Thursday, 30 April 2026

Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah*

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ دَفَعَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ فَسَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَاءَهُ زَجْرًا شَدِيدًا وَضَرْبًا وَصَوْتًا لِلْإِبِلِ فَأَشَارَ بِسَوْطِهِ إِلَيْهِمْ وَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ فَإِنَّ الْبِرَّ لَيْسَ بِالْإِيضَاعِ

_*Daripada Ibnu 'Abbas RA, bahawasanya beliau telah bertolak bersama-sama Nabi SAW pada hari 'Arafah. Kemudian Nabi SAW mendengar dari arah belakang Baginda SAW suara yang keras dan bentakan serta pukulan terhadap unta (yang dipacu laju). Maka Baginda SAW memberi isyarat kepada mereka dengan cemeti agar bertenang. Baginda SAW bersabda: "Wahai manusia, hendaklah kamu bertenang (bersikap tenang), kerana sesungguhnya kebaikan itu bukan (diperoleh) dengan tergesa-gesa."*_ (HR Bukhari No: 1671) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Islam adalah agama yang membawa rahmat, bukan sahaja kepada sesama manusia bahkan kepada semua makhluk termasuk binatang.

2.  Bersifat rahmah dengan berlemah lembut dengan binatang tunggangan adalah suatu yang dituntut.

3.  Peristiwa dalam hadis ini berlaku ketika para jemaah haji sedang meninggalkan Arafah menuju Muzdalifah, selepas wukuf yang menjadi salah satu rukun dalam ibadah haji. Sebahagian mereka menggesa unta-unta mereka secara kasar dan tergesa-gesa, mungkin kerana ingin segera sampai atau kerana kesesakan.

4.  Ibadah perlu dilakukan dengan ketenangan dan tertib, bukan dalam keadaan tergesa-gesa. Imam Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini adalah dalil bahawa ketenangan, tidak kasar dan beradab ketika ibadah sangat dituntut, terutama semasa menunaikan ibadah haji yang suci. Sikap kasar dan bising boleh mengganggu orang lain, khususnya dalam ibadah berjemaah.

5.  Antara rahmat yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya adalah dapat melakukan ibadah dengan taufik dan hidayah-Nya. Setiap ibadah yang dilakukan seperti solat, haji dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan penuh ketenangan. Hanya ibadah yang dilaksanakan dengan penuh ketenangan akan melahirkan kebesaran dan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam hatinya.

6.  Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan bahawa teguran Nabi itu bertujuan meluruskan kefahaman para sahabat, bahawa kebaikan (al-birr) bukanlah diukur melalui kepantasan, tetapi melalui adab dan ketenangan dalam amal ibadah.

7.  Menolak sikap tergesa-gesa (ta‘ajul) – Islam menekankan ketenangan dalam segala hal, terutama dalam ibadah. Tergesa-gesa boleh membawa kepada kesilapan dan hilangnya roh ibadah.

8.  Setiap Muslim hendaklah sentiasa bersifat tenang kerana sifat tergesa-gesa akan menyebabkan seseorang itu melakukan kesilapan dan ketidaksempurnaan dalam melakukan amal ibadah yang akhirnya menyebabkan amalan tersebut ditolak oleh Allah SWT.

9.  Buat para Jemaah Haji yang diberi peluang mengerjakan ibadah haji dan menjadi tetamu duyufurrahman pada tahun ini, semoga sentiasa tenang beribadat di sana serta didoakan kebaikan dan mendapat haji yang mabrur.

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

*“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”*
اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

*“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”*

11hb Zulkaedah1447H
29hb April 2026M

Pekerjaan Paling Baik

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

*Pekerjaan Paling Baik*

عن سعيد بن عمير الأنصاري قال : سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَىُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ قَالَ : عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ

_*Daripada Said bin Amir al-Ansari berkata, Rasulullah SAW ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling baik?” Baginda menjawab, “Pekerjaan seseorang yang dilakukan dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.”*_ (HR Baihaqi No: 1222) Status: Sahih lighairihi

*Pengajaran:*

1.  Setiap kita wajib melakukan usaha dan ikhtiar bekerja mencari nafkah dan perbelanjaan kehidupan. 

2.  Sumber nafkah hendaklah diperoleh daripada sumber yang halal dan diharuskan syarak.

3.  Pekerjaan yang paling baik ialah yang dilakukan dengan tangan sendiri (Usaha sendiri dan tidak bergantung kepada yang lain) juga perniagaan yang halal.

