Saturday, 22 January 2022

Doa Mohon Kebaikan Jauhi Keburukan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Mohon Kebaikan Jauhi Keburukan

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها  أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّمَهَا هَذَا الدُّعَاءَ : 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا

Daripada Aisyah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengajarkan suatu doa kepadanya: “Ya Allah, aku bermohon dikurniakan segala kebaikan yang hampir dan yang masih jauh, yang aku tahu dan yang aku tidak tahu. Dan lindunglah aku daripada kejahatan dan keburukan yang hampir dan yang masih jauh sama ada yang aku tahu dan yang aku tidak tahu. Sesungguhnya aku meminta kepada-Mu semua doa kebaikan yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan yang hamba dan Nabi-Mu meminta perlindungan dari keburukan itu. Ya Allah, aku meminta kepada-Mu syurga dan segala yang mendekatkan menuju syurga, sama ada perkataan mahupun perbuatan. Aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan segala yang mendekatkan menuju neraka, sama ada perkataan mahupun perbuatan. Dan aku meminta kepada-Mu agar menjadikan semua takdir yang Engkau takdirkan untukku adalah kebaikan.”
(HR. Ahmad no. 25019, Ibnu Majah no. 3846 dan Ibnu Hibban no. 869) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa mendidik umatnya agar berdoa. Antara doa yang dipohon:

a.  Mohon dikurniakan segala kebaikan sama ada yang hampir mahupun yang masih jauh, yang diketahui mahupun tidak.

b.  Mohon agar dilindungi daripada kejahatan dan keburukan yang hampir mahupun yang jauh,  sama ada yang diketahui atau tidak.

c.  Memohon agar dikurniakan syurga dan segala yang mendekatkan ke syurga sama ada dengan perkataan mahupun perbuatan.

d.  Mohon berlindung dari neraka dan segala yang mendekatkan menuju ke neraka, sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan. 

e.  Mohon agar Allah menjadikan semua takdir yang baik untuk kita.

2.  Ayuh kita amalkan doa ini:

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا

23hb Januari  2022
20hb Jamadil Akhir 1443H

Friday, 21 January 2022

Berwasiat Harta

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berwasiat Harta

عَنْ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا بِمَكَّةَ وَهُوَ يَكْرَهُ أَنْ يَمُوتَ بِالْأَرْضِ الَّتِي هَاجَرَ مِنْهَا قَالَ يَرْحَمُ اللَّهُ ابْنَ عَفْرَاءَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ قَالَ لَا قُلْتُ فَالشَّطْرُ قَالَ لَا قُلْتُ الثُّلُثُ قَالَ فَالثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ وَإِنَّكَ مَهْمَا أَنْفَقْتَ مِنْ نَفَقَةٍ فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ حَتَّى اللُّقْمَةُ الَّتِي تَرْفَعُهَا إِلَى فِي امْرَأَتِكَ وَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَكَ فَيَنْتَفِعَ بِكَ نَاسٌ وَيُضَرَّ بِكَ آخَرُونَ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ يَوْمَئِذٍ إِلَّا ابْنَةٌ

Daripada Sa'ad bin Abi Waqosh RA berkata; Nabi SAW datang menjengukku (ketika aku sakit) ketika aku berada di Makkah". Baginda tidak suka sekiranya seseorang meninggal dunia di negeri dimana dia sudah berhijrah darinya. Baginda bersabda; "Semoga Allah merahmati Ibnu 'Afra'". Aku katakan: "Wahai Rasulullah, aku mahu berwasiat untuk menyerahkan seluruh hartaku". Baginda bersabda: "Jangan". Aku katakan: "Setengah darinya" Baginda  bersabda: "Jangan". Aku katakan lagi: "Sepertiga darinya". Baginda bersabda: "Ya, sepertiganya dan sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin lalu mengemis kepada manusia dengan menadahkan tangan mereka. Sesungguhnya apa sahaja yang kamu keluarkan berupa nafkah sesungguhnya itu termasuk sedekah sekalipun satu suapan yang kamu masukkan ke dalam mulut isterimu. Semoga Allah mengangkatmu dimana Allah memberi manfaat kepada manusia melalui dirimu atau memberikan mudarat orang-orang yang lainnya". Ketika itu dia (Sa'ad) tidak memiliki ahli waris kecuali seorang anak perempuan.
(HR Bukhari No: 2591) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berwasiat adalah satu daripada sunnah Rasulullah SAW dan mengikut ijmak ulama hukumnya sunat muakad.

