisi-Nya kepada kalian, kemudian kalian memohon kepada-Nya namun doa kalian tidak lagi dikabulkan."*_ (Sunan Tirmidzi No: 2095) Status: Hadis  Hasan

*Pengajaran:*

1.  Setiap Muslim diperintahkan untuk menyampaikan dakwah, mengajak orang lain melakukan kebaikan dan dalam masa yang sama mencegah sebarang bentuk kemungkaran.

2.  Menurut Imam al-Ghazali, kewajipan ini adalah Fardu kifayah, namun boleh bertukar menjadi fardu ain apabila kemungkaran berlaku di hadapan seseorang dan tiada pihak lain yang menegurnya

3.  Jika kemungkaran yang berlaku dibiarkan tanpa sebarang usaha mencegah, dibimbangi akan diturunkan azab ke atas mereka. Menurut ulama, azab itu muncul mungkin dalam bentuk kerosakan moral atau ketidakadilan sosial juga hilangnya keberkatan hidup.

Firman Allah:

وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةٗ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةٗۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢٥ 

*“Dan peliharalah diri kalian dari fitnah yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kalian, dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya.”* (Al-Anfaal ayat: 25)

4.  At-Thabari menyampaikan sebuah riwayat dari Ibn ‘Abbas tentang ayat ini, Ibn ‘Abbas berkata: “Allah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk tidak mendiamkan kemungkaran yang tampak di hadapan mereka, jika demikian (tetap mendiamkan) maka Allah akan menimpakan azab yang berlaku kepada umum.

5.  Allah juga tidak akan mengabulkan doa kepada mereka yang mengabaikan amar makruf nahi mungkar. Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, doa tidak dimakbulkan bukan bermaksud Allah tidak mendengar tetapi sebagai peringatan agar umat kembali membaiki amal dan sikap.

19hb Syaaban 1447H
07hb Februari 2026M

Thursday, 5 February 2026

WITIR PENUTUP SOLAT MALAM

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

WITIR PENUTUP SOLAT MALAM

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَأَلَ رَجُلٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ: مَا تَرَى فِي صَلَاةِ اللَّيْلِ؟ فَقَالَ: مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خَشِيَ الصُّبْحَ صَلَّى وَاحِدَةً فَأَوْتَرَتْ لَهُ مَا صَلَّى، وَإِنَّهُ كَانَ يَقُولُ: اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ وِتْرًا، فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِهِ

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA, beliau berkata:
Seorang lelaki bertanya kepada Nabi SAW ketika Baginda berada di atas mimbar:
“Apakah pandanganmu tentang solat malam?”
Baginda menjawab:
“Solat malam dilakukan dua rakaat, dua rakaat. Apabila seseorang bimbang masuk waktu subuh, maka hendaklah dia menunaikan satu rakaat sebagai witir yang menjadi penutup bagi solatnya.”
Dan Baginda bersabda:
“Jadikanlah witir sebagai solat terakhir kamu, kerana Nabi SAW memerintahkannya.”
Sumber Hadis: Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Status Hadis: Sahih

Pengajaran: 
◾ Rasulullah SAW mengajar bahawa solat sunat malam (qiamullail) dilakukan secara dua rakaat dan salam, kemudian diulang, dan ditutup dengan solat witir.

◾ Jika bimbang masuk waktu subuh, solat malam hendaklah segera ditutup dengan menunaikan solat witir.

◾ Solat witir merupakan solat penutup bagi solat sunat malam, dan paling minimum ialah satu rakaat.

◾ Rasulullah SAW sangat menekankan agar witir dijadikan solat terakhir pada malam hari kerana ia menyempurnakan solat malam dan mempunyai keutamaan yang besar dalam Islam.

Tarikh: 18 Syaaban 1447H | 6 Februari 2026M

Bangunkan Ahli Keluarga Solat Sunat Malam

*ASSALAMUALAIKUM WBT.*


*Bangunkan Ahli Keluarga Solat Sunat Malam*

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَأَنَا رَاقِدَةٌ مُعْتَرِضَةً عَلَى فِرَاشِهِ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يُوتِرَ أَيْقَظَنِي فَأَوْتَرْتُ

_*Daripada 'Aisyah berkata, "Nabi SAW pernah menunaikan solat malam sedangkan aku berbaring di atas tikarnya. Apabila baginda melaksanakan solat witir, baginda membangunkan aku hingga aku pun bangun mengerjakan solat witir."*_ (HR Bukhari No: 997) Status Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Bangun di waktu malam untuk qiamullail menunaikan solat malam antara amalan yang perlu dicontohi daripada Rasulullah SAW.

2.  Solat malam termasuk solat witir adalah antara ibadat yang membina kekuatan Rohani seseorang.

3.  Rasulullah SAW mengejutkan ahli keluarganya untuk menunaikan solat sunat malam.

4.  Suami bertanggungjawab membimbing keluarga dalam ibadah.

5.  Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita bagaimana menjadi seorang suami yang lembut dan penuh perhatian terhadap keluarga. Beliau tidak hanya fokus pada ibadah diri sendiri, tetapi juga memberi galakan kepada Aisyah r.a. untuk beribadah. Dalam kehidupan rumah tangga, kita diajar untuk saling menyokong dalam amalan agama dan saling mengingatkan untuk berbuat kebaikan.

Ayuh bangunkan ahli keluarga kita untuk menunaikan solat sunat malam, walaupun satu rakaat. Semoga solat sunat malam membina jati diri kita. Semoga kebiasaan baik yang kita lakukan di bulan Syaaban akan berterusan di bulan Ramadan yang penuh barakah.