4.  Pekerjaan dengan tangan sendiri bermaksud pekerjaan yang dilakukan seseorang tanpa meminta-minta. Pekerjaan tersebut termasuk yang menggunakan tulang empat kerat seperti buruh, tukang, operator juga yang menggunakan kelayakan akademik seperti doktor, guru, pegawai tadbir dan yang lain-lain.

5.  Perniagaan yang baik bermaksud perniagaan atau perusahaan yang bersih dari penipuan dan kecurangan. Baik kecurangan timbangan mahupun kecurangan dengan menyembunyikan  cacatnya barang yang dijual. Termasuk yang diperolehi secara haram, menipu juga menindas orang lain.

6.  Keberkatan dalam rezeki lebih penting daripada jumlah rezeki yang diperoleh. Keberkatan datang apabila rezeki itu dicari dengan cara yang halal dan digunakan ke jalan yang diredai Allah.

Selamat Menyambut Hari Pekerja Esok 1hb Mei. *Pekerja Madani Kesuma Bangsa*

12hb Zulkaedah1447H
30hb April 2026M

Tuesday, 28 April 2026

Mencium Hajarul Aswad

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Mencium Hajarul Aswad*

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَرْجِسَ قَالَ :رَأَيْتُ الْأَصْلَعَ يَعْنِي عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ يُقَبِّلُ الْحَجَرَ وَيَقُولُ: وَاللَّهِ إِنِّي لَأُقَبِّلُكَ وَإِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ وَأَنَّكَ لَا تَضُرُّ وَلَا تَنْفَعُ وَلَوْلَا أَنِّي رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبَّلَكَ مَا قَبَّلْتُكَ

_*Daripada ‘Abdullah bin Sarjis RA berkata; Aku pernah melihat al-Ashla' iaitu ‘Umar bin Al-Khattab RA mencium Hajar Aswad sambil berkata: "Demi Allah, sesungguhnya aku mencium engkau, meskipun aku tahu kamu hanyalah batu yang tidak dapat memberi mudharat dan tidak pula dapat memberi manfaat. Sekiranya aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu."*_ (HR Bukhari, No: 1597) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Allah SWT yang mencipta seluruh makhluk dan Allah berkuasa atas segala sesuatu. Setiap ciptaan-Nya tidak dapat mendatangkan sesuatu kebaikan mahupun keburukan kecuali dengan keizinan dan kehendak-Nya.

2.  Setiap Muslim 
hendaklah mentaati segala perintah Allah SWT selari dengan petunjuk Sunnah Nabi SAW. 

3.  Perlu difahami bahawa perintah Allah SWT ada yang dihukumkan sebagai wajib, sunat, makruh, haram dan harus berdasarkan kaedah-kaedah hukum yang telah disepakati oleh ulama. Contohnya apabila kita berada di Masjilil Haram antara amalan sunat adalah perbuatan mencium hajar aswad. Para sahabat Nabi SAW mengikuti amalan tersebut sebagai ittiba’ (ikutan sunnah) tanpa banyak persoalan kerana mereka melihat amalan tersebut dilakukan oleh Nabi SAW. 

4.  Dalam mazhab Syafie hukum mencium hajar aswad adalah sunat. Namun perlu diingat, ketika melakukan perbuatan mencium hajarul aswad itu, pastikan tidak menzalimi dengan menarik atau menyakiti orang lain. Dibimbangi perkara sunat itu menjadi haram. Moga menjadi peringatan buat mereka yang sekarang ini menjadi tetamu duyufurahman di Makah.

5.  Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui hikmah dan kepentingan disebalik sesuatu pensyariatan. Justeru, sebagai seorang hamba-Nya yang Muslim, maka wajiblah setiap perintah-Nya dilaksanakan manakala setiap larangan-Nya hendaklah dijauhi mengikut kemampuan tanpa perlu dipersoalkan kenapa ianya disyariatkan. 

6.  Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini mengandungi dalil bahawa mengikuti Nabi SAW dalam perbuatan ibadah adalah dituntut, walaupun kita tidak mengetahui hikmahnya secara langsung.

