Wednesday, 10 August 2022

Jadilah Sahabat dan Jiran Yang Paling Baik

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Sahabat dan Jiran Yang Paling Baik

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ الْأَصْحَابِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ وَخَيْرُ الْجِيرَانِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ

Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap temannya. Dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap jirannya." (Sunan Tirmizi No: 1867) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Setiap orang mengharapkan kehidupan yang baik dan sejahtera.

2.Antara kesejahteraan seseorang apabila memiliki sahabat dan jiran yang baik.

3.Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap temannya

4.Sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap tetangganya

5. Dalam kita hidup bermasyarakat dan bernegara, jadikanlah diri kita sebagai sahabat dan jiran yang paling baik. Negara yang makmur dan sejahtera adalah hasil dari kehidupan anggota masyarakat yang saling bertolong bantu dan bekerjasama. 

Kebaikan kita sentiasa dirasai oleh orang lain dan ketiadaan kita akan dirindui. Ayuh kita sentiasa prihatin, berbuat baik dan mengutamakan orang lain.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2022.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

11hb Ogos  2022
13hb Muharram 1444H

Tuesday, 9 August 2022

Mukmin Prihatin Kepada Jiran

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Prihatin Kepada Jiran 

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ  عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالَّذِي يَشْبَعُ وَجَارُهُ جَائِعٌ.

Daripada Ibnu Abas RA dari Nabi SAW: Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan.
(HR Thobrani No:  12579) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.Antara bukti keimanan seseorang adalah memiliki sifat prihatin terhadap kesusahan jiran tetangga.

2.Tidak sempurna iman seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan ada jiran tetangga yang kelaparan.

3.Jadilah kita orang yang sentiasa berusaha menyantuni dan berbuat baik pada jiran. Jangan kita sahaja bergembira sedangkan ada jiran kita yang dibiatkan kelaparan dan kesusahan.

Sebagai warganegara yang prihatin dan bertanggungjawab, berusahalah mengenali jiran tetangga sama ada yang jauh mahupun yang dekat. Berkenal mesralah dengan mereka dan jalinkanlah  ukhuwah. Ringankan tulang membantu mana yang memerlukan bantuan. 

Jiran kita tanggungjawab kita. Negara kita tanggungjawab bersama.

10hb Ogos  2022
12hb Muharram 1444H

Monday, 8 August 2022

Akhirat Kita Berkait Dengan Jiran

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Akhirat Kita Berkait Dengan Jiran

عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  يَقُولُ :كَم مِن جَارٍ مُتَعَلِّقٍ بِجَارِهِ يَومَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ: يَارَبِّ هَذَا أَغْلِقُ بَابَهُ دُونِي فَمَنَعَ مَعْرُوفَهُ

Daripada Ibnu Umar RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Berapa ramai orang di hari kiamat (nasibnya) bergantung pada tetangganya yang lain, (tetangganya itu) berkata: “Wahai Tuhanku, orang ini menutup pintunya untukku, dia tidak mahu memberi miliknya kepadaku”.
(HR Hannad dalam kitab Az-Zuhd No 2/58) Status: Hadis Hasan dalam Silsilah Ahadits Ash-Sahihah No:2616.

Pengajaran:

1. Sebagai Muslim kita bertanggungjawab terhadap jiran tetangga.

2. Dalam hidup bermasyarakat dan bernegara, kita ada jiran yang terdiri daripada kerabat, ada jiran sesama Islam dan ada jiran bukan Islam. Setiap mereka ada hak yang menjadi tanggungjawab kepada kita untuk ditunaikan. Antara hak jiran yang menjadi tanggungjawab kita ialah sikap prihatin dan mengambil tahu hal ehwal jiran. Menunaikan tanggungjawab antaranya memberi menasihati, mengajak kepada maaruf dan mencegah kemungkaran. Tidak lupa juga memberi bantuan kepada yang memerlukan.

3. Berbuat baik kepada jiran dengan menunaikan hak mereka merupakan sebahagian dari tanggungjawab iman kita. Daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari   akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada   jirannya.”
(HR Muslim No: 77)

4. Jangan sampai di hari kiamat, ketika kita nak masuk syurga tetapi tertahan kerana ada jiran mendakwa semasa di dunia, kita tidak ambil tahu hal jiran. Dibiarkan jiran tanpa keprihatinan dan bantuan dari kita. 

Jangan biarkan jiran kita tanpa disantuni dan bersendiri. Ayuh, sempena sambutan bulan kebangsaan ini, kita cakna dan prihatin terhadap jiran kita.

09hb Ogos  2022
11hb Muharram 1444H

Sunday, 7 August 2022

Muslim Yang Utama

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muslim Yang Utama

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya".
(HR Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2.Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.