17hb Syaaban 1447H
05hb Februari 2026M

Monday, 2 February 2026

Solat Malam Amalan Orang Soleh

Assalamualaikum warahmatullah

Solat Malam Amalan Orang Soleh

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ لِلْإِثْمِ 

Daripada Abu Umamah dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: "Hendaknya kamu melakukan solat malam (qiamullail) kerana solat malam adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, ia dapat mendekatkan diri kepada Tuhan kamu, menjadi penghapus keburukan (dosa), serta mencegah daripada perbuatan dosa." (Sunan Tirmidzi No: 3472) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Solat malam atau qiamullail adalah amalan orang-orang yang soleh. Allah SWT memuji para hamba-Nya yang soleh yang sentiasa melakukan solat malam seperti tahajud dan witir.

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Mereka sedikit tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah).” [Adz-Dzaariyaat/51: 17-18]

2.  Solat malam adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebagai makanan roh membina kekuatan dalaman diri setiap Muslim. Allah SWT memberikan ganjaran yang besar bagi mereka yang melakukannya dengan penuh ikhlas dan tawaduk, kerana pada waktu malam, ketika manusia lain tidur, seorang hamba yang bangun untuk beribadah menunjukkan pengabdian dan keikhlasan hati untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah.

3.  Solat malam menjadi penghapus keburukan atau dosa-dosa kecil serta dosa besar jika disertai dengan taubat.

4.  Kebiasaan melakukan solat malam dapat menjadi penolong bagi seseorang dalam menjaga dirinya dari terjerumus dalam dosa, kerana dalam keadaan hening dan sepi di malam hari, seorang hamba lebih mudah untuk merenung dan mengingati Allah. Hati akan menjadi lembut dan lebih berhati-hati daripada melakukan maksiat.

5.  Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa ibadah malam melatih jiwa untuk menundukkan hawa nafsu.

Peruntukkanlah sedikit waktu pada waktu malam sebelum solat subuh untuk melakukan solat sunat malam agar ia menjadi sebahagian dari kebiasaan kita sepertimana kebiasaan amalan orang yang soleh.

15hb Syaaban 1447H
03hb Februari 2026

Sunday, 1 February 2026

MALAM NISFU SYAABAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

MALAM NISFU SYAABAN

◾ عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

◾ Daripada Mu‘az bin Jabal RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
“Allah عز وجل melihat kepada seluruh makhluk-Nya pada malam pertengahan bulan Syaaban, lalu Dia mengampuni semua makhluk-Nya kecuali orang yang melakukan syirik dan orang yang bermusuhan.”

◾ (HR al-Tabrani No: 16639)
◾ Status: Hadis Sahih

PENGAJARAN:

◾ Bulan Syaaban mempunyai kelebihan tersendiri dan merupakan bulan yang Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat.
◾ Malam Nisfu Syaaban adalah antara malam yang mempunyai keutamaan dari sudut keampunan Allah SWT.
◾ Keampunan Allah pada malam ini terhalang bagi dua golongan:
◾ Orang yang melakukan syirik selagi tidak bertaubat
◾ Orang yang bermusuhan, berdendam dan menyimpan kebencian sesama Muslim
◾ Permusuhan dan dendam merosakkan hati serta memutuskan ukhuwah dan silaturahim, menyebabkan seseorang terhalang daripada rahmat Allah.
◾ Terdapat hadis lain berkaitan kelebihan malam Nisfu Syaaban yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA, namun statusnya daif dan tidak boleh dijadikan sandaran utama untuk pensyariatan amalan khusus.
◾ Para ulama seperti Ibn Rajab menyebut bahawa sebahagian tabi‘in di Syam memuliakan malam ini dengan ibadah, namun tiada ibadah khusus yang disyariatkan seperti solat tertentu atau doa tertentu.
◾ Dibenarkan memperbanyakkan ibadah secara umum seperti solat sunat malam, zikir, istighfar dan doa tanpa mengkhususkannya dengan bentuk atau bilangan tertentu.
◾ Malam Nisfu Syaaban adalah peluang untuk muhasabah diri, membersihkan hati, memperbaiki hubungan sesama manusia dan memohon keampunan Allah SWT.

14 Syaaban 1447H
02 Februari 2026M

Saturday, 31 January 2026

Larangan Memburukan Orang Lain

ASSALAMUALAIKUM WBT.

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Larangan Memburukan Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila ada seseorang yang berkata; 'Celakalah (binasalah) manusia', maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka." (HR Muslim No: 4755) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim tidak boleh berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri.


2. Seseorang yang menganggap orang lain lebih buruk atau lebih sesat daripada dirinya cenderung jatuh dalam perangkap kesombongan dan rasa takabbur. Islam mengajar kita untuk bersikap rendah hati dan tidak menghakimi orang lain, kerana hanya Allah SWT yang mengetahui hati dan nasib setiap hamba-Nya. Jangan sekali-kali kita memburukkan orang lain kerana kita mungkin lebih buruk dari mereka.


3. Dibolehkan kita menegur kemungkaran dengan ilmu dan adab. Dilarang mencela dengan nada menghina dan menghukum. Kita adalah pendakwah bukan penghukum.


4. Sikap sombong yang terkandung dalam ungkapan "celakalah atau binasalah sipolan" adalah suatu bentuk kebanggaan diri yang tidak seharusnya ada dalam hati seorang Muslim. Kebanggaan yang berlebihan terhadap amal ibadah atau status kita boleh menjerumuskan kita kepada kebinasaan, kerana ia menjauhkan kita dari sifat tawadhu' (rendah hati) dan mendorong kita untuk meremehkan orang lain.


5. Nasib diri kita adalah mengikut apa yang difikirkan oleh akal kita. Jika akal kita berfikiran negatif, maka natijahnya adalah negatif.  Seorang Muslim perlu memelihara baik sangka terhadap Allah.


6. Kecelakaan yang berlaku ke atas diri kita bukanlah semestinya disebabkan oleh perbuatan atau kejahatan orang lain. Bahkan ia mungkin berlaku kerana sikap diri sendiri.