10hb Zulkaedah1447H
28hb April 2026M

Monday, 27 April 2026

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

_*Daripada Abi Hurairah RA, beliau berkata, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang mempunyai kelapangan belanja (kemampuan) tetapi tidak melakukan ibadah korban, maka janganlah dia menghampiri tempat solat (masjid) kami.*_ (Musnad Ahmad No: 7924) Status: Isnad Hasan

*Pengajaran:*

1.  Ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi. 

2.  Orang yang mempunyai kelapangan (kemampuan kewangan) tetapi dengan sengaja tidak melaksanakan ibadah korban, seolah-olahnya tidak layak mendatangi masjid untuk melaksanakan ibadat solat pada Hari Raya (menunjukkan satu bentuk ancaman).

3.  Dalam Mazhab Syafie, kelapangan belanja bermaksud seseorang yang mempunyai wang lebihan untuk membeli binatang korban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari tasyrik (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah). 

4.  Dalam Mazhab Hanbali pula, kelapangan belanja ialah mereka yang dapat membeli harga korban walaupun secara meminjam atau berhutang, dan hutang itu mampu dijelaskan.

5.  Imam Malik berkata: *“Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”.* (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

6.  Berusaha melaksanakan ibadat korban agar ia menjadi penghapus kepada dosa-dosa kita dan memberi kelegaan khususnya kepada fakir miskin dan kegembiraan jiran tetangga. 

7.  Islam sangat menekankan semangat pengorbanan, keikhlasan dan kepedulian sosial melalui ibadah korban. Sikap sambil lewa terhadap ibadah boleh membawa kepada kelalaian dalam agama.

8.  Bagi mereka yang berkemampuan dan ada lebihan wang, afdhal  melaksanakan Ibadat Korban di mana kita tinggal. Ayuh buat tempahan korban sekarang.

09hb Zulkaedah1447H
27hb April 2026M

Saturday, 25 April 2026

Satu Rumah Satu Ibadah Korban

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Satu Rumah Satu Ibadah Korban

عَنْ مِخْنَفِ بْنِ سُلَيْمٍ كُنَّا وَقُوفًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّة

Daripada Mikhnaf bin Sulaim RA, beliau berkata: Kami berwukuf di Arafah bersama Rasulullah SAW dan aku mendengar baginda bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya keatas setiap ahli sebuah rumah (keluarga), satu ibadah korban pada setiap setahun" (HR Ibnu Majah No: 3116) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Kita telah memasukki bulan Zulkaedah. Kita ada lebih kurang sebulan lagi untuk menyambut kedatangan Hari Raya Eidul Adha di mana antara amalan yang dituntut kepada Muslim yang mampu adalah ibadah Kurban. 

2.  Berdasarkan hadis di atas, sebahagian ulamak beranggapan, Ibadah korban adalah sunat kifayah bagi setiap rumah (suatu sunat yang amat dituntut). Satu sembelihan korban boleh mewakili satu keluarga. Dalam mazhab Syafie ibadat korban hukumnya sunat Muakkad (amat digalakkan). 

3.  Bagi Imam Abu Hanifah dan ulamak bermazhab Hanafi telah menetapkan bahawa menyembelih korban adalah wajib sekali setahun bagi orang bermukim dan berkemampuan dari segi kewangan daripada penduduk tempatan 

4.  Ibadat korban ini adalah sebahagian dari syiar agama sebagai memperingati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail AS. Melaksanakan ibadat ini akan membangkitkan kesedaran untuk sentiasa membelanjakan harta dan berkorban semata-mata meninggikan syiar agama Allah

5.  Jika kita mampu membayar bil handset RM 40.00 hingga RM 100.00 sebulan, sanggup membayar bil unifi RM 80.00 bulanan, sewajarnya kita juga mampu menyimpan sekitar RM 80.00 sebulan untuk membeli satu bahagian daripada korban pada setiap Hari Raya Korban.

6.  Kira-kira sebulan lagi kita akan bertemu dengan Hari Raya Korban, banyak masjid dan surau telah mula berkempen penyertaan ibadat korban kepada ahli kariah. Ambil kesempatan untuk menyertainya, paling kurang satu bahagian

7. Hadis ini menunjukkan kepentingan ibadah korban sebagai amalan tahunan yang sangat dituntut dalam Islam. Ia bukan sahaja simbol ketaatan kepada Allah SWT, tetapi juga medium untuk menyemai nilai pengorbanan, kesyukuran dan keprihatinan sosial dalam masyarakat. Dengan melaksanakannya, seorang Muslim dapat mendekatkan diri kepada Allah serta menghidupkan sunnah para nabi.

