السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
MENGHIDUPKAN MALAM RAMADHAN MENJADI PENGHAPUS DOSA
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mendirikan Ramadhan – di malam hari (menghidupkan Ramadhan dengan puasa di siang hari, solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain) kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu."
(HR Bukhari No: 36) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Mendirikan Ramadhan atas dasar iman bermaksud menghidupkan Ramadhan dengan puasa di siang hari, di malam hari solat sunat tarawih, solat witir, solat tahajud, tilawah al-Quran, iktikaf, berdoa, berwirid dan lain-lain amal soleh kerana meyakini akan amalan sunnah.
2. Ihtisab membawa maksud mengharap pahala semata-mata dari Allah SWT. Tidak merasa berat melaksanakan ibadah. Tidak dilakukan atas dasar riya’, mencari pujian atau hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.
3. Semoga ibadat puasa di siang hari, qiam di malam hari sama ada untuk solat sunat, tilawah, zikir, doa, iktikaf mahupun bangun sahur, akan menjadi sebahagian daripada elemen menghapuskan dosa-dosa yang lalu.
4. Antara ibadat di malam hari di bulan Ramadhan ialah solat sunat tarawih. Orang yang solat sunat bersama imam hingga selesai solat, dituliskan baginya seolah-olah ia bersolat sepanjang malam. Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ ..... فَقَالَ إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ ...
Daripada Abu Zar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berdiri bersama imam (solat sunat malam), hingga selesai (hingga imam beredar) dituliskan baginya ganjaran pahala orang yang qiam sepanjang malam."
(HR Tirmizi No: 734) Status: Hasan Sahih
Ayuh, pastikan kita menghidupkan malam Ramadhan dengan dapat bersama solat tarawih di masjid atau surau bersama imam hingga selesai kerana ganjarannya ditulis pahala seperti ia qiam sepanjang malam. Rugilah kita yang balik awal dari masjid atau tidak menunggu sehingga selesai sedangkan imam masih bersolat.
📆 03 Ramadhan 1446H
📆 04 Mac 2025
No comments:
Post a Comment