7. Mengakui akan kelemahan dan kejahilan diri sebenarnya lebih penting dari menghukum kejahatan orang lain atau menyalahkan mereka. Islam mengajarkan kita untuk saling memahami dan bersikap kasih sayang terhadap sesama. Kita tidak tahu keadaan hati seseorang dan bagaimana Allah SWT melihat mereka. Oleh itu, seharusnya kita berusaha untuk membantu dan memberi nasihat dengan cara yang baik, bukan merendahkan atau mencela.


8. Kita harus mengakui akan kelemahan diri dahulu dan tidak menjadikan orang lain sebagai pelarian (escapist) dengan menuding jari kepada orang lain.



Marilah kita berusaha menjauhkan diri dari sifat mudah untuk menghukum orang lain dan memburuk-burukkan mereka.

13hb Syaaban 1447H
01hb Februari 2026M

Friday, 30 January 2026

Puasa Hari Putih (13, 14 & 15) Haribulan Hijrah

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Puasa Hari Putih (13, 14 & 15) Haribulan Hijrah*

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

_*Daripada Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah  SAW  memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari dalam setiap bulan iaitu hari-hari putih: hari ketiga belas, empat belas dan lima belas."*_ (HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Mengikut Imam Nawawi, ‘Ayyam al-Bidh’ (hari-hari putih) dinamakan demikian kerana bulan pada tarikh 13, 14 dan 15 haribulan Hijrah berada dalam keadaan penuh bercahaya.

2.  Puasa pada hari putih adalah sunat yang sangat dituntut dan menjadi amalan Rasulullah SAW.

3.  Berpuasa tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun (kerana kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda). Daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:
 
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
 
Maksudnya: *“Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.”* (HR Abu Daud No: 2449)

4.  Disepanjang bulan Syaaban ini kita digalakkan berpuasa sunat. Ada puasa sunat yang khusus antaranya puasa hari  Isnin dan Khamis juga *puasa pada hari-hari putih (13, 14 dan 15) yang akan jatuh pada hari Ahad 01hb Feb, Isnin 02hb Feb dan Selasa 03hb Feb ini.* 

Marilah kita merebut peluang melaksanakan ibadah puasa sunat di bulan Syaaban ini. Kita berpuasa sunat Hari-hari Putih pada Ahad, Isnin dan Selasa ini.

12hb Syaaban 1447H
31hb Januari 2026M

Thursday, 29 January 2026

BALASLAH KEBAIKAN DENGAN KEBAIKAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

BALASLAH KEBAIKAN DENGAN KEBAIKAN

◾ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَلْيُكَافِئْ بِهِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَلْيَذْكُرْهُ فَمَنْ ذَكَرَهُ فَقَدْ شَكَرَهُ وَمَنْ تَشَبَّعَ بِمَا لَمْ يَنَلْ فَهُوَ كَلَابِسِ ثَوْبَيْ زُورٍ  

Daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menerima suatu kebaikan maka balaslah dengan kebaikan yang serupa. Sesiapa yang tidak mampu membalasnya maka sebutlah (kebaikan orang tersebut). Sesiapa yang menyebutnya maka dia telah bersyukur. Dan sesiapa yang berpura-pura memiliki apa yang tidak diperolehnya maka dia seperti memakai dua pakaian dusta.”

 ◾ Riwayat Ahmad No. 23452; dinilai sahih dalam al-Adab al-Mufrad (No. 215)

◾ عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ ◾


 Daripada Usamah bin Zaid
 RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dibuat kebaikan kepadanya lalu dia berkata: Jazakallahu khairan, maka dia telah menyampaikan pujian yang paling sempurna.” ◾ 

Riwayat al-Tirmidzi No. 1958 — Status: Hasan

◾ Pengajaran:
 ◾ 1. Akhlak Muslim ialah membalas setiap kebaikan dengan kebaikan yang setimpal.
 ◾ 2. Jika tidak mampu membalas dengan harta atau bantuan, balaslah dengan ucapan dan penghargaan.
 ◾ 3. Menyebut dan mengiktiraf kebaikan orang adalah tanda syukur.
 ◾ 4. Syukur sesama manusia tidak bercanggah dengan syukur kepada Allah, bahkan ia sebahagian daripadanya. 
◾ 5. Ucapan terbaik ketika menerima kebaikan ialah “Jazakallahu khairan” kerana mengandungi doa. ◾ 6. Berpura-pura memiliki atau membuat sesuatu yang tidak benar adalah sifat tercela.
 ◾ 7. Membalas jasa walaupun dengan doa adalah akhlak mulia.

◾ 11 Syaaban 1447H 
◾ 30 Januari 2026

Wednesday, 28 January 2026

Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

_*Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Tidak dicabut sifat belas kasihan (rahmat Allah) kecuali dari orang yang celaka (berbuat keji)."*_ (HR  Tirmizi No: 1846) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki.

2.  Sifat kasih sayang merangkumi kasih sayang terhadap manusia, belas kasihan kepada kanak-kanak, orang lemah dan masyarakat sekeliling di samping sifat empati yang lahir daripada iman. 

3.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang (rahmat-Nya) daripada orang yang melakukan perbuatan keji dan maksiat.

4.  Perbuatan keji (seperti menghina, memfitnah, mengumpat dan mencela malah segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sekeliling) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim. Tanpa disedari Allah telah menghilangkan rasa kasih sayang dalam dirinya.

5.  Menurut Ibn al-Athir, orang yang celaka merujuk kepada orang yang hatinya keras, tidak tersentuh dengan penderitaan orang lain serta hilang rasa belas kasihan akibat dosa yang berterusan.

6.  Salman al-Farisi berkata: *“Sesungguhnya apabila Allah inginkan kebinasaan kepada seorang hambaNya, maka Dia mencabut darinya sifat malu, apabila sifat tersebut tercabut maka akan dicabut darinya sifat amanah sehingga dia menjadi pengkhianat. Apabila sifat amanah dicabut darinya maka akan dicabut darinya sifat rahmah (sifat belas kasih)  sehingga dia memiliki sikap keras dan berhati kasar. Apabila dia sudah dalam keadaan demikian, maka akan dicabut sebahagian iman dari tengkuknya dan bila sudah demikian maka dia tidak akan ditemui kecuali dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat”.*

Jauhi perkara keji. Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi akhlak terpuji.

