Saturday, 9 April 2022

Sahur Waktu Mustajab Berdoa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sahur Waktu Mustajab Berdoa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkannya.” (HR Bukhari No: 1094) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sepertiga akhir malam adalah waktu istimewa untuk ahli ibadah (sekitar jam 3 pagi hingga sebelum subuh).

2.  Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) merupakan waktu mustajab doa (doa diperkenan).

3.  Waktu akhir sepertiga malam (waktu sahur) waktu Allah mengampunkan dosa kepada yang memohon keampunan.

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُون

Ketika waktu sahur (akhir-akhir malam), mereka berdoa memohon keampunan”  (QS. Adz Dzariyat: 18) 

4.  Rugilah mereka yang bangun di penghujung malam hanya untuk makan sahur atau ke bilik air semata-mata.

Rebutlah peluang waktu istimewa ini dengan solat sunat seperti tahajud  dan  berdoa serta memohon  keampunan daripada dosa.

Jadikan ibadat Ramadan kali ini menyuburkan amalan kita bagi memburu taqwa dan menyebar rahmah.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

10hb April  2022
08hb Ramadan 1443H

Friday, 8 April 2022

Sahur Itu Barakah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sahur Itu Barakah

 عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلَا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Daripada Abi Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: "makan sahur itu barakah, maka janganlah kalian tinggalkan meskipun salah seorang dari kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah 'azza wajalla dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang makan sahur."
(HR Ahmad No: 10664) Status: Hadis Hasan 

Pengajaran:

1.  Makan ketika bersahur itu memiliki keberkatan. Antara bentuk barakah dari makan sahur adalah mampu memberikan tenaga, menguatkan semangat, dan meringankan beban bagi mereka yang berpuasa.

2.  Bersahurlah kita  sebagai mengambil barakah atau kebaikan dan kelebihan, walaupun hanya dengan seteguk air. 

3.  Ibn Hajar al-‘Asqalani mensyarahkan hadis ini: "Berkat pada sahur terhasil daripada sudut yang pelbagai, iaitu mengikut sunnah, serta berlawanan dengan ahli kitab, dan ianya menguatkan tenaga untuk melakukan ibadah puasa, serta menambahkan semangat untuk berpuasa, menahan daripada perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar, penyebab memberi sedekah kepada yang meminta, dan sebab kepada berzikir dan berdoa, waktu mustajab untuk berdoa, dan waktu niat untuk berpuasa bagi yang lupa berniat sebelum tidur.
(Fath al-Bari, 4/140)

4.  Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang yang makan dan minum untuk bersahur. Selawat Allah ke atas orang yang bersahur adalah pujian-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bersahur, manakala selawat para malaikat ke atas mereka yang bersahur pula merupakan doa pengampunan dari malaikat buat mereka yang bersahur.

5.  Waktu sahur itu sendiri pula termasuk antara waktu mustajab berdoa, waktu terbaik beribadah, dan waktu diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan.

6.  Keberkatan bersahur terbahagi kepada dua jenis keberkatan:

a.  Keberkatan Syar'iyyah: iaitu keberkatan dalam mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW, mendapat ganjaran dan pahala, penyebab kepada berzikir, berdoa, beristighfar pada waktu sahur yang merupakan waktu mustajab doanya serta beroleh keampunan.

b.  Keberkatan Badaniyah: iaitu keberkatan pada sahur tersebut memberikan bekalan nutrien dan tenaga kepada badan serta menguatkan semangat untuk berpuasa, dan menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar.

