Saturday, 31 October 2026

Tasbih, Tahmid dan Takbir Selepas Solat

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*
 
*Tasbih, Tahmid dan Takbir Selepas Solat*
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَهَذَا حَدِيثُ قُتَيْبَةَ أَنَّ فُقَرَاءَ الْمُهَاجِرِينَ أَتَوْا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا ذَهَبَ أَهْلُ الدُّثُورِ بِالدَّرَجَاتِ الْعُلَى وَالنَّعِيمِ الْمُقِيمِ فَقَالَ وَمَا ذَاكَ قَالُوا يُصَلُّونَ كَمَا نُصَلِّي وَيَصُومُونَ كَمَا نَصُومُ وَيَتَصَدَّقُونَ وَلَا نَتَصَدَّقُ وَيُعْتِقُونَ وَلَا نُعْتِقُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفَلَا أُعَلِّمُكُمْ شَيْئًا تُدْرِكُونَ بِهِ مَنْ سَبَقَكُمْ وَتَسْبِقُونَ بِهِ مَنْ بَعْدَكُمْ وَلَا يَكُونُ أَحَدٌ أَفْضَلَ مِنْكُمْ إِلَّا مَنْ صَنَعَ مِثْلَ مَا صَنَعْتُمْ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ تُسَبِّحُونَ وَتُكَبِّرُونَ وَتَحْمَدُونَ دُبُرَ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ مَرَّةً

_*Daripada Abu Hurairah RA dan ini adalah hadis yang diriwayatkan Qutaibah: Bahawa golongan fakir daripada Muhajirin datang menemui Rasulullah SAW sambil berkata; "Orang-orang kaya telah memborong amal kebaikan derajat yang tinggi dan kenikmatan yang kekal (disisi Allah)." Rasulullah SAW bertanya: "Apa maksud kamu?" Mereka menjawab: "Orang-orang kaya solat sebagaimana kami solat, dan mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, namun mereka bersedekah sedangkan kami tidak dapat melakukannya, mereka boleh memerdekakan tawanan sedangkan kami tidak dapat melakukannya." Lalu Rasulullah SAW  bersabda: "Mahukah aku ajarkan kepada kalian sesuatu yang dengannya kalian boleh menyaingi orang-orang yang mendahului kebaikan kalian, dan kalian boleh mendahului kebaikan orang-orang sesudah kalian, dan tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kalian kecuali orang yang melakukan seperti yang kalian lakukan?" Mereka menjawab; "Mahu wahai Rasulullah?" Baginda bersabda: "Kalian bertasbih, bertakbir, dan bertahmid setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali.*_ (HR Muslim No: 936) Status: Hadis  Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.  Para sahabat sangat bercita-cita mengejar akhirat. Mereka bersedih bukan kerana kurang harta, tetapi kerana bimbang kurang peluang memperoleh pahala.
 
2.  Setiap Muslim berpeluang melakukan pelbagai amalan kebaikan dengan kelebihan yang ada padanya.
 
3.  Berlumba-lumba dalam kebaikan ialah sifat terpuji. Melihat orang lain banyak beramal sepatutnya mendorong kita meningkatkan amal, bukan menjatuhkan mereka.
 
4.  Muslim yang berkemampuan dari segi harta, di samping dapat melaksanakan ibadat solat, puasa, zakat mahupun haji, malah mereka boleh menggunakan kelebihan harta untuk bersedekah, berwakaf dan sebagainya.
 
5.  Kemiskinan bukan penghalang mencapai darjat tinggi di sisi Allah. Allah menyediakan pelbagai pintu ibadah yang tidak bergantung kepada kemampuan kewangan.
 
6.  Allah menganugerahkan kelebihan kepada Muslim yang bertasbih, bertakbir, dan bertahmid setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali setiap satu, melebihi kedudukan dan kelebihan orang kaya.
 
7.  Bagi yang tidak memiliki harta untuk bersedekah, jadikanlah tasbih, tahmid dan takbir yang dibaca sebagai amal sedekah.
 
8.  Ibadah yang mudah jangan dipandang kecil. Zikir hanya mengambil masa beberapa minit, tetapi Nabi SAW mengaitkannya dengan peluang mengejar darjat orang yang mendahului dalam amal.
 
9.  Jangan tinggalkan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada mereka yang bertasbih, bertakbir, dan bertahmid setiap kali selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali setiap satu.
 
21hb Jamadil Awal 1448H
01hb November 2026M

Friday, 30 October 2026

Kalimah Zikir Yang Lebih Baik Dari Seisi Dunia

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Kalimah Zikir Yang Lebih Baik Dari Seisi Dunia*
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَأَنْ أَقُولَ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ

_*Daripada Abu Hurairah RA dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku mengucapkan: ‘Subhanallah (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (segala puji bagi Allah), La ilaha illallah (tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah), dan Allahu Akbar (Allah Maha Besar)’ lebih aku cintai daripada segala sesuatu yang disinari oleh matahari.”*_ (HR Muslim No: 4861) Status: Hadis  Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Berzikir, bertasbih dan bertahmid bagi mengingati Allah adalah amalan terpuji seorang Muslim
 
2.    Empat kalimah Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam. Rasulullah SAW mencintai Muslim yang membaca: 
 
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ
 
*“Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, dan Allah Maha Besar”*
 
3.    Al-Munawi menjelaskan maksud “lebih dicintai daripada sesuatu yang terkena sinar matahari” adalah empat kalimah zikir diatas lebih baik daripada dunia dan seisinya.
 
4.    Kalimah Subhanallah mendidik kita menyucikan Allah daripada segala kekurangan.
 
5.    Kalimah Alhamdulillah membentuk jiwa yang sentiasa bersyukur.
 
6.    Kalimah La ilaha illallah memperkukuh tauhid dan pengabdian hanya kepada Allah. Ia menuntut supaya doa, tawakal, takut, berharap dan seluruh ibadah kita ditujukan kepada Allah SWT.
 
7.    Kalimah Allahu Akbar mengingatkan bahawa Allah lebih besar daripada segala urusan dunia.

عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدَبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَحَبُّ الْكَلاَمِ إِلَى اللَّهِ أَرْبَعٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ. لاَ يَضُرُّكَ بَأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ

*Daripada Samrah bin Jundab, Rasulullah SAW bersabda: "Ada empat ucapan yang paling di sukai Allah SWT; 1) Subhanallah, 2) Al Hamdulillah, 3) Laa ilaaha illallah, 4) Allahu Akbar. Tidak mengapa bagimu dengan mana-mana daripada kalimah tersebut kamu memulai.*
(HR Muslim)
 
18hb Jamadil Awal 1448H
29hb Oktober 2026

Penghulu Istighfar

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Penghulu Istighfar
 
عَنْ شَدَّادُ بْنُ أَوْسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ قَالَ وَمَنْ قَالَهَا مِنْ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَمَنْ قَالَهَا مِنْ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ بِهَا فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ

Daripada Syaddad bin Aus RA daripada Nabi SAW; Baginda bersabda: " Penghulu istighfar ialah engkau mengucapkan: ‘Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku tetap berpegang pada perjanjian dan janji-Mu sekadar yang aku mampu. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan apa yang telah aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau.’ Baginda bersabda lagi: Sesiapa yang mengucapkannya pada waktu siang dengan penuh keyakinan terhadapnya, kemudian dia meninggal dunia pada hari itu sebelum petang, maka dia termasuk dalam kalangan ahli syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada waktu malam dengan penuh keyakinan terhadapnya, kemudian dia meninggal dunia sebelum pagi, maka dia termasuk dalam kalangan ahli syurga.’” (HR Bukhari No: 6306) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Setiap Muslim tidak terkecuali dari melakukan kesalahan dan kesilapan
 
2.    Kita disuruh sentiasa beristighfar agar diampunkan segala dosa
 
3.    Antara lafaz istighfar yang paling baik dan dipanggil penghulu istighfar:
 
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
 
(‘Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku tetap berpegang pada perjanjian dan janji-Mu sekadar yang aku mampu. Aku berlindung kepada-Mu daripada keburukan apa yang telah aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku. Maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau’).
 
4.    Dinamakan penghulu istighfar kerana doa ini menghimpunkan secara sangat lengkap unsur tauhid, ubudiyyah, pengakuan terhadap nikmat Allah, pengakuan terhadap dosa, taubat, pergantungan kepada Allah dan permohonan keampunan.
 
5.    Mukmin yang mengucapkan penghulu istighfar di atas pada waktu pagi atau petang dengan keyakinan terhadap kandungannya, kemudian ia meninggal dunia, maka ia akan masuk syurga.
 
6.    Penghulu istighfar bukan sekadar meminta dosa diampunkan, tetapi mendidik manusia mengenal Allah, mengenal dirinya, mensyukuri nikmat dan berani mengakui kesalahannya.
  