10hb Syaaban 1447H
29hb Januari 2026M

Tuesday, 27 January 2026

JANGAN MENANGGUH UNTUK BERSEDEKAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

JANGAN MENANGGUH UNTUK BERSEDEKAH

◾ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الصَّدَقَةِ أَعْظَمُ أَجْرًا قَالَ: أَنْ تَصَدَّقَ وَأَنْتَ صَحِيْحٌ شَحِيْحٌ تَخْشَى الْفَقْرَ وَتَأْمُلُ الْغِنَى وَلَا تُمْهِلْ حَتَّى إِذَا بَلَغَتِ الْحُلُقُومَ قُلْتَ: لِفُلَانٍ كَذَا وَلِفُلَانٍ كَذَا وَقَدْ كَانَ لِفُلَانٍ

◾ Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata:
Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, sedekah manakah yang paling besar pahalanya?”
Baginda menjawab: “Iaitu engkau bersedekah ketika engkau masih sihat, ketika engkau masih sayang kepada harta, takut menjadi miskin dan masih berharap untuk menjadi kaya. Janganlah engkau menangguh sehingga apabila nyawa telah sampai ke kerongkong, barulah engkau berkata: ‘Ini untuk si fulan dan itu untuk si fulan’, sedangkan harta itu sebenarnya telah menjadi milik si fulan (waris).”
◾ (HR al-Bukhari No: 2748)
◾ Status: Hadis Sahih

PENGAJARAN:
◾ Sedekah yang paling besar pahalanya ialah sedekah yang dilakukan ketika seseorang masih sihat, masih mencintai hartanya dan masih berharap kepada kekayaan dunia.
◾ Sedekah dalam keadaan ini lebih bernilai kerana ia dilakukan dengan pengorbanan nafsu dan melawan sifat kedekut, bukan kerana terpaksa atau terdesak.
◾ Islam melarang sikap menangguhkan sedekah sehingga saat hampir mati kerana ketika itu harta bukan lagi milik kita, sebaliknya akan menjadi hak waris.
◾ Harta yang tidak disedekahkan semasa hidup tidak memberi manfaat kepada si mati setelah kematian.
◾ Harta hakikatnya adalah amanah daripada Allah, bukan milik mutlak manusia.
◾ Sedekah melatih jiwa agar tidak terikat dengan dunia dan membersihkan hati daripada sifat tamak.
◾ Oleh itu, segeralah bersedekah selagi masih berpeluang dan berkeupayaan, sebelum peluang itu ditarik oleh kematian.

09 Syaaban 1447H
28 Januari 2026M

Sunday, 25 January 2026

UCAPKAN ALHAMDULILLĀH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
UCAPKAN ALHAMDULILLĀH
◾ Hadis:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ، وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
◾ Daripada ‘Aisyah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW apabila melihat sesuatu yang Baginda sukai, Baginda mengucapkan: “Segala puji bagi Allah yang dengan nikmat-Nya sempurnalah segala kebaikan.” Dan apabila Baginda melihat sesuatu yang Baginda tidak sukai, Baginda mengucapkan: “Segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan.”
◾ Sumber:
HR Ibnu Majah No. 3803
Status: Hadis Hasan
◾ Pengajaran:
Syukur adalah asas ketenangan jiwa dan tanda kesempurnaan iman seorang mukmin.
Setiap nikmat dan musibah datang daripada Allah SWT dan mengandungi hikmah.
Orang beriman sentiasa memuji Allah dalam semua keadaan, sama ada ketika senang atau susah.
Apabila menerima perkara yang disukai, Rasulullah SAW mengajar kita mengucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
Apabila berdepan perkara yang tidak menyenangkan, Rasulullah SAW mengajar kita mengucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Musibah tidak menafikan rahmat Allah, bahkan menjadi ujian dan peluang mendekatkan diri kepada-Nya.
Syukur bukan hanya ketika gembira, tetapi juga ketika diuji. Dengan sentiasa memuji Allah, hati menjadi tenang, iman semakin kukuh dan hidup dipenuhi keberkatan.
◾ Bersyukurlah atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan, termasuk peluang berada dalam bulan Syaaban. Semoga Allah SWT mempertemukan kita dengan Ramadhan yang penuh keberkatan.
◾ 07 Syaaban 1447H
◾ 26 Januari 2026M

Saturday, 24 January 2026

Tiga Penyebab Doa Tidak Makbul

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Tiga Penyebab Doa Tidak Makbul*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الِاسْتِعْجَالُ قَالَ يَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِي فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ

_*Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda: Doa seorang hamba akan sentiasa diperkenankan selagi dia tidak berdoa untuk perkara dosa atau memutuskan hubungan silaturahim dan selagi dia tidak bersikap tergesa-gesa. Seorang sahabat bertanya; 'Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan tergesa-gesa? ' Rasulullah SAW menjawab: 'Yang dimaksud dengan tergesa-gesa adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan; 'Aku telah berdoa berkali-kali tetapi aku tidak melihat doaku diperkenankan'. Setelah itu, ia merasa kecewa dan berhenti berdoa.*_ (HR Muslim No: 4918) Status: Sahih

*Pengajaran:*

1.  Doa memerlukan adab dan kesabaran.

2.  Syarat penerimaan doa seorang hamba 3 perkara:

*a.  Doa tidak mengandungi unsur dosa*

*b.  Tidak memutuskan silaturahim*

*c.  Tidak bersikap tergesa-gesa meminta dikabulkan*

3.  Orang yang tergesa-gesa ialah yang tidak sabar doanya dikabulkan dan mudah berputus asa dan enggan berdoa kembali.

4.  Dalam berdoa, kita harus memastikan bahawa niat kita adalah untuk kebaikan dan tidak untuk hal-hal yang buruk. Allah tidak akan mengabulkan doa yang bertujuan untuk kejahatan atau keburukan, termasuk memutuskan hubungan dengan keluarga atau merancang untuk menyakiti orang lain.