08hb Zulkaedah1447H
26hb April 2026

Friday, 24 April 2026

Umrah Menghapuskan Dosa Haji Mabrur Balasannya Syurga

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Umrah Menghapuskan Dosa Haji Mabrur Balasannya Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّة

Daripada Abi Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Antara satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa antara keduanya dan haji yang mabrur tidak ada baginya ganjaran melainkan syurga” (HR Bukhari No: 1773) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menjelaskan kelebihan besar ibadah umrah dan haji, khususnya dari sudut pengampunan dosa dan ganjaran akhirat.

2.  Ibadat umrah yang dilakukan secara berulang menjadi penghapus dosa antara keduanya, iaitu sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, ia menjadi penghapus dosa-dosa kecil sepanjang tempoh jarak antara ibadah umrah tersebut.

3.  Menurut Imam al-Nawawi dan para ulama lain, hadis ini menunjukkan bahawa ibadah umrah berperanan menyucikan jiwa dan menghapuskan kesalahan lalu, seperti mana solat dan puasa juga menjadi kafarah dosa.

4.  Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa hadis ini menjadi dalil keutamaan melakukan umrah secara berulang-ulang jika mampu, kerana ia menjadi sebab diampunkan dosa.

5.  Mereka yang diterima ibadah hajinya (haji mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi di sisi Allah melainkan syurga untuknya. 

6.  Menurut Imam al-Nawawi, haji mabrur adalah haji yang tidak dicemari dengan maksiat, dilakukan dengan niat yang ikhlas, memenuhi syarat dan rukun dengan sempurna.

7.  Setiap muslim mestilah berazam bersungguh-sungguh untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut agar mendapat haji yang mabrur. Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali-Imran: 97)

8.  Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, ia menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Perlaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Laksanakanlah ibadat haji dan umrah dengan memelihara rukun dan sunat serta meninggalkan larangan dengan sempurna.  Rebut peluang menjadikan ibadat haji dan umrah sebagai pembersih dosa-dosa dan mendapat keampunan serta ganjaran syurga.

07hb Zulkaedah1447H
25hb April 2026

Haji dan Umrah Menghapuskan Kefakiran dan Dosa

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Haji dan Umrah Menghapuskan Kefakiran dan Dosa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ وَالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلَّا الْجَنَّة

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:  “Laksanakanlah ibadah haji berserta umrah, maka sesungguhnya kedua-duanya akan menghapuskan kamu daripada kefakiran dan dosa-dosa, sebagaimana al-kir (bahan yang digunakan untuk menghilangkan) menghapuskan segala kekotoran besi, perak dan emas. Tidak ada balasan bagi haji yang mabrur melainkan syurga”  (Sunan Tarmizi No: 738) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Menjadi kewajipan bagi Muslim yang berkemampuan dan berkuasa untuk melaksanakan ibadat haji dan umrah 

2.  Orang yang melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan ikhlas dan sempurna akan menjadi penghapus dosa seperti bahan kimia yang boleh menghilangkan  segala kekotoran pada besi, perak dan emas serta memperoleh ganjaran  Syurga.

3.  Mereka yang melaksanakan ibadat haji dan umrah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar, namun Rasulullah SAW menjanjikan keberkahan rezeki dan dijauhkan dari kemiskinan.  

4.  Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan, walaupun haji memerlukan perbelanjaan, Allah akan gantikan dengan rezeki yang lebih baik jika dilakukan dengan niat yang benar. 

5.  Mereka yang diterima ibadah hajinya (mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi melainkan syurga untuknya.

Selamat mengerjakan ibadat haji dan umrah kepada duyufurahman. Rebutlah peluang menjadikan ibadat haji dan umrah sebagai pembersih dosa-dosa dan mendapat keampunan serta ganjaran syurga.

