Sunday, 12 June 2022

Jalan Taqarub Dan Mendapat Kecintaan Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jalan Taqarub Dan Mendapat Kecintaan Allah 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَالَ مَنْ عَادَى لِي وَلِيًّا فَقَدْ آذَنْتُهُ بِالْحَرْبِ وَمَا تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبْدِي بِشَيْءٍ أَحَبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُ عَلَيْهِ وَمَا يَزَالُ عَبْدِي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حَتَّى أُحِبَّهُ فَإِذَا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الَّذِي يَسْمَعُ بِهِ وَبَصَرَهُ الَّذِي يُبْصِرُ بِهِ وَيَدَهُ الَّتِي يَبْطِشُ بِهَا وَرِجْلَهُ الَّتِي يَمْشِي بِهَا وَإِنْ سَأَلَنِي لَأُعْطِيَنَّهُ وَلَئِنْ اسْتَعَاذَنِي لَأُعِيذَنَّهُ 

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Allah berfirman; Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku umumkan perang kepadanya.  Tidaklah seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku dengan melakukan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada yang telah Aku wajibkan kepadanya. Tidaklah seseorang itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan mengerjakan amalan-amalan  sunat, kecuali Aku akan mencintainya. Jika Aku sudah mencintainya, maka Akulah pendengarannya yang ia jadikan untuk mendengar, dan pengelihatannya yang ia jadikan untuk melihat dengannya, dan tangannya yang ia jadikan untuk melakukan sesuatu, dan kakinya yang dijadikannya untuk berjalan, jikalau dia memohon kepada Ku, pasti akan Aku akan memberinya, dan jika meminta perlindungan daripada Ku, pasti Aku melindunginya.
(HR Bukhari No: 6021) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Wali Allah adalah orang yang taat dan ikhlas dalam beramal,  beriman dan bertaqwa, beramal dengan al-Quran dan Sunnah.

2.Orang yang menyakiti mukmin yang bertakwa maka Allah akan membinasakannya.

3.Melaksanakan amal fardhu adalah yang paling afdal dan disukai Allah.

4.Meninggalkan maksiat adalah sebahagian daripada melaksanakan kefardhuan.

5.Mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan fardhu juga melalui amalan sunat akan melayakkan seseorang hamba mendapat kecintaan Allah.

6.Ibnu Rajab menyatakan: sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah melalui amalan fardu dan sunat, darjatnya akan diangkat di sisi Allah. Jika dia bertutur, dia bertutur kerana Allah. Jika dia melihat, dia melihat kerana Allah.

7.Diantara penghormatan yang Allah kurniakan  kepada orang yang dicintai Allah ialah Allah akan memperkenankan doanya jika dia meminta.  

13hb Jun  2022
13hb Zulqa'dah 1443H

Friday, 10 June 2022

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang ada kelapangan belanja tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri masjid kami.
(Musnad Ahmad No: 7924) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.Ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi. 

2.Orang yang berkemampuan tetapi tidak melaksanakan ibadah korban seolah-olahnya tidak layak mendatangi masjid untuk melaksanakan ibadat solat.

3.Dalam Mazhab Syafie, kelapangan belanja bermaksud seseorang yang mempunyai wang untuk membeli binatang korban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari tasyrik (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah). 

4.Dalam Mazhab Hanbali pula, kelapangan belanja ialah mereka yang dapat membeli harga korban walaupun secara meminjam atau berhutang, dan hutang itu mampu dijelaskan.

5.Imam Malik berkata: “Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”.
(Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

6.Berusaha melaksanakan ibadat korban agar ia menjadi penghapus kepada dosa-dosa kita dan memberi kelegaan khususnya kepada fakir miskin dan kegembiraan jiran tetangga. 

7.Bagi mereka yang berkemampuan dan ada lebihan wang, afdhal  melaksanakan Ibadat Korban di mana kita tinggal.

11hb Jun  2022
11hb Zulqa'dah 1443H

Thursday, 9 June 2022

Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Orang Yang Diredai Allah Bukan Dibenci
  
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلَاثًا وَيَسْخَطُ لَكُمْ ثَلَاثًا يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبُدُوهُ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَأَنْ تَعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَأَنْ تُنَاصِحُوا مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ أَمْرَكُمْ وَيَسْخَطُ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah meredai kalian dalam tiga perkara dan benci kepada kalian dalam tiga perkara. Allah meredai kalian jika kalian beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, jika kalian berpegang teguh kepada agamanya  dan tidak berpecah belah dan, jika kalian saling nasihat menasihati  kepada orang yang diserahkan kepadanya urusanmu.  Dan Allah membenci kalian dari sikap percaya kepada khabar yang tidak tentu sumbernya, banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) dan memboroskan harta".
(HR Ahmad No: 8444) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Allah meredai seseorang apabila ia melakukan tiga perkara:

a.Beribadah kepada  Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu

b.Berpegang teguh kepada agama-Nya  dan tidak berpecah belah 

c.Saling nasihat menasihati  dalam melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah. 