5.  Marilah kita berdoa yang baik-baik, jagalah hubungan silaturahim dengan kerabat dan istiqamahlah untuk terus berdoa dengan bersabar dan  tidak berputus asa. Yakinlah bahawa Allah tetap akan memperkenankan permohonan kita. 

6.  Doa adalah salah satu bentuk pengabdian dan pengharapan kita kepada Allah. Melalui doa, kita menunjukkan kebergantungan kita kepada-Nya dan meyakini bahawa hanya Allah yang dapat memberikan pertolongan. Oleh itu, kita harus tetap konsisten dalam berdoa, tanpa merasa lelah atau putus asa.

06hb Syaaban 1447H
25hb Januari 2026M

Friday, 23 January 2026

Tidak Tergesa-gesa Dalam Berdoa

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
 
*Tidak Tergesa-gesa Dalam Berdoa*
 
عَنْ ابْنِ شِهَابٍ أَنَّهُ قَالَ حَدَّثَنِي أَبُو عُبَيْدٍ مَوْلَى عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ وَكَانَ مِنْ الْقُرَّاءِ وَأَهْلِ الْفِقْهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ فَيَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ رَبِّي فَلَمْ يَسْتَجِبْ لِي
 
**Daripada Ibnu Syihab bahwasanya ia berkata; Telah menceritakan kepadaku Abu Ubaid hamba Abdurrahman bin Auf yang mana dia termasuk dari para Qari (penghafal quran) dan Ahli fikah, dia berkata; Aku mendengar Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Doa seseorang daripada kalangan kamu akan sentiasa diperkenankan selama ia tidak bersikap tergesa-gesa hingga mengatakan; Aku telah berdoa kepada Tuhanku, namun Dia tidak memperkenankan doaku'** (HR Muslim No: 4917) Status: Hadis Sahih.
 
*Pengajaran:*
 
1.  Setiap Muslim dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah
 
2.  Doa seseorang tetap akan diperkenankan oleh Allah dengan adab, sikap serta keyakinan dan kebergantungan penuh kepada Allah.
 
3.  Antara sebab doa seseorang tidak diperkenankan ialah sifat tergesa-gesa. Menurut Ibnu Hajar, tergesa-gesa yang dimaksudkan ialah:
 
a.  Putus asa apabila doa tidak dimakbulkan dengan segera
 
b.  Merasa kecewa dan buruk sangka terhadap Allah
 
c.  Berhenti berdoa kerana menyangka doanya sia-sia
 
4.  Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, doa boleh diterima dalam beberapa bentuk:
 
*a.  Dikabulkan segera,*
 
*b.  Ditangguhkan kepada waktu yang lebih baik,*
 
*c.  Digantikan dengan kebaikan lain,*
 
*d.  Dijadikan penghapus dosa,*
 
*e.  Disimpan sebagai ganjaran di akhirat.*
 
Kelewatan makbul doa itu bukan tanda penolakan, tetapi lambang hikmah Ilahi
 
5.  Berdoalah dengan penuh keyakinan dan berbaik sangka dengan Allah. Sabda Nabi:
 
أُدْعُوا اللهَ تَعَالَى وَأَنتُمْ مُوقِنُونَ بِالْإِجَابَةِ, وَاعْلَمُوا أَنَّ اللهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِن قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ
 
Maksudnya: *“Berdoalah kepada Allah sementara kalian yakin doa kalian dikabulkan. Ketahuilah, sesungguhnya Allah tidak akan mengabulkan dari hati yang lalai dan lengah”* (HR Tirmizi No: 3479)
 
Hadis ini mengajar kita untuk berdoa dengan penuh keikhlasan, keyakinan, dan kesabaran. Doa yang tidak segera dimakbulkan bukanlah tanda penolakan, namun mungkin ia adalah ujian untuk meningkatkan keimanan kita atau Allah menghindarkan kita daripada musibah atau juga Allah menggantikan sesuatu yang lebih baik.
 
05hb Syaaban 1447H 
 24hb Januari 2026M

Thursday, 22 January 2026

Doa Mustajab Di Malam Hari

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Doa Mustajab Di Malam Hari*

عن معاذ بن جبل عن النبي صلى الله عليه وسلم قال  مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيْتُ عَلَى ذِكْرٍ طَاهِرًا فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْياَ وَاْلآخِرَةِ إِلاَّ أَعْطَاهُ إِياَّهُ.

_*Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci (berwuduk) serta berzikir kepada Allah, kemudian ia terjaga pada waktu malam lalu berdoa memohon kepada Allah kebaikan daripada urusan dunia dan akhirat, melainkan Allah akan mengabulkan permintaannya.”*_ (Sunan Abi Daud No: 5042) Status Hadis Sahih (dalam kitab Shahiih at-Targhiib wat Tarhiib (I/317)

*Pengajaran:*

1.  Berwuduk sebelum tidur adalah sunnah yang membawa keberkatan dan perlindungan daripada gangguan syaitan semasa tidur.

2.  Amalan zikir sebelum tidur (seperti tasbih, tahmid, istighfar, membaca doa sebelum tidur, ayat al-Kursi, 3 Qul) membantu mendekatkan diri kepada Allah dan membersihkan jiwa daripada perkara duniawi.

3.  Muslim yang tidur dalam keadaan berzikir kepada Allah dan suci dengan berwuduk, jika ia bangun dari tidur dan berdoa memohon kebaikan urusan dunia serta akhirat nescaya akan dimakbulkan Allah.