20hb Jamadil Awal 1448H
31hb Oktober 2026
 

Istighfar Mengampunkan Dosa

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

 
*Istighfar Mengampunkan Dosa*
 
عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ قَالَ: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إِلٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ، غُفِرَتْ ذُنُوبُهُ، وَإِنْ كَانَ قَدْ فَرَّ مِنَ الزَّحْفِ
 
_*Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengucapkan: Aku memohon keampunan daripada Allah, yang tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri (serta mentadbir seluruh makhluk), dan aku bertaubat kepada-Nya, nescaya diampunkan dosa-dosanya, sekalipun dia pernah melarikan diri dari medan peperangan.”*_ (HR Abu Daud no: 1517) Status” Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Jangan berputus asa daripada keampunan Allah. Walaupun seseorang pernah melakukan dosa besar, pintu taubat tetap terbuka.
 
2.    Antara ucapan istighfar memohon keampunan kepada Allah, yang barang siapa mengucapkannya, dosanya akan diampunkan walaupun dosa besar kerana melarikan diri daripada peperangan iaitu:

أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الَّذِي لَا إِلٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ، وَأَتُوبُ إِلَيْهِ
 
3.    Istighfar perlu disertai taubat. Lidah menyebut astaghfirullah, hati menyesal, dan anggota berusaha meninggalkan maksiat.
 
4.    Tauhid menjadi asas kepada taubat. Lafaz لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ   mengingatkan bahawa hanya Allah yang mempunyai kuasa mutlak mengampunkan dosa.
 
5.    Mengenali nama dan sifat Allah menguatkan pengharapan. Menyebut الْحَيُّ الْقَيُّومُ   membina keyakinan bahawa kita memohon kepada Tuhan Yang Maha Sempurna.
 
6.    Dosa besar yang dilakukan, tidak menutup pintu untuk bertaubat kepada Allah. Penyebutan dosa melarikan diri dari medan perang memberi gambaran betapa besarnya keluasan rahmat dan keampunan Allah.
 
7.    Istighfar bukan lesen untuk mengulangi dosa. Seseorang tidak boleh sengaja melakukan maksiat dengan alasan “nanti aku beristighfar”.
 
8.    Taubat yang benar menuntut seseorang meninggalkan dosa, menyesalinya dan berazam tidak mengulanginya. Jika dosa itu melibatkan hak manusia, hak tersebut juga perlu diselesaikan.
 
9.    Mukmin perlu hidup antara rasa takut dan berharap. Takut terhadap dosa mendorong kita bertaubat; berharap kepada rahmat Allah menghalang kita daripada berputus asa.
 
19hb Jamadil Awal 1448H
30hb Oktober 2026M

Sunday, 25 October 2026

Doakan Yang Baik Untuk Jenazah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Doakan Yang Baik Untuk Jenazah*
 
عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حَضَرْتُمْ الْمَرِيضَ أَوْ الْمَيِّتَ فَقُولُوا خَيْرًا فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ قَالَتْ فَلَمَّا مَاتَ أَبُو سَلَمَةَ أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبَا سَلَمَةَ قَدْ مَاتَ قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَلَهُ وَأَعْقِبْنِي مِنْهُ عُقْبَى حَسَنَةً قَالَتْ فَقُلْتُ فَأَعْقَبَنِي اللَّهُ مَنْ هُوَ خَيْرٌ لِي مِنْهُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
 
_*Daripada Ummu Salamah RA ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu berada di sisi orang sakit atau orang yang meninggal dunia, maka ucapkanlah perkara yang baik, kerana sesungguhnya para malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan." Ummu Salamah berkata; Apabila Abu Salamah meninggal dunia, aku datang menemui Nabi SAW dan berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Salamah telah meninggal dunia." Maka baginda pun bersabda: "Ucapkanlah, 'ALLAHUMMAGHFIR LII WA LAHU WA`A'QIBNII MINHU UQBAA HASANAH (Ya Allah, ampunilah aku dan ampunilah dia. Dan gantikanlah untukku selepas kehilangannya dengan pengganti yang baik)'". Ummu Salamah RA berkata: Lalu aku pun mengucapkannya, sehingga Allah menggantikan untukku seseorang yang lebih baik bagiku darinya, iaitu Muhammad SAW.*_ (HR Muslim No: 1527) Status: Hadis  Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.     Ketika menziarahi orang sakit atau berada di sisi orang yang meninggal dunia, hendaklah kita berkata yang baik dan memperbanyakkan doa.
 
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ (156)
Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: *"Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun".* (al-Baqarah: 156)
 
2.     Para malaikat mengaminkan ucapan dan doa yang baik pada saat tersebut.
 
3.     Bagi mereka yang kematian pasangan, ucapkan dan doakan yang baik untuk si mati. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW :
 
*اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَلَهُ وَأَعْقِبْنِي مِنْهُ عُقْبَى حَسَنَةً*
(Ya Allah, ampunilah aku dan ampunilah dia. Gantikanlah untukku selepas kehilangannya dengan pengganti yang baik)
 
4.     Islam mengiktiraf kesedihan sebagai fitrah manusia, tetapi melarang ucapan yang mempertikaikan ketentuan Allah.
 
5.     Orang yang ditimpa kehilangan hendaklah bersabar serta berdoa untuk dirinya agar diberikan kekuatan, keampunan dan penggantian yang baik.
 
6.     Ketika berhadapan kematian, lidah seorang Mukmin hendaklah dipenuhi doa, istighfar dan kalimah yang baik, bukan ratapan dan kata-kata putus asa.
 
7.     Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah, antara tanda kekuatan iman ketika menghadapi musibah ialah seseorang mengembalikan urusannya kepada Allah, mengharapkan pahala dan meyakini bahawa pilihan Allah akhirnya lebih baik untuk hamba-Nya.
 
15hb Jamadil Awal 1448H
26hb Oktober 2026M

Saturday, 24 October 2026

Mukmin Paling Utama dan Bijaksana

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Mukmin Paling Utama dan Bijaksana*
 
عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ قَالَ كُنْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا قَالَ فَأَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَكْيَسُ قَالَ أَكْثَرُهُمْ لِلْمَوْتِ ذِكْرًا وَأَحْسَنُهُمْ لِمَا بَعْدَهُ اسْتِعْدَادًا أُولَئِكَ الْأَكْيَاسُ
 
_*Daripada Ibnu Umar RA bahawa dia berkata; Aku pernah bersama Rasulullah SAW, kemudian datang seorang laki-laki Ansar, lalu mengucapkan salam kepada Nabi SAW dan bertanya; "Wahai Rasulullah, siapakah orang mukmin yang paling utama?" Baginda menjawab: "Orang yang paling baik akhlaknya." Lelaki itu bertanya lagi; "Siapakah orang mukmin yang paling cerdik?" Baginda menjawab: "Orang yang paling banyak mengingati kematian, dan yang paling baik persediaannya selepas kematian. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdik."*_ (HR Ibnu Majah No: 4249) Status: Hadis Hasan
 
*Pengajaran:*
 
1.    Kemuliaan seorang Mukmin sangat berkait dengan keindahan akhlaknya.
 
2.    Akhlak yang baik merupakan tanda kesempurnaan dan kematangan iman. Mukmin yang utama ialah yang paling baik akhlaknya
 
3.    Kecerdikan menurut Islam bukan hanya kecerdasan intelektual, tetapi kebijaksanaan menyediakan bekalan untuk akhirat. Mukmin yang cerdik ialah yang paling banyak mengingati kematian dan bersedia menghadapinya.
 
4.    Mengingati kematian bukan untuk melemahkan semangat hidup, tetapi untuk menjadikan kehidupan lebih bermakna dan bertanggungjawab.
 
5.    Mengingati mati hendaklah menghasilkan tindakan berupa taubat, ibadah, amal soleh dan penyelesaian hak sesama manusia.
 
6.    Mengingati mati membantu melembutkan hati, mengurangkan kecintaan melampau kepada dunia dan mendorong seseorang melakukan persediaan untuk akhirat.
 
7.    Orang yang sedar bahawa dirinya akan menghadap Allah akan lebih berhati-hati terhadap dosa dan kezaliman.
 
8.    Dunia hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyediakan bekalan akhirat, bukan dianggap sebagai destinasi terakhir.
 
9.    Orang yang benar-benar cerdik ialah orang yang memikirkan bukan sahaja bagaimana dia mahu hidup, tetapi bagaimana dia mahu mengakhiri kehidupan dan dalam keadaan bagaimana dia mahu bertemu Allah SWT.
 