06hb Zulkaedah1447H
24hb April 2026

Wednesday, 22 April 2026

Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Seperti Bayi

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Seperti Bayi

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّه

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa  melaksanakan ibadat haji di rumah ini (Kaabah) semata-mata kerana Allah dan ia tidak menuturkan perkataan keji dan tidak melakukan kefasikan (keluar dari ketaatan) maka ia akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih dari dosa)  (HR Bukhari No:1690) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang melaksanakan ibadah Haji dengan tidak melakukan perkara yang dilarang akan diampunkan dosanya bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

2.  Haji mabrur adalah haji yang dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT (bukan kerana hendak melancong, berjual beli dan seumpamanya). Pelaksanaaan haji dengan kaifiyat (tata cara) yang betul sebagaimana yang diajarkan Nabi SAW akan menghasilkan pahala yang besar (syurga) dan keampunan dosa. Justeru, seseorang yang mahu melaksanakan ibadah haji mestilah memahami hukum-hukam berkaitan haji dan menjauhi perkataan yang kotor dan perbuatan fasiq.

3.  Apabila seseorang melaksanakan ibadat haji dengan menjauhi apa-apa yang Allah haramkan, berupa rafats (perkataan atau perlakuan yang menjurus kepada perkara lucah atau keinginan syahwat) dan fusuq (segala bentuk maksiat dan perbuatan dosa yang menyalahi syariat, seperti mencaci, bergaduh, menipu, atau perbuatan buruk lainnya), meninggalkan perbuatan fasik, melakukan ketaatan, dan tidak meninggalkan apa-apa yang Allah wajibkan, serta tidak melakukan apa yang Allah haramkan - maka ia kembali dari ibadat haji dalam keadaan bersih dari dosa. Sebagaimana seseorang keluar dari perut ibunya tanpa membawa dosa, maka orang memenuhi syarat ini - dia akan bersih dari dosa.

4.  Setiap Muslim yang akan melaksanakan ibadah haji hendaklah segera bertaubat (menyesali dan meninggalkan perbuatan maksiat) dan bertekad tidak akan mengulangi dosa-dosa tersebut. Bagi kesalahan dan dosa berkaitan dengan manusia atau mengambil haknya, hendaklah segera meminta maaf dan mengembalikan hak-hak mereka sebelum pergi melaksanakan haji. Sesungguhnya haji merupakan jalan menuju ke syurga dan membebaskan diri daripada api neraka.

5.  Ibadat haji yang dilaksanakan akan menjadi penghapus dosa apabila dilaksanakan mengikut peraturan dan meninggalkan larangan. Imam al-Nawawi dalam Al-majmu berkata: “Apabila seseorang ingin mengerjakan ibadat haji maka ia wajib mempelajari tatacaranya, kerana tidak sah ibadah dari orang yang tidak mengetahuinya.” 

6.  Haji yang diterima (mabrur) ialah haji yang:

a)  Dilaksanakan dengan ikhlas 
b)  Menjaga adab dan larangan 
c)  Tidak dicemari maksiat

Bagi yang akan menunaikan ibadat haji, pastikan ibadat haji yang dilakukan mengikut peraturan dan mematuhi larangan agar ia menjadi pengampun dosa.

05hb Zulkaedah1447H
23hb April 2026

Tuesday, 21 April 2026

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَجَّلُوا إِلَى الْحَجِّ يَعْنِي الْفَرِيضَةَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَا يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ 

Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah kamu menunaikan haji (yang wajib) kerana seseorang daripada kamu  tidak mengetahui apa yang akan berlaku keatasnya” (Musnad Ahmad No: 2721) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menunaikan ibadat haji suatu kewajipan kepada mereka yang memenuhi syarat berkuasa dan berkemampuan dari segi kewangan, kesihatan dan keselamatan perjalanan. Jangan ditangguh dengan sengaja melainkan bersebab yang dibenarkan Syara.

2.  Mengikut Imam Shafi’i kewajipan menunaikan haji tidaklah mesti disegerakan tetapi tidak pula bererti boleh dilambatkan. 

3.  Segera menunaikan haji dalam keadaan kita sihat dan mampu adalah penting sebagai langkah berjaga-jaga. Apatah lagi jika telah mendapat surat tawaran kerana peluang tidak datang selalu. Jika dilewatkan berkemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan langsung kerana kemungkinan berlaku sesuatu halangan seperti sakit, kehilangan harta, kematian atau perubahan keadaan. 

4.  Jika ada kemudahan untuk tidak menunggu giliran yang mungkin lama lagi; contohnya menggunakan package yang lebih bayarannya dan kita berkemampuan dari segi kewangan, maka elok diusahakan pemergian itu.