4.  Menurut Ibn Rajab al-Hanbali: *Waktu malam, khususnya ketika manusia lain lena, adalah antara waktu paling hampir seorang hamba dengan Allah. Doa yang lahir daripada hati yang bersih dan ikhlas di waktu ini mempunyai keistimewaan besar untuk dimakbulkan.*

5.  Latih diri untuk bangun malam walaupun hanya sekejap untuk solat sunat dan memohon kebaikan dunia dan akhirat.

Hadis ini memberikan panduan penting tentang kepentingan menjaga kesucian, zikir, dan hubungan dengan Allah sebelum tidur. Selain itu, ia mendorong umat Islam untuk memanfaatkan waktu malam sebagai peluang mendekatkan diri kepada Allah melalui doa dan ibadah. Amalan ini bukan sahaja membawa keberkatan dalam hidup, tetapi juga memastikan keseimbangan antara keperluan dunia dan akhirat. Rebutlah peluang doa mustajab di malam hari.

04hb Syaaban 1447H
23hb Januari 2026M

Wednesday, 21 January 2026

AMALAN PINTU KEBAIKAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
AMALAN PINTU KEBAIKAN
◾ Hadis:
عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
أَلَا أُخْبِرُكَ بِأَبْوَابِ الْخَيْرِ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ، وَصَلَاةُ الرَّجُلِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ
ثُمَّ تَلَا قَوْلَهُ تَعَالَى:
تَتَجَافَىٰ جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ ۝ فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
◾ Terjemahan:
Daripada Mu‘az bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda:
“Mahukah aku beritahu kepadamu pintu-pintu kebaikan? Puasa itu adalah perisai, sedekah meleburkan dosa sebagaimana air memadamkan api, dan solat seorang hamba di tengah malam.”
Kemudian baginda membaca firman Allah SWT:
“Lambung mereka jauh dari tempat tidur, mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa takut dan harapan, dan mereka menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka. Maka tidak ada satu jiwa pun yang mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka berupa penyejuk mata, sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.”
(Surah as-Sajdah: 16–17)
◾ Sumber Hadis:
Riwayat Ahmad — Isnad Hasan
◾ Pengajaran:
Rasulullah SAW menerangkan kepada umatnya beberapa amalan utama yang menjadi pintu-pintu kebaikan, iaitu puasa, sedekah dan qiamullail.
Pintu kebaikan pertama ialah ibadat puasa. Puasa berfungsi sebagai perisai yang melindungi diri daripada maksiat dan azab api neraka.
Pintu kebaikan kedua ialah sedekah. Sedekah mampu meleburkan dosa sebagaimana air memadamkan api, walaupun sedekah itu sedikit.
Pintu kebaikan ketiga ialah qiamullail. Menghidupkan malam dengan solat, doa dan munajat adalah tanda keimanan yang tinggi serta sebab dikurniakan ganjaran besar di sisi Allah SWT.
Bulan Syaaban adalah masa terbaik untuk melatih diri dengan amalan-amalan ini sebagai persediaan menyambut Ramadhan agar ibadah dapat dilakukan dengan lebih istiqamah.
◾ Penutup:
Marilah kita menghidupkan pintu-pintu kebaikan ini dengan memperbanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail agar kehidupan kita dipenuhi keberkatan serta perlindungan daripada api neraka.
◾ Tarikh:
03 Syaaban 1447H
22 Januari 2026

AMALAN DI BULAN SYAABAN UNTUK MENGHADAPI RAMADHAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
AMALAN DI BULAN SYAABAN UNTUK MENGHADAPI RAMADHAN
◾ Hadis:
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ
لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ، فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ، وَكَانَ يَقُولُ: خُذُوا مِنَ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ، فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا، وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ، وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا
◾ Terjemahan:
Daripada Abu Salamah bahawa Aisyah RA menceritakan kepadanya, katanya: Nabi Muhammad SAW tidak pernah berpuasa dalam sesuatu bulan lebih banyak daripada bulan Syaaban. Sesungguhnya baginda berpuasa hampir keseluruhan bulan Syaaban. Baginda juga bersabda: “Lakukanlah amalan sekadar kemampuan kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak jemu (memberi pahala) sehingga kamu sendiri yang menjadi jemu. Solat yang paling disukai oleh Nabi SAW ialah solat yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit.” Dan apabila baginda melakukan sesuatu solat (sunat), baginda akan berterusan melakukannya.
◾ Sumber Hadis:
Riwayat al-Bukhari — Hadis Sahih
◾ Pengajaran:
Bulan Syaaban adalah peluang terbaik untuk memperbanyakkan ibadah sunat sebagai persediaan rohani sebelum memasuki bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW melaksanakan puasa sunat paling banyak pada bulan Syaaban, menunjukkan keutamaan bulan ini sebagai bulan latihan ibadah.
Islam mengajar keseimbangan dalam beribadah; amalan dilakukan mengikut kemampuan agar tidak membawa kepada rasa jemu dan putus asa.
Amalan yang sedikit tetapi dilakukan secara berterusan lebih dicintai Allah SWT berbanding amalan yang banyak tetapi tidak konsisten.
Solat sunat yang dilakukan secara istiqamah, walaupun hanya dua rakaat, mempunyai nilai yang besar di sisi Allah SWT.
Bulan Syaaban wajar dimanfaatkan sebagai persediaan mental, fizikal dan spiritual agar kita memasuki Ramadhan dalam keadaan lebih bersedia dan berdisiplin.
◾ Penutup:
Hadis ini mengajar kita bahawa keberkesanan ibadah bukan terletak pada banyaknya amalan semata-mata, tetapi pada ketekunan dan istiqamah. Marilah kita membiasakan puasa sunat, solat sunat dan pelbagai amal soleh di bulan Syaaban ini agar ia berterusan hingga ke bulan Ramadhan.
◾ Tarikh:
02 Syaaban 1447H
21 Januari 2026

