Sunday, 10 November 2013

Suspek Bunuh Pegawai Bank Sembunyi Di rumah Kosong


Suspek bunuh pegawai bank sembunyi di rumah kosong

KUALA LUMPUR - Suspek kes bunuh dan rompak pegawai AmBank di Subang Jaya 
menjadikan bangunan serta rumah kosong sebagai lokasi persembunyian selama 
19 hari ketika dalam buruan polis.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata 
suspek bersembunyi di beberapa buah rumah serta bangunan kosong sekitar 
Lembah Klang dan Johor.

"Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan pengangkutan awam 
seperti bas dan teksi untuk keluar dari Lembah Klang menuju ke Johor sejurus selepas 
kejadian pada 23 Oktober lepas.

"Ketika berada di sana (Johor), suspek juga cuba mendapatkan bantuan sindiket 
pemalsuan dokumen pasport bagi melarikan diri ke negara jiran," katanya ketika 
dihubungi Bernama hari ini.

Suspek ditahan di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada kira-kira 7 pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam twitter beliau hari ini, memaklumkan 
bahawa suspek ditahan di Johor serta mengucapkan terima kasih kepada rakyat 
Malaysia yang membantu polis.

Dalam kejadian 23 Oktober lepas, pegawai AmBank Subang Jaya Norazita Abu Talib, 37, 
maut ditembak suspek ketika membuka peti besi dalam bilik kebal bank berkenaan.

Mangsa, yang berkhidmat selama 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat 
kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.

Suspek turut melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000. - Bernama




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...