Tuesday, 21 January 2025

Berhutang Penyebab Berbohong dan Berdusta

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berhutang Penyebab Berbohong dan Berdusta

عَنْ عُرْوَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَخْبَرَتْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلَاةِ وَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مِنْ الْمَغْرَمِ قَالَ إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ

Daripada 'Urwah bahawa 'Aisyah radliallahu 'anha mengkhabarkan kepadanya bahawa Rasulullah SAW sering berdoa dalam solat: "Allahumma innii a'uudzu bika minal ma'tsami wal maghram" (Ya Allah aku berlindung kepadamu dari berbuat dosa dan terlilit hutang). Lalu ada seseorang yang bertanya: "Mengapa anda banyak meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Sesungguhnya seseorang apabila berhutang ketika dia berbicara biasanya dia berdusta dan bila berjanji sering mengingkarinya". (HR Bukhari No: 2222) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW sering berdoa agar dijauhi dari dosa dan terbeban dengan hutang

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

(Ya Allah aku berlindung kepadamu dari berbuat dosa dan terlilit hutang)

2. Hutang bukan hanya menjejaskan kedudukan kewangan tetapi juga akhlak seseorang. Ia boleh menyebabkan seseorang mengabaikan sifat jujur dan amanah.

3. Hutang menjadi penyebab seseorang bercakap bohong dan berdusta. Orang yang terlibat dengan hutang, akan sanggup mencari pelbagai alasan yang direka sehingga menyebabkan orang lain bersimpati untuk meminjamkan kepadanya.

4. Hutang juga menyebabkan seseorang itu mengingkari janjinya dan mencari pelbagai alasan agar dapat menangguhkan pembayaran hutangnya. 

5. Banyakkan doa agar kita terhindar daripada berhutang atau suka berhutang kerana mereka yang berhutang mudah terlibat dengan sifat orang munafik iaitu berbohong dan memungkiri janji.

6. Hadis ini memberi amaran kepada kita tentang bahaya hutang yang boleh membawa kepada dosa besar seperti berdusta dan memungkiri janji. Rasulullah SAW menunjukkan contoh agar kita sentiasa meminta perlindungan daripada Allah supaya terhindar daripada sifat-sifat yang merosakkan. Oleh itu, setiap Muslim harus berusaha untuk mengurus kewangan dengan bijak, mengelakkan hutang yang tidak perlu, dan jika berhutang, bersungguh-sungguh untuk melunaskannya dengan segera. Keikhlasan, kejujuran, dan tanggungjawab adalah kunci dalam menangani urusan hutang menurut Islam.

22hb Rejab 1446H
22hb Januari 2025

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...