14hb Jamadil Awal 1448H
25hb Oktober 2026M

Friday, 23 October 2026

Pelihara Silaturahim

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Pelihara Silaturahim*
 
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
 
_*Daripada Anas bin Malik RA berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW  bersabda: "Sesiapa yang suka agar dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung hubungan silaturahim".*_ (HR Bukhari No: 1925) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.     Menyambung silaturahim merupakan ibadah dan tuntutan penting dalam Islam.
 
2.     Silaturahim menjadi salah satu sebab Allah melapangkan dan memberkati rezeki.
 
3.     Silaturahim menjadi sebab dipanjangkan atau diberkati umur.
 
4.     Keberkatan umur bermaksud usia dipenuhi ketaatan, manfaat dan amal yang berpanjangan.
 
5.     Silaturahim bukan sekadar membalas layanan baik orang lain; tahap yang lebih tinggi ialah tetap menyambung hubungan walaupun pihak lain memutuskannya.
 
6.     Islam sangat keras melarang perbuatan memutuskan silaturahim.
 
7.     Menjaga hubungan keluarga merupakan sebahagian daripada tanda iman dan akhlak seorang Muslim.
 
8.     Jika kita menginginkan rezeki yang berkat dan usia yang bermanfaat, jagalah hubungan dengan Allah dan jangan abaikan hubungan dengan keluarga.
 
13hb Jamadil Awal 1448H
24hb Oktober 2026M

Adab dan Doa Menziarahi Kubur

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

 
*Adab dan Doa Menziarahi Kubur* 
 
عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ بُرَيْدَةَ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُعَلِّمُهُمْ إِذَا خَرَجُوا إِلَى الْمَقَابِرِ فَكَانَ قَائِلُهُمْ يَقُولُ - فِي رِوَايَةِ أَبِي بَكْرٍ - السَّلاَمُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ - وَفِي رِوَايَةِ زُهَيْرٍ - السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ.
 
_*Daripada Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya, Buraidah bin al-Husaib RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW mengajar mereka apabila mereka keluar menuju ke tanah perkuburan. Dalam riwayat Abu Bakr (bin Abi Syaibah), seseorang daripada mereka mengucapkan: ‘Salam sejahtera ke atas penghuni tempat ini.’ Dan dalam riwayat Zuhair: ‘Salam sejahtera ke atas kamu, wahai penghuni tempat ini daripada kalangan orang-orang Mukmin dan Muslim. Sesungguhnya kami, insya-Allah, pasti akan menyusuli kamu. Aku memohon kepada Allah kesejahteraan (‘afiyah) untuk kami dan untuk kamu.’”*_ (HR Muslim No: 975) Status Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Menziarahi perkuburan merupakan amalan yang disyariatkan dan mempunyai adab yang diajar Rasulullah SAW.
 
2.    Disunatkan memberi salam ketika menziarahi perkuburan Islam serta mendoakan penghuni kubur, antaranya dengan ucapan:
 
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ
 
3.    Ziarah kubur mengingatkan manusia bahawa kematian adalah suatu kepastian.
 
4.    Seorang Muslim hendaklah sentiasa mempersiapkan diri untuk bertemu Allah dengan iman dan amal soleh.
 
5.    Orang yang telah meninggal dunia memerlukan doa daripada mereka yang masih hidup.
 
6.    Memohon ‘afiyah (kesejahteraan) merupakan doa yang sangat luas kerana merangkumi keselamatan dunia, alam barzakh dan akhirat.
 
7.    Ziarah kubur hendaklah memperkuat tauhid: salam diberikan kepada penghuni kubur, tetapi doa dan permohonan ditujukan kepada Allah SWT.
 
8.    Kubur mendidik manusia supaya tidak terlalu terikat dengan kemegahan dunia kerana akhirnya semua manusia akan menuju destinasi yang sama.
 
12hb Jamadil Awal 1448H
23hb Oktober 2026M

Thursday, 22 October 2026

Syafaat Melalui Solat Jenazah 40 Orang

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Syafaat Melalui Solat Jenazah 40 Orang*
 
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما: أَنَّهُ مَاتَ ابْنٌ لَهُ بِقُدَيْدٍ أَوْ بِعُسْفَانَ، فَقَالَ: يَا كُرَيْبُ، انْظُرْ مَا اجْتَمَعَ لَهُ مِنَ النَّاسِ. قَالَ: فَخَرَجْتُ، فَإِذَا نَاسٌ قَدِ اجْتَمَعُوا لَهُ، فَأَخْبَرْتُهُ. فَقَالَ: تَقُولُ هُمْ أَرْبَعُونَ؟ قُلْتُ: نَعَمْ. قَالَ: أَخْرِجُوهُ، فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ، فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلًا، لَا يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا، إِلَّا شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ.

_*Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa seorang anaknya meninggal dunia di Qudaid atau Usfan. Lalu beliau berkata kepada Kuraib: "Wahai Kuraib, lihatlah berapa ramai orang yang telah berkumpul untuk solat jenazahnya." Kuraib berkata: Aku pun keluar dan mendapati orang ramai telah berkumpul. Lalu aku memberitahunya. Beliau (Ibn Abbas) bertanya: "Adakah mereka berjumlah empat puluh orang?" Aku menjawab: "Ya." Lalu beliau berkata: "Bawalah jenazah itu keluar, kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia, lalu empat puluh orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu apa pun berdiri menunaikan solat jenazahnya, melainkan Allah menerima syafaat mereka untuknya.'"*_ (HR Muslim No: 1577) Status: Sahih
 
*Pengajaran:*

1.    Solat jenazah dan doa orang beriman memiliki nilai yang besar kepada jenazah yang disembahyangkan kerana ia boleh menjadi syafaat. Menurut Imam al-Nawawi, maksud syafaat dalam hadis ini ialah Allah menerima doa dan permohonan keampunan yang dipanjatkan oleh mereka yang menunaikan solat jenazah.
 
2.    Menurut Ibn Hajar, bilangan empat puluh bukan bertujuan mengehadkan rahmat Allah kepada bilangan tertentu. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa apabila sejumlah orang beriman yang ikhlas berkumpul dan mendoakan si mati, doa tersebut mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah.
 
3.    Ibnu Batthal dalam Syarah al-Bukhari menjelaskan, yang menyebabkan si mati mendapatkan syafaat adalah kerana salah seorang dari empat puluh orang yang solat ke atas jenazah itu, ketika mendoakan jenazah tersebut, doanya dimakbulkan Allah. Semakin ramai yang mendoakan kebaikan bagi jenazah tersebut maka semakin besar kemungkinan akan mendapatkan syafaat.
 
4.    Hadis ini menunjukkan bahawa doa dari orang yang Ikhlas, beriman dan tidak syirik, mampu menjadi sebab keampunan kepada jenazah. Maka, bergaullah dengan orang soleh semasa hidup, kerana mereka boleh memberi manfaat kepada kita walaupun selepas kita meninggal.
 
5.    Orang yang tidak mensyirikkan Allah memiliki kedudukan yang tinggi di sisi Allah, sehingga doa mereka untuk orang lain akan diterima Allah.
 
6.    Islam menjadikan pengurusan jenazah dan solat jenazah sebagai tanggungjawab fardhu kifayah. Umat Islam perlu saling membantu dan mendoakan orang Islam lain yang meninggal dunia antaranya solatkan jenazah mereka, bukan hanya ahli keluarga si mati.
 
7.    Hadis ini menegaskan bahawa solat jenazah merupakan ibadah yang sarat dengan rahmat dan syafaat. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa apabila empat puluh orang Muslim yang tidak mensyirikkan Allah SWT menunaikan solat jenazah dan mendoakan si mati, Allah menerima doa mereka sebagai syafaat untuknya.
 
11hb Jamadil Awal 1448H
22hb Oktober 2026M

Tuesday, 20 October 2026

Ganjaran Solat dan Mengiringi Jenazah

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*
 
*Ganjaran Solat dan Mengiringi Jenazah*
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ اتَّبَعَ جَنَازَةَ مُسْلِمٍ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا وَكَانَ مَعَهُ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا وَيَفْرُغَ مِنْ دَفْنِهَا فَإِنَّه يَرْجِعُ مِنْ الْأَجْرِ بِقِيرَاطَيْنِ كُلُّ قِيرَاطٍ مِثْلُ أُحُدٍ وَمَنْ صَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ رَجَعَ قَبْلَ أَنْ تُدْفَنَ فَإِنَّهُ يَرْجِعُ بِقِيرَاطٍ
 
_*Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa mengiringi jenazah seorang muslim, dengan penuh keimanan dan mengharapkan balasan pahala daripada Allah, lalu dia terus bersamanya sehingga disolatkan jenazah dan selesai pengebumiannya, maka dia pulang dengan membawa pahala sebanyak dua qirat, setiap satu qirat setara dengan gunung Uhud (satu pahala yang besar). Dan barang siapa yang menyembahyangkan jenazah itu kemudian pulang sebelum dikebumikan maka dia pulang membawa pahala sebanyak satu qirat".*_ (HR Bukhari No: 45) Status: Hadis  Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Menyembahyangkan jenazah dan mengiringi sehingga dikebumikan merupakan sebahagian daripada tuntutan iman. Iman melahirkan kepedulian kepada saudara seagama ketika hidup mahupun setelah meninggal dunia.
 