2.  Harta yang di wasiatkan  untuk pembinaan masjid, sekolah dan sebagainya merupakan satu cara agar harta yang ditinggalkan boleh menjadi penerus amal yang mendapat ganjaran pahala berterusan kepada pewasiat.

3.  Wasiat yang dibenarkan, tidak boleh melebihi 1/3 daripada jumlah harta.

4.  Meninggalkan ahli waris dalam keadaan berharta itu lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan akhirnya menjadi pengemis.

5.  Nafkah yang dikeluarkan termasuk menyuapkan makanan kemulut isteri merupakan salah satu daripada amal soleh.

22hb Januari  2022
19hb Jamadil Akhir 1443H

Thursday, 20 January 2022

Tertangguh Keampunan Kerana Persengketaan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tertangguh Keampunan Kerana Persengketaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

Daripada Abu Hurairah RA bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Semua dosa hamba yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu akan diampuni, kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya terdapat kebencian dan perpecahan (bersengketa)." Lalu dikatakan kepadanya: 'Tangguhkanlah dua orang ini hingga mereka berdamai! Tangguhkanlah dua orang ini hingga mereka berdamai! Tangguhkanlah kedua orang ini hingga mereka berdamai!
(HR Muslim No:  4652) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis.

2.  Hari Isnin dan Khamis ada kelebihannya dimana Rasulullah SAW suka berpuasa sunat pada hari tersebut.

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ

“Berbagai amalan diangkat (pada Allah) pada hari Isnin dan Khamis, maka aku suka jika amalanku diangkat  sedangkan aku sedang berpuasa.”
(HR. Tirmidzi No: 747) Status: Hadis Hasan

3.  Dosa setiap mukmin akan diampunkan dengan syarat tidak melakukan syirik.

4.  Dosa setiap mukmin tidak akan diampunkan segera jika dia membenci dan tidak bertegur sapa  dengan Muslim yang lain sehinggalah dia berdamai dan berkasih sayang.

5. Diulang tiga kali agar ditangguhkan keampunan daripada dosa bagi mereka yang masih tidak bertegur dan berdamai, menunjukkan pentingkan perdamaian dan kasih sayang.
 
Ayuh kita saling mengasihi. Berdamailah segera jika bergaduh dan bermusuh sesama Muslim.

21hb Januari  2022
18hb Jamadil Akhir 1443H

Wednesday, 19 January 2022

Memutuskan Ukhuwah Menjauhkan Rahmat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Memutuskan Ukhuwah Menjauhkan Rahmat

عَنْ هِشَامَ بْنَ عَامِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ مُسْلِمًا فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ فَإِنْ كَانَ تَصَارَمَا فَوْقَ ثَلَاثٍ فَإِنَّهُمَا نَاكِبَانِ عَنْ الْحَقِّ مَا دَامَا عَلَى صُرَامِهِمَا وَأَوَّلُهُمَا فَيْئًا فَسَبْقُهُ بِالْفَيْءِ كَفَّارَتُهُ فَإِنْ سَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ وَرَدَّ عَلَيْهِ سَلَامَهُ رَدَّتْ عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ وَرَدَّ عَلَى الْآخَرِ الشَّيْطَانُ فَإِنْ مَاتَا عَلَى صُرَامِهِمَا لَمْ يَجْتَمِعَا فِي الْجَنَّةِ أَبَدًا

Daripada Hisyam bin 'Amir berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudara Muslim lebih dari tiga malam, jika mereka berdua saling mendiamkan lebih dari tiga malam tersebut, keduanya jauh dari kebenaran selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dari rasa marah (menyambung kembali hubungan ukhuwah), maka ia menjadi penebus dosanya. Jika (si 'A') memberi salam terhadap temannya (si 'B') namun tidak diterima, padahal (si 'A') masih mahu menjawab salamnya, maka (si 'A') akan dijawab oleh Malaikat, dan (si 'B') yang mendiamkan akan dijawab oleh syaitan. Jika mereka berdua meninggal dalam keadaan saling mendiamkan, maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya."
(HR Ahmad No: 15668) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang muslim tidak boleh memutuskan hubungan dengan saudara Muslimnya lebih dari tiga malam

2.  Jika kedua-dua Muslim yang berselisih, saling mendiamkan diri dengan tidak bertegur sapa lebih dari tiga malam, keduanya akan jauh dari kebenaran (Rahmat) selama mereka berdua masih memutuskan hubungan.

3.  Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dan segera menyambung kembali hubungan ukhuwah, maka ia akan menjadi penebus dosanya kerana memutuskan.

