Friday, 11 March 2022

Jaminan Syurga

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jaminan Syurga

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اضْمَنُوا لِي سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنْ لَكُمْ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ

Daripada 'Ubadah bin Ash Shamit bahawa Nabi SAW bersabda: "Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian."
(HR Ahmad No: 21695) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

Rasulullah SAW memberi jaminan setiap Muslim akan masuk Syurga jika memelihara enam perkara:

1.  Jujur jika berbicara.
Ibnu Qayyim menyatakan: Kejujuran adalah jalan yang lurus dimana orang yang tidak jujur, dia akan celaka dan binasa. Kejujuran (tidak berbohong) akan membezakan antara munafik dan beriman.

2.  Menepati janji. 
Tidak memenuhi janji adalah diantara sifat munafik.

3.  Menunaikan amanah.
Amanah berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia yang wajib ditunaikan (pelihara amanah yang diberi kepada kita)

4.  Memelihara kemaluan (kecuali untuk pasangan yang sah)

5.  Menundukkan pandangan.
Ibnu Qayyim menyatakan: menjaga pandangan adalah modal pokok untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak menjaga pandangannya, dia telah menempatkan dirinya ke tempat kehancuran.

6.  Menahan tangan.
Seorang Muslim tidak menganggu, menyakiti saudara Muslim yang lain, teman, mahupun tetangganya baik dengan lisan mahupun tangannya. Mereka merasa aman dengan kehadiran dirinya.  Tahanlah tangan kamu. (tidak mencuri, tidak mengambil rasuah, tidak memukul orang dan tidak menulis atau menyebarkan sesuatu berita fitnah).

Ayuh kita berlaku jujur, tepati janji, tunaikan amanah, jaga kemaluan, tundukkan pandangan dan menahan tangan.

12hb Mac  2022
09hb Syaaban 1443H

Thursday, 10 March 2022

Pemimpin Yang Adil

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin Yang Adil

حَدَّثَنَا فُضَيْلٌ عَنْ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَقْرَبَهُمْ مِنْهُ مَجْلِسًا إِمَامٌ عَادِلٌ وَإِنَّ أَبْغَضَ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَشَدَّهُ عَذَابًا إِمَامٌ جَائِرٌ

Telah menceritakan kepada kami Fudhail dari 'Athiyyah dari Abu Sa'id ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling dicintai Allah 'azza wajalla pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduknya dari Allah adalah seorang pemimpin yang adil, sedangkan orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan paling keras siksaannya adalah pemimpin yang zalim."
(HR Ahmad No:10745) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang paling dicintai Allah pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduk di sisi Allah ialah pemimpin yang adil.

2.  Pemimpin yang adil adalah satu  daripada tujuh golongan yang mendapat naungan di padang mahsyar. Hadis Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَوْ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ ....

Dari Abu Hurairah atau dari Abu Sa'id, Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh (golongan) yang akan dinaungi Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain kecuali naunganNya; pemimpin adil.
(Hadis Tirmidzi No: 2313) Status: Hadis Hasan Sahih

3.  Syarah Musim: Imam ialah orang yang yang diserahkan padanya urusan dan maslahah umat Islam termasuk pegawai dan pemerintah. Dalam Sunan Tirmizi: Imam yang adil disebut sebagai golongan terawal mendapat perlindungan di Padang Mahsyar kerana kepentingan dan faedahnya kepada umat.

4.  Keistimewaan ini hanya diberi kepada mereka yang adil dalam perkara yang diamanahkan sama ada mereka itu khalifah, imamah, wakil rakyat, hakim, ketua jabatan, pegawai kerajaan, penjaga anak yatim juga dalam perkara yang wajib ke atasnya, keluarga dan lainnya.

5.  Ibn Hajar berkata: Imam yang dicintai Allah dalam hadis ini adalah orang yang melaksanakan tanggungjawab terbesar mengendalikan urusan umat Islam dan ia berlaku adil padanya.

6.  Orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan paling keras siksaan untuknya adalah pemimpin atau penguasa yang zalim dan menzalimi rakyat atau orang bawahannya.

7.  Ayuh, setiap kita yang diberi tanggungjawab mengurus umat ini, jangan sesekali berbuat zalim dengan tidak melaksanakan amanah yang diberi  atau berlaku cuai ketika melaksanakannya seperti rasuah, pecah amanah, pengadilan terpilih, racis, melakukan penipuan, membohongi rakyat dll. 