09hb April  2022
07hb Ramadan 1443H

Thursday, 7 April 2022

Bersahur Membezakan Puasa Muslim

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersahur Membezakan Puasa Muslim 

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Daripada Amru Ibnu Al-Ash RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:  "Perbezaan antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur." (HR Muslim No: 1836) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadah puasa yang diwajibkan ke atas umat Islam sama juga dengan ibadat puasa yang telah pun diwajibkan kepada ahli kitab (yahudi dan nasrani). Tetapi terdapat beberapa perbezaan di antaranya ialah :

a.  Umat Islam diwajibkan berpuasa setahun sekali iaitu pada bulan Ramadhan.
b.  Disunatkan bagi orang Islam yang hendak berpuasa makan sahur sebelum masuk waktu subuh.

2.  Ibadat puasa kita perlu berbeza dengan ibadat puasa ahli kitab iaitu dengan kita makan sahur sebelum fajar.

3.  Bersahurlah walaupun dengan seteguk air atau sebiji kurma.

4.  Umat Islam yang berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah akan mendapat ganjaran pahala yang melimpah-limpah di akhirat dan beroleh berbagai-bagai pertolongan di dunia lagi.

Bagi yang berpuasa sebaiknya bersahurlah sebagai mencontohi amalan Rasulullah SAW dalam ibadat puasa dan ia membezakan ibadat puasa orang Islam dengan puasa ahli kitab.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

08hb April  2022
06hb Ramadan 1443H

PERKONGSIAN BICARA PSIKOLOGI


*07/04/2022- KHAMIS*


*Wasiat Nabi Muhammad SAW tentang muflis akhirat*
1. Jangan tinggal solat sunat qobliyah baddiyah.
- solat qobliyah subuh
- solat qobliyah Dan baddiyah zohor 
*Nabi buat 4 rakaat qobliyah zohor*
*Nabi buat 2 rakaat baddiyah zohor*
- Solat baddiyah margrib.
- Solat baddiyah isyak. 
*Buat 4 rakaat pahala nya menyamai Lailatulqodar(pahala 1000bulan atau 83tahun*
2. Kena betul kan bacaan Suratul Fatihah.*WAJIB* bila tak betul solat jd *TAK SAH*. 
- kalau boleh Serta kursus tahsin solat. 
3. Kata Iman Sufyan Ats-tsauri. “Sendainya engkau bertemu Allah dengan membawa 70 dosa yang ada kaitannya antara engkau dan Allah ta’ala, maka itu lebih ringan buatmu dari pada engkau bertemu Allah dengan membawa 1 dosa yang ada kaitannya antara engkau dengan seorang hamba.” .*Jangan ambil mudah dosa kita dgn Manusia*
4. Bahaya Lidah 
- Dosa dengan manusia tidak akn terampun  dgn solat sunat taubat atau istigfar kecuali dgn memohon maaf.
*Dosa lidah wajib minta maaf Dan wajib cerita habis pendapat pertama jg pendapat Iman as shafie manakala pendapat kedua wajib minta maaf Dan tidak wajib cerita habis*
*Cukup dengan hanya meminta maaf dgn org yg kita buat Salah atau dosa*
- Dari hadis muttakafur Sesungguhnya seorg hamba apabila berkata2 yg tidak berfikir di humbankan ke neraka Dr Timur ke barat.
- Tak masuk Syurga orang mengumpat.
- Ramai yg takut makan babi tapi tak takut makan daging saudara sendiri.
- surah Al hujurat ada disebut memakan bangkai daging Manusia.
- 6 keadaan yg membolehkan kita bercerita 
       1.*Adu kezaliman*
       2.*kenalkan orang*
       3.*Terangkan maksiat*
       4.*ingatkan keburukan*
       5.*dapatkan nasihat*
       6.*Cegah mungkar*
- Bagaimana nak minta maaf dengan org yg telah meninggal dunia sedangkan kita ada hutang lidah dgn org tersebut. *
5. Bahaya Harta Benda 
- sehelai baju yg dibeli dgn harta haram(riba atau seumpama dgn nya) yg kita guna utk bersolat, solat tidak diterima. 
*HARTA PUSAKA* ikut hukum faraid
*jika suami meninggal*.  
 - hak isteri 1/8 ada anak, x ada anak 1/4.
- mak 1/6 Dan pak 1/6 mertua jika masih hidup.
*Dosa riba seringan2 nya dosa umpama lelaki berzina dgn Ibunya sendiri*
*Syarat sah taubat*
- Meninggalkan dosa dengan sukarela.
-Bertaubat dari dosa yang telah dilakukan.
- Pilihan untuk meninggalkan dosa terbit daripada membesarkan Allah SWT.

