Wednesday, 7 October 2026

Demam Mengampunkan Dosa

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

 Demam Mengampunkan Dosa
 

عَنْ جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَى أُمِّ السَّائِبِ أَوْ أُمِّ الْمُسَيَّبِ فَقَالَ مَا لَكِ يَا أُمَّ السَّائِبِ أَوْ يَا أُمَّ الْمُسَيَّبِ تُزَفْزِفِينَ قَالَتْ الْحُمَّى لَا بَارَكَ اللَّهُ فِيهَا فَقَالَ لَا تَسُبِّي الْحُمَّى فَإِنَّهَا تُذْهِبُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ كَمَا يُذْهِبُ الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ
 
_*Daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW datang menemui Ummu Saib atau Ummu Musayyab, lalu baginda bertanya: "Sakit apa kamu sampai menggigil begitu?" Jawab Ummu Saib; "Demam! Semoga Allah tidak memberkatinya." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu menyalahkan penyakit, kerana sesungguhnya penyakit itu dapat menghapuskan dosa-dosa anak Adam, sebagaimana alat peniup atau penyala api tukang besi membersihkan karat daripada besi."*_ (HR Muslim No: 4672) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.  Menziarahi orang sakit merupakan sunnah Rasulullah SAW. Baginda sendiri mendatangi dan bertanya keadaan orang yang sakit.
 
2.  Setiap Muslim yang diuji dengan sebarang penyakit seperti demam, perlu bersabar dan reda di atas penyakit yang dihadapi.
 
3.  Janganlah menyalahkan penyakit atau merunggut dengan penyakit yang dihidapi.
 
4.  Ujian penyakit seperti demam ke atas anak Adam akan menjadi penghapus dosa-dosanya seperti kir (sejenis bahan) membersihkan karat besi.
 
5.  Mengadu sakit tidak  dengan sifat sabar. Yang ditegah ialah mencela dan menunjukkan sikap tidak reda terhadap ketentuan Allah. Seseorang boleh memberitahu doktor dan keluarganya tentang kesakitan yang dialami.
 
6.  Orang yang menziarahi pesakit hendaklah membina harapan. Jangan menakut-nakutkan pesakit dengan cerita kematian atau pengalaman buruk orang lain.
 
7.  Penyakit boleh menjadi medan tarbiah. Ia mengajar manusia tentang kelemahan dirinya, nilai kesihatan, kebergantungan kepada Allah dan hakikat kehidupan dunia.
 
26hb Rabiulakhir 1448H
08hb Oktober 2026M

Penyakit Mengangkat Darjat dan Menghapus Dosa

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Penyakit Mengangkat Darjat dan Menghapus Dosa*
 
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً
 
_*Daripada 'Aisyah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Mukmin ditimpa sesuatu kesakitan (musibah), walaupun hanya tertusuk duri atau yang lebih daripada itu, melainkan Allah mengangkat dengannya satu darjat baginya atau menghapuskan daripadanya satu kesalahan.*_ (HR Muslim No: 4665) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.  Islam mengajar umatnya bersabar diatas setiap ujian atau musibah yang dilaluinya.

2. Tiada kesakitan seorang Mukmin yang sia-sia. Bahkan kesakitan sekecil tercucuk duri mempunyai nilai di sisi Allah.
 
3. Allah mendatangkan musibah kepada seseorang dalam pelbagai bentuk antaranya kesakitan, untuk mengangkat darjat atau kedudukan seseorang di sisi Allah
 
4. Allah mendatangkan musibah atau ujian dalam bentuk kesakitan juga bertujuan untuk menghapuskan dosa seseorang.
 
5. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini merupakan dalil bahawa penyakit, kesakitan dan musibah yang menimpa seseorang mempunyai kelebihan berupa penghapusan dosa dan peningkatan kedudukan.
 
6. Jangan cepat bersangka buruk kepada Allah ketika ditimpa sakit. Apa yang dirasakan sebagai penderitaan mungkin sedang menjadi proses penyucian diri.
 
7. Orang yang ditimpa musibah seperti penyakit, akan digugurkan segala dosa seperti dedaun berguguran kecuali dosa besar seperti dosa syirik
 
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى شَوْكَةٌ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا
 
*Tidaklah seorang muslim yang tertimpa suatu musibah (penyakit) atau yang lain, melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya sebagaimana pohon menggugurkan dedaunannya."* (HR Bukhari No: 5216) Status Hadis Sahih
 
8. Sabar bukan bererti tidak boleh mengadu sakit. Seseorang boleh memberitahu doktor atau keluarganya tentang kesakitan untuk mendapatkan bantuan. Yang perlu dijaga ialah jangan sampai mengeluh dengan cara mempersoalkan keadilan dan ketentuan Allah.
 
25hb Rabiulakhir 1448H
07hb Oktober 2026M

Monday, 5 October 2026

Doa Penyembuhan Pesakit

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Doa Penyembuhan Pesakit
 
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَحْضُرْ أَجَلُهُ فَقَالَ عِنْدَهُ سَبْعَ مِرَارٍ أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ إِلَّا عَافَاهُ اللَّهُ مِنْ ذَلِكَ الْمَرَضِ
 
Daripada Ibnu Abbas RA daripada Nabi SAW baginda berkata: Barang siapa yang menziarahi orang sakit yang belum tiba ajalnya kemudian ia membacakan (doa) di sebelahnya sebanyak tujuh kali: AS ALULLAAHAL 'AZHIIM RABBAL 'ARSYIL 'AZHIIM AN YASYFIYAKA (Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang Agung semoga Dia menyembuhkanmu), nescaya Allah akan menyembuhkannya dari penyakit tersebut. (HR Abu Daud No: 2700) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Menziarahi orang sakit merupakan sunnah yang sangat dituntut dan termasuk dalam hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain.
 
2.    Antara adab orang yang menziarahi pesakit ialah mendoakannya.
 
3.    Barang siapa membacakan doa ini sebanyak 7 kali kepada pesakit yang belum sampai ajalnya, nescaya Allah akan menyembuhkan penyakitnya:
 
أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ
 
(Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang Agung semoga Dia menyembuhkanmu)
 
4.    Doa dan rawatan perubatan tidak bercanggah. Kita boleh membaca doa tujuh kali sambil mendapatkan pemeriksaan doktor dan mengambil ubat yang sesuai.
 
5.    Ziarah orang yang sakit sepatutnya membawa harapan, bukan ketakutan. Elakkan menceritakan kisah penyakit yang menakutkan di hadapan pesakit. Sebaliknya, berikan kata-kata yang menenangkan dan mendoakannya.
  
24hb Rabiulakhir 1448H
06hb Oktober 2026
 

Doa Menziarahi Pesakit

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Doa Menziarahi Pesakit*
 
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ لِلْمَرِيضِ بِسْمِ اللَّهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا بِرِيقَةِ بَعْضِنَا يُشْفَى سَقِيمُنَا بِإِذْنِ رَبِّنَا
 
_*Daripada Aisyah RA bahawa Nabi SAW apabila merawat orang sakit, baginda mendoakan dengan membaca: BISMILLAHI TURBATU ARDHINA BI RIIQATI BA'DHINA YUSYFAA SAQIIMUNA BI IDZNI RABBINA (Dengan nama Allah. Tanah bumi kami, dengan air liur sebahagian daripada kami; semoga orang sakit dalam kalangan kami disembuhkan dengan izin Tuhan kami)."*_ (HR Bukhari No: 5304) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Antara tanggungjawab Muslim ialah menziarahi orang yang sakit
 
2.    Antara sunnah Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit ialah mendoakan pesakit.
 
3.    Antara doa yang boleh dibaca kepada pesakit:
 
بِسْمِ اللَّهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا بِرِيقَةِ بَعْضِنَا يُشْفَى سَقِيمُنَا بِإِذْنِ رَبِّنَا
 
*(Dengan nama Allah. Tanah bumi kami, dengan air liur sebahagian daripada kami; semoga orang sakit dalam kalangan kami disembuhkan dengan izin Tuhan kami)*
 
4.    Islam menggabungkan doa, ikhtiar dan tawakal. Mendapatkan rawatan perubatan sebagai ikhtiar tidak bercanggah dengan tawakal kepada Allah.
 
5.    Imam al-Nawawi ketika menghuraikan hadis ini menjelaskan bahawa ia merupakan dalil tentang keharusan melakukan ruqyah atau rawatan menggunakan ayat al-Quran, zikir dan doa yang disyariatkan.
 
6.    Ruqyah mesti bebas daripada unsur syirik dan khurafat. Tidak boleh menggunakan jampi yang tidak difahami, meminta bantuan jin atau mempercayai benda tertentu mempunyai kuasa ghaib dengan sendirinya.
 
23hb Rabiulakhir 1448H
05hb Oktober 2026M

Saturday, 3 October 2026

Sakit dan Kesusahan Penghapus Dosa

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Sakit dan Kesusahan Penghapus Dosa*
 
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مَرَضٍ أَوْ وَجَعٍ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ إِلَّا كَانَ كَفَّارَةً لِذَنْبِهِ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا أَوْ النَّكْبَةِ يُنْكَبُهَا
 
_*Daripada Aisyah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidak ada suatu penyakit atau kesusahan yang menimpa seorang mukmin melainkan ia menjadi penghapus dosa baginya, sehingga duri yang menusuknya atau batu yang ia tersandung kerananya."*_ (HR Ahmad No: 24173) Status: Isnad Hasan
 
*Pengajaran:*
 
1.    Setiap kebaikan dan keburukan yang menimpa seorang mukmin ada hikmah disebaliknya.
 
2.    Penyakit atau kesusahan yang menimpa ke atas seorang mukmin bertujuan untuk mengampunkan dosa dan meninggikan darjat.
 
3.    Termasuklah musibah yang kecil seperti duri yang mencucuk ataupun kaki yang tersepak batu – juga menjadi penghapus dosa dengan syarat ia reda dan bersabar.
 
4.    Sabar dan mengharapkan pahala ketika sakit mempunyai kedudukan yang besar.
 
5.    Bersabar dan reda di atas sebarang kesusahan dan kesakitan yang menimpa adalah dituntut dan ia menjadi penghapus dosa-dosa kita.
 
