Tuesday, 19 February 2013

RUMAH MAMPU MILIK


Di dalam usaha untuk menambah bilangan Rumah Mampu Milik, Kerajaan Negeri Selangor telah membenarkan pemaju-pemaju membuat permohonan untuk membina rumah tersebut bagi menggantikan Rumah Kos Rendah yang mereka perlu bina.

Bagaimanapun, permohonan untuk membina Rumah Mampu Milik ini hanya boleh diluluskan jika permintaan untuk Rumah Kos Rendah di sesuatu kawasan itu terlalu rendah.
Permohonan juga boleh diluluskan jika terdapat masih banyak Rumah Kos Rendah yang masih tidak terjual di kawasan tersebut.
Bentuk pembangunan, kemudahan awam dan infrastruktur di sekitar kawasan itu juga diambilkira.
Bagaimanapun, terdapat pihak yang mendakwa telah berlaku penyelewengan di dalam proses meluluskan permohonan-permohonan itu.
Oleh yang demikian, saya ingin menerangkan di sini prosedur untuk meluluskan sesuatu permohonan.
Setiap permohonan akan disiasat oleh jabatan dan agensi berikut yang akan mengemukakan ulasan-ulasan teknikal kepada Mesyuarat Exco :
1.Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Selangor (JPBD);
2. Pihak Berkuasa Tempatan terlibat (PBT) ;
3. Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS).
Berdasarkan ulasan-ulasan teknikal itu, Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) akan mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Exco sama ada untuk menolak atau meluluskan sesuatu permohonan.
Memandangkan ia melibatkan banyak pihak, amatlah payah bagi pemaju untuk cuba mempengaruhi kesemua pihak-pihak yang terlibat.
Walaupun jika pemaju dapat mempengaruhi LPHS, badan yang terlibat secara langsung menguatkuasakan dasar perumahan negeri, namun ia masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco.
Tetapi selari dengan dasar keterbukaan dan ketelusan Kerajaan Negeri, saya tidak mempunyai sebarang halangan jika LPHS atau mana-mana jabatan dan agensi itu diaudit atau disiasat.
Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa keputusan sama ada untuk meluluskan atau menolak dibuat oleh Mesyuarat Exco secara bersama atau ‘collective’. Ianya bukan keputusan Exco Perumahan.
Terdapat juga pihak yang mendakwa ciri-ciri Rumah Mampu Milik ini adalah tidak jelas.
Oleh yang demikian, berikut adalah ciri-ciri Rumah Mampu Milik Selangor:
1. Anggaran jualan di antara RM85,000 hingga RM120,000;
2. Keluasan rumah di antara 850 hingga 1,000 kaki persegi;
3. Rekabentuk yang terkini seperti konsep ‘green building’;
4. Mengambilkira aspek kemampuan dari segi binaan, persekitaran dan komuniti
5. Penyediaan kemudahan asas dan awam yang mencukupi seperti kawasan riadah, berinteraksi dan sebagainya termasuk untuk warga emas dan OKU;
6. Kos penyelenggaraan yang murah;
7. Perolehan keuntungan pemaju tidak melebihi 10 peratus.
Kerajaan Negeri sentiasa akan memastikan bahawa Rumah Mampu Milik yang dibina mampu dibeli oleh golongan sasaran yang ditetapkan iaitu mereka yang berpendapatan di antara RM2,500 dan RM5,000 sebulan.
Permohonan untuk membina Rumah Mampu Milik ini pula sentiasa diproses dengan adil.
Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor

http://www.keadilandaily.com
  • Wednesday, February 20, 2013




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...