2.    Keikhlasan merupakan asas penerimaan dan kesempurnaan pahala amal. Hadir ke pengebumian hendaklah kerana iman dan ikhlas, bukan sekadar adat atau mahu dilihat orang.
 
3.    Orang yang solat jenazah kerana iman dan keikhlasan mengharap ganjaran Allah, akan mendapat ganjaran pahala satu qirat iaitu seumpama gunung Uhud (ganjaran pahala yang besar).
 
4.    Orang yang solat dan mengiringi jenazah sehingga selesai pengebumian kerana iman dan keikhlasan, akan mendapat ganjaran yang lebih besar iaitu dua qirat (pahala seumpama dua gunung Uhud).
 
5.    Jangan terlalu cepat meninggalkan pengebumian tanpa keperluan. Jika keadaan mengizinkan, hadis ini mendorong kita untuk terus bersama sehingga selesai pengebumian.
 
6.    Menghadiri jenazah merupakan manifestasi ukhuwah. Persaudaraan Islam bukan hanya ketika makan bersama, bermesyuarat atau bergembira bersama, tetapi juga ketika saudara kita meninggalkan dunia.
 
7.    Mengiringi jenazah melembutkan hati dan mengingatkan kematian. Hari ini kita mengiringi orang lain; suatu hari nanti orang lain pula akan mengiringi kita.
 
8.    Hadis ini menunjukkan keluasan rahmat dan kemurahan Allah. Allah memberikan ganjaran yang sangat besar bagi amalan yang dilakukan dengan ikhlas.
 
9.    Hadis ini mendidik kita supaya memanfaatkan peluang amal. Kadang-kadang peluang memperoleh pahala besar berada dalam perkara yang kelihatan sederhana tetapi kita abaikan.
 
10hb Jamadil Awal 1448H
21hb Oktober 2026M

Berwasiat Suatu Keperluan

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

 
*Berwasiat Suatu Keperluan*
 
عَنْ سَعْدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهِ يَعُودُهُ وَهُوَ مَرِيضٌ وَهُوَ بِمَكَّةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ خَشِيتُ أَنْ أَمُوتَ بِالْأَرْضِ الَّتِي هَاجَرْتُ مِنْهَا كَمَا مَاتَ سَعْدُ ابْنُ خَوْلَةَ فَادْعُ اللَّهَ أَنْ يَشْفِيَنِي قَالَ اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا اللَّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي مَالًا كَثِيرًا وَلَيْسَ لِي وَارِثٌ إِلَّا ابْنَةً أَفَأُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ قَالَ لَا قَالَ أَفَأُوصِي بِثُلُثَيْهِ قَالَ لَا قَالَ أَفَأُوصِي بِنِصْفِهِ قَالَ لَا قَالَ أَفَأُوصِي بِالثُّلُثِ قَالَ الثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّ نَفَقَتَكَ مِنْ مَالِكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِنَّ نَفَقَتَكَ عَلَى عِيَالِكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِنَّ نَفَقَتَكَ عَلَى أَهْلِكَ لَكَ صَدَقَةٌ وَإِنَّكَ أَنْ تَدَعَ أَهْلَكَ بِعَيْشٍ أَوْ قَالَ بِخَيْرٍ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ
 
_*Daripada Saad RA, bahawa Rasulullah SAW datang menziarahinya ketika dia sedang sakit di Makkah. Kemudian Saad berkata; "Wahai Rasulullah, aku bimbang akan meninggal dunia di bumi yang telah aku berhijrah daripadanya, sebagaimana Saad bin Khaulah meninggal dunia. Maka berdoalah kepada Allah supaya menyembuhkan aku." Baginda berdoa: "ALLAHUMMA ASYFI SA'DAN, ALLAHUMMA ASYFI SA'DAN, ALLAHUMMA ASYFI SA'DAN (Ya Allah sembuhkanlah Saad, ya Allah sembuhkanlah Saad, ya Allah sembuhkanlah Saad) " kemudian Saad berkata; "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta yang banyak dan aku tidak mempunyai waris kecuali seorang anak Perempuan. Bolehkah aku mewaisatkan seluruh hartaku untuknya?" Baginda menjawab; "Tidak" Saad bertanya lagi; "Atau aku wasiatkan dua pertiganya?" Baginda menjawab; "Tidak" Saad bertanya lagi; "Atau aku wasiatkan separuh?" Baginda menjawab; "Tidak" Saad bertanya lagi; "Atau aku wasiatkan sepertiganya?" Rasulullah SAW menjawab; "Ya, sepertiga, dan sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya nafkah yang engkau keluarkan daripada hartamu adalah sedekah bagimu. Nafkahmu kepada anak-anakmu adalah sedekah bagimu. Nafkahmu kepada keluargamu adalah sedekah bagimu. Dan sesungguhnya engkau meninggalkan keluargamu dalam keadaan berkecukupan adalah lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka meminta-minta kepada manusia.”*_ (HR Ahmad No: 1363) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Menziarahi orang sakit ialah sunnah Rasulullah SAW. Ziarah menunjukkan kasih sayang dan kepedulian terhadap saudara yang sedang diuji.
 
2.    Kita dianjurkan ketika menziarahi orang yang sakit, mendoakan kesembuhan. Antara doa mudah (dengan disebut namanya dihujung doa itu);
 
اللَّهُمَّ اشْفِ
 
3.    Antara adab dan tuntutan kepada orang yang sakit ialah membuat wasiat.
 
4.    Wasiat harta hendaklah dibuat mengikut ketetapan syarak iaitu tidak melebihi sepertiga.
 
5.    Dua pertiga daripada harta yang dimiliki boleh ditinggalkan sebagai harta faraid kepada ahli keluarga.
 
6.    Nafkah kepada keluarga boleh menjadi sedekah dan ibadah. Sesuatu yang kelihatan seperti urusan rutin keluarga boleh mendapat pahala apabila dilakukan dengan niat kerana Allah.
 
7.    Menjaga kebajikan waris merupakan suatu kebaikan. Meninggalkan harta yang mencukupi kepada ahli keluarga yang ditinggalkan adalah lebih baik agar mereka tidak bergantung kepada pemberian orang lain atau menjadi peminta sedekah.
 
8.    Islam mahu kita meninggalkan keluarga dalam keadaan bermaruah. Perancangan kewangan, nafkah, harta pusaka dan wasiat bukan sekadar urusan dunia, tetapi sebahagian daripada amanah agama.
 
09hb Jamadil Awal 1448H
20hb Oktober 2026M

Sunday, 18 October 2026

Menunaikan Tanggungjawab Muslim

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Menunaikan Tanggungjawab Muslim
 
عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ بِعِيَادَةِ الْمَرِيضِ وَاتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَتَشْمِيتِ الْعَاطِسِ وَنَصْرِ الضَّعِيفِ وَعَوْنِ الْمَظْلُومِ وَإِفْشَاءِ السَّلَامِ وَإِبْرَارِ الْمُقْسِمِ وَنَهَى عَنْ الشُّرْبِ فِي الْفِضَّةِ وَنَهَانَا عَنْ تَخَتُّمِ الذَّهَبِ وَعَنْ رُكُوبِ الْمَيَاثِرِ وَعَنْ لُبْسِ الْحَرِيرِ وَالدِّيبَاجِ وَالْقَسِّيِّ وَالْإِسْتَبْرَقِ
 
Daripada Al Barra` bin 'Azib RA dia berkata; Rasulullah SAW memerintahkan kami dengan tujuh perkara iaitu; menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang yang bersin, menolong yang lemah, membantu orang yang dizalimi, menyebarkan salam dan menunaikan sumpah orang yang bersumpah. Baginda juga melarang minum dari bekas yang dibuat dari perak, memakai cincin emas, menaiki sekedup yang ditutupi dengan kain sutera (alas pelana mewah), memakai sutera, dibaj, Qasiy dan Istabraq (jenis kain sutera)." (HR Bukhari No: 5766) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Islam membina masyarakat yang saling peduli, bukan masyarakat individualistik.
 
2.    Ukhuwah mesti diterjemahkan kepada tindakan. Antaranya:
 
a.     Menziarahi orang sakit
b.    Mengiringi jenazah
c.     Mendoakan orang yang bersin
d.    Menolong orang yang lemah
e.     Menolong orang yang dizalimi
f.      Menyebarkan salam
g.     Menunaikan sumpah atau janji
 
3.    Islam menjaga hubungan manusia dari perkara kecil hingga perkara besar, daripada mendoakan orang yang bersin dan memberi salam, hinggalah membela orang yang dizalimi.
 