21hb Rabiulakhir 1448H
03hb Oktober 2026M

Friday, 2 October 2026

Zikir Yang Mengampunkan Dosa

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

 
*Zikir Yang Mengampunkan Dosa*
 
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَارَّ مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَ حِينَ يَسْتَيْقِظُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ ثُمَّ دَعَا رَبِّ اغْفِرْ لِي غُفِرَ لَهُ قَالَ الْوَلِيدُ أَوْ قَالَ دَعَا اسْتُجِيبَ لَهُ فَإِنْ قَامَ فَتَوَضَّأَ ثُمَّ صَلَّى قُبِلَتْ صَلَاتُهُ
 
_*Daripada Ubadah bin Shamit RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa terjaga di malam hari, dan ketika terjaga ia mengucapkan kalimah; "Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya serta kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Agung." Kemudian dia berdoa; "Wahai Tuhanku, ampunilah aku." Nescaya ia akan di ampunkan." Al Walid berkata; Baginda bersabda: "Jika ia berdoa, nescaya doanya akan di perkenankan. Dan jika ia bangun, berwuduk lalu menunaikan solat, maka solatnya pasti diterima."*_ (HR Ibnu Majah No: 3868) Status: Hadis Sahih
 
 
*Pengajaran:*
 
1.    Waktu terjaga pada malam hari merupakan peluang besar untuk berzikir dan berdoa.
 
2.    Jangan mensia-siakan detik terjaga malam hari dengan perkara yang tidak bermanfaat.
 
3.    Barang siapa terjaga dari tidur di malam hari lalu membaca zikir ini dan diikuti dengan doa mohon keampunan, Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Zikir tersebut :
 
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

*"Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya serta kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Agung."*
 
Kemudian dia berdoa:
 
رَبِّ اغْفِرْ لِي
*Ya Allah, ampunilah aku*
 
Allah akan mengampuni dosa-dosanya.
 
4.    Jika seseorang membaca zikir tersebut dan berdoa, nescaya doanya akan di kabulkan.
 
5.    Jika ia bangun untuk berwuduk kemudian menunaikan solat sunat, maka solatnya pasti diterima. Jika ia berdoa, nescaya doanya akan di perkenankan.
 
6.    Hadis ini memberikan khabar gembira tentang keampunan dan penerimaan doa bagi mereka yang terjaga dari tidur di malam hari.
 
7.    Jadikanlah kebiasaan lisan kita untuk berzikir ketika terjaga dari tidur di malam hari, beristighfar memohon ampun, berwuduk 

 menunaikan solat sunat serta berdoa. Semoga hubungan kita dengan Allah sentiasa terpelihara.
 
20hb Rabiulakhir 1448H
02hb Oktober 2026M

Wednesday, 30 September 2026

Doa Ketika Awan Mendung Berarak dan Hujan Turun

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Doa Ketika Awan Mendung Berarak dan Hujan Turun
 
عَنْ الْمِقْدَامِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ عَائِشَةَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى سَحَابًا مُقْبِلًا مِنْ أُفُقٍ مِنْ الْآفَاقِ تَرَكَ مَا هُوَ فِيهِ وَإِنْ كَانَ فِي صَلَاتِهِ حَتَّى يَسْتَقْبِلَهُ فَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ فَإِنْ أَمْطَرَ قَالَ اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةً وَإِنْ كَشَفَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَمْ يُمْطِرْ حَمِدَ اللَّهَ عَلَى ذَلِكَ
 
Daripada Al-Miqdam dari ayahnya bahawa Aisyah RA telah mengkhabarkan kepadanya: Sesungguhnya Nabi SAW apabila melihat awan gelap yang bergerak dari satu ufuk (kaki langit) di antara ufuk yang tinggi, maka baginda meninggalkan semua kegiatannya termasuk solat sunat, sehingga Baginda menghadap ke arahnya lalu berdoa: " Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada keburukan yang dibawa bersamanya." Jika hujan turun, maka baginda berdoa: Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) bermanfaat  (penuh keberkatan)." (baginda membacanya) dua kali atau tiga kali. Dan jika Allah Azza Wa Jalla menghilangkan awan tersebut dan hujan tidak jadi turun, maka baginda (bersyukur) memuji Allah atas semua itu." (HR Ibnu Majah No: 3879)  Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Setiap peristiwa yang berlaku seperti awan mendung yang berarak dan hujan yang turun adalah ketentuan dan ketetapan dari Allah
 
2.    Rasulullah SAW  mengajar kita berdoa apabila melihat awan mendung yang berarak agar jauh dari musibah:
 
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ
“Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada keburukan yang dibawa bersamanya”
 
3.    Rasulullah SAW  juga mengajar kita berdoa apabila hujan turun agar ia bermanfaat.
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) bermanfaat (penuh keberkatan).
 
4.    Kita bukan hanya meminta sesuatu yang banyak, tetapi meminta agar ia bermanfaat dan memohon perlindungan daripada mudaratnya.
 
5.    Bersyukur bukan sahaja atas nikmat yang Allah berikan, tetapi juga atas keburukan yang Allah hindarkan.
 
6.    Tidak semua nikmat Allah datang dalam bentuk sesuatu yang diberikan kepada kita. Ada nikmat yang datang dalam bentuk sesuatu yang Allah jauhkan daripada kita.
 
7.    Mukmin tidak hanya mengingati Allah ketika ditimpa musibah. Ketika melihat tanda-tandanya dia berdoa, ketika menerima nikmat dia berharap keberkatannya, dan ketika bahaya berlalu, dia bersyukur.
 
Amalkanlah bacaan doa apabila nampak awan mendung dan hujan turun.
  
19hb Rabiulakhir 1448H
01hb Oktober 2026
 

Doa Penutup Majlis (Kaffaratul Majlis

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

 Doa Penutup Majlis (Kaffaratul Majlis)
 

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ بِأَخَرَةٍ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَقُومَ مِنْ الْمَجْلِسِ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ لَتَقُولُ قَوْلًا مَا كُنْتَ تَقُولُهُ فِيمَا مَضَى فَقَالَ كَفَّارَةٌ لِمَا يَكُونُ فِي الْمَجْلِسِ
 
Daripada Abu Barzah Al Aslami RA beliau berkata: "Ketika akan mengakhiri majlis, apabila Rasulullah SAW hendak bangun meninggalkan sesuatu majlis, Baginda biasa akan mengucapkan: "'SUBHANAKALLAH HUMMA WA BIHAMDIKA ASHADUAL LAA ILAAHA ILLA ANTA ASTAGHFIRUKA WA ATUUBU ILAIKA (‘Maha Suci Engkau, ya Allah, dan segala puji bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Aku memohon keampunan-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.’)." Seorang lelaki lalu bertanya: " Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau mengucapkan suatu ucapan yang sebelum ini tidak biasa engkau ucapkan" Baginda bersabda: "Itu sebagai penebus dosa yang terjadi sepanjang dalam majlis tersebut." (HR Abu Daud : 4217)  Status: Hasan Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Iringi setiap perkara yang kita lakukan dengan zikir atau doa kepada Allah
 
2.    Setiap pertemuan manusia, berpotensi mengandungi kekurangan dan kesalahan.
 
3.    Rasulullah SAW mengakhiri sesuatu majlis atau pertemuan dengan bacaan kaffaratul majlis (doa penutup majlis):
 
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ
 
(‘Maha Suci Engkau, ya Allah, dan segala puji bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Aku memohon keampunan-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.’)
 
4.    Kaffarah Majlis ialah doa yang dibaca untuk memohon Allah mengampunkan kesalahan dan kekurangan yang berlaku sepanjang sesuatu majlis.
 
5.    Orang yang mengakhiri pertemuan atau majlis dengan doa kafaratul majlis di atas, nescaya ia menjadi penebus dosa (kecil) yang terjadi selama berada di majlis tersebut.
 
6.    Orang Mukmin bukan hanya beristighfar selepas melakukan dosa; dia juga beristighfar selepas melakukan kebaikan kerana menyedari bahawa kebaikannya masih mempunyai kekurangan.
 
7.    Sunnah mengajar kita menutup majlis dengan tauhid, tasbih, tahmid, istighfar dan taubat.
 
8.    Bacaan doa penutup majlis ini sangat sesuai dibudayakan apabila mengakhiri mesyuarat, usrah, kuliah, perbincangan keluarga dan pertemuan sosial.
  
18hb Rabiulakhir 1448H
30hb September 2026
 

Tuesday, 29 September 2026

Doa Keluar Rumah Dan Dilindungi Dari Syaitan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Doa Keluar Rumah Dan Dilindungi Dari Syaitan
 
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، قَالَ: يُقَالُ حِينَئِذٍ: هُدِيتَ، وَكُفِيتَ، وَوُقِيتَ، فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ، فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ: كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ؟
 
Daripada Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang keluar dari rumahnya kemudian dia membaca doa: 'BISMILLAHI TAWAKKALTU 'ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah), Baginda bersabda: "Maka pada saat itu dikatakan kepadanya: Engkau telah diberi petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan (perlindungan), hingga syaitan-syaitan menjauhi darinya. Lalu syaitan yang lain berkata kepada temannya: Bagaimana engkau dapat mengganggu seseorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan dilindungi?." (HR Abu Daud No: 4431) Status: Syeikh Abdul Haqq al-Isybili kata sanadnya sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Antara sunnah apabila keluar rumah ialah dimulai dengan zikir dan doa.
 
2.    Setiap aktiviti sebaiknya dimulakan dengan mengingati Allah SWT
 
3.    Kita memerlukan perlindungan Allah daripada bahaya yang diketahui dan tidak diketahui.
 
4.    Zikrullah merupakan antara benteng daripada gangguan syaitan.
 
5.    Rasulullah SAW  mengajar antara doa apabila keluar rumah:
 
بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
 
‘Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.’
 
6.    Barang siapa membaca doa di atas ketika keluar rumah dia akan mendapat petunjuk, dicukupkan keperluannya serta akan mendapat penjagaan (perlindungan), di samping  syaitan akan menjauhi darinya
 
Semoga kita sentiasa membaca doa dan berzikir ini ketika keluar rumah untuk sebarang urusan yang dibenarkan.
  
17hb Rabiulakhir 1448H
29hb September 2026

Sunday, 27 September 2026

Doa Keluar Rumah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Doa Keluar Rumah
 
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ مِنْ مَنْزِلِهِ قَالَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ
 
Daripada Ummu Salamah RA bahawa apabila Nabi SAW keluar dari rumahnya, baginda berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada tersesat atau disesatkan, tergelincir atau digelincirkan, menzalimi atau di zalimi, dan  bertindak bodoh mahupun di bodohkan." (HR Ibnu Majah No: 3874) Status: Hadis Sahih.
 
Pengajaran:
 
1.     Disunatkan membaca doa ketika keluar rumah dan menyerahkan diri kepada perlindungan Allah.
 
2.     Dalam kehidupan hari ini, seseorang boleh terpengaruh dengan maklumat palsu, pemikiran yang salah, hawa nafsu, tekanan kelompok atau pengaruh media.
 
3.     Seorang Mukmin perlu memohon perlindungan daripada kesesatan pemikiran dan tindakan.
 
4.     Kita perlu berhati-hati daripada kesalahan dan keterlanjuran, sama ada berpunca daripada diri sendiri atau pengaruh orang lain.
 
