Thursday, 25 April 2013

Bahang Emas Sama Panas Dengan Kempen PRU13


KOTA BHARU – Di sebalik kehangatan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di sini, orang ramai khususnya kaum wanita Kelantan, tidak melepaskan peluang membeli barang perhiasan berikutan harga emas turun sejak minggu lepas.
Harga emas jenis 916 yang menjadi pilihan penggemarnya, turun kepada RM380 bagi 2.7 gram, berbanding RM420 untuk 2.7 gram sebelumnya.
Tinjauan Bernama mendapati seawal 9 pagi, pengunjung mula membanjiri kedai-kedai emas di sekitar bandar Kota Baharu, malah ada yang sanggup beratur sebelum waktu perniagaan bermula.
Pekerja Kedai Emas Wan Hassan Wan Omar, Wan Ahmad Salihan Wan Mohd Zaki, 18, berkata orang ramai mula menyerbu kedai milik keluarganya itu selepas berita harga emas turun, disiarkan akhbar.
Susulan itu, Wan Ahmad Salihan berkata operasi kedai itu yang ditutup 5.30 petang setiap hari, kini dilanjutkan sehingga 7 malam.
“Emas ni pelaburan. Beli banyak kemudian boleh jual bila harga dia naik semula, kadang-kadang tu sampai dua kali ganda daripada harga asal,” katanya.
Nik Mahani Nik Abdullah, 55, berkata emas Kelantan mempunyai keunikan tersendiri kerana mendakwa kualitinya lebih tinggi berbanding tempat lain.
“Kalau tak jumpa yang berkenan, saya akan buat tempahan di kedai emas untuk disesuaikan dengan pergelangan tangan saya yang kecil. Walaupun mahal sedikit, tak apa, janji puas hati,” katanya.- Bernama


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...