5.  Hadis ini mengingatkan umat Islam agar tidak bertangguh dalam menunaikan haji apabila telah berkemampuan. Kehidupan yang tidak menentu menuntut kita agar segera melaksanakan kewajipan sebelum datang halangan. Dengan itu, seorang Muslim akan lebih bersedia menghadapi Allah SWT dalam keadaan telah menunaikan tanggungjawabnya.

Bagi mereka yang berkemampuan dan berkuasa, jangan tunggu tahun depan atau tahun berikutnya. Kita tak pasti, ketika itu adakah kita masih hidup,  berkuasa atau berkemampuan?.

04hb Zulkaedah1447H
22hb April 2026

Kewajipan Ibadah Haji

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

Kewajipan Ibadah Haji

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ الْحَجَّ فَحُجُّوا فَقَالَ رَجُلٌ: أَكَلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasûlullâh SAW pernah berkhutbah kepada kami lalu bersabda: “Wahai sekalian manusia, Sesungguhnya Allâh telah mewajibkan haji keatas kalian, maka laksanakanlah ibadat haji.” Seorang laki-laki bertanya, “Wahai Rasûlullâh, apakah setiap tahun (kewajiban mengerjakan ibadat haji)?” Maka baginda diam, sehingga orang tadi bertanya tiga kali. Kemudian Nabi SAW bersabda, “Jika aku mengatakan ‘ya’, nescaya ia akan menjadi wajib (haji setiap tahun), dan kamu tidak akan mampu melaksanakannya.” (HR Muslim No: 1337) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadat Haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukalaf.

2.  Kewajipan ibadat haji hanya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan dan berkuasa.

3.  Mereka yang tiada halangan dari sudut wang ringgit, kesihatan mahupun kemudahan untuk mengerjakan ibadat haji, namun masih tidak berusaha menunaikankannya atas alasan "belum sampai seru" dibimbangi jika meninggal dunia dalam keadaan tidak diredhai Allah.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَمْنَعْهُ عَنْ الْحَجِّ حَاجَةٌ ظَاهِرَةٌ أَوْ سُلْطَانٌ جَائِرٌ أَوْ مَرَضٌ حَابِسٌ فَمَاتَ وَلَمْ يَحُجَّ فَلْيَمُتْ إِنْ شَاءَ يَهُودِيًّا وَإِنْ شَاءَ نَصْرَانِيًّا

Daripada Abu Umamah, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa tidak terhalang untuk melakukan haji oleh suatu hajat yang jelas atau oleh penguasa yang zalim atau penyakit yang menahannya, kemudian ia meninggal dunia dan belum melakukan haji, boleh jadi ia meninggal dunia dalam keadaan sebagai Yahudi atau sebagai Nasrani." (HR Darimi No: 1719) Status: Isnad Dhaif

4.  Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan juga mendapat giliran menunaikan haji. 

5.  Walaupun pada tahun ini ada yang masih belum berpeluang untuk mendapat giliran, paling tidak anda telah berusaha menabung dan mendaftar dengan Tabung Haji sebagai persiapan menunaikannya.

6.  Bagi pandangan Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti harta tak alih (i.e. rumah lebih dari satu, kenderaan lebih dari satu) atau sesuatu yang lebih daripada keperluan, maka wajib ia menjual sebahagian daripadanya untuk keperluan menunaikan haji.

7.  Hadis ini menegaskan bahawa kewajipan haji hanya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan, sebagai tanda rahmat dan kemudahan dalam Islam. Ia juga mengajar umat agar berhati-hati dalam bertanya serta memahami bahawa syariat Islam dibina atas asas kemudahan, bukan kesusahan.

Bersegeralah kita menyediakan kemampuan diri untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi yang belum menunaikannya. Jika tidak menabung dan mendaftar di Tabung Haji sekarang, bila lagi?. Jangan lupa daftar sekali untuk anak-anak dari awal.

Bagi yang terpilih menunaikan ibadat Haji pada tahun ini, Selamat Berangkat Duyufurrahman (tetamu Allah) dan didoakan moga dikurniakan kesihatan dan kemudahan dan beroleh haji yang Mabrur.

03hb Zulkaedah1447H
21hb April 2026

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...