3.Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah termasuk menulis dan menyebarkan sesuatu yang berbentuk umpatan,  fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain.

4.Individu yang paling utama di sisi Allah adalah mereka yang sentiasa dirasai kebaikannya serta tidak menyakiti dan memudaratkan orang lain yang berada disekelilingnya sama ada melalui lisan mahupun perbuatannya. 

5.Kita perlu ingat, apa yang ditulis, ditutur mahupun perlakuan kita  terhadap orang lain akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah. Firman Allah:

إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.”
(Al-Isra; 36)

6.Imam al-Khaththabi berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

Sempena kita menyambut Bulan Kebangsaan 2022 ini, marilah kita menjadi  Muslim yang utama dengan menjaga lisan dan tangan kita daripada menyakiti dan menzalimi orang di sekeliling kita tanpa mengira bangsa dan agama termasuk menulis juga mentularkan di media sosial.

08hb Ogos  2022
10hb Muharram 1444H

Saturday, 6 August 2022

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

حَدَّثَنَا هَاشِمٌ حَدَّثَنِي عَبْدُ الْحَمِيدِ حَدَّثَنِي شَهْرٌ حَدَّثَنِي أَبُو ظَبْيَةَ قَالَ إِنَّ شُرَحْبِيلَ بْنَ السِّمْطِ دَعَا عَمْرَو بْنَ عَبَسَةَ السُّلَمِيَّ فَقَالَ يَا ابْنَ عَبَسَةَ هَلْ أَنْتَ مُحَدِّثِي حَدِيثًا سَمِعْتَهُ أَنْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ فِيهِ تَزَيُّدٌ وَلَا كَذِبٌ وَلَا تُحَدِّثْنِيهِ عَنْ آخَرَ سَمِعَهُ مِنْهُ غَيْرِكَ قَالَ نَعَمْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ قَدْ حَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَصَافُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَزَاوَرُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَبَاذَلُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَنَاصَرُونَ مِنْ أَجْلِي

Telah menceritakan kepada kami Hasyim telah menceritakan kepadaku Abdul Hamid telah menceritakan kepadaku Syahr telah menceritakan kepadaku Abu Dzabyah ia berkata; Bahawasanya Syurahbil bin As Simth memanggil Amru bin Abasah As Sulami dan bertanya, "Wahai Ibnu Abasah, apakah Anda mahu menceritakan kepadaku suatu hadis yang telah Anda dengar dari Rasulullah SAW tanpa ada tambahan ataupun kedustaan? Dan janganlah anda ceritakan kepadaku suatu hadis dari sahabat lain yang ia mendengarnya dari baginda selain anda. Amru bin Abasah berkata; Baiklah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala telah berfirman: 'Sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling merapatkan barisan kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling menolong kerana Aku.'"(Musnad Ahmad No: 18621) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Setiap Muslim berhak mendapat kecintaan Allah apabila:

1.  Saling mencintai kerana Allah

2.  Saling merapatkan hubungan (ukhuwah) kerana Allah

3.  Saling menziarahi kerana Allah

4.  Saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Allah

5.  Saling bantu membantu dan tolong menolong kerana Allah

Sempena kita menyambut bulan Kebangsaan 2022 ini, marilah kita tanamkan sifat saling menyayangi, pereratkan ukhuwah sesama kita, saling menziarahi khususnya kepada yang lebih tua daripada kita, berkerjasama dan bertolong bantu sesama kita. Dengan adanya sifat dan amalan terpuji ini, kita akan berjaya membina masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera.

Jadikanlah diri kita orang yang dicintai Allah dari asbab kecintaan kita kepada orang lain.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2022.

"Walau Kita Berbeza Tetap Teguh Bersama"

07hb Ogos  2022
09hb Muharram 1444H

Friday, 5 August 2022

Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُا حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Abdullah bin Abbas RA, beliau menceritakan: Ketika Nabi SAW melaksanakan puasa Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk puasa. Kemudian ada sahabat yang berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang diagungkan orang yahudi dan nasrani. Kemudian Nabi SAW bersabda: “Tahun depan, Insha Allah kita akan berpuasa pada hari ke sembilan.” Namun, belum sampai tahun depan, Nabi SAW diwafatkan.
(HR. Muslim No: 1916) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Antara hari yang digalakan berpuasa pada bulan Muharam ialah puasa hari Tasu'a (9hb Muharam) iaitu sehari sebelum hari Asyura (10hb Muharam)

2.Puasa dua hari iaitu puasa sunat Tasu'a (9hb Muharam)  dan puasa sunat Asyura (10hb Muharam) adalah untuk membezakan amalan berpuasa seorang Muslim dengan puasa orang Yahudi dan Keristian.