4.    Islam menolak budaya kemewahan yang melampaui batas. Seorang mukmin tidak sepatutnya mengukur kemuliaan melalui pakaian, perhiasan dan kemewahan. Antaranya, setiap lelaki Muslim dilarang;
 
a.     Minum dari bekas yang dibuat dari perak
b.    Memakai cincin emas
c.     Menaiki kenderaan yang ditutupi dengan kain sutera
d.    Memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera
 
5.    Akhlak Islam mempunyai dua dimensi: melakukan perkara yang membawa maslahat dan meninggalkan perkara yang ditegah Allah.
 
6.    Iman mempunyai dimensi sosial. Kesolehan seseorang bukan hanya terlihat pada banyaknya ibadah peribadi, tetapi juga pada sejauh mana kewujudannya memberi manfaat kepada manusia.
 
7.    Ukhuwah bukan sekadar kita bersama ketika senang. Ukhuwah yang sebenar terserlah apabila kita hadir ketika saudara kita sakit, lemah, dizalimi dan memerlukan pertolongan
  
08hb Jamadil Awal 1448H
19hb Oktober 2026
 

Saturday, 17 October 2026

Mukmin Perlu Prihatin Kepada Masyarakat

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*
 
*Mukmin Perlu Prihatin Kepada Masyarakat*
  
عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فُكُّوا الْعَانِيَ يَعْنِي الْأَسِيرَ وَأَطْعِمُوا الْجَائِعَ وَعُودُوا الْمَرِيضَ
 
_*Daripada Abu Wa'il dari Abu Musa RA beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bebaskanlah orang yang ditawan, berilah makan kepada orang yang kelaparan dan ziarahlah orang yang sakit".*_ (HR Bukhari No: 2819) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Islam mendidik umatnya supaya prihatin terhadap kesusahan orang lain.

2.    Membantu membebaskan orang daripada kesempitan dan penderitaan merupakan manifestasi ukhuwah dan rahmah sesama manusia.
 
3.    Memberi makan kepada orang yang lapar ialah amalan kebajikan yang sangat dituntut. Keprihatinan bukan sekadar rasa simpati, tetapi perlu diterjemahkan kepada tindakan.
 
4.    Menziarahi orang sakit merupakan hak ukhuwah. Ziarah dapat menggembirakan pesakit, menguatkan semangatnya serta menunjukkan bahawa dia tidak dilupakan.
 
5.    Islam mengambil berat keperluan manusia secara menyeluruh — kebebasan, keperluan fizikal dan sokongan ketika berada dalam kelemahan.
 
6.    Ukhuwah yang sebenar terserlah ketika saudara kita dalam kesusahan. Nilai persaudaraan bukan hanya ketika senang, tetapi lebih bermakna ketika kita hadir membantu pada saat diperlukan.
 
07hb Jamadil Awal 1448H
18hb Oktober 2026M

Friday, 16 October 2026

Berziarah Mendapat Doa Para Malaikat

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

 
*Berziarah  Mendapat Doa Para Malaikat*
 
عن علي بن أبي طالب قال‏:‏ قال رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏:‏   مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَعُودُ مُسْلِمًا غُدْوَةً إِلَّا صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُمْسِيَ وَإِنْ عَادَهُ عَشِيَّةً إِلَّا صَلَّى عَلَيْهِ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ حَتَّى يُصْبِحَ وَكَانَ لَهُ خَرِيفٌ فِي الْجَنَّةِ
 
_*Daripada ‘Ali bin Abi Talib RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim menziarahi seorang Muslim yang sakit pada waktu pagi, melainkan tujuh puluh ribu malaikat mendoakannya sehingga petang. Jika dia menziarahinya pada waktu petang, tujuh puluh ribu malaikat mendoakannya sehingga pagi. Dan baginya satu kharīf (buah-buahan yang dipetik) di dalam syurga.”*_ (HR Tirmizi No: 891) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Antara hikmah dituntut saling berziarah adalah untuk mengeratkan lagi ikatan persaudaraan sesama muslim.
 
2.    Menziarahi orang sakit merupakan sunnah yang mempunyai ganjaran sangat besar.
 
3.    Orang yang menziarahi saudaranya yang sakit akan didoakan oleh 70,000 malaikat.
 
4.    Jika ia menziarahi sebelah pagi, para malaikat akan mendoakan kebaikan dan keampunan padanya hingga ke petang. Jika ia menziarahi sebelah petang, para malaikat akan mendoakan kebaikan dan keampunan untuknya sehingga pagi keesokan harinya.
 
5.    Orang yang menziarahi dijanjikan ganjaran syurga. Ungkapan خَرِيفٌ فِي الْجَنَّةِ  menggambarkan hasil dan buah-buahan syurga yang disediakan kepadanya sebagai ganjaran.
 
6.    Menziarahi orang sakit menghimpunkan pelbagai nilai antaranya mengeratkan ukhuwah, menyuburkan kasih sayang, mengambil berat, memberi sokongan, mengembirakan hati serta mendoakan.
 
03hb Jamadil Awal 1448H
14hb Oktober 2026M

Ziarah Pesakit dan Iringi Jenazah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Ziarah Pesakit dan Iringi Jenazah*
 
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عُودُوا الْمَرْضَى وَاتَّبِعُوا الْجَنَائِزَ تُذَكِّرُكُمْ الْآخِرَةَ
 
_*Daripada Abu Sa'id Al-Khudri RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Ziarahilah orang-orang yang sakit dan iringilah jenazah, kerana hal itu akan mengingatkan kamu kepada akhirat."*_  (HR Ahmad No: 11020) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.     Menziarahi orang sakit merupakan tuntutan syariat dan manifestasi ukhuwah. Ia memberikan sokongan emosi, doa dan kekuatan kepada pesakit.
 
2.     Mengiringi jenazah merupakan hak persaudaraan serta tanggungjawab sebagai Muslim yang hidup bermasyarakat.
 
3.     Ziarah orang sakit bukan hanya bermanfaat kepada pesakit. Ia mendidik penziarah supaya menghargai nikmat kesihatan.
 
4.     Jenazah merupakan peringatan paling nyata tentang kefanaan dunia. Kedudukan, kekayaan dan kemasyhuran akhirnya ditinggalkan.
 
5.     Menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah ke kubur bukan hanya mengingatkan kita tentang sakit, kematian serta akhirat malah boleh mendidik hati dan mendorong melakukan amal soleh.
 
6.     Sakit mengingatkan bahawa kekuatan manusia akan berakhir, manakala jenazah mengingatkan bahawa kehidupan dunia sendiri akan berakhir. Mengingati akhirat akan menimbulkan keinsafan untuk bersegera melakukan amal soleh dan meninggalkan maksiat.

06hb Jamadil Awal 1448H
17hb Oktober 2026M

Thursday, 15 October 2026

Musibah Penghapus Dosa

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Musibah Penghapus Dosa*
 
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُمَا سَمِعَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ وَصَبٍ وَلَا نَصَبٍ وَلَا سَقَمٍ وَلَا حَزَنٍ حَتَّى الْهَمِّ يُهَمُّهُ إِلَّا كُفِّرَ بِهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِ
 
_*Daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah RA bahawasanya kedua-duanya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Mukmin ditimpa penyakit yang berpanjangan, keletihan, kesakitan, kesedihan, bahkan keresahan yang merunsingkannya, melainkan dengannya dihapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya.*_ (HR Muslim No: 4670) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Musibah berbentuk penyakit, keletihan, kesedihan dan keresahan yang dilalui oleh seseorang adalah ujian daripada Allah untuk hambanya.
 
2.    Setiap Mukmin hendaklah bersangka baik kepada Allah ketika ditimpa ujian seperti sakit, letih, sedih juga gelisah.
 
3.    Setiap ujian berbentuk penyakit, keletihan, kesusahan, kesedihan dan keresahan yang menimpa mukmin, akan menjadi penghapus dosa-dosanya.
 
4.    Sabar menghadapi setiap ujian juga musibah akan menambah nilai kehidupan. Musibah menjadi kaffarah (penghapus dosa), sementara sabar dan redha membawa ganjaran pahala dan peningkatan darjat.
 
5.    Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan segala jenis kesakitan dan musibah yang menimpa seorang Muslim menjadi sebab penghapusan dosa, termasuk perkara yang kecil.
 
6.    Ujian sepatutnya mendekatkan seseorang kepada Allah. Gunakan waktu sakit untuk memperbanyakkan doa, istighfar, zikir dan muhasabah mengikut kemampuan.
 