5.     Takutlah menzalimi sebagaimana kita takut dizalimi.
 
6.     Jangan hanya meminta Allah melindungi kita daripada manusia yang buruk; mintalah juga agar Allah tidak membiarkan kita menjadi manusia yang buruk kepada orang lain.
 
7.     Antara doa ketika keluar rumah yang diajar oleh Rasulullah SAW ialah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada tersesat atau disesatkan, tergelincir atau digelincirkan, menzalimi atau di zalimi, dan  bertindak bodoh mahupun di bodohkan

Semoga kita dapat mengamalkan doa ini ketika keluar rumah
 
16hb Rabiulakhir 1448H
28hb September 2026
 

Saturday, 26 September 2026

Doa Yang Mencukupi Urusan Agama dan Dunia

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Doa Yang Mencukupi Urusan Agama dan Dunia*
 
حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ أَنْبَأَنَا أَبُو مَالِكٍ سَعْدُ بْنُ طَارِقٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ أَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ أَقُولُ حِينَ أَسْأَلُ رَبِّي قَالَ قُلْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي وَجَمَعَ أَصَابِعَهُ الْأَرْبَعَ إِلَّا الْإِبْهَامَ فَإِنَّ هَؤُلَاءِ يَجْمَعْنَ لَكَ دِينَكَ وَدُنْيَاكَ
 
_*Telah menceritakan kepada kami Yazid bin Harun telah memberitakan kepada kami Abu Malik Sa'd bin Thariq dari ayahnya bahawa dia mendengar Nabi SAW telah di kunjungi oleh seseorang laki-laki sambil bertanya; "Wahai Rasulullah, apa yang patut aku ucapkan ketika aku memohon kepada Tuhanku?" Baginda menjawab: "Ucapkanlah; Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, berikan kepadaku kesejahteraan dan kurniakanlah rezeki kepadaku." Kemudian baginda merapatkan keempat jari tangannya kecuali ibu jari lalu bersabda: "Sesungguhnya perkara-perkara tersebut akan mencukup (kebaikan) bagi agama dan duniamu."*_ (HR Ibnu Majah No: 3835)  Status: Hadis Sahih.
 
*Pengajaran:*
 
1.    Berdoa adalah tuntutan seorang Muslim dan menjadi tanda kebergantungan kita kepada Allah.
 
2.    Kita sentiasa bergantung kepada keampunan dan rahmat Allah, walaupun banyak melakukan amal soleh.
 
3.    Kita mendambakan ‘Afiyah yang merangkumi keselamatan dan kesejahteraan daripada segala keburukan pada agama, tubuh badan, keluarga, harta dan kehidupan. Ia antara nikmat yang sangat besar dan sewajarnya selalu diminta.
 
4.    Kita juga mengharapkan rezeki yang melimpah. Rezeki bukan hanya wang, tetapi segala pemberian Allah yang membawa manfaat antaranya ilmu yang bermanfaat, pasangan yang baik, anak yang soleh, sahabat yang baik, kesihatan, masa yang berkat, pekerjaan yang halal, ketenangan hati dan peluang melakukan amal soleh.
 
5.    Rasulullah SAW menggalakkan doa yang ringkas tetapi menyeluruh, mencukupi untuk urusan agama dan dunia, antara doanya:
 
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي
 
*Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, berikan kepadaku kesejahteraan dan kurniakanlah rezeki kepadaku*
 
Hadis ini menunjukkan kelebihan doa yang ringkas ini tetapi menghimpunkan keperluan asas seluruh kehidupan manusia iaitu keampunan dari dosa, rahmat kebaikan, selamat sejahtera juga kurniaan rezeki.
 
15hb Rabiulakhir 1448H
27hb September 2026M

Doa Yang Mencakupi Segala Hajat

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*
 
*Doa Yang Mencakupi Segala Hajat*
 
عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ أَبَا بَكْرٍ دَخَلَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَرَادَ أَنْ يُكَلِّمَهُ وَعَائِشَةُ تُصَلِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْكِ بِالْكَوَامِلِ أَوْ كَلِمَةً أُخْرَى فَلَمَّا انْصَرَفَتْ عَائِشَةُ سَأَلَتْهُ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ لَهَا قُولِي اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ مِنْ الْخَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَرَسُولُكَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَسْتَعِيذُكَ مِمَّا اسْتَعَاذَكَ مِنْهُ عَبْدُكَ وَرَسُولُكَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَسْأَلُكَ مَا قَضَيْتَ لِي مِنْ أَمْرٍ أَنْ تَجْعَلَ عَاقِبَتَهُ رَشَدًا
 
_*Daripada Aisyah RA bahawa Abu Bakar pernah menemui Rasulullah SAW dan ia ingin mengajak baginda berbincang-bincang sedang Aisyah sedang solat. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Berpeganglah dengan doa-doa yang sempurna dan menyeluruh". Apabila Aisyah selesai solatnya, dia bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai perkara tersebut (doa yang sempurna dan menyeluruh) itu kepada baginda. Baginda bersabda: “Bacalah; Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu segala kebaikan di dunia dan akhirat, yang segera mahupun yang kemudian, yang aku ketahui mahupun yang tidak aku ketahui. Aku berlindung dengan-Mu daripada segala keburukan, yang segera mahupun yang kemudian, yang aku ketahui mahupun yang tidak aku ketahui. Aku memohon kepada-Mu syurga dan segala perkataan atau amalan yang mendekatkan kepadanya. Aku berlindung dengan-Mu daripada neraka dan segala perkataan atau amalan yang mendekatkan kepadanya. Aku memohon kepada-Mu segala kebaikan yang pernah dimohon oleh hamba-Mu dan Rasul-Mu Muhammad SAW, dan aku memohon perlindungan-Mu daripada segala perkara yang hamba-Mu dan Rasul-Mu Muhammad SAW pernah memohon perlindungan-Mu daripadanya. Dan aku memohon kepada-Mu agar apa sahaja urusan yang Engkau tetapkan untukku, Engkau jadikan kesudahannya sebagai petunjuk dan kebaikan.”*_ (HR Ahmad No: 23984) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran*
 
1.    Setiap kita dituntut memohon dan berdoa kepada Allah dalam setiap masa.
 
2.    Mohonlah semua kebaikan dunia dan akhirat, bukan hanya keperluan dunia atau yang kita ketahui sahaja. Mohon juga syurga bersama jalan menuju ke syurga.
 
3.    Mohonlah perlindungan daripada keburukan yang diketahui dan tidak diketahui. Juga perlindungan daripada neraka bersama jalan yang membawa kepadanya.
 
4.    Rasulullah SAW mengajar kepada Aisyah satu doa yang sempurna dan mencakupi segala hajat iaitu:
 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ مِنْ الْخَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَرَسُولُكَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَسْتَعِيذُكَ مِمَّا اسْتَعَاذَكَ مِنْهُ عَبْدُكَ وَرَسُولُكَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَسْأَلُكَ مَا قَضَيْتَ لِي مِنْ أَمْرٍ أَنْ تَجْعَلَ عَاقِبَتَهُ رَشَدًا

Marilah kita berdoa dengan lafaz doa yang mencakupi segala hajat ini.
 
14hb Rabiulakhir 1448H
26hb September 2026M

Thursday, 24 September 2026

Doa Agar Hati Tidak Berbolak-balik

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Doa Agar Hati Tidak Berbolak-balik*
 
عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

_*Abdullah bin 'Amru bin Al 'Ash RA berkata; bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hati semua anak Adam berada di antara dua jari dari sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. Allah Subhanahhu wa Ta'ala akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya." Kemudian Rasulullah SAW berdoa; 'Ya Allah, Engkau yang memalingkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu! '*_(HR Muslim No: 4798) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.     Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.
 
2.     Hati manusia berada di bawah kekuasaan Allah. Allah berkuasa penuh memalingkan hati manusia sesuai kehendak-Nya. Imam An-Nawawi menyebutkan: Allah SWT menguasai dan mengatur hati manusia sebagaimana yang Dia kehendaki.
 
3.     Hidayah merupakan anugerah Allah yang perlu disyukuri dan dipelihara. Istiqamah juga merupakan kurniaan Allah, maka kita hendaklah sentiasa memohonnya.
 
4.     Setiap kita perlu memohon pada Allah agar diberi hidayah dan istiqamah berada di atas petunjuk.  Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:
 
اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
 
*Ya Allah, Engkau yang memalingkan hati, palingkan hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.*
 
5.     Jika seorang hamba bergantung dan bersandar pada dirinya sendiri, tentu ia akan binasa.
 
6.     Kita hendaklah menyerahkan segala usaha kepada Allah dan janganlah berpaling dari-Nya walaupun sebentar.
 
7.     Hendaklah setiap kita memohon kepada Allah agar terus menerus diteguhkan hati  dalam ketaatan dan tidak terjerumus dalam maksiat atau kesesatan.
 
13hb Rabiulakhir 1448H
25hb September 2026M

Wednesday, 23 September 2026

Doa Tetapkan Hati

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 
*Doa Tetapkan Hati*
 
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ اللَّهُمَّ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ تَخَافُ عَلَيْنَا وَقَدْ آمَنَّا بِكَ وَصَدَّقْنَاكَ بِمَا جِئْتَ بِهِ فَقَالَ إِنَّ الْقُلُوبَ بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ يُقَلِّبُهَا وَأَشَارَ الْأَعْمَشُ بِإِصْبَعَيْهِ
 
_*Daripada Anas bin Malik RA dia berkata; Rasulullah SAW memperbanyak mengucapkan: "Ya Allah, teguhkan hatiku di atas agama-Mu". Lalu seorang sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, adakah engkau bimbang terhadap kami, sedang kami telah beriman kepadamu dan membenarkanmu terhadap apa yang kamu bawa." Baginda menjawab: "Sesungguhnya hati-hati manusia berada diantara dua jari daripada jari-jari Ar Rahman 'azza wajalla, Dia membolak-balikkannya." Dan Al A'masy mengisyaratkan dengan dua jarinya.*_ (HR Ibnu Majah No: 3824)  Status: Hadis  Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Setiap kita memiliki hati yang bila-bila masa boleh berubah (berbolak balik), maka ia perlu sentiasa dipelihara.
 
2.    Hidayah dan istiqamah adalah kurniaan Allah, bukan semata-mata hasil kekuatan manusia.
 
3.    Jangan merasa terlalu yakin dengan iman sendiri. Orang beriman tetap perlu memohon agar Allah memelihara imannya.
 
4.    Lama berada dalam perjuangan bukan jaminan hati tidak akan berubah. Banyak ilmu bukan jaminan hati sentiasa ikhlas. Banyak amal bukan jaminan kita akan terus istiqamah.
 