*Biarlah kita tidur dalam keadaan kita dizalimi daripada kita tidur dalam keadaan menzalimi*....

Wednesday, 6 April 2022

Memasuki Syurga Menerusi Pintu Ibadat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Memasuki Syurga Menerusi Pintu Ibadat 

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ كُلِّهَا قَالَ نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang menginfaqkan dua jenis (berpasangan) dari hartanya di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga; (lalu dikatakan kepadanya): "Wahai 'Abdullah, inilah kebaikan (dari apa yang kamu amalkan). Maka barangsiapa dari kalangan ahli solat dia akan dipanggil dari pintu solat dan barangsiapa dari kalangan ahli jihad dia akan dipanggil dari pintu jihad dan barangsiapa dari kalangan ahli puasa dia akan dipanggil dari pintu ar-Rayyan dan barangsiapa dari kalangan ahli sedekah dia akan dipanggil dari pintu sedekah". Lantas Abu Bakar Ash-Shidiq radliallahu 'anhu bertanya: "Demi bapa dan ibuku, jika seseorang dipanggil diantara pintu-pintu yang ada, itu sebuah kepastian, namun apakah mungkin seseorang akan dipanggil dari semua pintu?". Rasulullah menjawab: "Benar, dan aku berharap kamu termasuk diantara mereka".
(HR Bukhari No: 1764). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ramadan bulan infak. Orang yang menginfak sepasang daripada hartanya di jalan Allah (banyak @ berterusan), dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga.

2.  Amalan fardu seperti solat, puasa, zakat dan haji yang dilakukan  semasa di dunia, akan menyediakan  daripada ibadat tersebut, antara pintu-pintu ke syurga.

3.  Mereka yang ahli solat, ahli jihad, juga ahli sedekah, akan dipanggil menerusi pintu-pintu di syurga antaranya pintu solat, pintu jihad dan pintu sedekah untuk masuk ke syurga.

4.  Ahli puasa akan dipanggil dari pintu syurga yang bernama ar-Rayyan

5.  Orang yang melaksanakan semua ibadat,  semua pintu ibadat di syurga akan memanggil untuk masuk ke syurga melalui pintu  masing-masing.

Jom kita suburkan dan sempurnakan ibadat SOLAT, JIHAD, SEDEKAH dan PUASA. Semoga ia memantapkan keperibadian kita dan menjadi antara pintu-pintu Syurga buat kita.

07hb April  2022
05hb Ramadan 1443H

Tuesday, 5 April 2022

Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa

عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ

Daripada Sahl RA, Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang diberi nama Ar-Rayyan, iaitu pintu masuk bagi orang yang berpuasa di hari kiamat nanti. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut kecuali orang yang berpuasa. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana orang yang berpuasa?, maka orang yang berpuasa berdiri menghadap (memasukinya). Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut".
(HR Bukhari No: 1896) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.

2.  Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.

3.  Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array” dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila  memasukinya akan hilanglah segala kehausannya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.

4.  Al-Rayyan membawa maksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.

5.  Berkata Mulla al-Qari: “Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.”

6.  Syurga itu indah dan terlalu mahal harganya. Sudah pasti untuk memasukinya memerlukan rahmat Allah SWT yang Maha Luas. Di bulan Ramadhan ini, rahmat Allah SWT mencurah-curah untuk hamba-Nya yang berpuasa dan sudah disediakan kepada orang yang berpuasa satu pintu untuk memasukinya. Orang yang berpuasa Ramadan, pada hari kiamat akan memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan (pintu yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa).