04hb Jamadil Awal 1448H
15hb Oktober 2026M

Monday, 12 October 2026

Ganjaran Ziarah Orang Sakit

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Ganjaran Ziarah Orang Sakit*

عن أبو هريرة رضي الله عنه، قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏   مَنْ عَادَ مَرِيضًا ، نَادَى مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ : طِبْتَ ، وَطَابَ مَمْشَاكَ ، وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الْجَنَّةِ مَنْزِلاً
 
_*Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka ada penyeru (malaikat) dari langit menyerunya: ‘Semoga engkau memperoleh kebaikan, baiklah perjalananmu, dan semoga engkau mendapat suatu tempat tinggal di dalam syurga.’”*_ (HR Tirmizi No: 2008) Status Hadis Hasan
 
*Pengajaran:*
 
1.    Menziarahi orang sakit merupakan sunnah yang sangat dituntut dan termasuk hak persaudaraan sesama Muslim.
 
2.    Ziarah orang sakit mempunyai ganjaran dunia dan akhirat. Penziarah didoakan Malaikat dengan kebaikan dan diberikan khabar gembira tentang syurga.
 
3.    Perjalanan untuk menziarahi orang sakit juga bernilai ibadah dan mendapat keberkatan dengan didoakan kebaikan oleh Malaikat.
 
4.    Islam membina masyarakat yang saling mengambil berat. Seorang Mukmin tidak membiarkan saudaranya menghadapi sakit dan kesusahan bersendirian. Ziarah menguatkan ukhuwah. Beberapa minit bersama pesakit mungkin kelihatan kecil bagi kita, tetapi besar nilainya di sisi Allah SWT.
 
5.    Ukhuwah tidak hanya dibuktikan ketika semuanya berada dalam keadaan senang. Nilainya lebih terasa apabila seorang sahabat sedang lemah, sakit dan memerlukan sokongan. Ada kalanya pesakit tidak memerlukan hadiah yang mahal; kehadiran sahabat sudah cukup untuk membuatkannya merasakan bahawa dia masih diingati.
 
6.    Doa merupakan hadiah terbaik kepada orang sakit. Selain membawa buah tangan, bawalah juga doa dan kata-kata yang memberikan harapan.
 
7.    Jagalah adab ketika menziarahi pesakit antaranya, tidak ziarah terlalu lama, tidak terlalu banyak bertanya, berikan harapan serta doakan pesakit.
 
02hb Jamadil Awal 1448H
13hb Oktober 2026M

Sunday, 11 October 2026

Munajat Hujan Turun, Hilangkan Jerebu

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Munajat Hujan Turun, Hilangkan Jerebu*

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رضي الله عنه أَنَّ رَجُلاً دَخَلَ الْمَسْجِدَ يَوْمَ جُمُعَةٍ مِنْ بَابٍ كَانَ نَحْوَ دَارِ الْقَضَاءِ , وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَائِمٌ يَخْطُبُ , فَاسْتَقْبَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَائِمًا , ثُمَّ قَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ , هَلَكَتِ الأَمْوَالُ , وَانْقَطَعَتِ السُّبُلُ فَادْعُ اللَّهَ تَعَالَى يُغِثْنَا , قَالَ : فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَدَيْهِ ثُمَّ قَالَ : اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا. قَالَ أَنَسٌ : فَلا وَاَللَّهِ مَا نَرَى فِي السَّمَاءِ مِنْ سَحَابٍ وَلا قَزَعَةٍ , وَمَا بَيْنَنَا وَبَيْنَ سَلْعٍ مِنْ بَيْتٍ وَلا دَارٍ . قَالَ : فَطَلَعَتْ مِنْ وَرَائِهِ سَحَابَةٌ مِثْلُ التُّرْسِ . فَلَمَّا تَوَسَّطَتِ السَّمَاءَ انْتَشَرَتْ ثُمَّ أَمْطَرَتْ , قَالَ : فَلا وَاَللَّهِ مَا رَأَيْنَا الشَّمْسَ سَبْتًا .

_*Daripada Anas bin Malik RA, Seorang lelaki memasuki masjid pada hari Jumaat melalui pintu yang bertentangan dengan Dar al-Qadha. Ketika itu Rasulullah SAW sedang berdiri menyampaikan khutbah. Lelaki itu berdiri menghadap Rasulullah SAW lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, harta benda telah binasa dan jalan-jalan telah terputus (perhubungan) (banyak orang kelaparan dan kehausan). Mohonlah kepada Allah agar menurunkan hujan!’. Anas berkata: Lalu Rasulullah SAW mengangkat kedua-dua tangannya dan mengucapkan: “اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا” (Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan. Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan. Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan.). Anas berkata: ‘Demi Allah, sebelum itu kami tidak melihat sedikit pun awan tebal mahupun yang nipis. Awan-awan juga tidak ada di antara tempat kami, di bukit, rumah-rumah atau satu bangunan pun”. Anas berkata, “Tetapi tiba-tiba dari arah bukit tampaklah awan bagaikan sebuah perisai. Ketika sudah berarak sampai ke tengah langit, awan pun berpisah dan hujan pun turun”. Anas melanjutkan, “Demi Allah, sungguh kami tidak melihat matahari selama tujuh hari (ini kerana banyaknya hujan).”*_ (HR Bukhari No:1014) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.    Setiap musibah yang berlaku adalah salah satu ujian dari Allah yang mungkin akibat kecuaian manusia bertujuan untuk menguji kesabaran kita.
 
2.    Seorang Muslim tidak boleh bersikap tidak peduli terhadap penderitaan masyarakat. Masalah kekurangan air, makanan dan sumber kehidupan memerlukan doa serta tindakan yang bertanggungjawab. Islam mengajar kita untuk berdoa memohon kepada Allah agar dipulihkan dari sebarang musibah dan keburukan.
 
3.    Bencana jerebu yang melanda Negara pada waktu ini dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi dikebanyakan kawasan memberi kesan buruk kepada kesihatan. Jerebu boleh dikurangkan melalui penurunan hujan yang lebat.
 
4.    Rasulullah SAW mengajar kita berdoa dengan mengangkat kedua tangannya dan mengucapkan: “اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا” *(Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan. Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan. Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan).*
 
5.    Kita boleh melaksanakan solat sunat istisqa untuk minta turun hujan. Marilah kita bermunajat kepada Allah agar diturunkan hujan yang berperanan bukan semata-mata membersih bumi, tetapi dengan turunnya hujan, maka udara yang berada di sekeliling kita juga dibersihkan oleh hujan tersebut. Moga jerebu akan hilang, cuaca dan udara akan menjadi bersih dan baik serta memberi kelegaan kepada kita dalam mengharungi kehidupan dengan lebih tenang dan teratur.

“اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا , اللَّهُمَّ أَغِثْنَا”

*(Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan. Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan. Ya Allah, bantulah kami dengan menurunkan hujan)*
 
01hb Jamadil Awal 1448H
12hb Oktober 2026M

Saturday, 10 October 2026

Wanita Ahli Syurga

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Wanita Ahli Syurga*
 
عَنْ عِمْرَانَ أَبِي بَكْرٍ قَالَ حَدَّثَنِي عَطَاءُ بْنُ أَبِي رَبَاحٍ قَالَ قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ أَلَا أُرِيكَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ قُلْتُ بَلَى قَالَ هَذِهِ الْمَرْأَةُ السَّوْدَاءُ أَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ إِنِّي أُصْرَعُ وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ فَادْعُ اللَّهَ لِي قَالَ إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الْجَنَّةُ وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ فَقَالَتْ أَصْبِرُ فَقَالَتْ إِنِّي أَتَكَشَّفُ فَادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ لَا أَتَكَشَّفَ فَدَعَا لَهَا
 
_*Daripada Imran bin Abu Bakar, beliau berkata; telah menceritakan kepadaku 'Atha` bin Abu Rabah dia berkata bahawa Ibnu Abbas pernah berkata kepadaku; "Mahukah aku tunjukkan kepadamu seorang wanita ahli syurga?" Aku menjawab; "Tentu." Beliau berkata; "Wanita berkulit hitam ini. Dia pernah menemui Nabi SAW lalu berkata; "Sesungguhnya aku mengalami sawan dan ketika sawan, auratku sering terbuka (sehingga) dilihat orang (ketika penyakit itu datang), maka berdoalah kepada Allah untukku." Baginda bersabda: “Jika engkau mahu, engkau boleh bersabar dan bagimu syurga; dan jika engkau mahu, aku akan berdoa kepada Allah supaya Dia memberikan kesihatan kepadamu.”Wanita itu lalu  berkata; "Baiklah aku akan bersabar." Wanita itu berkata lagi; "Namun berdoalah kepada Allah agar (auratku) tidak tersingkap Ketika diserang sawan." Maka baginda mendoakan untuknya."*_ (HR Bukhari No: 5220) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Setiap penyakit itu datang daripada Allah. Sabar menghadapi penyakit mempunyai ganjaran yang sangat besar.
 
