Rang Undang-Undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor tetap akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Isnin ini, walaupun mendapat pelbagai reaksi dan tentangan segelintir pihak.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) berkata rang undang-undang baharu itu tidak melanggar konsep Raja Berperlembagaan di negara ini kerana akan dibacakan bersama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
"Insya-Allah, kita tengok Isnin nanti... Saya tidak fikir ia akan melanggar konsep Raja Berperlembagaan.
"Seperti yang saya sudah jelaskan, rang undang-undang ini mesti dibaca bersama-sama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor di mana dalam undang-undang berkenaan menyatakan tindakan yang dilaksanakan oleh Sultan Johor adalah dengan nasihat Menteri Besar," katanya kepada pemberita selepas program Kayuhan Mesra Rakyat di Johor Baharu hari ini.
Beliau mengulas sama ada kerajaan negeri akan menangguhkan pembentangan rang undang-undang berkenaan ekoran segelintir pihak menggesa pembentangan itu ditangguh dan diteliti semula.
Mohamed Khaled yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas berkata soal pelantikan oleh Sultan Johor menerusi enakmen itu kelak mempunyai banyak persamaan dengan akta di peringkat persekutuan seperti lantikan beberapa jawatan termasuk Ketua Eksekutif Suruhanjaya Koperasi dan Gabenor Bank Negara yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
"Lagipun dalam rang undang-undang ini, Menteri Besar diperuntukkan untuk mempengerusikan sebanyak mana mesyuarat yang perlu dilakukan dan tidak pula menyebut Sultan yang akan mempengerusikan mesyuarat," tegasnya.
Menurut Mohamed Khaled, apa yang lebih penting penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor itu kelak membolehkan kerajaan Johor membina lebih banyak rumah murah dan mampu milik di negeri ini sekali gus memastikan rakyat mendapat kemudahan serta kediaman sendiri.
- Bernama
sumber : malaysiakini
No comments:
Post a Comment