5.    Rasulullah SAW mengajar kita memohon pertolongan Allah agar diberikan hati yang tetap dan istiqamah. Antaranya dengan membanyakkan doa:

اللَّهُمَّ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

*"Ya Allah, teguhkan hatiku diatas agama-Mu"*
 
6.    Jagalah faktor yang mempengaruhi hati seperti menjaga solat, tilawah al-Quran, membanyakkan zikir, menghadiri majlis ilmu, pergaulan, bahan bacaan, media yang ditonton dan suasana kehidupan.
 
7.    Banyakkanlah doa agar memiliki hati yang tetap dan istiqamah kerana jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan yang lain akan ikut menjadi baik.
 
12hb Rabiulakhir 1448H
24hb September 2026M

Tuesday, 22 September 2026

Adab Berzikir Dan Berdoa

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Adab Berzikir Dan Berdoa*
 
عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَجَعَلَ النَّاسُ يَجْهَرُونَ بِالتَّكْبِيرِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِنَّكُمْ لَيْسَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا إِنَّكُمْ تَدْعُونَ سَمِيعًا قَرِيبًا وَهُوَ مَعَكُمْ قَالَ وَأَنَا خَلْفَهُ وَأَنَا أَقُولُ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ فَقَالَ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى كَنْزٍ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ فَقُلْتُ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ قُلْ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
 
_*Daripada Abu Musa al Ash’ari RA, beliau berkata; "Kami pernah menyertai Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan. Tiba-tiba, ada beberapa orang sahabat bertakbir dengan suara keras. Mendengar suara takbir yang keras itu, Rasulullah SAW pun berkata: Wahai manusia, perlahankan suara kalian! Sesungguhnya kamu bukan berdoa kepada Tuhan yang pekak dan bukan pula kepada Tuhan yang jauh. Sesungguhnya kamu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat, dan Dia bersama kamu. Abu Musa berkata; 'Pada ketika itu aku berada di belakang Rasulullah SAW aku sedang  membaca; 'Laa haula wa laa quwwata ilIa billaah' (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah). Kemudian Rasulullah SAW bersabda: 'Wahai Abdullah bin Qais, mahukah aku tunjukkan kepadamu satu khazanah daripada khazanah-khazanah syurga?. Aku menjawab; 'Sudah tentu ya Rasulullah.' Rasulullah SAW  bersabda: 'Ucapkanlah, Laa haula wala quwwata illaa billaah' (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah)."*_ (HR Muslim No 4873 Dar Ihya Kutub Arabiyyah) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Berzikir dan berdoa hendaklah dilakukan dengan beradab.
 
2.    Allah SWT ialah Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Antara adab berzikir dan berdoa adalah dengan menggunakan suara yang rendah dan perlahan, tidak perlu dengan mengeraskan atau menguatkan suara kerana Allah Maha Mendengar.
 
3.    Kekuatan zikir dan doa bukan terletak pada kuatnya suara, tetapi pada keikhlasan dan pengharapan hati kepada Allah.
 
4.    Barangsiapa yang membaca Hawqalah
 
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

*(Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah)*

Akan dikurniakan kepadanya satu daripada perbendaharaan di Syurga.  
 
5.    Hawqalah mendidik kita mengakui bahawa kemampuan melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan berlaku dengan taufik dan pertolongan Allah. Ia merupakan pengakuan bahawa manusia tidak mampu mencapai kebaikan atau menghindari keburukan secara bebas daripada bantuan Allah.
 
6.    Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa kalimah hawqalah menunjukkan besarnya pahala yang disediakan bagi orang yang mengucapkannya dan menghayati maknanya. Sebagaimana khazanah dunia ialah sesuatu yang bernilai dan disimpan, pahala kalimah ini merupakan khazanah yang disediakan Allah untuk seseorang di akhirat.
 
7.    Hadis ini mengajar bahawa hakikat doa bukan pada kuatnya suara, tetapi pada dekatnya hati kepada Allah.
 
11hb Rabiulakhir 1448H
23hb September 2026M

Monday, 21 September 2026

Doa Yang Utama

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 
Doa Yang Utama
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ دَعْوَةٍ يَدْعُو بِهَا الْعَبْدُ أَفْضَلَ مِنْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْمُعَافَاةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
 
Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada doa yang di ucapkan seorang hamba ketika berdoa lebih utama daripada; Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keselamatan dan kesejahteraan didunia dan akhirat." (HR Ibn Majah No 3851 Maktabah Ilmiyyah) Status: Hadis  Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Memohon ‘afiyah merupakan antara doa yang paling utama untuk diamalkan oleh seorang Muslim.
 
2.    ‘Afiyah bukan hanya bermaksud kesihatan tubuh, tetapi merangkumi keselamatan agama, jiwa, keluarga, harta, maruah, dunia dan akhirat.
 
3.    Keselamatan iman lebih penting daripada keselamatan fizikal kerana kehilangan iman membawa kerugian yang jauh lebih besar.
 
4.    Islam tidak mengajar kita meminta bala atau mencari ujian. Kita disuruh meminta keselamatan; apabila ujian datang, barulah kita menghadapinya dengan sabar.
 
5.    Seorang Mukmin hendaklah mempunyai pandangan yang seimbang: bukan hanya meminta kesejahteraan dunia tetapi juga keselamatan akhirat.
 
6.    Doa yang pendek tidak semestinya kecil nilainya. Kadangkala beberapa perkataan mengandungi permintaan yang sangat luas.
 
7.    Nikmat ‘afiyah perlu disyukuri sebelum ia hilang. Kesihatan, keamanan, iman dan keluarga yang baik merupakan nikmat yang sering dianggap biasa.
 
8.    Kita digalakkan mengamalkan doa-doa jami‘ (lafaz yang ringkas tetapi mempunyai makna yang luas) yang diajar Rasulullah SAW kerana lafaznya ringkas tetapi merangkumi keperluan dunia dan akhirat.
 
9.    Antara doa yang utama (afdhal) untuk kita amalkan:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْمُعَافَاةَ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keselamatan dan kesejahteraan didunia dan akhirat
 
10hb Rabiulakhir 1448H
22hb September 2026M

Doa Mohon Keampunan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Doa Mohon Keampunan*
 
عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمْنِي دُعَاءً أَدْعُو بِهِ فِي صَلَاتِي قَالَ قُلْ اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
 
_*Daripada Abu Bakr As Siddiq RA bahawa dia berkata kepada Nabi SAW: Ajarkanlah kepadaku suatu doa yang dapat aku baca dalam solatku.  Baginda bersabda: Bacalah: Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang boleh mengampuni dosa selain Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada sisi-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha pengampun lagi Maha Penyayang."*_ (HR Bukhari No 5967 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis  Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Berdoa adalah suatu tuntutan kepada kita sebagai hamba yang lemah
 
2.    Seorang Mukmin hendaklah sentiasa mengakui kelemahan dan kekurangan dirinya di hadapan Allah.
 
3.    Jangan merasa aman daripada dosa hanya kerana merasa mempunyai banyak ilmu, ibadah atau amal kebajikan.
 
4.    Antara tempat untuk berdoa ialah ketika sujud (dengan lafaz doa dalam bahasa arab), selepas bacaan tahayat akhir serta berdoa selepas salam.
 
5.    Kita hendaklah memohon maghfirah dan rahmah secara Bersama, keampunan untuk kesalahan dan rahmat untuk memperoleh kebaikan.
 
6.    Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW  untuk dibaca ialah doa memohon keampunan di atas kesilapan dan kesalahan sama ada disedari ataupun tidak:
 
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
 
*Ya Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, dan tidak ada yang boleh mengampuni dosa selain Engkau, maka ampunilah aku dengan keampunan daripada sisi-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha pengampun lagi Maha Penyayang*
 
7.    Hadis ini mendidik kita menjauhi ujub. Semakin tinggi kedudukan seseorang di sisi manusia, semakin dia perlu merendahkan diri di hadapan Allah.
 
09hb Rabiulakhir 1448H
21hb September 2026M

Saturday, 19 September 2026

Tidak Berdoa Yang Buruk dan Memutuskan Silaturahim

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Tidak Berdoa Yang Buruk dan Memutuskan Silaturahim
 
عَنْ جَابِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ أَحَدٍ يَدْعُو بِدُعَاءٍ إِلَّا آتَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ أَوْ كَفَّ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهُ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ
 
Daripada Jabir RA ia berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seseorang berdoa dengan sebuah doa melainkan Allah memberikan kepadanya apa yang ia minta, atau Allah menghindarkan daripadanya keburukan yang sebanding dengannya selama ia tidak berdoa untuk melakukan perbuatan dosa atau memutuskan hubungan silaturahim." (HR Tirmizi No 3381 Dar Kutub Ilmiyyah) Status: Hadis Dihasankan oleh Ibn Hajar dalam Misykatul Masabih
 
Pengajaran:
 
1. Doa seorang Mukmin tidak sia-sia. Allah mendengar setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya.
 
2. Seorang Mukmin hendaklah sentiasa bersangka baik kepada Allah apabila doanya belum kelihatan diperkenankan.
 
3.  Penerimaan doa tidak semestinya bermaksud mendapat tepat seperti yang diminta. Allah mungkin memberikan permintaan kita atau menghindarkan keburukan yang sebanding dengannya dengan dua syarat:
 
a.  Tidak berdoa untuk sesuatu yang berdosa seperti mendoakan yang buruk kepada sesama Muslim
 
b.  Tidak memutuskan hubungan silaturahim dengan kerabat
 
4. Doa adalah ibadah. Oleh itu, isi doa hendaklah selaras dengan perkara yang diredai Allah.  Tidak wajar seseorang berdoa supaya orang yang tidak bersalah ditimpa musibah semata-mata kerana perasaan dengki atau permusuhan peribadi.
 
5.  Tidak dibenarkan berdoa untuk melakukan dosa, kezaliman atau perkara yang diharamkan Allah termasuk bertujuan merosakkan hubungan kekeluargaan.
 
6.  Hadis ini mendidik kita supaya menggabungkan doa, sabar, tawakal dan reda terhadap hikmah Allah.
 
Marilah kita menjauhi doa keburukan sesama Muslim. Sebaliknya, perbanyakkan doa kebaikan serta eratkan hubungan silaturahim sesama kerabat.
  