Monday, 19 January 2026

PERBANYAK PUASA SUNAT DI BULAN SYAABAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
PERBANYAK PUASA SUNAT DI BULAN SYAABAN
◾ Hadis:
عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ
كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ، وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ، كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ، كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا
◾ Terjemahan:
Daripada Abu Salamah, beliau berkata: Aku pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang puasa Rasulullah SAW. Maka beliau berkata: Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami menyangka baginda akan berpuasa berterusan, dan baginda berbuka sehingga kami menyangka baginda akan berbuka terus-menerus. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa dalam sesuatu bulan lebih banyak daripada puasanya pada bulan Syaaban. Baginda berpuasa hampir keseluruhan bulan Syaaban, kecuali beberapa hari sahaja.
◾ Sumber Hadis:
Riwayat Muslim — Hadis Sahih
◾ Pengajaran:
Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Syaaban, kecuali beberapa hari di penghujungnya.
Bulan Syaaban merupakan bulan yang paling banyak Rasulullah SAW berpuasa sunat berbanding bulan-bulan lain.
Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, Syaaban ialah bulan persediaan rohani sebelum masuk bulan Ramadhan. Puasa pada bulan ini melatih jiwa dan jasad agar lebih bersedia menyambut Ramadhan.
Apabila bulan Syaaban telah tiba, umat Islam disarankan mengambil peluang untuk meningkatkan amalan puasa sunat sebagai persiapan menghadapi Ramadhan.
Orang yang berpuasa mempunyai kelebihan doa yang mustajab, sebagaimana sabda Nabi SAW:
◾ Hadis Sokongan:
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa orang yang dizalimi.”
◾ Sumber: Riwayat Ibn Majah — Hadis Hasan
◾ Penutup:
Marilah kita memperbanyakkan puasa sunat di bulan Syaaban sebagai latihan dan persediaan rohani sebelum memasuki bulan Ramadhan yang penuh keberkatan.
◾ Tarikh:
01 Syaaban 1447H
20 Januari 2026

Sunday, 18 January 2026

SYAABAN DAN PUASA SUNAT

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
SYAABAN DAN PUASA SUNAT
عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ؟ قَالَ: ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ.
Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: Aku bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, aku tidak melihat engkau berpuasa pada mana-mana bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Syaaban.”
Baginda bersabda: “Itulah bulan yang sering manusia lalai, antara Rejab dan Ramadhan. Ia juga bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku suka amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.”
Sumber: Sunan an-Nasa’i (No. 2317)
Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat pada bulan Syaaban.
Syaaban ialah bulan yang sering dilalaikan manusia kerana berada antara Rejab dan Ramadhan.
Disunatkan memperbanyakkan ibadah sebagai persiapan menyambut Ramadhan.
Tarikh:
29 Rejab 1447H
19 Januari 2026

SOLAT AMALAN PERTAMA DIHISAB

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ ◾
SOLAT AMALAN PERTAMA DIHISAB
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ، فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ، قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكْمَلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيضَةِ، ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya amalan pertama yang dihisab terhadap seorang hamba pada hari kiamat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka dia telah berjaya dan beruntung. Jika solatnya rosak, maka dia telah rugi dan kecewa. Jika terdapat kekurangan pada solat fardunya, Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: ‘Lihatlah, adakah hamba-Ku mempunyai solat sunat untuk melengkapkan kekurangan solat fardunya itu.’ Kemudian seluruh amalan yang lain akan dihisab dengan cara yang demikian.” ◾
Riwayat: Sunan al-Tirmizi (No. 413)
Status: Hadis Hasan ◾
Pengajaran:
◾ 1. Solat adalah ibadah paling utama dan amalan pertama yang menjadi penentu kejayaan atau kegagalan di akhirat.
◾ 2. Imam al-Munawi menjelaskan bahawa jika solat diterima, maka Allah akan mempermudahkan hisab amalan-amalan lain.
◾ 3. Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah menegaskan bahawa sesiapa yang meninggalkan keseluruhan solat fardu, maka amalan-amalan lain tidak diterima kerana solat ialah tiang agama.
◾ 4. Meninggalkan solat merupakan dosa besar. Menurut mazhab al-Syafi‘i, orang yang meninggalkan solat kerana malas tetapi tidak mengingkari kewajipannya dikira fasik dan wajib bertaubat serta menggantikannya.
◾ 5. Solat-solat sunat berfungsi sebagai pelengkap kepada kekurangan dalam solat fardu.
◾ 6. Hadis ini menzahirkan keadilan dan rahmat Allah SWT apabila amalan sunat diberikan peranan menyempurnakan ibadah wajib. ◾
28 Rejab 1447H
18 Januari 2026M

Saturday, 17 January 2026

Israk Mikraj Membawa Beberapa Mesej Utama (pengajaran besar)

Israk Mikraj membawa beberapa mesej utama (pengajaran besar) dalam kehidupan umat Islam, antaranya:
1. *Kepentingan solat*
Solat lima waktu adalah perintah langsung daripada Allah tanpa perantaraan malaikat. Ia menunjukkan solat sebagai tiang agama dan hubungan utama hamba dengan Allah.
2. *Keimanan kepada perkara ghaib*
Peristiwa ini menguji keimanan—percaya kepada kekuasaan Allah walaupun di luar logik akal manusia.
3. *Kedudukan Rasulullah ﷺ sebagai utusan Allah*
Israk Mikraj memuliakan Rasulullah ﷺ dan mengukuhkan peranan Baginda sebagai pemimpin para nabi.
4. *Kesabaran selepas ujian*
Peristiwa ini berlaku selepas tahun kesedihan (‘Aamul Huzn’), memberi mesej bahawa selepas kesusahan ada pertolongan dan kemuliaan daripada Allah.
5. *Disiplin dan tanggungjawab hidup*
Solat yang konsisten melahirkan disiplin, akhlak mulia, dan mencegah kemungkaran.
6. *Hubungan dunia dan akhirat Israk* (perjalanan di bumi) dan Mikraj (naik ke langit) mengingatkan bahawa kehidupan dunia dan akhirat saling berkait.
Kesimpulan ringkas:
👉 Israk Mikraj mengajak umat Islam memperkukuh iman, menjaga solat, bersabar dalam ujian, dan yakin kepada kekuasaan Allah.