2.Allah membenci seseorang apabila ia memiliki tiga perkara:

a.Percaya kepada khabar, maklumat atau info yang tidak tentu sumbernya sama ada dalam bentuk pertuturan mahupun tulisan. 

b.Banyak bertanya (tentang perkara yang tidak perlu) sehingga menyusahkan orang lain untuk beramal

c.Membazir atau boros dalam membelanjakan harta

Berusahalah menjadi hamba yang diredai bukan dibenci.

10hb Jun  2022
10hb Zulqa'dah 1443H

Wednesday, 8 June 2022

Satu Rumah Satu Ibadah Korban

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Satu Rumah Satu Ibadah Korban

عَنْ مِخْنَفِ بْنِ سُلَيْمٍ كُنَّا وَقُوفًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّة

Daripada Mikhnaf bin Sulaim, kami berwukuf di Arafah bersama Rasulullah SAW dan aku mendengar baginda bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya keatas setiap ahli sebuah rumah, satu ibadah korban pada setiap setahun".
(HR Ibnu Majah No: 3116) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Kita telah memasukki bulan Zulkaedah. Kita ada lebih kurang sebulan lagi untuk menyambut kedatangan Hari Raya Eidul Adha di mana antara amalan yang dituntut kepada Muslim adalah ibadah Kurban. 

2.Berdasarkan hadis di atas, sebahagian ulamak beranggapan, Ibadah korban adalah sunat kifayah bagi setiap rumah (suatu sunat yang amat dituntut). Dalam mazhab Syafie ibadat korban ini sunat Muakkad. 

3.Bagi Imam Abu Hanifah dan ulamak bermazhab Hanafi telah menetapkan bahawa menyembelih korban adalah wajib sekali setahun bagi orang bermukim dan berkemampuan daripada penduduk tempatan 

4.Ibadat korban ini adalah sebahagian dari syiar agama sebagai memperingati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail. Melaksanakan ibadat ini akan membangkitkan kesedaran untuk sentiasa membelanjakan harta dan berkorban semata-mata meninggikan syiar agama Allah

5.Jika kita mampu membayar bil handset RM 40.00 hingga RM 100.00 sebulan, sanggup membayar bil astro RM 60.00 bulanan, membeli surat khabar dan majalah tidak kurang RM 50.00 sebulan – sewajarnya kita juga mampu menyimpan RM 70.00 hingga 80.00 sebulan untuk membeli satu bahagian daripada korban pada setiap Hari Raya Korban.

6.Bagi mereka yang berkemampuan dan ada lebihan wang, afdhal  melaksanakan Ibadat Korban di mana kita tinggal.
   
Ayuh yang masih belum menempah bahagian untuk korban. Masih ada kesempatan untuk turut menyertainya. Jika kita terlepas peluang untuk berkorban pada tahun ini, tak pasti tahun depan kita ada lagi atau tidak. 

9hb Jun  2022
9hb Zulqa'dah 1443H

Tuesday, 7 June 2022

Umrah Menghapuskan Dosa Haji Mabrur Balasannya Syurga

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Umrah Menghapuskan Dosa Haji Mabrur Balasannya Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّة

Daripada Abi Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Antara satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa antara keduanya dan haji yang mabrur tidak ada baginya ganjaran melainkan syurga”.
(Sahih Bukhari No: 1773) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ibadat umrah yang dilakukan secara berulang menjadi penghapus dosa antara keduanya. Iaitu sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, ia menjadi penghapus dosa-dosa kecil sepanjang tempoh jarak ibadah umrah tersebut.

2.Mereka yang diterima ibadah hajinya (haji mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi di sisi Allah melainkan syurga untuknya. 

3.Setiap muslim mestilah berazam bersungguh-sungguh untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut. Hal ini jelas sepertimana firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”
(Ali-Imran: 97)

4.Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, ia menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Perlaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya.
(Rujuk Tafsir al-Maraghi)

Rebut peluang menjadikan ibadat haji dan umrah sebagai pembersih dosa-dosa dan mendapat keampunan serta ganjaran syurga.