2.    Berusaha dan berikhtiar merawat penyakit juga dituntut, di samping berdoa untuk kesembuhan.
 
3.    Bersabar dan reda terhadap ujian penyakit dengan tidak mengeluh dan marah terhadap takdir Allah. Tahan lisan dari mengeluh, marah, atau ucapan lain yang menunjukkan tidak menerima takdir Allah.
 
4.    Berdoa agar Allah memelihara diri sepanjang kita menghadapi kesakitan tersebut.
 
5.    Menjaga aurat dan maruah sangat penting. Wanita tersebut sanggup bersabar dengan penyakit tetapi tetap meminta agar auratnya tidak tersingkap.
 
6.    Perkara yang berlaku di luar kawalan tidak sama dengan perbuatan yang disengajakan. Tersingkapnya aurat ketika sawan bukanlah sesuatu yang dilakukan secara sengaja dan ia tidak berdosa.
 
7.    Orang yang bersabar dan reda menghadapi ujian penyakit, dijanjikan sebagai calon ahli syurga seperti wanita diatas.
 
8.    Kita tidak memilih penyakit, tetapi apabila ia datang kita boleh memilih cara menghadapinya: berubat semampunya, berdoa bersungguh-sungguh, menjaga maruah, terus melakukan ketaatan yang termampu dan bersabar terhadap perkara yang tidak dapat kita ubah.
 
29hb Rabiulakhir 1448H
11hb Oktober 2026M

Friday, 9 October 2026

Pahala Berterusan Walaupun Sakit dan Musafir

*ASALAMULAIKUM WBT.*


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
 
*Pahala Berterusan Walaupun Sakit dan Musafir*
 
أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى وَاصْطَحَبَ هُوَ وَيَزِيدُ بْنُ أَبِي كَبْشَةَ فِي سَفَرٍ وَكَانَ يَزِيدُ يَصُومُ فَقَالَ لَهُ أَبُو بُرْدَةَ سَمِعْتُ أَبَا مُوسَى مِرَارًا يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
 
_*Abu Burdah bin Abu Musa pernah bermusafir Bersama Yazid bin Abu Kabsyah. Pada waktu itu Yazid berpuasa Ketika dalam perjalanan. Abu Burdah berkata kepadanya; Saya telah mendengar Abu Musa berkali-kali berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir, maka dicatat baginya pahala kebaikan seperti amalan yang biasa dilakukannya ketika ia bermukim dan dalam keadaan sihat."*_ (HR Ahmad No: 18848) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.     Laksanakan amal ibadah setiap masa khususnya ketika  kita sihat dan bermukim
 
2.     Istiqamah sangat bernilai. Amalan yang dilakukan secara konsisten ketika sihat menjadi “aset” seseorang apabila dia tidak lagi mampu melakukannya.
 
3.     Orang yang sakit, walaupun tidak dapat mengerjakan amal soleh seperti mana ketika dia sihat, dia akan tetap mendapat ganjaran pahala jika semasa dia sihat, dia melaksanakan amal tersebut. (contohnya semasa dia sihat, setiap magrib dia ke masjid dan mendengar kuliah – waktu dia sakit, tidak dapat menghadirinya – Malaikat tetap mencatat ganjaran pahala seolah-olah dia hadir)
 
4.     Allah juga memberi ganjaran yang sama kepada orang yang bermusafir. Contohnya  amalan puasa sunat yang dilakukan semasa tidak bermusafir. Ketika dia bermusafir, dia tidak berpuasa. Dia turut mendapat pahala puasa tersebut.
 
5.     Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika menghuraikan hadis ini dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa orang yang mempunyai kebiasaan melakukan sesuatu ketaatan, kemudian terhalang kerana suatu keuzuran, diberikan pahala seperti kebiasaannya.
 
6.     Hadis ini menjelaskan satu prinsip dalam beramal iaitu bina simpanan amal ketika sihat dan berkelapangan. Moga Allah memberikan ganjaran yang sama walaupun kita tidak dapat laksanakan semasa kita sakit dan bermusafir.
 
27hb Rabiulakhir 1448H
09hb Oktober 2026M

Wednesday, 7 October 2026

Demam Mengampunkan Dosa

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

 Demam Mengampunkan Dosa
 

عَنْ جَابِرُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَى أُمِّ السَّائِبِ أَوْ أُمِّ الْمُسَيَّبِ فَقَالَ مَا لَكِ يَا أُمَّ السَّائِبِ أَوْ يَا أُمَّ الْمُسَيَّبِ تُزَفْزِفِينَ قَالَتْ الْحُمَّى لَا بَارَكَ اللَّهُ فِيهَا فَقَالَ لَا تَسُبِّي الْحُمَّى فَإِنَّهَا تُذْهِبُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ كَمَا يُذْهِبُ الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ
 
_*Daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW datang menemui Ummu Saib atau Ummu Musayyab, lalu baginda bertanya: "Sakit apa kamu sampai menggigil begitu?" Jawab Ummu Saib; "Demam! Semoga Allah tidak memberkatinya." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu menyalahkan penyakit, kerana sesungguhnya penyakit itu dapat menghapuskan dosa-dosa anak Adam, sebagaimana alat peniup atau penyala api tukang besi membersihkan karat daripada besi."*_ (HR Muslim No: 4672) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.  Menziarahi orang sakit merupakan sunnah Rasulullah SAW. Baginda sendiri mendatangi dan bertanya keadaan orang yang sakit.
 
2.  Setiap Muslim yang diuji dengan sebarang penyakit seperti demam, perlu bersabar dan reda di atas penyakit yang dihadapi.
 
3.  Janganlah menyalahkan penyakit atau merunggut dengan penyakit yang dihidapi.
 
4.  Ujian penyakit seperti demam ke atas anak Adam akan menjadi penghapus dosa-dosanya seperti kir (sejenis bahan) membersihkan karat besi.
 
5.  Mengadu sakit tidak  dengan sifat sabar. Yang ditegah ialah mencela dan menunjukkan sikap tidak reda terhadap ketentuan Allah. Seseorang boleh memberitahu doktor dan keluarganya tentang kesakitan yang dialami.
 
6.  Orang yang menziarahi pesakit hendaklah membina harapan. Jangan menakut-nakutkan pesakit dengan cerita kematian atau pengalaman buruk orang lain.
 
7.  Penyakit boleh menjadi medan tarbiah. Ia mengajar manusia tentang kelemahan dirinya, nilai kesihatan, kebergantungan kepada Allah dan hakikat kehidupan dunia.
 
26hb Rabiulakhir 1448H
08hb Oktober 2026M

Penyakit Mengangkat Darjat dan Menghapus Dosa

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Penyakit Mengangkat Darjat dan Menghapus Dosa*
 
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً
 
_*Daripada 'Aisyah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Mukmin ditimpa sesuatu kesakitan (musibah), walaupun hanya tertusuk duri atau yang lebih daripada itu, melainkan Allah mengangkat dengannya satu darjat baginya atau menghapuskan daripadanya satu kesalahan.*_ (HR Muslim No: 4665) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.  Islam mengajar umatnya bersabar diatas setiap ujian atau musibah yang dilaluinya.

2. Tiada kesakitan seorang Mukmin yang sia-sia. Bahkan kesakitan sekecil tercucuk duri mempunyai nilai di sisi Allah.
 
3. Allah mendatangkan musibah kepada seseorang dalam pelbagai bentuk antaranya kesakitan, untuk mengangkat darjat atau kedudukan seseorang di sisi Allah
 
4. Allah mendatangkan musibah atau ujian dalam bentuk kesakitan juga bertujuan untuk menghapuskan dosa seseorang.
 
5. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini merupakan dalil bahawa penyakit, kesakitan dan musibah yang menimpa seseorang mempunyai kelebihan berupa penghapusan dosa dan peningkatan kedudukan.
 
6. Jangan cepat bersangka buruk kepada Allah ketika ditimpa sakit. Apa yang dirasakan sebagai penderitaan mungkin sedang menjadi proses penyucian diri.
 
7. Orang yang ditimpa musibah seperti penyakit, akan digugurkan segala dosa seperti dedaun berguguran kecuali dosa besar seperti dosa syirik
 
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أَذًى شَوْكَةٌ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا سَيِّئَاتِهِ كَمَا تَحُطُّ الشَّجَرَةُ وَرَقَهَا
 
*Tidaklah seorang muslim yang tertimpa suatu musibah (penyakit) atau yang lain, melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya sebagaimana pohon menggugurkan dedaunannya."* (HR Bukhari No: 5216) Status Hadis Sahih
 
8. Sabar bukan bererti tidak boleh mengadu sakit. Seseorang boleh memberitahu doktor atau keluarganya tentang kesakitan untuk mendapatkan bantuan. Yang perlu dijaga ialah jangan sampai mengeluh dengan cara mempersoalkan keadilan dan ketentuan Allah.
 