Ayuh kita laksanakan ibadah puasa dengah sungguh-sungguh, semoga kita menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan.

06hb April  2022
04hb Ramadan 1443H

Monday, 4 April 2022

Menghidupkan Malam Ramadan Menjadi Penghapus Dosa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menghidupkan Malam Ramadan Menjadi Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mendirikan Ramadhan (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah, iktikaf, zikir dan lain-lain)  kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu".
(HR Bukhari No: 36) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mendirikan Ramadan atas dasar iman bermaksud menghidupkan malam hari dengan solat sunat tarawih, solat witir, solat tahajud, tilawah al-Quran, iktikaf, berdoa, berwirid dan lain-lain amal solleh kerana meyakini akan amalan sunnah.

2.  Ihtisab membawa maksud mengharap pahala semata-mata dari Allah SWT. Tidak merasa berat melaksanakan ibadah. Tidak dilakukan atas dasar riya’, mencari pujian atau hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3.  Semoga ibadat qiam di malam hari sama ada untuk solat sunat, tilawah, zikir, doa, iktikaf mahupun bangun sahur, akan menjadi sebahagian daripada elemen menghapuskan dosa-dosa yang lalu

4.  Antara ibadat di malam hari di bulan Ramadan ialah solat sunat Tarawikh. Orang yang solat sunat bersama imam hingga selesai solat, dituliskan baginya seolah-olah ia bersolat sepanjang malam. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ ..... فَقَالَ إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الْإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ ...

Daripada Abu Zar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 'Barangsiapa yang berdiri bersama imam (solat sunat malam), hingga selesai (hingga imam beredar) dituliskan baginya ganjaran pahala orang yang qiam sepanjang malam.'
(HR Tirmizi No: 734) Status: Hasan Sahih

Ayuh, pastikan kita dapat bersama solat tarawikh sama ada di masjid atau di surau, bersama imam hingga selesai kerana ganjarannya ditulis pahala seperti ia qiam sepanjang malam. Rugilah kita yang balik awal dari masjid atau tidak tunggu hingga selesai sedangkan imam masih bersolat.

05hb April  2022
03hb Ramadan 1443H

Sunday, 3 April 2022

Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Setahun Yang Lalu

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Setahun Yang Lalu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu".
(HR Bukhari No: 37) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berpuasa  atas dasar iman ialah melaksanakan ibadat puasa  dengan meyakini akan kewajipan melaksanakan ibadat puasa kerana perintah Allah.

2.  Ihtisab adalah melakukan ibadat puasa dengan ikhlas, menyempurnakan ibadat puasa dengan memelihara perkara yang boleh merosakkan puasa dan hanya mengharap pahala dari Allah. Tidak merasa berat melaksanakannya dan tidak hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.

3.  Puasa yang dilakukan atas dasar keimanan dan penuh keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu (dosa kecil). Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ مَا اجْتُنِبَتْ الْكَبَائِرُ

Daripada Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Solat lima waktu yang didirikan, satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar".
(HR. Ahmad No: 8830) Status Sahih

Semoga ibadat Puasa yang dilaksanakan bersungguh-sungguh akan menjadi penghapus dosa-dosa setahun yang lalu.

04hb April  2022
02hb Ramadan 1443H

Saturday, 2 April 2022

Salam Ramadhan Al Mubarak

Salam Ramadhan Al Mubarak.

*السلامعليکم*
Selamat menunaikan ibadah puasa Ramadhan tahun ini kepada saudara2ku yang dikasihi.
Mohon ampun dan maaf jika ada sebarang kesilapan dan kekhilafan.
Semoga kita semua sihat walafiat dan dapat beribadah dengan sempurna serta dipermudahkan segala urusan sepanjang Ramadhan ini..
*آمين يا رب العالمين*


In Syaa Allah, sebentar lg kita akan dipertemukan dgn Ramadhan el mubarak.