08hb Rabiulakhir 1448H
20hb September 2026
 

Friday, 18 September 2026

Satu Pertiga Akhir Malam Yang Istimewa

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 
*Satu Pertiga Akhir Malam Yang Istimewa*
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَتَنَزَّلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
 
_*Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tuhan kita Yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi turun ke langit dunia (dengan makna yang layak bagi-Nya) pada setiap malam ketika berbaki sepertiga malam yang terakhir, lalu Dia berfirman: ‘Siapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan memperkenankan doanya. Siapa yang memohon kepada-Ku, nescaya Aku akan mengurniakannya. Siapakah yang memohon keampunan kepada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.’*_ (HR Bukhari No 5962 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis  Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Sepertiga malam terakhir merupakan waktu yang paling utama untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah.
 
2.    Satu pertiga malam terakhir (bermula sekitar jam 3 pagi) antara waktu mustajab untuk berdoa:
 
*a.     Sesiapa berdoa kepada Allah, akan dikabulkan*
 
*b.    Sesiapa yang meminta kepada Allah akan diperkenankan*
 
*c.     Sesiapa yang memohon keampunan akan diampunkan*
 
3.    Allah membuka pintu rahmat-Nya setiap malam kepada hamba-hamba yang bangun mengingati-Nya.
 
4.    Istighfar pada waktu sahur merupakan amalan para nabi dan orang-orang soleh.
 
5.    Hadis ini menggalakkan amalan qiyamullail, walaupun hanya dengan beberapa rakaat dan doa yang ikhlas.
 
6.    Rebutlah peluang waktu istimewa yang disediakan setiap hari, satu pertiga akhir malam yang menjadi antara waktu keampunan dan mustajab doa.
 
7.    Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata'if al-Ma'arif menjelaskan bahawa waktu malam ialah saat paling sesuai untuk melahirkan keikhlasan dalam doa kerana ia jauh daripada riak dan gangguan manusia.
 
8.    Manfaatkan sepertiga malam terakhir dengan solat tahajud walaupun dua rakat, tilawah, doa juga perbanyakkan istighfar seperti:

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي

*“Aku memohon keampunan daripada Allah dan aku bertaubat kepada-Nya”. “Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku.”*
 
07hb Rabiulakhir 1448H
19hb September 2026M

Doa Orang Yang Dizalimi

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Doa Orang Yang Dizalimi
 
 عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَ مُعَاذًا إِلَى الْيَمَنِ فَقَالَ اتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW mengutus Muaz ke Yaman lalu bersabda: "Takutlah (berhati-hatilah) kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana antara doanya dan Allah tidak ada apa-apa penghalang (hijab)" (HR Bukhari No 2316 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Kezaliman adalah haram dalam apa jua bentuk, sama ada terhadap harta, maruah, tubuh badan atau hak seseorang.
 
2.    Doa orang yang dizalimi sangat mustajab. Nabi SAW menggambarkannya sebagai doa yang tidak mempunyai penghalang dengan Allah.
 
3.    Jangan meremehkan seseorang kerana dia lemah, miskin atau tidak mempunyai kuasa, kerana Allah mendengar pengaduannya.
 
4.    Pemimpin dan pentadbir perlu berhati-hati ketika menguruskan hak dan harta masyarakat. Konteks hadis ini sendiri berkaitan amanah Mu‘az RA di Yaman.
 
5.    Islam menuntut keadilan kepada semua, termasuk terhadap orang yang kita tidak sukai atau berbeza dengan kita. Jangan sesekali kita menyangka, sedikit kezaliman itu wajar ke atas seseorang kerana dia itu fasiq, pelaku maksiat atau dia itu bukan Muslim.
 
6.    Orang yang pernah menzalimi seseorang hendaklah segera bertaubat, memulangkan hak dan memohon maaf sebelum tiba hari perhitungan.
 
7.    Orang yang dizalimi boleh mengadu dan berdoa kepada Allah, tetapi memaafkan apabila membawa maslahat juga merupakan akhlak yang sangat mulia.
 
8.    Tugas dakwah tidak menjamin seseorang itu tidak melakukan kezaliman ke atas orang lain. Contohnya apabila dia mengaibkan nama baik dan maruah seseorang, membuat serangan peribadi yang tidak berasas, menghukum berdasarkan andaian dan spekulasi, membuat penilaian-penilaian yang bersifat bias, tidak objektif  dan lain-lain.
 
9.    Hadis ini mendidik kita supaya bukan sahaja takut melakukan dosa yang berkaitan dengan Allah, tetapi juga perlu berhati-hati terhadap hak sesama manusia. Jangan takut hanya kepada orang yang mempunyai kuasa.
Takutlah menzalimi orang yang tidak mempunyai kuasa.
  
06hb Rabiulakhir 1448H
18hb September 2026
 

Wednesday, 16 September 2026

Doa Ketika Sakit

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Doa Ketika Sakit
 
عَنْ عُثْمَانَ بْنِ أَبِي الْعَاصِ الثَّقَفِيِّ أَنَّهُ شَكَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَعًا يَجِدُهُ فِي جَسَدِهِ مُنْذُ أَسْلَمَ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَعْ يَدَكَ عَلَى الَّذِي تَأَلَّمَ مِنْ جَسَدِكَ وَقُلْ بِاسْمِ اللَّهِ ثَلَاثًا وَقُلْ سَبْعَ مَرَّاتٍ أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ
 
Daripada Usman bin Abi Al 'Ash Ats Tsaqafi bahawa dia mengadukan kepada Rasulullah SAW kesakitan yang dirasai pada tubuhnya sejak ia masuk Islam. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Letakkan tanganmu pada bahagian tubuhmu yang sakit, kemudian ucapkan Bismillah tiga kali, sesudah itu baca tujuh kali: Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaan-Nya dari penyakit yang aku deritai dan yang aku khuatiri. (HR Muslim No 4082 Dar Ihya Kutub Arabiyyah) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Setiap penyakit yang menimpa seseorang perlu diusahakan pengubatannya
 
2.    Rasulullah SAW  mengajar kita berdoa memohon kesembuhan dari penyakit.
 
3.    Seseorang boleh melakukan ruqyah syar‘iyyah kepada dirinya sendiri tanpa bergantung kepada individu tertentu.
 
4.    Antara sunnah kepada orang yang sakit  ialah meletakkan tangan di bahagian yang sakit sambil membaca:
 
a.     Bismillah 3 kali
b.    Doa pelindung 7 kali
 
أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ
 
“Aku berlindung kepada Allah dan kekuasaan-Nya dari penyakit yang aku deritai dan yang aku khuatiri”.
 
5.    Islam mengajar kita berlindung daripada penyakit yang sedang dialami serta keburukan atau perkembangan penyakit yang dikhuatiri.
 
6.    Ruqyah yang paling selamat ialah ruqyah yang berasaskan al-Quran dan doa-doa sahih daripada Rasulullah SAW, bukan jampi yang tidak diketahui maknanya.
 
7.    Berdoa tidak menafikan usaha mendapatkan rawatan perubatan yang sesuai.
 
8.    Hadis ini mendidik seorang Muslim supaya ketika sakit, bukan sahaja tubuh mendapatkan rawatan, bahkan hati turut dihubungkan dengan Allah SWT.
 
Moga kita dapat mengamalkan doa ini apabila sakit
  
05hb Rabiulakhir 1448H
17hb September 2026
 

Tuesday, 15 September 2026

Doa Untuk Pesakit Yang Diziarahi

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Doa Untuk Pesakit Yang Diziarahi
 
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَتَى مَرِيضًا أَوْ أُتِيَ بِهِ قَالَ أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Daripada Aisyah RA bahawa apabila Rasulullah SAW menziarahi orang sakit atau ada orang yang sakit datang kepada baginda, baginda akan berdoa: “Hilangkanlah penyakit wahai Tuhan sekalian manusia, Sembuhkanlah kerana Engkaulah Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan sedikit pun penyakit" (HR Bukhari No 5351 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Menziarahi orang sakit merupakan sunnah Rasulullah SAW dan sebahagian daripada hak persaudaraan sesama Muslim.
 
2.    Apabila kita menziarahi orang sakit atau dibawa kepada kita orang yang sedang sakit, sunat kita membacakan doa sebagai bentuk empati dan pengharapan. Antara doa yang dibacakan kepada pesakit :
 
أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
(“Hilangkanlah penyakit wahai Tuhan sekalian manusia, Sembuhkanlah kerana Engkaulah Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan sedikit pun penyakit")

3.    Allah SWT ialah al-Shafi, Yang Maha Menyembuhkan. Kesembuhan hakiki datang daripada-Nya.
 
4.    Islam mengajar keseimbangan antara doa, rawatan dan tawakal. Berdoa tidak bermaksud meninggalkan ikhtiar perubatan.
 
5.    Hadis ini merupakan antara dalil bagi keharusan ruqyah syar‘iyyah menggunakan doa yang diajar Rasulullah SAW.
 
6.    Mendoakan orang sakit ialah manifestasi rahmah dan ukhuwah Islamiah. Kita tidak sekadar bersimpati, tetapi membawa keperluannya kepada Allah melalui doa.
 
7.    Antara adab ketika menziarahi orang sakit ialah dengan memberikan kata-kata yang menenangkan, mendoakan kesembuhan dan menimbulkan harapan kepada rahmat Allah. Nabi SAW juga mengajar doa:

لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

“Tidak mengapa, semoga penyakit ini menjadi penyuci (dosa), insya-Allah.” (HR Bukhari no: 5656)
 
Marilah kita menziarahi sahabat handai, kenalan dan saudara mara yang sakit dan mendoakan mereka.
  
04hb Rabiulakhir 1448H
16hb September 2026
 

Monday, 14 September 2026

Doa Mohon Perlindungan Semasa Tahiyat Akhir

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 
*Doa Mohon Perlindungan Semasa Tahiyat Akhir*
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَعَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ
 
_*Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Jika salah seorang di antara kalian selesai bertasyahud (membaca tahayat akhir semasa solat), maka mintalah perlindungan pada Allah dari empat perkara iaitu dari siksaan neraka Jahannam, siksaan azab kubur, fitnah semasa hidup dan fitnah semasa kematian dan dari kejahatan Al-Masih Ad Dajjal, kemudian hendaklah ia berdoa untuk dirinya sendiri dengan doa apa sahaja yang ia inginkan.”*_ (HR Nasai No: 1293) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Kita disuruh berdoa agar dijauhi dari azab dan ujian semasa hidup, kejahatan dajjal, di saat kematian, azab kubur serta azab neraka dan semoga selamat di dunia dan juga di akhirat
 
2.    Antara tempat yang disunatkan berdoa ialah semasa selesai bacaan tahiyat akhir dan sebelum memberi salam.
 
3.    Antara lafaz doa semasa selesai bacaan tahiyat akhir:
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُو وَيَقُولُ :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
 
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW berdoa:

*Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari siksa kubur dan dari siksa api neraka dan dari fitnah kehidupan dan kematian dan dari fitnah Al Masih Dajjal.* (HR Bukhari No: 1288 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis Sahih
 
4.    Selepas membaca doa yang diajar Nabi SAW, seseorang boleh menambahkan doa kebaikan yang diperlukan sebelum memberi salam antaranya:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

*“Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada azab neraka.”*
 
5.    Islam mendidik kita supaya memikirkan keselamatan secara menyeluruh, keselamatan di dunia, saat kematian, alam barzakh dan akhirat.
 