4.  Jika ia memberi salam kepada temannya namun tidak dijawab oleh  temannya, maka ucapan salamnya akan dijawab oleh Malaikat, dan teman yang mendiamkan akan dijawab oleh syaitan. 

5.  Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling mendiamkan diri (tidak mahu menghubungkan kembali ukhuwah), maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya. 

Bersamalah kita menghubungkan ukhuwah dan semailah sifat berkasih sayang sesama kita.

20hb Januari  2022
17hb Jamadil Akhir 1443H

Tuesday, 18 January 2022

Bertawakal Umpama Burung

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bertawakal Umpama Burung

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا يُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا

Daripada Umar bin Al-Khaththab RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Jika sekiranya kamu bersungguh-sungguh bertawakal kepada Allah, nescaya Allah memberi rezeki kepada kamu seperti rezeki seekor burung yang keluar di waktu pagi dengan perut kosong dan pulang di waktu petang dengan perut terisi penuh kenyang." (HR Tirmidzi No: 2266) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim diperintahkan agar bertawakal iaitu menyerahkan segala urusan kepada Allah dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu selepas usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.

2.  Bertawakal dengan menyerahkan semata-mata kepada Allah tanpa usaha dan ikhtiar adalah menyalahi pengajaran daripada hadis ini.

3.  Jadilah seperti burung yang keluar pada waktu pagi dalam keadaan perutnya kosong namun berusaha mencari makanan dan akan pulang pada waktu petang dalam keadaan perut yang penuh dengan makanan.

4.  Muslim yang berusaha mencari rezeki dan bertawakal bersungguh-sungguh, nescaya dia tetap akan memperoleh rezeki seperti burung.

5.  Muslim tidak boleh menganggur dan berpeluk tubuh tanpa usaha dan ikhtiar. Contohilah burung yang keluar dari sarang mencari makanan kerana rezeki itu mengikut sebab dan musabab.

6.  Tawakal akan menimbulkan ketenangan jiwa dan ketenteraman dalam menghadapi sebarang perkara. Bertawakal dengan penuh yakin bahawa kejayaan dan kegagalan bukanlah hak mutlak manusia.

19hb Januari  2022
16hb Jamadil Akhir 1443H

Monday, 17 January 2022

Amal Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amal Kebaikan 

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْحَارِثِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَشْعَرِيِّ  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيْمَانِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلآنِ – أَوْتَمْلأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَالصَّلاَةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائِعُ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا 
 
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir Subhaanallah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi (bukti). Sabar itu adalah sinaran (memberi cahaya). Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi (berusaha), ada yang menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsu dengan melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), ada yang memerdekakan dirinya (daripada kehinaan di dunia dan azab akhirat) dan ada pula yang mencelakakan dirinya (dengan melakukan maksiat).
(HR Muslim No: 223) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, sehingga menganggapnya sebahagian daripada lman. Jagalah kebersihan terutama di zaman Wabak Covid-19 ini.

2.  Bersuci merupakan syarat sahnya ibadah, oleh itu setiap Muslim perlu sentiasa mengambil perhatian.

3.  Menjaga ibadat solat akan mendatangkan cahaya petunjuk dan mampu memperbaiki diri seorang muslim terhadap manusia lain, menjadikan ia  berakhlak dan berperilaku terpuji, memiliki sifat kewarakan dan ketakwaan di sisi Allah.

4.  Semua amalan soleh merupakan kebaikan dan keindahan bagi seorang mukmin dan mempunyai nilai yang tinggi. Ada amalan yang menjadi hujah baginya, ada yang menjadi cahaya baginya, ada yang menjadi pemberat timbangannya dan sebagainya. Antaranya;

a.  Zikir al-Hamdulillah akan memenuhi neraca timbangan. 

b.  Zikir Subhaanallah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. 

c.  Solat adalah cahaya. 

d.  Sedekah adalah saksi (Seruan untuk berinfaq pada jalan-jalan kebaikan dan bersegera melakukannya dimana hal tersebut merupakan pertanda dan bukti benar keimanannya).

e.  Sabar adalah sinaran. (bersabar tatkala mengalami musibah, khususnya apa yang dialami seorang muslim kerana perbuatan amar ma’ruf nahi munkar)

f.  Al-Qur’an adalah hujah bagi mukmin (Membaca Al Quran dengan pemahaman dan mentadabbur (merenungkan) maknanya, mengamalkan kandungannya kerana hal tersebut dapat memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat).

