السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Membalas Jasa Ibu Bapa
عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ فَقَالَ أَحَيٌّ وَالِدَاكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ
Abdullah bin 'Amru radliallahu 'anhuma berkata: "Datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu meminta izin untuk pergi berjihad. Maka Baginda bertanya: "Apakah kedua orang tuamu masih hidup?" Lelaki itu menjawab: "Ya". Maka Baginda berkata: "Kepada keduanyalah kamu berjihad (berbakti)."
(HR Bukhari No: 2782) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Berkhidmat dan berbakti kepada ibu bapa boleh dianggap sebagai jihad, khususnya jika mereka memerlukan perhatian dan sokongan. Hal ini menunjukkan keutamaan menjaga ibu bapa dalam keadaan tertentu lebih daripada berjihad di medan perang.
2. Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad di medan perang dan diminta berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup, terutama yang memerlukan bantuan.
3. Rasulullah SAW menunjukkan bahawa jihad tidak hanya terbatas pada berperang di medan perang. Berjihad juga boleh dilakukan dengan melakukan kebaikan, menghormati, dan melayani ibu bapa, terutamanya apabila mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang anak-anak mereka.
4. Ibu bapa yang telah banyak berkorban dan bekerja keras dalam membesarkan anak-anak mereka seharusnya menerima penghargaan yang setimpal. Berbakti kepada mereka termasuk membantu dari sudut kewangan, penjagaan terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta kasih sayang.
5. Berbakti juga dituntut selepas ibu bapa meninggal dunia, antaranya menunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar, dan juga hutang kepada manusia.
Hadis Nabi SAW daripada Ibn Abbas RA:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: "Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk ditunaikan.”
(HR Bukhari No: 1953)
Hadis ini mengajarkan kita bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan terhadap ibu bapa adalah amalan yang sangat mulia. Menghormati ibu bapa adalah bentuk pengorbanan yang besar dalam konteks ini berbanding berjihad di medan perang. Berbuat baiklah kepada ibu bapa yang telah berjasa kepada kita, sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.
28 Syaaban 1446H
27 Februari 2025M
No comments:
Post a Comment