25hb Rabiulakhir 1448H
07hb Oktober 2026M

Monday, 5 October 2026

Doa Penyembuhan Pesakit

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Doa Penyembuhan Pesakit
 
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَحْضُرْ أَجَلُهُ فَقَالَ عِنْدَهُ سَبْعَ مِرَارٍ أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ إِلَّا عَافَاهُ اللَّهُ مِنْ ذَلِكَ الْمَرَضِ
 
Daripada Ibnu Abbas RA daripada Nabi SAW baginda berkata: Barang siapa yang menziarahi orang sakit yang belum tiba ajalnya kemudian ia membacakan (doa) di sebelahnya sebanyak tujuh kali: AS ALULLAAHAL 'AZHIIM RABBAL 'ARSYIL 'AZHIIM AN YASYFIYAKA (Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang Agung semoga Dia menyembuhkanmu), nescaya Allah akan menyembuhkannya dari penyakit tersebut. (HR Abu Daud No: 2700) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Menziarahi orang sakit merupakan sunnah yang sangat dituntut dan termasuk dalam hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain.
 
2.    Antara adab orang yang menziarahi pesakit ialah mendoakannya.
 
3.    Barang siapa membacakan doa ini sebanyak 7 kali kepada pesakit yang belum sampai ajalnya, nescaya Allah akan menyembuhkan penyakitnya:
 
أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ
 
(Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang Agung semoga Dia menyembuhkanmu)
 
4.    Doa dan rawatan perubatan tidak bercanggah. Kita boleh membaca doa tujuh kali sambil mendapatkan pemeriksaan doktor dan mengambil ubat yang sesuai.
 
5.    Ziarah orang yang sakit sepatutnya membawa harapan, bukan ketakutan. Elakkan menceritakan kisah penyakit yang menakutkan di hadapan pesakit. Sebaliknya, berikan kata-kata yang menenangkan dan mendoakannya.
  
24hb Rabiulakhir 1448H
06hb Oktober 2026
 

Doa Menziarahi Pesakit

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Doa Menziarahi Pesakit*
 
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ لِلْمَرِيضِ بِسْمِ اللَّهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا بِرِيقَةِ بَعْضِنَا يُشْفَى سَقِيمُنَا بِإِذْنِ رَبِّنَا
 
_*Daripada Aisyah RA bahawa Nabi SAW apabila merawat orang sakit, baginda mendoakan dengan membaca: BISMILLAHI TURBATU ARDHINA BI RIIQATI BA'DHINA YUSYFAA SAQIIMUNA BI IDZNI RABBINA (Dengan nama Allah. Tanah bumi kami, dengan air liur sebahagian daripada kami; semoga orang sakit dalam kalangan kami disembuhkan dengan izin Tuhan kami)."*_ (HR Bukhari No: 5304) Status: Hadis Sahih
 
*Pengajaran:*
 
1.    Antara tanggungjawab Muslim ialah menziarahi orang yang sakit
 
2.    Antara sunnah Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit ialah mendoakan pesakit.
 
3.    Antara doa yang boleh dibaca kepada pesakit:
 
بِسْمِ اللَّهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا بِرِيقَةِ بَعْضِنَا يُشْفَى سَقِيمُنَا بِإِذْنِ رَبِّنَا
 
*(Dengan nama Allah. Tanah bumi kami, dengan air liur sebahagian daripada kami; semoga orang sakit dalam kalangan kami disembuhkan dengan izin Tuhan kami)*
 
4.    Islam menggabungkan doa, ikhtiar dan tawakal. Mendapatkan rawatan perubatan sebagai ikhtiar tidak bercanggah dengan tawakal kepada Allah.
 
5.    Imam al-Nawawi ketika menghuraikan hadis ini menjelaskan bahawa ia merupakan dalil tentang keharusan melakukan ruqyah atau rawatan menggunakan ayat al-Quran, zikir dan doa yang disyariatkan.
 
6.    Ruqyah mesti bebas daripada unsur syirik dan khurafat. Tidak boleh menggunakan jampi yang tidak difahami, meminta bantuan jin atau mempercayai benda tertentu mempunyai kuasa ghaib dengan sendirinya.
 
23hb Rabiulakhir 1448H
05hb Oktober 2026M

Saturday, 3 October 2026

Sakit dan Kesusahan Penghapus Dosa

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
*Sakit dan Kesusahan Penghapus Dosa*
 
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مَرَضٍ أَوْ وَجَعٍ يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ إِلَّا كَانَ كَفَّارَةً لِذَنْبِهِ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا أَوْ النَّكْبَةِ يُنْكَبُهَا
 
_*Daripada Aisyah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidak ada suatu penyakit atau kesusahan yang menimpa seorang mukmin melainkan ia menjadi penghapus dosa baginya, sehingga duri yang menusuknya atau batu yang ia tersandung kerananya."*_ (HR Ahmad No: 24173) Status: Isnad Hasan
 
*Pengajaran:*
 
1.    Setiap kebaikan dan keburukan yang menimpa seorang mukmin ada hikmah disebaliknya.
 
2.    Penyakit atau kesusahan yang menimpa ke atas seorang mukmin bertujuan untuk mengampunkan dosa dan meninggikan darjat.
 
3.    Termasuklah musibah yang kecil seperti duri yang mencucuk ataupun kaki yang tersepak batu – juga menjadi penghapus dosa dengan syarat ia reda dan bersabar.
 
4.    Sabar dan mengharapkan pahala ketika sakit mempunyai kedudukan yang besar.
 
5.    Bersabar dan reda di atas sebarang kesusahan dan kesakitan yang menimpa adalah dituntut dan ia menjadi penghapus dosa-dosa kita.
 
21hb Rabiulakhir 1448H
03hb Oktober 2026M

Friday, 2 October 2026

Zikir Yang Mengampunkan Dosa

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

 
*Zikir Yang Mengampunkan Dosa*
 
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَعَارَّ مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَ حِينَ يَسْتَيْقِظُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ ثُمَّ دَعَا رَبِّ اغْفِرْ لِي غُفِرَ لَهُ قَالَ الْوَلِيدُ أَوْ قَالَ دَعَا اسْتُجِيبَ لَهُ فَإِنْ قَامَ فَتَوَضَّأَ ثُمَّ صَلَّى قُبِلَتْ صَلَاتُهُ
 
_*Daripada Ubadah bin Shamit RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa terjaga di malam hari, dan ketika terjaga ia mengucapkan kalimah; "Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya serta kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Agung." Kemudian dia berdoa; "Wahai Tuhanku, ampunilah aku." Nescaya ia akan di ampunkan." Al Walid berkata; Baginda bersabda: "Jika ia berdoa, nescaya doanya akan di perkenankan. Dan jika ia bangun, berwuduk lalu menunaikan solat, maka solatnya pasti diterima."*_ (HR Ibnu Majah No: 3868) Status: Hadis Sahih
 
 
*Pengajaran:*
 
1.    Waktu terjaga pada malam hari merupakan peluang besar untuk berzikir dan berdoa.
 
2.    Jangan mensia-siakan detik terjaga malam hari dengan perkara yang tidak bermanfaat.
 
3.    Barang siapa terjaga dari tidur di malam hari lalu membaca zikir ini dan diikuti dengan doa mohon keampunan, Allah akan ampunkan dosa-dosanya. Zikir tersebut :
 
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

*"Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, Allah Maha Besar dan tiada daya serta kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Agung."*
 
Kemudian dia berdoa:
 
رَبِّ اغْفِرْ لِي
*Ya Allah, ampunilah aku*
 
Allah akan mengampuni dosa-dosanya.
 
4.    Jika seseorang membaca zikir tersebut dan berdoa, nescaya doanya akan di kabulkan.
 
5.    Jika ia bangun untuk berwuduk kemudian menunaikan solat sunat, maka solatnya pasti diterima. Jika ia berdoa, nescaya doanya akan di perkenankan.
 
6.    Hadis ini memberikan khabar gembira tentang keampunan dan penerimaan doa bagi mereka yang terjaga dari tidur di malam hari.
 
7.    Jadikanlah kebiasaan lisan kita untuk berzikir ketika terjaga dari tidur di malam hari, beristighfar memohon ampun, berwuduk 

 menunaikan solat sunat serta berdoa. Semoga hubungan kita dengan Allah sentiasa terpelihara.
 
20hb Rabiulakhir 1448H
02hb Oktober 2026M

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...