8hb Jun  2022
8hb Zulqa'dah 1443H

Sunday, 5 June 2022

Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Seperti Bayi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Seperti Bayi

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّه

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa  melaksanakan ibadat haji semata-mata kerana Allah dan ia tidak menuturkan perkataan keji dan tidak melakukan kefasikan (keluar dari ketaatan) maka ia akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih dari dosa).
(Sahih Bukhari No:1690) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang yang melaksanakan ibadah Haji dengan tidak melakukan perkara yang dilarang akan diampunkan dosanya bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

2.Haji mabrur adalah haji yang dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT (bukan kerana hendak melancong, berjual beli dan seumpamanya). Pelaksanaaan haji dengan kaifiyat (tata cara) yang betul sebagaimana yang diajarkan Nabi SAW akan menghasilkan pahala yang besar (syurga) dan keampunan dosa. Justeru, seseorang yang mahu melaksanakan ibadah haji mestilah memahami hukum-hukam berkaitan haji dan menjauhi perkataan yang kotor dan perbuatan fasiq.

3.Apabila seseorang melaksanakan ibadat haji dan menjauhi apa-apa yang Allah haramkan, berupa rafats dan fusuq iaitu meninggalkan perbuatan fasik dengan melakukan ketaatan, dan tidak meninggalkan apa-apa yang Allah wajibkan, serta tidak melakukan apa yang Allah haramkan - maka ia kembali dari ibadat haji dalam keadaan bersih dari dosa. Sebagaimana seseorang keluar dari perut ibunya tanpa membawa dosa, maka orang memenuhi syarat ini - dia akan bersih dari dosa.

4.Setiap Muslim yang akan melaksanakan ibadah haji hendaklah segera bertaubat (menyesali dan meninggalkan perbuatan maksiat) dan bertekad tidak akan mengulangi dosa-dosa tersebut. Bagi kesalahan dan dosa berkaitan dengan manusia atau mengambil haknya, hendaklah segera meminta maaf dan mengembalikan hak-hak mereka sebelum pergi melaksanakan haji. Sesungguhnya haji merupakan jalan menuju ke syurga dan membebaskan diri daripada api neraka.

5.Ibadat haji yang dilaksanakan akan menjadi penghapus dosa apabila dilaksanakan mengikut peraturan dan meninggalkan larangan. Imam al-Nawawi dalam Al-majmu berkata: “Apabila seseorang ingin mengerjakan ibadat haji maka ia wajib mempelajari tatacaranya, kerana tidak sah ibadah dari orang yang tidak mengetahuinya.” 

Ayuh pastikan ibadat haji yang dilakukan mengikut peraturan dan mematuhi larangan agar ia menjadi pengampun dosa kita.

06hb Jun  2022
06hb Zulqa'dah 1443H

Saturday, 4 June 2022

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَجَّلُوا إِلَى الْحَجِّ يَعْنِي الْفَرِيضَةَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَا يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ 

Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah kamu menunaikan haji (yang wajib) kerana kamu tidak mengetahui apa-apa yang mungkin menimpa”.
(Musnad Ahmad No: 2721) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Menunaikan ibadat haji suatu kewajipan kepada mereka yang berkuasa dan berkemampuan. Jangan ditangguh dengan sengaja.

2. Mengikut Imam Shafi’i kewajipan menunaikan haji tidaklah mesti disegerakan tetapi tidak pula bererti boleh dilambatkan. 

3. Segera menunaikan haji dalam keadaan kita sihat dan mampu adalah penting sebagai langkah berjaga-jaga. Apatah lagi jika telah mendapat surat tawaran. Jika dilewatkan berkemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan langsung kerana luput masa atau berlaku sesuatu bencana. 

4.Jika ada kemudahan untuk tidak menunggu giliran yang mungkin lama lagi; contohnya menggunakan package yang lebih bayarannya dan kita berkemampuan, maka elok diusahakan pemergian itu.

Bagi mereka yang berkemampuan dan berkuasa, jangan tunggu tahun depan atau tahun berikutnya. Kita tak pasti, ketika itu adakah kita masih berkuasa atau berkemampuan?