5.  Setiap manusia dalam kegiatan hariannya mendedahkan dirinya sama ada kepada kebaikan atau kecelakaan. Ada yang menjual dirinya kepada Allah, lalu beroleh kebaikan dan kejayaan dan pula ada yang menjual dirinya kepada syaitan lalu beroleh kecelakaan.

6.  Pastikan segala aktiviti harian kita membawa kebaikan dan pahala bukan keburukan dan dosa.

18hb Januari  2022
15hb Jamadil Akhir 1443H

Sunday, 16 January 2022

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid pada pagi atau petang hari, maka Allah akan menyediakan persinggahan baginya di syurga, setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi atau petang hari."
(Sahih Muslim No:1073) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang sentiasa solat waktu di masjid pagi dan petang akan disediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga.

2.  Rasulullah SAW menjanjikan perlindungan di hari kiamat kepada tujuh golongan, satu daripada golongan itu adalah …. mereka yang hatinya terikat dengan masjid walau di mana dia berada:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ…..  وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ 

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (di hari Akhirat): …. seorang yang hatinya sentiasa terikat ke masjid.
(Sahih Bukhari: 660)

3.  Bersungguhlah menjaga solat berjemaah khususnya di masjid bagi kaum lelaki. Ingatlah kisah Sulaiman Ibn Hamzah al-Maqdisi keturunan Ibn Qudamah seorang ketua hakim di Syam, beliau pernah berkata: Aku tidak pernah solat fardu secara sendirian kecuali 2 kali dan sehingga sekarang aku seakan-akan merasa masih belum mengerjakannya (padahal usianya ketika itu mencecah 90 tahun) (dalam ar-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid)

Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita untuk menunaikan solat berjemaah, mendalami ilmu agama, dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli kariah. Kunjungilah masjid khususnya apabila masuk waktu solat fardhu.

17hb Januari  2022
14hb Jamadil Akhir 1443H

Saturday, 15 January 2022

Awal Pagi Waktu Barakah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Awal Pagi Waktu Barakah

عَنْ صَخْرٍ الْغَامِدِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلًا تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ
قَالَ أَبُو دَاوُد وَهُوَ صَخْرُ بْنُ وَدَاعَةَ

Daripada Shakhr Al Ghamidi, dari Nabi SAW, baginda mengucapkan: "ALLAAHUMMA BAARIK LI UMMATII FII BUKUURIHAA (Ya Allah, berkatilah bagi umatku di awal pagi hari mereka). Dan baginda apabila mengirim expedisi atau pasukan baginda mengirim mereka di awal siang (awal pagi). Dan Shakhr adalah seorang pedagang dan ia mengirim perdagangannya di awal siang, maka hartanya bertambah banyak. Abu Daud berkata; ia adalah Shakhr bin Wada'ah.
(Sunan Abu Daud No: 2239) Status: Hadis Sahih
Dan adalah Shakhr seorang pedagang; ia mengirimkan perniagaannya dari awal siang (pagi hari), maka ia pun menjadi kaya raya dan banyak harta”.

Pengajaran:

1.  Awal pagi adalah waktu yang banyak keberkatan dari Allah.

2.  Rasulullah mendoakan umatnya keberkatan pada setiap waktu pagi. 

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا

(Ya Allah, berkatilah bagi umatku di awal pagi hari mereka)

3.  Perkataan bukur (بُكُور ) bermaksud awal pagi sehingga terbitnya matahari. Syeikh Abu Usamah Salim dalam syarah Riyad as-Salihin menyatakan: waktu yang terbaik dan berkat. Menghidupkan waktu pagi merupakan sunah Nabi SAW dan amalan orang yang berjaya.

4.  Hadis ini menunjukkan bahawa waktu awal pagi adalah waktu penting untuk melaksanakan kerja-kerja penting dan utama. Elakkan waktu awal pagi dengan kerja yang kurang manfaatnya seperti tidur selepas subuh.

5.  Shakhr al-Ghamidi menjadi kaya raya dan banyak harta antaranya kerana ia mengikut sunah Nabi SAW dengan memulakan perniagaan di awal pagi.

6.  Waktu sebelum terbitnya matahari umpama waktu rezeki diluluskan manakala apabila terbitnya matahari, waktu rezeki diagih-agihkan.

Ayuh rebut dan manfaatkan waktu penuh keberkatan di awal pagi dengan melakukan kerja bermanfaat seperti waktu untuk belajar, waktu untuk bekerja dan memulakan perniagaan.