Berusahalah mewujudkan tadbir urus yang baik melalui kepimpinan yang adil dan berintegriti.

11hb Mac  2022
08hb Syaaban 1443H

Wednesday, 9 March 2022

Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rasa kasih sayang (rahmat Allah) tidak akan dicabut kecuali dari orang yang celaka (berbuat keji)."
(HR  Tirmizi No: 1846) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki

2.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang (rahmat-Nya) daripada seseorang yang melakukan perbuatan keji dan maksiat.

3.  Perbuatan keji (seperti menghina, memfitnah, mengumpat dan mencela malah segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sekeliling) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim. Tanpa disedari Allah telah menghilangkan rasa kasih sayang dalam dirinya.

4.  Salman al-Farisi berkata: “Sesungguhnya apabila Allah inginkan kebinasaan kepada seorang hambaNya, maka Dia mencabut darinya sifat malu, apabila sifat tersebut tercabut maka akan dicabut darinya sifat amanah sehingga dia menjadi pengkhianat. Apabila sifat amanah dicabut darinya maka akan dicabut darinya sifat rahmah (sifat belas kasih)  sehingga dia memiliki sikap keras dan berhati kasar. Apabila dia sudah dalam keadaan demikian, maka akan dicabut sebahagian iman dari tengkuknya dan bila sudah demikian maka dia tidak akan ditemui kecuali dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat”.

Jauhi perkara keji. Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi akhlak terpuji.

10hb Mac  2022
07hb Syaaban 1443H

Tuesday, 8 March 2022

Amal Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amal Kebaikan 

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْحَارِثِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَشْعَرِيِّ  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيْمَانِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلآنِ – أَوْتَمْلأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَالصَّلاَةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائِعُ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا 
 
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi (bukti). Sabar itu adalah sinaran (memberi cahaya). Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap orang keluar waktu pagi (berusaha), ada yang menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsu dengan melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), ada yang memerdekakan dirinya (daripada kehinaan di dunia dan azab akhirat) dan ada pula yang mencelakakan dirinya (dengan melakukan maksiat). (HR Muslim No: 223) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, dan ia merupakan  sebahagian daripada lman. Jagalah kebersihan terutama di zaman Wabak Covid-19 ini.

2.  Bersuci merupakan syarat sahnya ibadah, oleh itu setiap Muslim perlu sentiasa mengambil perhatian.

3.  Menjaga ibadat solat akan mendatangkan cahaya petunjuk dan mampu memperbaiki diri seorang muslim terhadap manusia lain, menjadikan ia  berakhlak dan berperilaku terpuji, memiliki sifat kewarakan dan ketakwaan di sisi Allah.

4.  Semua amalan soleh merupakan kebaikan dan keindahan bagi seorang mukmin dan mempunyai nilai yang tinggi. Ada amalan yang menjadi hujah baginya, ada yang menjadi cahaya baginya, ada yang menjadi pemberat timbangannya dan sebagainya. Antaranya;

a.  Zikir al-Hamdulillah akan memenuhi neraca timbangan. 

b.  Zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. 

c.  Solat adalah cahaya. 

d.  Sedekah adalah saksi (Seruan untuk berinfaq pada jalan-jalan kebaikan dan bersegera melakukannya dimana hal tersebut merupakan pertanda dan bukti benarnya keimanan).

e.  Sabar adalah sinaran (bersabar tatkala mengalami musibah, khususnya apa yang dialami seorang muslim kerana perbuatan amar ma’ruf nahi munkar).

f.  Al-Quran adalah hujah bagi mukmin (Membaca Al-Quran dengan pemahaman dan mentadabbur (merenungkan) maknanya, mengamalkan kandungannya kerana hal tersebut dapat memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat).

5.  Setiap manusia dalam kegiatan hariannya mendedahkan dirinya sama ada kepada kebaikan atau kecelakaan. Ada yang menjual dirinya kepada Allah, lalu beroleh kebaikan dan kejayaan. Ada yang menjual dirinya kepada syaitan lalu beroleh kecelakaan.

