السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
SAMBUNGKAN SILATURAHIM
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي قَرَابَةً أَصِلُهُمْ وَيَقْطَعُونِي وَأُحْسِنُ إِلَيْهِمْ وَيُسِيئُونَ إِلَيَّ وَأَحْلُمُ عَنْهُمْ وَيَجْهَلُونَ عَلَيَّ فَقَالَ لَئِنْ كُنْتَ كَمَا قُلْتَ فَكَأَنَّمَا تُسِفُّهُمْ الْمَلَّ وَلَا يَزَالُ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ ظَهِيرٌ عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ
Daripada Abu Hurairah RA bahawa seorang laki-laki berkata:
"Ya Rasulullah, saya mempunyai kerabat. Saya sentiasa berusaha menyambung silaturahim kepada mereka tetapi mereka memutuskannya. Saya sentiasa berusaha berbuat baik kepada mereka tetapi mereka menyakiti saya. Saya tetap bersabar tetapi mereka berbuat tidak wajar terhadap saya."
Rasulullah SAW bersabda:
"Jika benar seperti apa yang kamu katakan, maka kamu seperti memberi makan kepada mereka debu yang panas. Dan selama kamu berbuat demikian, pertolongan Allah sentiasa bersamamu."
(Hadis Riwayat Muslim, No. 4640 — Sahih)
Pengajaran:
1. Tanggungjawab seorang Muslim ialah menghubungkan silaturahim dan berbuat baik kepada kerabat.
2. Allah sentiasa memberi kebaikan kepada mereka yang berbuat baik kepada orang lain.
3. Orang yang menyambung silaturahim walaupun tidak dibalas akan sentiasa menerima pertolongan Allah.
4. Menurut al-Qurtubi, sesiapa yang bersabar atas kezaliman keluarga dan tetap menjaga hubungan, Allah akan melindungi dan memberi keberkatan hidup serta ganjaran di dunia dan akhirat.
5. Antara ganjaran bagi mereka yang menyambung silaturahim ialah syurga. Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشُوا السَّلامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وَصِلُوا الأَرْحَامَ وَصَلُّوا باللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ تَدْخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ
"Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturahim dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.”
(HR Ibn Majah, No. 3251 — Sahih)
6. Hadis ini mengajar agar tidak membalas kejahatan dengan kejahatan. Kesabaran dan kebaikan lebih kuat daripada kemarahan dan mampu melembutkan hati mereka yang memutuskan hubungan.
Ayuh teruskan berbuat baik dan menyambung silaturahim walaupun ada yang memutuskannya. Doakan kebaikan untuk mereka.
10hb Jamadil Akhir 1447H
01hb Disember 2025