Ayuh kita amalkan doa ini agar sentiasa terhindar dari fitnah semasa hidup, fitnah dajjal, fitnah ketika mati, siksa kubur serta siksa neraka jahanam.
 
03hb Rabiulakhir 1448H
15hb September 2026M

Sunday, 13 September 2026

Doakan Keampunan Buat Saudara Muslim Yang Meninggal Dunia

 السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Doakan Keampunan Buat Saudara Muslim Yang Meninggal Dunia
 
عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ فَقَالَ اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ وَسَلُوا لَهُ بِالتَّثْبِيتِ فَإِنَّهُ الْآنَ يُسْأَلُ 
 
Daripada Utsman bin 'Affan RA, ia berkata: Nabi SAW apabila selesai dari mengebumikan jenazah, baginda berdiri di sisi kubur tersebut dan bersabda: "Mohonkanlah ampunan untuk saudara kamu, dan mohonkanlah keteguhan untuknya, kerana sesungguhnya sekarang ia sedang ditanya." (HR Abu Daud No: 3221) Status Hadis Sahih.
 
Pengajaran:
 
1.    Disunatkan mendoakan si mati selepas selesai pengebumian.
 
2.    Antara doa yang sangat diperlukan oleh si mati daripada orang yang masih hidup ialah permohonan keampunan kepada Allah.
 
3.    Satu daripada tanda ukhuwah dan mencintai saudara Mukmin yang lain ialah saling mendoakan keampunan buat mereka. Rasulullah SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
 
اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ
 
"Mintakanlah ampunan untuk saudara kalian" (HR Muslim No: 1581 Dar  Ihya Kutub Arabiyyah)
 
4.    Antara doa yang boleh kita ucapkan untuk jenazah (jika lelaki):

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ، اللَّهُمَّ ثَبِّتْهُ عِنْدَ السُّؤَالِ

“Ya Allah, ampunilah dia dan rahmatilah dia. Ya Allah, teguhkanlah dia ketika menghadapi pertanyaan.”
 
5.    Kita juga disunatkan memohon supaya Allah memberikan keteguhan iman kepada si mati ketika menghadapi pertanyaan Malaikat di alam barzakh.
 
6.    Kematian tidak memutuskan ukhuwah Islamiah. Nabi SAW masih menyebut orang yang telah meninggal sebagai “saudara kamu.”
 
7.    Orang hidup masih boleh memberikan manfaat kepada orang yang telah meninggal dunia melalui doa dan istighfar.
 
8.    Selepas pengebumian, lebih utama kita menyibukkan diri dengan mendoakan si mati daripada perbualan yang tidak berkaitan.
 
Hadis ini mengingatkan bahawa setiap manusia akhirnya akan melalui saat yang sama. Hari ini kita berdiri mendoakan seseorang di sisi kuburnya; suatu hari nanti orang lain pula akan berdiri di sisi kubur kita.
  
02hb Rabiulakhir 1448H
14hb September 2026
 

Saturday, 12 September 2026

Doa Jauhi Empat Perkara

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Doa Jauhi Empat Perkara*
 
عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: "اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ، وَمِنْ قَلبٍ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا"
 
_*Daripada Zayd bin Arqam, bahawa Nabi SAW selalu berdoa: Ya Allah, sesungguhnya saya memohon perlindungan dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada jiwa yang tidak berasa puas, dan daripada doa yang tidak diperkenankan.*_ (HR Muslim: No 2722) Status: Hadis Sahih.
 
*Pengajaran:*
 
1.    Seorang Muslim perlu memperbanyakkan doa untuk memperoleh kebaikan
 
2.    Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW  ialah memohon agar dijauhi dari empat perkara:
 
a. Ilmu yang tidak bermanfaat
b. Hati yang tidak khusyuk
c. Jiwa yang tidak pernah puas
d. Doa yang tidak diperkenankan
 
3.    Kita hendaklah mencari ilmu yang bermanfaat, ilmu yang menghasilkan amal dan rasa takut kepada Allah. Semakin tinggi ilmu seseorang, sewajarnya semakin baik akhlak dan ketakwaannya.
 
4.    Khusyuk hati perlu dipelihara. Hati yang khusyuk ialah hati yang tunduk, lembut dan takut kepada Allah. Ia mudah menerima nasihat, tersentuh apabila membaca al-Quran dan menyedari kebesaran Allah. Hati yang tidak khusyuk boleh mendengar ayat Allah dan nasihat berkali-kali tetapi tidak memberi kesan kepada dirinya. Hati yang keras merupakan penyakit rohani yang serius.
 
5.    Jiwa yang tidak pernah puas akhirnya mudah melahirkan tamak, hasad, persaingan tidak sihat dan kecintaan berlebihan terhadap dunia. Sifat tamak perlu dilawan dengan qanaah dan syukur. Kekayaan sebenar bukan banyaknya harta, tetapi rasa cukup dalam jiwa.
 
6.    Kita perlu menjaga sebab-sebab penerimaan doa, termasuk keikhlasan, halal dalam kehidupan dan kesungguhan kembali kepada Allah.
 
7.    Hadis ini mengajar bahawa seorang Mukmin perlu sentiasa melakukan muhasabah terhadap ilmu, hati, nafsu dan doanya.
 
8.    Marilah kita perbanyakkan doa agar sentiasa memiliki ilmu bermanfaat, hati yang khusyuk, jiwa yang puas dan doa yang diperkenankan.
 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ، وَمِنْ قَلبٍ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ،
 وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
 
01hb Rabiulakhir 1448H
13hb September 2026M

Friday, 11 September 2026

Enggan Berdoa Dimurkai Allah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Enggan Berdoa Dimurkai Allah
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدْعُ اللَّهَ سُبْحَانَهُ غَضِبَ عَلَيْهِ
 
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang tidak berdoa kepada Allah, maka Allah akan murka kepadanya."  (HR Ibn Majah No: 3827 Maktabah Ilmiyyah) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Berdoa kepada Allah adalah ibadah dan manifestasi kehambaan kepada Allah.
 
2.    Allah SWT menyukai hamba yang berdoa dan meminta kepada-Nya.
 
3.    Keengganan meminta dan berdoa kepada Allah menunjukkan sifat kesombongan.
 
4.    Doa menunjukkan pengakuan bahawa manusia faqir dan sentiasa berhajat kepada Allah.
 
5.    Doa memperlihatkan kemuncak ketundukan dan kebergantungan seorang hamba kepada Allah. Orang yang meminta mengakui kelemahan dirinya dan kekuasaan Tuhannya.
 
6.    Seorang mukmin hendaklah berdoa dengan tawaduk, yakin dan bersangka baik kepada Allah.
 
7.    Allah murka kepada mereka yang sengaja tidak berdoa.
 
8.    Jangan hanya berdoa kerana kita mempunyai masalah. Berdoalah kerana kita sentiasa mempunyai Tuhan yang Maha Mendengar, sedangkan kita sentiasa merupakan hamba yang berhajat kepada-Nya.
 
30hb Rabiulawal 1448H
12hb September 2026M

Thursday, 10 September 2026

Allah Mengabulkan Doa Hamba

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Allah Mengabulkan Doa Hamba
 
عَنْ سَلْمَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ رَبَّكُمْ تَبَارَكَ وَتَعَالَى حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا
 
Daripada Salman al-Farisi RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Tuhan kamu mempunyai sifat Maha Pemalu dan Maha Mulia. Allah malu sekiranya hambanya mengangkat tangan berdoa kepada-Nya lalu Dia membiarkan hambanya pulang dengan kekosongan.” (HR Abu Daud No:1488 Maktabah Asriyyah) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Allah SWT bersifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihani hamba-Nya.
 
2.    Setiap Muslim dituntut sentiasa berdoa kepada Allah dalam apa jua keadaan.
 
3.    Allah akan sentiasa mengabulkan setiap doa dan permohonan hambaNya
 
4.    Allah tidak akan menghampakan permintaan dan permohonan hambaNya
 
Firman Allah :
 
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
 
"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur (enggan) beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina. (Surah Ghafir : 60)
 
5.    Mengangkat kedua tangan merupakan antara adab dan Sunnah ketika berdoa. Menadah tangan menggambarkan kefakiran, kerendahan dan kebergantungan seorang hamba kepada Allah.
 
6.    Mengangkat tangan hendaklah disertai dengan kehadiran hati, keikhlasan, tawaduk dan keyakinan kepada Allah.
 
7.    Jangan berputus asa atau tergesa-gesa apabila doa belum kelihatan diperkenankan.
 
8.    Ayuh kita sentiasa berdoa kepada Allah, jangan sekali-kali kita menjadi orang yang sombong kerana tidak mahu berdoa.
  
29hb Rabiulawal 1448H
11hb September 2026
 

Wednesday, 9 September 2026

Orang Yang Dikabulkan Doa

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 
*Orang Yang Dikabulkan Doa*
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللَّهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكَرْبِ فَلْيُكْثِرْ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ
 
_*Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang suka agar Allah memperkenankan doanya ketika menghadapi kesusahan dan kesempitan, maka hendaknya dia memperbanyakkan berdoa ketika berada dalam keadaan senang dan lapang."*_ (HR Tirmizi No: 3382 Dar Kutub Ilmiyyah) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Doa hendaklah menjadi amalan sepanjang masa, bukan hanya ketika ditimpa musibah.
 
2.    Seorang mukmin hendaklah memperbanyakkan doa ketika sihat, senang, aman dan lapang.
 
3.    Hubungan yang kukuh dengan Allah ketika senang menjadi antara sebab mendapat pertolongan Allah ketika kesusahan.
 
4.    Allah mengabulkan doa seseorang yang berdoa ketika ia berada dalam kesusahan dan kesempitan hasil dari amalannya yang sentiasa berdoa ketika lapang.
 
5.    Al-Mubarakfuri ketika menghuraikan hadis ini dalam Tuhfat al-Ahwadhi menjelaskan bahawa memperbanyakkan doa ketika lapang merupakan antara sebab doa diperkenankan ketika kesusahan. Hal ini kerana ia menunjukkan keikhlasan dan kesinambungan hubungan seseorang dengan Allah.
 
6.    Orang beriman bukanlah orang yang hanya mencari Allah ketika hidup menjadi sukar, tetapi orang yang sentiasa bersama Allah ketika susah mahupun senang.
 