6.  Pastikan segala aktiviti harian kita membawa kebaikan dan pahala bukan keburukan dan dosa.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

08hb Mac  2022
05hb Syaaban 1443H

Sunday, 6 March 2022

Amalan Pintu Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Pintu Kebaikan

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ 

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari.
(Musnad Ahmad No: 21628). Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Nabi SAW  menyampaikan pesanan tentang pintu-pintu kebaikan kepada umatnya iaitu Ibadat puasa, sedekah dan qiamullail.

2.  Pintu kebaikan pertama ialah Ibadat puasa. Puasa menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Puasa adalah perisai yang akan melindungi daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. Puasa adalah perisai seseorang dari api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka”.
(HR Ahmad No: 3868 dalam sahih al-Jami’).

4.  Persiapkanlah diri dengan mula berpuasa sunat pada bulan  Syaaban ini. Moga akan memudahkan kita melaksanakannya pada bulan Ramadan yang menjelang tiba. Semoga ibadat puasa menjadi perisai buat kita dari api neraka. 

5.  Pintu kebaikan kedua ialah bersedekah. Sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan seperti derma kepada mereka yang terkesan akibat musibah wabak Covid 19 atau terkena musibah banjir. 

6.  Ambillah kesempatan untuk menyumbang dan menderma. Semoga sumbangan kita menjadi pelebur dosa dan penghindar kita dari api neraka. Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma.
(Sahih Bukhari No: 5677) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

7.  Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan Qiamullail. Antaranya dengan melaksanakan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah. Semoga amalan ini  mampu membina kekuatan rohani kita. Ambillah kesempatan bermunajat dan berdoa di malam hari agar Allah mengangkat musibah wabak Covid 19 yang telah lebih dua tahun melanda.

Marilah kita melaksanakan amal-amal  yang menjadi antara pintu kebaikan iaitu membanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail.

07hb Mac  2022
04hb Syaaban 1443H

Friday, 4 March 2022

Amalan Syaaban Menghadapi Ramadan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan  Syaaban Menghadapi Ramadan

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا

Daripada Abu Salamah bahawa 'Aisyah RA menceritakan kepadanya, katanya: "Rasulullah SAW tidak pernah melaksanakan puasa lebih banyak dalam sebulan selain bulan Syaaban, ada kalanya baginda melaksanakan puasa bulan Syaaban seluruhnya. Baginda bersabda: "Lakukanlah amal-amal yang kalian sanggup melaksanakannya, kerana Allah tidak akan berpaling (dalam memberikan pahala) sampai kalian yang lebih dahulu berpaling (dari mengerjakan amal) ". Solat yang paling Nabi SAW cintai adalah solat yang dijaga kesinambungannya sekalipun sedikit. Baginda bila sudah biasa melaksanakan solat (sunat) baginda menjaga kesinambungannya".
(HR Bukhari No: 1834) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW melaksanakan puasa sunat paling banyak pada bulan Syaaban untuk kita contohi.

2.  Laksanakanlah setiap amal kita semampunya dengan istiqamah, kerana Allah sentiasa memberikan ganjaran pahala.

3.  Solat sunat yang Nabi SAW cintai ialah yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit.

4.  Pelihara solat sunat mengiringi waktu, duha, tahajud, witir dan lain-lain  walaupun hanya dua rakaat.

Marilah kita berterusan melaksanakan puasa sunat, solat sunat serta pelbagai amal soleh di bulan Syaaban ini khususnya sebagai persiapan menemui bulan Ramadan. Semoga kebiasaan yang kita lakukan pada bulan ini akan berterusan di bulan Ramadan.

05hb Mac  2022
02hb Syaaban 1443H

Thursday, 3 March 2022

Syaaban dan Puasa Sunat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syaaban dan Puasa Sunat

عَنْ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Daripada Usamah bin Zaid dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW; "Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Sya’ban. Baginda bersabda: Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah Rab semesta alam. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa".
(HR an-Nasai No: 2317) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban, bulan paling banyak Rasulullah SAW berpuasa sunat berbanding bulan lain.

2.  Bulan Syaaban, bulan kebanyakan manusia lalai daripada meningkatkan amal. Ramai yang menyibukkan diri dengan urusan dunia seperti menyediakan persiapan hari raya, mengadakan majlis kenduri kendara dan sebagainya.