16hb Januari  2022
13hb Jamadil Akhir 1443H

Friday, 14 January 2022

Lepaskan Jerutan Tali Syaitan Ketika Tidur

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Lepaskan Jerutan Tali Syaitan Ketika Tidur

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلَاثَ عُقَدٍ يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلَّا أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلَانَ

Daripada Abu Hurairah RA bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Syaitan mengikat tengkuk kepala seseorang dari kalian ketika dia tidur dengan tiga tali ikatan dan syaitan mengikatkannya sedemikian rupa sehingga setiap ikatan diletakkan pada tempatnya lalu syaitan akan mengatakan: Malam masih panjang, maka tidurlah dengan nyenyak. Jika dia bangun dan berzikir mengingat Allah maka lepaslah satu tali ikatan. Kemudian jika ia berwuduk maka lepas lagi satu ikatan berikutnya. Kemudian jika ia mendirikan solat, lepaslah ikatan terakhir. Di pagi harinya dia akan bersemangat dan segar yang mententeramkan jiwa. Namun bila dia tidak melakukan seperti itu, maka pagi harinya jiwanya jadi kotor (merasa tidak segar) dan menjadi malas".
(HR Bukhari, no: 1074) Status: Hadis Sahih. 

Pengajaran:

1.  Syaitan akan sentiasa bekerja untuk menggoda dan menyesatkan manusia pada setiap masa.

2.  Pada setiap malam ketika seorang Muslim tidur, syaitan akan membuat ikatan ditengkuk orang yang tidur dengan tiga lapis yang boleh membuat jiwa seseorang kotor dan malas.

3.  Rasulullah SAW mengajar cara untuk melepaskan ikatan tersebut:

a.  Segera bangun awal sebelum subuh dengan membaca doa

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْرِ

"Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan (membangunkan) kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nyalah kami dibangkitkan" 

b.  Bangun membersihkan diri serta berwuduk

c.  Lakukan solat sunat sekurang-kurangnya dua rakaat. 

4.  Orang yang melaksanakan solat sunat sebelum masuk waktu subuh (solat malam) secara umumnya akan melaksanakan ketiga-tiga amalan di atas.

Jangan biarkan tali syaitan itu mengikat kita hingga menyebabkan kita menjadi malas. Pastikan setiap kali bangun tidur, ketiga-tiga tali ikatan dibuka dengan amalan diatas agar kita sentiasa bersemangat dan rajin melakukan amal soleh.

15hb Januari  2022
12hb Jamadil Akhir 1443H

Thursday, 13 January 2022

Simpanan Tetap Seorang Muslim

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Simpanan Tetap Seorang Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya antara perkara yang akan mengikut orang-orang mukmin dari segi amalan dan kebajikannya sesudah mati antaranya Ilmu (berguna) yang diajar dan disebarkan, atau anak yang soleh yang ditinggalkan (memohon istighfar dan berdoa untuknya), atau al-Quran yang diwariskan, atau masjid yang ia bina, atau rumah yang ia bina untuk ibnu sabil (musafir yang terputus perjalanan), atau sungai yang ia alirkan (untuk orang lain), atau sedekah yang ia keluarkan dari harta miliknya pada masa ia sihat dan masa hidupnya, semuanya akan mengiringinya setelah meninggal" (HR Ibnu Majah No: 238) Status: Hadis Hasan.

Pengajaran:

Amalan seorang Mukmin yang akan berterusan ganjaran pahalanya walaupun pemiliknya telah meninggal dunia antaranya:

1.  Ilmu berguna dan bermanfaat yang diajar dan disebarkan kepada orang lain: melalui lisan seperti ceramah juga tulisan dalam bentuk buku, artikel, jurnal, termasuk dalam bentuk e-book, dalam FB, Laman Sesawang mahupun telegram dan whatsapp.

2.  Anak soleh yang ditinggalkan, ia berdoa dan memohon keampunan untuk ayah dan ibunya.

3.  Al-Quran yang diwariskan berbentuk mushaf atau yang diajar

4.  Masjid yang dibina

5.  Rumah yang dibangunkan untuk musafir yang terputus bekalan

6.  Sungai yang dibina untuk manfaat manusia dan makhluk lain

7.  Sedekah yang kita lakukan ke atas harta semasa kita sihat dan semasa hidup sama ada dalam bentuk wakaf, derma, mahupun sedekah.

Marilah kita berusaha melakukan semua amal solleh di atas agar ia menjadi simpanan tetap yang faedah keuntungannya akan berterusan walaupun kita telah meninggal dunia.

14hb Januari  2022
11hb Jamadil Akhir 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...