السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
Sahur Waktu Mustajab Berdoa
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
Daripada Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku akan memperkenankan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku akan memberi kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku akan mengampunkannya.” (HR Bukhari No: 1094) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Syeikh Mustafa al-Bugha berkata: Allah turun ke langit dunia bermaksud turunnya ketetapan Allah, Rahmat-Nya, Kelembutan-Nya dan Pengampunan-Nya.
2. Sepertiga akhir malam adalah waktu istimewa untuk ahli ibadah (sekitar jam 3 pagi hingga sebelum subuh). Suasana tenang dan jauh dari kelalaian, serta lebih dekat kepada keikhlasan.
3. Menurut al-Qurtubi, waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) merupakan waktu mustajab doa (doa diperkenan).
4. Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) waktu Allah mengampunkan dosa kepada yang memohon keampunan.
وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُون
Ketika waktu sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon keampunan” (Surah Az Zariyat ayat: 18)
5. Menghidupkan malam dengan doa dan ibadah, terutama pada sepertiga malam terakhir, memerlukan ketekunan dan kesungguhan. Ia adalah ujian kesabaran dan keikhlasan seorang hamba dalam beribadah kepada Allah. Walaupun waktu ini sangat berharga, hanya mereka yang tekun dan ikhlas yang akan mendapatkan manfaatnya. Rugilah mereka yang bangun di penghujung malam hanya untuk makan sahur atau ke bilik air semata-mata.
Rebutlah peluang waktu istimewa sepertiga malam terakhir dengan solat sunat seperti tahajud dan berdoa memohon Rahmat serta keampunan daripada dosa.
Jadikan ibadat Ramadan kali ini peluang merebut pahala dan membersihkan jiwa.
09hb Ramadan 1447H
27hb Februari 2026
No comments:
Post a Comment