3.  Ibnu Rajab menyatakan: “Dalam hadis ini terdapat dalil mengenai dianjurkan melakukan amalan ketaatan di saat manusia lalai. Inilah amalan yang dicintai di sisi Allah.” (Lathaif Al Ma’arif, 235) Beribadah pada waktu ramai orang dilalaikan akan lebih ikhlas sehingga pahalanya semakin besar. Beribadat ketika ini akan lebih berat dirasakan oleh jiwa, kerana biasanya jiwa kita ini akan terpengaruh dengan apa yang dilihatnya. Ketika orang mungkin sibuk menjamu selera sebab nanti di bulan Ramadan tak boleh makan siang hari, maka akan semakin berat bagi jiwa untuk menjalankan ketaatan. Oleh sebab itu, secara umum, meningkatkan ibadah seperti puasa sunat pada bulan Sya'ban dan menjaga diri dari terikut-ikut orang lain adalah amal yang dicintai.

4.  Setiap kita disarankan agar memperbanyakkan amal pada bulan Syaaban seperti puasa sunat, solat sunat, sedekah, membaca al-Quran dan lain-lain sebagai persiapan bertemu  bulan Ramadan.

5.  Setiap hari amalan kita akan diangkat ke langit, ada amalan kita yang akan dibawa naik kepada Allah SWT pada bulan Syaaban.

6.  Rasulullah SAW memperbanyakkan amal seperti puasa sunat pada bulan Syaaban kerana baginda suka amalnya diangkat ketika sedang berpuasa.

7.  Abu Bakr Al-Balkhi berkata:

شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ  وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ

Bulan Rajab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadhan waktu menuai hasil.

Ayuh kita merebut peluang memperbanyakkan amal soleh di bulan Syaaban  antaranya berpuasa sunat. Jadikanlah bulan ini untuk kita menyiram amal soleh agar ia tumbuh subur dan segar berterusan di bulan Ramadan nanti.

04hb Mac  2022
01hb Syaaban 1443H

Wednesday, 2 March 2022

Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Daripada Abu Salamah ia berkata, saya pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang puasa Rasulullah SAW, maka ia pun berkata; Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami mengira bahawa baginda akan puasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak puasa) sehingga kami mengira baginda akan berbuka (tidak puasa) terus-menerus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda puasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. Baginda berpuasa pada bulan Syaaban hingga sisa harinya tinggal sedikit."
(HR Muslim No: 1957) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa memelihara ibadat puasa sunat setiap bulan seperti puasa Isnin, Khamis juga pada hari-hari puteh (13, 14 dan 15 hari bulan).

2.  Rasulullah SAW berpuasa penuh sebulan pada bulan Ramadan

3.  Rasulullah membanyakkan puasa sunatnya pada bulan Syaaban kecuali beberapa hari dihujung Syaaban.

4.  Bulan Syaaban akan menemui kita. Marilah kita membuat persiapan untuk membanyakkan berpuasa sunat di bulan Syaaban. 

5.  Ambillah peluang kelebihan berpuasa dengan memperbanyakkan doa agar dilepaskan dari pelbagai musibah dan lain-lain kerana doa orang yang sedang berpuasa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadis daripada  Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

 ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”.
(HR Ibn Majah No:1752) Status:Hadis  hasan

Marilah kita melaksanakan ibadat puasa sunat dibulan Syaaban ini sebagai latihan dan persiapan menghadapi Ramadan.

03hb Mac  2022
29hb Rejab 1443H

Tuesday, 1 March 2022

Doa utk semua pelajar SPM 2021

KHUSUS BUAT PERMATA HATI ANAK-ANAK SPM 2021 PPD PP

Doa utk semua pelajar SPM 2021 ...

بِسۡـــــــــمِ اللَّــــــــــهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
 اَلْحَمْد ُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
 وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ
  أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاء ِ وَالْمُرْسَلِيْن
 وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعين

Ya Allah,
Hari ini 2/03/2022 ; bermulanya pelajar2 kami akan menduduki peperiksaan SPM ,
Kami mohon kepada Mu ya ALLAH, bantulah pelajar2 kami dalam peperiksaan yang mereka hadapi  YA ALLAH .

YA ALLAH ,
Peliharalah kesihatan pelajari2 kami di hari peperiksaan . Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti . Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan , jauhilah mereka daripada resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan .

YA ALLAH,
Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.

YA ALLAH ,
berilah keputusan cemerlang dalam peperiksaan pelajar2 kami . Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi , semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan solehah dan menghampiri diri mereka kepada Mu ya Allah .