27hb Rabiulawal 1448H
09hb September 2026

Sunday, 6 September 2026

Doa Yang Mustajab

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Doa Yang Mustajab
 
عَنْ أُمِّ الدَّرْدَاءِ، قَالَتْ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لِأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ
 
Daripada Umm al-Darda’ RA, beliau berkata: Nabi SAW telah bersabda: 'Doa seorang muslim untuk saudaranya sesama muslim tanpa diketahui olehnya adalah mustajab. Di sisi Muslim yang berdoa terdapat malaikat yang telah diutus menjaganya. Setiap kali ia mendoakan untuk kebaikan bagi saudaranya, maka malaikat yang diutus tersebut akan mengucapkan Amin (semoga Allah mengabulkan) dan bagi kamu juga akan mendapatkan seperti itu.' (HR Muslim No: 4914 Dar Ihya Kutub Arabiyyah) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Mendoakan saudara Muslim tanpa pengetahuannya merupakan amalan yang sangat besar kelebihannya.
 
2.    Doa seorang Muslim untuk saudara Muslim yang lain tanpa diketahui oleh yang didoakan, nescaya akan dikabulkan Allah.
 
3.    Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menjelaskan bahawa doa secara tersembunyi mempunyai kelebihan kerana ia lebih menunjukkan keikhlasan.
 
4.    Orang yang berdoa untuk saudara Muslim yang lain, akan ada malaikat yang mengaminkan doa tersebut dan Malaikat akan mendoakan kebaikan yang sama  untuk dirinya.
 
5.    Kebaikan yang kita inginkan untuk saudara kita akhirnya kembali menjadi kebaikan untuk diri kita sendiri.
 
6.    Ukhuwah Islamiah bukan hanya hubungan sosial, tetapi termasuk saling mendoakan ketika berjauhan.
 
7.    Kita dianjurkan mendoakan kebaikan agama dan dunia untuk saudara kita — keampunan, hidayah, kesihatan, keberkatan, rezeki dan keselamatan.
 
Mari kita doakan sahabat Muslim kita. Lagi banyak doa kita, sebanyak itu jugalah Malaikat mendoakan kita.
  
25hb Rabiulawal 1448H
07hb September 2026
 

Saturday, 5 September 2026

Doa Kebaikan Dunia dan Akhirat

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Doa Kebaikan Dunia dan Akhirat
 
عَنْ عَبْدِ الْعَزِيزِ، وَهُوَ ابْنُ صُهَيْبٍ قَالَ سَأَلَ قَتَادَةُ أَنَسًا أَىُّ دَعْوَةٍ كَانَ يَدْعُو بِهَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَكْثَرَ قَالَ كَانَ أَكْثَرُ دَعْوَةٍ يَدْعُو بِهَا يَقُولُ ‏ "‏ اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ وَكَانَ أَنَسٌ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدَعْوَةٍ دَعَا بِهَا فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَدْعُوَ بِدُعَاءٍ دَعَا بِهَا فِيهِ 
 
Daripada ‘Abdul ‘Aziz bin Suhaib, beliau berkata: Qatadah pernah bertanya kepada Anas bin Malik RA: “Apakah doa yang paling banyak dibaca oleh Nabi SAW?” Anas menjawab: “Doa yang paling banyak dibaca oleh Baginda SAW ialah: اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ “Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami daripada azab neraka.”
‘Abdul ‘Aziz berkata: “Anas RA pula, apabila beliau hendak berdoa dengan sesuatu doa, beliau akan membaca doa ini. Dan apabila beliau hendak berdoa dengan beberapa doa yang lain, beliau akan memasukkan doa ini bersama-sama dalam doanya.” (HR Muslim No: 4855 Dar Ihya Kutub Arabiyyah) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Berdoa adalah antara tuntutan seorang Mukmin
 
2.    Antara doa yang sering dibaca oleh Rasulullah SAW untuk kita ikuti:

اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia, dan kebaikan di akhirat, serta peliharalah kami daripada azab neraka
 
3.    Kebaikan dunia merangkumi segala nikmat yang membantu manusia hidup dalam iman, ketaatan dan kesejahteraan.
 
4.    Kebaikan akhirat merangkumi keampunan, keselamatan, keredaan Allah dan syurga.
 
5.    Memohon perlindungan daripada neraka juga bererti berusaha menjauhi segala sebab yang membawa kepadanya
 
6.    Anas seorang sahabat Rasulullah SAW sentiasa akan membaca doa ini walaupun dia membaca doa yang lain. Marilah kita berdoa dengan doa ini agar dikurniakan kebaikan di dunia dan di akhirat.
  
24hb Rabiulawal 1448H
06hb September 2026
 

Membanyakkan Berselawat Dalam Berdoa

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Membanyakkan Berselawat Dalam Berdoa
 
عَنْ الطُّفَيْلِ بْنِ أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَهَبَ ثُلُثَا اللَّيْلِ قَامَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ اذْكُرُوا اللَّهَ اذْكُرُوا اللَّهَ جَاءَتْ الرَّاجِفَةُ تَتْبَعُهَا الرَّادِفَةُ جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا فِيهِ جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا فِيهِ قَالَ أُبَيٌّ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي فَقَالَ مَا شِئْتَ قَالَ قُلْتُ الرُّبُعَ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ النِّصْفَ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا قَالَ إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ
 
Daripada Al-Thufail bin Ubai bin Ka'ab dari ayahnya Ubai bin Ka’ab RA berkata  bahawa Rasulullah SAW, apabila berlalu dua pertiga malam, Baginda  bangun lalu bersabda: "Wahai sekalian manusia, ingatlah Allah!, ingatlah Allah!. Telah datang tiupan sangkakala pertama yang diikuti oleh tiupan berikutnya.  Telah datang kematian dengan segala kedahsyatannya. Telah datang kematian dengan segala kedahsyatannya.” Berkata Ubai: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ingin membanyakkan berselawat kepadamu. Dari itu, berapa banyakkah dari doaku perlu aku jadikan untuk berselawat kepadamu?” Rasulullah SAW menjawab: Terserah kepadamu.” Aku pun berkata: “Adakah satu perempat darinya?” Rasulullah SAW menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata: “Adakah separuh daripadanya?” Rasulullah SAW  menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu Aku berkata: “Adakah dua pertiga?” Rasulullah SAW  menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku pun berkata: “Aku jadikan semua doaku berselawat keatas mu.” Baginda pun bersabda: “Sekiranya begitu, akan dicukupkan semua keinginanmu dan diampuni semua dosamu.”  (HR Tirmizi No 2457 Dar Kutub Ilmiyyah) Status:  Sahih dalam Sahih Targhib
 
Pengajaran:
 
1.    Sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah contoh untuk diikuti.
 
2.    Mengingati kematian dan hari akhirat mendorong seseorang memperbanyakkan amal soleh.
 
3.    Memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW merupakan amalan yang sangat besar keutamaannya. Ubai bin Kaab antara sahabat yang banyak berselawat antaranya sewaktu berdoa.
 
4.    Antara adab mukmin ketika berdoa ialah menyertakan selawat ke atas Nabi SAW di samping doa yang dipinta. Selawat dibaca dipembukaan doa dan ditutup juga dengan selawat.
 
5.    Selawat yang sebenar hendaklah membuahkan kecintaan, ketaatan dan ittiba‘ kepada Rasulullah SAW. Banyak bilangan selawat ketika berdoa tidak dihadkan, jika banyak ia lebih baik.
 
6.    Selawat merupakan antara sebab mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT. Mukmin yang menjadikan keseluruhan dari doanya dengan ucapan selawat, nescaya Allah akan mencukupkan semua keinginannya dan diampunkan segala dosa (dosa kecil).
  
23hb Rabiulawal 1448H
05hb September 2026
 

Thursday, 3 September 2026

Mulakan Doa Dengan Pujian Dan Selawat

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Mulakan Doa Dengan Pujian Dan Selawat
 
عَنْ فَضَالَةَ بْنِ عُبَيْدٍ قَالَ بَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَاعِدٌ إِذْ دَخَلَ رَجُلٌ فَصَلَّى فَقَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجِلْتَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي إِذَا صَلَّيْتَ فَقَعَدْتَ فَاحْمَدْ اللَّهَ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ وَصَلِّ عَلَيَّ ثُمَّ ادْعُهُ قَالَ ثُمَّ صَلَّى رَجُلٌ آخَرُ بَعْدَ ذَلِكَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَصَلَّى عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا الْمُصَلِّي ادْعُ تُجَبْ
 
Daripada Fadhalah bin 'Ubaid RA, ia berkata; ketika Rasulullah SAW sedang duduk bersama kami (di masjid), tiba-tiba seseorang masuk dan melakukan solat. Kemudian dia berdoa; Ya Allah, ampunilah aku dan rahmatilah aku. Kemudian baginda bersabda: "Engkau telah tergesa-gesa wahai orang yang melakukan solat. Apabila engkau selesai solat lalu duduk, maka pujilah Allah dengan pujian yang layak bagi-Nya, dan berselawatlah kepadaku, kemudian berdoalah kepada-Nya!" Kemudian terdapat orang lelaki lain bersolat selepas itu, lalu dia memuji Allah, dan berselawat kepada Nabi SAW. Maka Nabi SAW bersabda: "Wahai orang yang bersolat, berdoalah, nescaya akan dikabulkan doamu!" (HR Tirmizi No: 3476 Dar Kutub Ilmiyyah)  Status: Hadis  Sahih.
 
Pengajaran:
 
1.    Rasulullah SAW mendidik umat tentang adab berdoa. Berdoa jangan tergesa-gesa serta jagalah adab dan tertib berdoa.
 
2.    Apabila berdoa, hendaklah dimulakan dengan pujian kepada Allah (ucapan Alhamdulillah) dan diikuti dengan selawat ke atas Nabi baru diikuti dengan doa permohonan.

3.    Antara tempat dan waktu yang baik berdoa ialah selepas menunaikan solat.
 
4.    Orang yang solat kemudian berdoa  dengan memulakan pujian kepada Allah dan diikuti dengan berselawat dan doa, nescaya doanya akan dikabulkan.
 
5.    Al-Mubarakfuri mensyarahkan hadis ini dalam Tuhfat al-Ahwadhi, mengaitkannya dengan kepentingan mendahulukan pujian kepada Allah dan selawat sebelum doa sebagai antara adab dan sebab yang membawa kepada penerimaan doa.
 
6.    Jagalah adab berdoa, dimulakan dengan pujian kepada Allah, berselawat ke atas nabi kemudian barulah berdoa meminta apa yang diinginkan. Doa ditutupi dengan selawat dan diakhiri dengan pujian kepada Allah.
 
