السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
SEDEKAH MENGIKUT KEUTAMAAN
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَصَدَّقُوا، فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، عِنْدِي دِينَارٌ، قَالَ: تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ، قَالَ: عِنْدِي آخَرُ، قَالَ: تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ، قَالَ: عِنْدِي آخَرُ، قَالَ: تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ، قَالَ: عِنْدِي آخَرُ، قَالَ: تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ، قَالَ: عِنْدِي آخَرُ، قَالَ: أَنْتَ أَبْصَرُ
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Bersedekahlah kalian.” Lalu seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, aku memiliki satu dinar.” Baginda bersabda: “Bersedekahlah dengannya untuk dirimu.” Lelaki itu berkata: “Aku masih ada yang lain.” Baginda bersabda: “Bersedekahlah untuk isterimu.” Lelaki itu berkata: “Aku masih ada yang lain.” Baginda bersabda: “Bersedekahlah untuk anakmu.” Lelaki itu masih berkata: “Aku ada yang lain.” Baginda bersabda: “Bersedekahlah kepada pembantumu.” Lelaki itu berkata lagi: “Aku ada yang lain.” Maka baginda bersabda: “Engkau lebih tahu siapa yang lebih berhak engkau beri.”
(HR al-Nasai, No. 2488) — Status: Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW menganjurkan agar sentiasa bersedekah apabila memiliki harta kerana setiap pemberian itu adalah pahala.
2. Pensyariatan sedekah mengikut tertib keutamaan: i. Untuk diri sendiri — memenuhi hak tubuh badan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan kesihatan.
ii. Untuk isteri — nafkah wajib yang menjadi tanggungjawab suami.
iii. Untuk anak — makan minum, pendidikan dan keperluan asas.
iv. Untuk pembantu, pekerja atau sesiapa yang berada di bawah tanggungan.
v. Kepada orang lain yang dirasakan layak dan perlu.
3. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sedekah kepada diri sendiri bermaksud menggunakan harta secara halal untuk keperluan hidup bagi mengelakkan diri daripada meminta-minta.
4. Sedekah paling utama ialah yang memberi manfaat paling besar dan dimulakan dengan mereka yang berada di bawah tanggungjawab kita.
23 Jamadil Awal 1447H
14 November 2025
No comments:
Post a Comment