YA ALLAH ,
Jadikanlah calon2 SPM kami pelajar yang cemerlang di dunia dan di akhirat , kami mohon kepada Mu , Kau perbaiki akhlak pelajari2 kami.

Ya ALLAH,
kami tidak mampu mengawasi pelajari2 kami setiap waktu YA ALLAH , kami serahkan calon2 SPM 2021 kami untuk berada di bawah penjagaan Mu Ya ALLAH . Gerakkanlah hati mereka untuk mereka berada di tempat-tempat yang Engkau redhai . Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat yang Engkau murkai . Jauhilah mereka daripada melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah .

YA ALLAH ,
Tetapkan hati mereka untuk menunaikan solat dan jangan Kau melalaikan mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah Ya ALLAH .

YA ALLAH ,
Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak2 kami sahaja , tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak2  rakan dan sahabat kami Ya ALLAH . Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat Ya ALLAH.

YA ALLAH

Perkenankanlah doa kami ini.

   رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَاِنْ لمَ ْتَغْفِرْلَنَاوَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّا مِنَ اْلخَاسِرِيْنَ.
   رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَِلاِخْوَانِنَا اَّلذِيْنَ سَبَقُوْنَ بِاْلاِيْمَانِِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا اِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ. 
   رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَاْبَ النَّارِِ.
   رََََبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا اِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ اْلعَلِيْمُ وَتُبْ عَلَيْنَا اِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ.    وَصَلَّى اللهُ عَلىَ سَيِِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.    سُبْحَانَ رَبِِّكَ رَبِِّ اْلعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ 
   وَسَلاَمٌ عَلَى اْلُمرْسَلِيْنَ وَاْلحَمْدُ لِلهِ رَبِِّ اْلعَالَمِيْنَ.

 امين يا رب العالمين.

PPD PP

ZIARAH KUBUR

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ziarah Kubur

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ زَارَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ  اسْتَأْذَنْتُ رَبِّى فِى أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِى وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِى أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِى فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ 

Daripada Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah SAW berziarah kepada makam ibunya, lalu beginda menangis, kemudian menangis pula lah orang-orang di sekitar baginda. Baginda lalu bersabda: “Aku meminta izin kepada Rabb-ku untuk memintakan ampunan bagi ibuku, namun aku tidak diizinkan melakukannya. Maka aku pun meminta izin untuk menziarahi kubur ibuku, aku pun diizinkan. Ziarahlah kubur, kerana ia dapat mengingatkan engkau akan kematian”.
(HR. Muslim No.108) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ziarah kubur merupakan salah satu ibadah yang disyariatkan dalam Islam. 

2.  Tujuan berziarah kubur adalah untuk menasihati diri dan mengingatkan diri sendiri akan kematian.
(Syarh Shahih Muslim Lin Nawawi, 3/402)

3.  Hikmah menziarahi kubur juga bagi melunakkan hati yang keras dan memadamkan kesombongan diri. Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda:

كنت نهيتكم عن زيارة القبور ألا فزوروها فإنها ترق القلب  وتدمع العين  وتذكر الآخرة  ولا تقولوا هجرا

“Dulu aku pernah melarang kalian untuk berziarah-kubur. Namun sekarang ketahuilah, hendaknya kalian berziarah kubur. Kerana ia dapat melembutkan hati, membuat air mata berlinang, dan mengingatkan kalian akan akhirat namun jangan kalian mengatakan perkataan yang tidak layak (qaulul hujr), ketika berziarah”.
(HR. Al Haakim no.1393, Status Sahih dalam Sahih Al Jaami’, 7584)

4.  Al Munawi berkata: “Tidak ada ubat yang paling bermanfaat bagi hati yang kelam selain menziarahi kubur. Ziarah kubur akan menjadi penyebab mengingati kematian, akan menghalangi seseorang dari maksiat, melembutkan hatinya yang kelam, mengusir kesenangan terhadap dunia, menjadikan musibah yang kita alami terasa ringan. Ziarah kubur itu sangat dahsyat pengaruhnya untuk mencegah hitamnya hati dan menguburkan sebab-sebab datangnya dosa. Tidak ada amalan yang sehebat ini pengaruhnya”.
(Faidhul Qaadir, 88/4)

Jadikan ziarah kubur kita sebagai pelembut hati dan penasihat diri.

02hb Mac  2022
28hb Rejab 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...