 
22hb Rabiulawal 1448H
04hb September 2026
 

Wednesday, 2 September 2026

Enam Larangan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Enam Larangan

عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنَعَ وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ

Daripada Al-Mughirah bin Syu'bah berkata; Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan atas kalian durhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup,  meminta-minta tetapi enggan memberi (menunaikan kewajipan), Allah membenci orang yang banyak bercakap perkara yang sia-sia (mempercayai setiap khabar angin serta menyebarkan), banyak bertanya (yang tidak berfaedah) dan menyia-nyiakan harta (boros atau membazir)". (HR Bukhari No: 2231) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW melarang setiap Muslim daripada melakukan perkara berikut:

1.    Mendurhakai ibu. Berbakti kepada ibu adalah satu kewajipan.

2.    Menanam anak perempuan hidup-hidup. Anak adalah amanah Allah yang mesti dipelihara, dididik, dan dimuliakan.

3.    Larangan meminta tetapi enggan memberi. Ia bermaksud suka meminta hak daripada orang lain tetapi enggan menunaikan kewajipan. Perbuatan ini dikeji kerana menzahirkan sifat tamak dan tidak bertanggungjawab.

4.    Larangan bercakap perkara sia-sia iaitu bercakap tanpa manfaat, berdebat atau bertengkar tanpa tujuan yang baik, menyebarkan khabar angin, atau suka memanjangkan cerita. Ibnu Hajar menjelaskan sebagai sifat orang yang suka menukilkan cerita tanpa menyemak kesahihannya dan boleh membawa kepada fitnah dan permusuhan dalam masyarakat.

5.    Banyak bertanya yang tidak berfaedah atau bertujuan untuk menguji atau mengadu domba.

6.    Boros terhadap harta (tidak berjimat). Harta adalah amanah Allah. Membazir atau menggunakannya tanpa tujuan yang baik adalah perbuatan yang dimurkai, kerana harta seharusnya digunakan untuk manfaat diri, keluarga, masyarakat dan agama.

Marilah kita menjadi Muslim yang baik dengan taat kepada kedua ibu dan bapa, mengasihi anak-anak dengan diberikan didikan dan asuhan, menunaikan kewajipan sebelum menuntut hak, memastikan setiap yang dibicarakan dan disebarkan adalah benar dan bermanfaat bukan sia-sia atau fitnah, kurangkan bertanya yang bukan ikhlas untuk mendapatkan maklumat dan berjimat dalam membelanjakan harta.
  
21hb Rabiulawal 1448H
03hb September 2026
 

Tuesday, 1 September 2026

Mengumpat, Gosip Perbuatan Tercela

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Mengumpat, Gosip Perbuatan Tercela

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيلَ أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ قَالَ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah  SAW pernah bertanya: "Tahukah kamu, apakah ghibah (mengumpat) itu?" Para sahabat menjawab; Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Iaitu engkau menyebut sesuatu mengenai saudara kamu dengan perkara yang tidak disukainya." Baginda ditanya lagi, "Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan yang aku katakan?" Baginda menjawab: "Jika apa yang engkau katakan itu memang benar-benar ada padanya maka engkau telah berbuat ghibah (mengumpat), namun jika tidak benar, maka engkau telah memfitnah (tuduhan dusta) terhadapnya." (HR Muslim No: 4690)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Perbuatan ghibah atau mengumpat atau gossip  adalah berdosa.

2.    Ghibah atau mengumpat adalah menceritakan sesuatu yang buruk, aib atau kelemahan yang ada pada diri orang lain. Sesuatu yang diceritakan mengenai orang lain itu mungkin berkaitan  tubuh badan seseorang, agamanya, dunia, diri, akhlak, harta, anak, orang tua, isteri, pembantu, pakaian, cara jalan, gerak-gerik, wajah atau segala hal yang berkaitan dengannya.

3.    Imam al-Ghazali mengatakan ghibah itu bermaksud: ‘…engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya, sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunan, akhlak, perbuatan, perkataan, agama, atau dunianya hatta pakaian, rumah atau haiwannya..’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)

4.    Ghibah atau Mengumpat atau Gossip boleh berlaku melalui lisan, sindiran, tulisan, gambar atau melalui bahasa isyarat.

5.    Walaupun yang diperkatakan itu betul pada orang tersebut, ia adalah ghibah atau mengumpat yang diharamkan. Jika yang dibicarakan itu tidak benar, maka ia adalah fitnah.

6.    Dunia sosial hari ini mudah terdedah dengan mengumpat dan fitnah melalui media sosial sama ada melalui FB, Twitter, Whatsapp, Telegram dan sebagainya. Bila di post atau ditularkan, akhirnya ia mengundang komen dan umpatan netizen walaupun ia betul  atau boleh menjadi fitnah jika tidak benar.

7.    Kesan buruk ghibah boleh menghancurkan silaturahim dan menimbulkan permusuhan dalam Masyarakat disamping menghilangkan pahala amalan solehnya kerana berpindah kepada orang yang diumpat pada hari kiamat.

Berhati-hatilah dalam pertuturan, penulisan dan perbuatan daripada perkara yang tidak benar, palsu, mencela, mengumpat, atau memfitnah.
  
20hb Rabiulawal 1448H
02hb September 2026
 

Monday, 31 August 2026

Makan Daging Saudara SeIslam

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Makan Daging Saudara SeIslam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ

Daripada Abdullah ibn Mas’ud RA beliau berkata : Kami sedang duduk di sisi Nabi SAW, kemudian bangunlah seorang lelaki meninggalkan majlis.  Selepas ia pergi, seorang lelaki lain memperkatakan keaibannya (mengumpatnya). Maka Nabi SAW bersabda: “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”. Lelaki itu bertanya: Mengapa aku perlu membersihkan celah gigiku, wahai Rasulullah? Aku tidak makan daging!. Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (HR Thabarani  No: 13145) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Dalam kehidupan ini, setiap orang tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Namun kita dilarang menceritakan kekurangan dan aib orang lain.

2.    Orang yang menceritakan aib orang lain atau mengumpat, diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain.

3.    Nabi SAW menggambarkan perbuatan mengumpat sebagai memakan daging saudara sendiri. Ia adalah satu perumpamaan yang sangat keras untuk menunjukkan betapa jijik dan besar dosanya. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)

4.    Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan) (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)

5.    Media sosial hendaklah digunakan untuk menyebarkan kebaikan, bukan menjadi medan mengumpat dan membuka aib orang. Antara contohnya:
 
a)    Menghantar mesej keburukan seseorang dalam WhatsApp;
b)   Membuat hantaran atau memberi komen menghina di media sosial seperti FB;
c)    Berkongsi video yang memalukan orang lain;
d)   Bergosip dalam group sosial;
e)    Memperlekehkan rakan dalam kumpulan sembang.

6.    Muslim hendaklah menjadikan lidahnya sebagai alat untuk berzikir, menyebarkan kebaikan, bukan untuk menjatuhkan maruah orang lain. Sebagaimana kita berasa jijik memakan daging manusia, demikian jugalah kita sepatutnya merasa jijik terhadap amalan mengumpat, kerana kedua-duanya digambarkan oleh syariat sebagai sesuatu yang sangat hina di sisi Allah SWT.
 
7.    Hadis ini menegaskan bahawa dosa lidah boleh menjadi sebab manusia terjerumus ke dalam neraka, walaupun dosa itu kelihatan kecil di mata manusia namun ia merupakan dosa yang besar. Bersamalah kita menjaga hubungan dalam hidup bermasyarakat. Elakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan hubungan ukhuwah sesama kita
 
19hb Rabiulawal 1448H
01hb September 2026
 

Sunday, 30 August 2026

Golongan Penghuni Syurga

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ 
Golongan Penghuni Syurga

عن عياض بن حمار المجاشعي رضي الله عنه عن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال : وَأَهْلُ الْجَنَّةِ ثَلَاثَةٌ ذُو سُلْطَانٍ مُقْسِطٌ مُتَصَدِّقٌ مُوَفَّقٌ وَرَجُلٌ رَحِيمٌ رَقِيقُ الْقَلْبِ لِكُلِّ ذِي قُرْبَى وَمُسْلِمٍ وَعَفِيفٌ مُتَعَفِّفٌ ذُو عِيَالٍ

Daripada Iyadh bin Himar al-Mujasyai RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Penghuni syurga itu terdiri daripada tiga golongan; iaitu penguasa atau pemerintah yang berlaku adil, suka bersedekah dan diberi taufik oleh Allah, seorang yang penyayang dan lembut hatinya kepada setiap kerabat dan sesama muslim, dan seorang yang menjaga kehormatan dirinya, menjauhkan diri daripada meminta-minta”  (HR Muslim No: 5109) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

Antara golongan yang akan menjadi penghuni Syurga ialah:

1.    Pertama: Pemerintah atau pemimpin yang adil, sentiasa pemurah dan suka bersedekah serta mendapat  taufik Allah dalam menjalankan tanggungjawab.

2.    Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa pemerintah yang adil adalah tonggak utama masyarakat. Keadilannya bukan sahaja menjaga hak rakyat, malah dengan sifat pemurahnya dia menggunakan kekuasaan dan harta untuk kemaslahatan umat. Taufik Allah adalah syarat terpenting untuk dia istiqamah dalam keadilan dan kebaikan.

3.    Kedua: Orang yang penyayang dan lemah lembut kepada setiap kerabat dan sesama muslim yang lain. Ibn Hajar menjelaskan bahawa sifat penyayang ini meliputi keluarga terdekat serta masyarakat Muslim secara umum. Ia tidak mementingkan diri, tetapi prihatin dengan kesusahan orang lain, membantu, dan memaafkan.

4.    Ketiga: Orang yang menjaga kehormatan diri iaitu orang yang hidup dalam kesusahan tetapi tetap menjaga maruah, tidak meminta-minta kepada orang lain, serta berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki menyara ahli keluarganya. Ulama menyatakan bahawa orang sebegini mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah kerana kesabarannya.

5.    Islam memberi peluang kepada setiap lapisan Masyarakat, sama ada pemimpin, orang berkemampuan, mahupun orang miskin untuk mencapai syurga melalui jalan kebaikan masing-masing.
 
6.    Seorang Muslim hendaklah berusaha menjadi insan yang adil apabila memimpin, penyayang apabila bergaul, dan bermaruah ketika menghadapi kesusahan, kerana sifat-sifat inilah yang menjadi antara jalan menuju syurga yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Sebagai warganegara, sama ada kita seorang pemimpin mahupun pengikut, berusahalah memiliki sifat adil, pemurah, penyayang, lemah lembut serta menjadi pemberi bukan peminta.
 
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026
"Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati"
  
18hb Rabiulawal 1448H
31hb Ogos 2026
 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...