05hb Jun  2022
05hb Zulqa'dah 1443H

Friday, 3 June 2022

Kewajipan Ibadah Haji

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kewajipan Ibadah Haji

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ الْحَجَّ فَحُجُّوا فَقَالَ رَجُلٌ: أَكَلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasûlullâh SAW pernah berkhutbah: “Wahai sekalian manusia, Allâh telah mewajibkan haji bagi kalian, maka laksanakanlah ibadat haji.” Seorang laki-laki bertanya, “Wahai Rasûlullâh, apakah setiap tahun (kewajiban mengerjakan ibadat haji)?” Maka baginda diam, sehingga orang tadi bertanya tiga kali. Kemudian Rasûlullâh SAW bersabda, “Jika aku mengatakan ‘ya’, maka tentu wajib (haji setiap tahun), dan kamu tidak mampu.”
(Sahih Muslim No: 1337) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ibadat Haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukalaf.

2.Kewajipan ibadat haji hanya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan dan berkuasa.

3.Mereka yang tiada halangan dari sudut wang ringgit, kesihatan mahupun kemudahan untuk mengerjakan ibadat haji, namun masih tidak berusaha menunaikankannya atas alasan "belum sampai seru" dibimbangi jika meninggal dunia akan menjadi Yahudi atau Keristian.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَمْنَعْهُ عَنْ الْحَجِّ حَاجَةٌ ظَاهِرَةٌ أَوْ سُلْطَانٌ جَائِرٌ أَوْ مَرَضٌ حَابِسٌ فَمَاتَ وَلَمْ يَحُجَّ فَلْيَمُتْ إِنْ شَاءَ يَهُودِيًّا وَإِنْ شَاءَ نَصْرَانِيًّا

Daripada Abu Umamah, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa tidak terhalang untuk melakukan haji oleh suatu hajat yang jelas atau oleh penguasa yang zalim atau penyakit yang menahannya, kemudian ia meninggal dunia dan belum melakukan haji, boleh jadi ia meninggal dunia dalam keadaan sebagai Yahudi atau sebagai Nasrani."
(HR Darimi No: 1719) Status: Isnad Dhaif

4.Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan. 

5.Walaupun kota haji terhad malah berkurangan contohnya pada tahun ini hanya sekitar 14,000 sahaja yang dibenarkan, paling tidak anda telah berusaha menabung dan mendaftar dengan Tabung Haji sebagai persiapan menunaikannya, walaupun tarikh giliran yang diperolehi lama lagi.

6.Bagi pandangan Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti harta tak alih (i.e. rumah lebih dari satu, kenderaan lebih dari satu) atau sesuatu yang lebih daripada keperluan, maka wajib ia menjual sebahagian daripadanya untuk keperluan menunaikan haji.

Bersegeralah kita menyediakan kemampuan diri untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi yang belum menunaikannya. Jika tidak menabung sekarang, bila lagi?.

Bagi yang terpilih menunaikan ibadat Haji pada tahun ini, Selamat Berangkat Duyufurrahman (tetamu Allah) dan didoakan moga dikurniakan kesihatan dan kemudahan dan beroleh haji yang Mabrur.

04hb Jun  2022
04hb Zulqa'dah 1443H

Thursday, 2 June 2022

Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

عَنْ سَالِمٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ سَفَرًا ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

Daripada Salim RA bahawa Ibn Umar RA berkata kepada seseorang apabila hendak melakukan musafir: “Datanglah  kepadaku, aku ingin menyampaikan ucapan perpisahan sebagaimana Rasulullah SAW mengucapkan kepada kami, kemudian beliau mengucapkan: 
 
أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.”
(HR Tirmizi, No. 3443) Status: Hadis Sahih
.
Pengajaran:
 
1.Musafir adalah perjalanan seseorang daripada satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya mengerjakan ibadat fardhu haji ke Mekah. Ianya boleh menyebabkan kesulitan dan kemudharatan kerana menimbulkan kesukaran, keletihan dan menghalang keselesaan, kerehatan serta kesempurnaan dalam beribadah sepanjang perjalanan. 
  
2.Justeru, Rasulullah SAW telah mengajar para sahabat mengenai sunnah yang sangat baik untuk diamalkan apabila seseorang hendak melakukan musafir ialah mengucapkan doa kepadanya.

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.”

3. Terdapat juga dalam hadis Riwayat Anas RA, bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW memberitahu dia akan bermusafir, lalu Nabi SAW mendoakannya:

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”
(Sunan Tirmizi No: 3444) Status: Hadis Sahih
 
4. Kebiasaannya, bermusafir akan menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan dalam melakukan amalan harian mahupun beribadah. Oleh sebab itu, Islam telah memberikan rukhsah (keringanan) kepada seseorang yang bermusafir.  

