Wednesday, 5 March 2025

MEMASUKI SYURGA MENERUSI PINTU IBADAT

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

MEMASUKI SYURGA MENERUSI PINTU IBADAT

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ كُلِّهَا قَالَ نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ

*Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menginfak dua jenis (berpasangan) dari hartanya di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga; (lalu dikatakan kepadanya): "Wahai hamba Allah, inilah kebaikan (dari apa yang kamu amalkan). Maka barangsiapa dari kalangan ahli solat dia akan dipanggil dari pintu solat dan barangsiapa dari kalangan ahli jihad dia akan dipanggil dari pintu jihad dan barangsiapa dari kalangan ahli puasa dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan dan barangsiapa dari kalangan ahli sedekah dia akan dipanggil dari pintu sedekah". Lantas Abu Bakar Ash-Shidiq radliallahu 'anhu bertanya: "Ya Rasulullah, Demi bapa dan ibuku, jika seseorang dipanggil di antara pintu-pintu yang ada, itu sebuah kepastian, namun apakah mungkin seseorang akan dipanggil dari semua pintu?". Rasulullah menjawab: "Benar, dan aku berharap kamu termasuk di antara mereka".*
(HR Bukhari No: 1764). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Ramadhan bulan infak. Orang yang menginfak sepasang daripada hartanya di jalan Allah (banyak atau berterusan), dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga. Ibnu Hajar menyatakan bahawa orang yang menginfak dua barang dari harta apa pun yang berasal dari jenis yang sama akan dipanggil masuk syurga dari pintu infak.


2. Amalan fardu membuka pintu syurga. Amalan fardu seperti solat, jihad, puasa, zakat dan haji yang dilakukan semasa di dunia akan menjadi sebab seseorang dipanggil melalui pintu-pintu syurga yang sesuai dengan amalannya.


3. Setiap ibadah ada pintunya. Mereka yang ahli solat, ahli jihad, juga ahli sedekah akan dipanggil menerusi pintu-pintu di syurga antaranya pintu solat, pintu jihad dan pintu sedekah untuk masuk ke syurga.


4. Pintu khas bagi orang berpuasa. Ahli puasa akan dipanggil dari pintu syurga yang bernama ar-Rayyan.


5. Luaskan amalan ibadah. Hadis ini mengajarkan kita untuk tidak hanya fokus pada satu jenis ibadah. Sebaliknya, kita harus berusaha menjadi orang yang mampu melaksanakan berbagai jenis ibadah, sehingga kita berpeluang untuk dipanggil dari banyak pintu syurga.



Berusahalah menyempurnakan pelbagai ibadat SOLAT, JIHAD, SEDEKAH dan PUASA. Semoga ia menjadi antara pintu-pintu Syurga buat kita di akhirat nanti.

05hb Ramadhan 1446H
06hb Mac 2025

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...