Mari kita alu2kan kehadiran Ramadhan kali ini dgn perkara2 berikut:

1.Sujud syukur krn dpt bertemu lg dgn Ramadhan kali ini 

2.Berazam utk membaca Al Quran satu juzuk setiap hari.

3.Bersedekah setiap hari terutamanya memberi mkn kpd yg berpuasa.

4.Mengimarahkan masjid dan surau  dgn solat berjemaah pd setiap waktu.

5.Bertahajjud (Qiamullail) dan mohon sebanyak2 pengampunan drpd Allah swt.

6.Memperbanyakkan Doa, Zikir dan Selawat.

7. Buat, dengar, cakap, bergaul dgn perkara baik.

Semoga kita meraih keampunan Allah serta keredhaanNya.

*AHLAN YAA RAMADHAN KAREEMM* 👏🥰🤝

Friday, 1 April 2022

Ibadah Puasa dan Anugerah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ibadah Puasa dan Anugerah

عَنْ أَبِي صَالِحٍ الزَّيَّاتِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ فَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَسْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ وَلِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ يَفْرَحُهُمَا إِذَا أَفْطَرَ فَرِحَ بِفِطْرِهِ وَإِذَا لَقِيَ رَبَّهُ فَرِحَ بِصَوْمِهِ

Daripada Abu Shalih Az Zayyat bahawa ia mendengar Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Allah 'azza wajalla telah berfirman; 'Setiap amal anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah bagi-Ku, dan Akulah yang akan memberinya pahala. Puasa itu adalah perisai. Apabila kamu berpuasa, maka janganlah kamu rosakkan puasamu dengan rafats, dan jangan pula menghina orang. Apabila kamu dihina orang atau pun diserang, maka katakanlah, 'Sesungguhnya saya sedang berpuasa.' Demi Allah, yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kesturi. Dan bagi mereka yang berpuasa ada dua kebahagiaan. Ia merasa gembira ketika berbuka lantaran puasanya, dan gembira ketika berjumpa dengan Rabbnya juga kerana puasanya."
(HR Muslim No:  1944) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amalan yang dilakukan oleh anak Adam adalah untuknya kecuali puasa. Puasa itu adalah untuk Allah dan hanya Allah yang akan memberi ganjaran pahalanya.

2.  Puasa itu adalah perisai atau pendinding seseorang dari melakukan perkara yang dilarang serta melaksanakan sesuatu yang diperintah.

3.  Bagi orang yang berpuasa, mereka perlu menjaga puasanya dari dirosakkan dengan sebab rafats (perhubungan suami isteri di siang hari) termasuk perbuatan dan perkataan sama ada yang diucapkan atau yang ditulis dan ditularkan yang kotor, lucah dan buruk serta hina.

4.  Orang yang berpuasa, jika dihina, dimarah ataupun diserang, maka katakanlah: Sesungguhnya saya sedang berpuasa.

5.  Bagi orang yang berpuasa, mulutnya mungkin akan berbau yang kurang menyenangkan, namun bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat kelak daripada wanginya kasturi.

6.  Untuk orang yang berpuasa, mereka akan dikurniakan dengan dua kebahagiaan:

a.  Gembira ketika berbuka puasa
b.  Gembira ketika berjumpa dengan Allah kerana ibadat puasanya yang diterima.
  
Semoga  Ramadan pada tahun ini lebih baik untuk kita dengan kualiti dan kuantiti amal yang bertambah. Marilah kita semarakkan ibadah kita agar ia menjadi pemacu perubahan diri kita kepada yang lebih baik. Berusahalah melakukan amalan terbaik. Memburu Taqwa Menyebar Rahmah. Andaikan  Ramadan Tahun Ini Terakhir Buat Kita.

02hb April  2022
30hb Syaaban 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...