Friday, 16 January 2026

MEMBANGUN DAN MENGIMARAHKAN MASJID

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
MEMBANGUN DAN MENGIMARAHKAN MASJID
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يُذْكَرُ فِيهِ اسْمُ اللَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ
Daripada Umar bin al-Khattab RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa membangunkan sebuah masjid yang disebut di dalamnya nama Allah, maka Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di syurga.”
Sumber: Sunan Ibnu Majah, No. 727
Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
◾1. Allah menjanjikan ganjaran yang sangat besar kepada sesiapa yang membina masjid dengan niat ikhlas kerana Allah semata-mata.
◾2. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, maksud “membangunkan masjid” merangkumi:
◾◾a. Membina secara fizikal dari segi struktur dan bangunan.
◾◾b. Menyumbang harta, tanah, tenaga atau kepakaran.
◾◾c. Membantu pemulihan, pembesaran dan penyelenggaraan masjid.
◾3. Golongan ini tergolong sebagai pemakmur masjid Allah. Firman Allah SWT:
◾◾إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ
◾◾“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat…”
◾◾(Surah at-Taubah: 18)
◾4. Ibnu al-Jauzi dalam Zaadul Masiir menjelaskan bahawa memakmurkan masjid bermaksud:
◾◾a. Sentiasa mendatangi masjid dan beribadah di dalamnya.
◾◾b. Membina serta memperbaiki masjid.
◾5. Masjid perlu dibangunkan dari sudut fizikal dan rohaninya melalui program dan aktiviti yang mendekatkan diri kepada Allah.
◾6. Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika hijrah ialah membina masjid, bermula dengan Masjid Quba dan diikuti Masjid Nabawi.
◾7. Jangan jadikan masjid seperti gajah putih — indah binaannya tetapi kosong pengimarahan dan hidayah.
27 Rejab 1447H
17 Januari 2026M

Thursday, 15 January 2026

MASJID SEBAGAI RUMAH ORANG BERTAQWA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
◾◾
MASJID SEBAGAI RUMAH ORANG BERTAQWA
◾◾
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
اَلْمَسْجِدُ بَيْتُ كُلِّ تَقِيٍّ، وَتَكَفَّلَ اللَّهُ لِمَنْ كَانَ الْمَسْجِدُ بَيْتَهُ بِالرَّوْحِ وَالرَّحْمَةِ، وَالْجَوَازِ عَلَى الصِّرَاطِ إِلَى رِضْوَانِ اللَّهِ إِلَى الْجَنَّةِ
◾◾
Daripada Abu Darda’ RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Masjid adalah rumah bagi setiap orang yang bertaqwa. Allah menjamin bagi sesiapa yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan ketenangan jiwa, rahmat-Nya serta kemudahan melintasi titian sirat menuju keredaan Allah ke dalam syurga.”
◾◾
Riwayat: al-Tabrani dalam al-Mu‘jam al-Kabir
Status: Hasan li ghairihi
◾◾
PENGAJARAN
◾◾
Masjid ialah pusat ibadah dan lambang ketakwaan; orang yang memakmurkannya menunjukkan keimanan yang kukuh kepada Allah SWT.
◾◾
Jadikan masjid sebagai rumah kedua yang sentiasa diziarahi khususnya pada waktu solat fardu.
◾◾
Allah SWT menjanjikan ganjaran istimewa bagi mereka yang menjadikan masjid sebagai tempat ibadah tetap:
◾ Ketenangan jiwa dan ketenteraman hati
◾ Rahmat, keampunan serta keberkatan hidup
◾ Kemudahan melintasi titian sirat
◾◾
Masjid mendidik jiwa, menguatkan iman dan menjauhkan hati daripada kelalaian dunia.
◾◾
Kerap ke masjid adalah tanda keimanan, sebagaimana sabda Nabi SAW:
◾◾
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسَاجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ
◾◾
“Apabila kamu melihat seseorang lelaki sentiasa mengunjungi masjid, maka saksikanlah bahawa dia seorang yang beriman.”
Riwayat: Ibn Majah (No. 794) – Hasan
◾◾
26 Rejab 1447H
16 Januari 2026M

Wednesday, 14 January 2026

PENGUNJUNG MASJID DIJANJIKAN TEMPAT TINGGAL DI SYURGA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
PENGUNJUNG MASJID DIJANJIKAN TEMPAT TINGGAL DI SYURGA
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ وَرَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ نُزُلَهُ مِنَ الْجَنَّةِ كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ
Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
“Sesiapa yang pergi ke masjid pada waktu pagi atau petang, Allah akan menyediakan baginya tempat tinggal di syurga setiap kali dia pergi dan pulang ke masjid.”
Sumber: Sahih al-Bukhari, Hadis No. 662
Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
◾1. Peristiwa Isra’ dan Mikraj yang berlaku pada bulan Rejab, bermula dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa, mengingatkan umat Islam tentang kemuliaan masjid serta bermulanya kewajipan solat fardhu.
◾2. Allah SWT mencintai hamba-Nya yang menjadikan masjid sebagai pusat ibadah dan kehidupan. Pergi dan pulang ke masjid secara konsisten, khususnya untuk solat fardhu dan majlis ilmu, melambangkan sifat istiqamah yang membawa keberkatan hidup.
◾3. Hadis ini menunjukkan betapa besar dan mudahnya ganjaran Allah. Setiap langkah ke masjid bukan sekadar menunaikan kewajipan, bahkan menjadi sebab disediakan tempat tinggal yang baik di syurga.
◾4. Antara golongan yang mendapat naungan Allah pada hari kiamat ialah lelaki yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ … وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالْمَسَاجِدِ
“Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah … antaranya lelaki yang hatinya sentiasa tertambat pada masjid.”
(Sahih al-Bukhari, Hadis No. 660)
◾5. Menjadi tanggungjawab khususnya kaum lelaki untuk mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah, majlis ilmu dan aktiviti bermanfaat.
25 Rejab 1447H
15 Januari 2026M

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...