السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
*Berbakti Kepada Ibu*
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَتَى رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا تَأْمُرُنِي قَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ فَقَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ الرَّابِعَةَ فَقَالَ بَرَّ أَبَاكَ
_*Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata; Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu bertanya; "Apakah yang engkau perintahkan kepadaku?" maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu". Lelaki itu mengulangi pertanyaannya, dan baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu". Lelaki itu mengulangi pertanyaannya hingga kali yang keempat. Maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada bapamu."*_ (HR Ahmad No: 8850) Status: Hassan
*Pengajaran:*
1. Berbakti kepada ibu adalah kewajipan tertinggi seorang anak selepas ketaatan kepada Allah dan Rasul. Rasulullah SAW memberikan penekanan sebanyak tiga kali terhadap kewajipan berbakti kepada ibu sebelum menyebut bapa. Ia merupakan penegasan bahawa ibu mempunyai hak yang sangat besar untuk diberikan perhatian, penghormatan dan kebaktian oleh anak-anak.
2. Keutamaan berbuat baik kepada ibu melebihi dari ayah sama ada dalam kasih sayang, penjagaan mahupun kebajikan. Mengikut Ibn Battal, ibu perlu diutamakan kerana ibu mengalami tiga kepayahan:
a) Pertama ketika mengandung;
b) Kedua ketika melahirkan dan;
c) Ketiga ketika menyusu dan membesarkan.
3. Ayah juga mempunyai hak yang wajib ditunaikan oleh anak. Walaupun ibu lebih diutamakan, ayah tetap berhak dihormati dan ditaati, kerana dia menjadi pelindung dan pemberi nafkah kepada keluarga.
4. Anak-anak hendaklah memberikan perhatian yang besar terhadap kebajikan ibu, di samping terus menunaikan tanggungjawab terhadap bapa.
5. Islam menuntut umatnya menghargai jasa dan pengorbanan kedua-dua ibu bapa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.
6. Berusahalah untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu dan bapa kerana ia adalah ibadah besar yang mendekatkan diri kepada Allah SWT, serta menjadi jalan menuju syurga bagi mereka yang melakukannya dengan penuh kasih, hormat dan ikhlas
09hb Jamadil Akhir 1448H
19hb November 2026M
No comments:
Post a Comment