5. Sebagai Muslim hendaklah kita mendoakan orang yang akan bermusafir dan berpesan kepada mereka untuk sentiasa bertaqwa dan menjaga amalan ibadah sepanjang perjalanan tersebut.

6. Sempena musim orang bertolak untuk bermusafir mengerjakan ibadat haji yang dijangkakan penerbangan awal bermula 4hb Jun 2022, doakanlah mereka dengan doa di atas semoga mereka memperoleh kekuatan dan kemudahan sepanjang berada di sana dan mendapat haji yang mabrur.

Mari kita doakan  Duyufurrahman (tetamu Allah)  dengan lafaz:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

 “Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

03hb Jun  2022
03hb Zulqa'dah 1443H

Wednesday, 1 June 2022

Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jaga Hak Allah, Diri dan Masyarakat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَأْخُذُ عَنِّي هَؤُلَاءِ الْكَلِمَاتِ فَيَعْمَلُ بِهِنَّ أَوْ يُعَلِّمُ مَنْ يَعْمَلُ بِهِنَّ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقُلْتُ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَأَخَذَ بِيَدِي فَعَدَّ خَمْسًا وَقَالَ اتَّقِ الْمَحَارِمَ تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ وَارْضَ بِمَا قَسَمَ اللَّهُ لَكَ تَكُنْ أَغْنَى النَّاسِ وَأَحْسِنْ إِلَى جَارِكَ تَكُنْ مُؤْمِنًا وَأَحِبَّ لِلنَّاسِ مَا تُحِبُّ لِنَفْسِكَ تَكُنْ مُسْلِمًا وَلَا تُكْثِرْ الضَّحِكَ فَإِنَّ كَثْرَةَ الضَّحِكِ تُمِيتُ الْقَلْبَ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Siapakah yang mahu mengambil beberapa kalimat daripadaku lalu mengamalkannya atau mengajarkan pada orang yang akan mengamalkannya?" Abu Hurairah menjawab: Saya, wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah memegang tanganku lalu menyebut lima perkara; Jauhkanlah larangan-larangan nescaya kamu akan menjadi orang yang paling beribadah, terimalah pemberian Allah dengan rela nescaya engkau akan menjadi orang paling kaya, berbuat baiklah kepada jiran tetangga nescaya kamu akan menjadi orang yang benar-benar beriman, kasihilah orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri nescaya engkau akan menjadi orang muslim yang sebenar-benarnya dan, janganlah banyak ketawa kerana banyak ketawa akan  mematikan hati."
(HR Tirmidzi No: 2227)  Status: Hadis Hasan 

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mengajar kepada kita untuk mengambil pesanan baginda bagi di amalkan dan disampaikan kepada orang lain. Antara pesanan untuk dilaksanakan dan disampaikan:

a.Jauhi larangan dan tegahan seperti minum arak, mencuri, meninggalkan perintah wajib umpama solat dan sebagainya agar kita menjadi orang yang paling beribadat.

b. Merasa reda dan puas hati dengan apa yang dikurniakan Allah. Tidak merasa keluh kesah, kecewa serta tamak dengan apa yang dimiliki. Yakin setiap sesuatu itu adalah ketentuan taqdir Allah nescaya kita akan menjadi orang yang paling kaya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati."
(HR Bukhari) 

c. Berbuat baik kepada jiran tetangga dengan sentiasa menyayangi, memberi pertolongan, menziarahi, tidak menyakitinya sama ada dengan perbuatan, perkataan dan sebagainya. Menjaga hak jiran sama ada Muslim mahupun bukan Muslim adalah bukti kesempurnaan iman.

d. Mengasihi orang lain sepertimana kita mengasihi diri sendiri adalah bukti keislaman dan keimanan seseorang. Tidak boleh menzalimi dan menganiaya serta menyakiti saudara kita. Firman Allah:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.
(al-Hujurat: 10)

e. Jangan banyak ketawa kerana banyak gelak ketawa akan   melalaikan seseorang daripada mengingati Allah serta akan menjadi penyebab menghalang cahaya petunjuk dan boleh mematikan hati. 

2. Marilah kita menjaga hak Allah, hak diri dan hak manusia lain. Peliharalah hubungan yang baik sama ada hubungan dengan Allah  juga dengan masyarakat seluruhnya.

02hb Jun  2022
02hb Zulqa'dah 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...