3.Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:

a)  Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura  (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).

b)  Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.

c)  Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.

Marilah kita tunaikan puasa Sunat Tasu'a (9hb Muharam) yang jatuh pada 7hb Ogos hari Ahad dan puasa Sunat Asyura (10hb Muharam) pada 8hb Ogos hari Isnin. Moga Allah akan mengampukan dosa-dosa kita setahun yang lalu.

Mungkinkah Muharam ini tidak akan kita temui pada tahun hadapan?

06hb Ogos  2022
08hb Muharram 1444H

Thursday, 4 August 2022

Puasa Asyura

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Asyura

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ

Daripada Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Nabi SAW memilih satu hari untuk puasa yang lebih baginda utamakan dari pada yang lainnya kecuali puasa hari Asyura, dan puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari No: 1867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara ibadat puasa yang menjadi keutamaan kepada Rasulullah SAW untuk kita contohi selain puasa dibulan Ramadan ialah puasa pada hari Asyura (10hb Muharam)

2.  Puasa Asyura ganjarannya dapat menghapuskan segala dosa (Imam Nawawi kata segala dosa kecil) setahun yang lalu. Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA, beliau mengatakan:

سئل عن صوم يوم عاشوراء فقال كفارة سنة

Nabi SAW ditanya tentang puasa Asyura, Baginda menjawab: “Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.” (HR. Muslim No: 1976). Status: Hadis Sahih

Rebutlah peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura. Semoga amalan berpuasa sunat Asyura akan menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu. Jadilah Muslim yang memiliki jati diri yang kukuh, bersih dari dosa dan maksiat. Kita perlu melahirkan warganegara yang merdeka daripada dosa, dan dalam masa yang sama memiliki peribadi yang utuh untuk membangunkan Negara Malaysia yang Sejahtera.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2022.

"Walau Kita Berbeza Tetap Teguh Bersama"

05hb Ogos  2022
07hb Muharram 1444H

Wednesday, 3 August 2022

Puasa Sunat Di bulan Muharam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Sunat Di bulan Muharam

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Seutama-utama puasa setelah Ramadan ialah puasa dalam bulan Allah iaitu bulan Muharam, dan seutama-utama solat sesudah solat Fardu, ialah solat malam."
(HR Muslim No: 1982) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Kita telah memasuki bulan Muharam, ia adalah salah satu bulan haram yang didalamnya dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyakan puasa sunat.

2.Bulan Muharam disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam.

3.Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 (Tasuua’a) dan ke-10 (Asyura’).

4.Solat sunat yang utama selepas solat fardu ialah solat sunat malam (qiamullail).

Rebutlah peluang kedatangan bulan Muharam untuk melakukan puasa sunat  khususnya pada 9hb Muharam dan 10hb Muharam. Ibadat puasa mendidik diri kita untuk menahan diri bukan hanya daripada makan dan minum disiang hari malah menahan diri dari sifat dan perbuatan buruk dan dosa. 

Puasa dan solat malam adalah antara amalan ke arah membina jati diri ke arah melahirkan warganegara Muslim yang teguh dan utuh peribadi.

04hb Ogos  2022
06hb Muharram 1444H

Tuesday, 2 August 2022

Jadilah Warganegara Bermanfaat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Warganegara Bermanfaat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ , وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW  bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh.
(HR Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453. Status hadis hasan dalam Sahih Al Jaami’ no. 176)

Pengajaran:

1.Sebagai anggota masyarakat dalam sebuah negara, berusahalah menjadi orang yang paling bermanfaat kepada orang lain kerana orang yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain. 

2.Hidup bermasyarakat menuntut setiap kita cakna terhadap orang di sekeliling. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang,  membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. 

3.Realiti hidup pada masa kini ada yang terkesan dengan pelbagai masalah antaranya kemiskinan, penyakit, masalah pekerjaan juga keluarga. Orang yang prihatin akan sentiasa menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan serta meringankan masalah orang lain. Perbuatan tersebut lebih dicintai Allah daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi. 

4. Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan, marilah kita menjadi orang yang bermanfaat dengan sentiasa berusaha mewujudkan masyarakat dan negara yang bersatu padu dan diredhai Allah.  Berusahalah kita menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Keberadaan kita dalam organisasi,  masyarakat dan negara amat dirasai manfaat kebaikannya. Ketiadaan kita pula akan ditangisi.

03hb Ogos  2022
05hb Muharram 1444H

Monday, 1 August 2022

Kesempurnaan Iman Dengan Mengasihi Orang Lain

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kesempurnaan Iman Dengan Mengasihi Orang Lain

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak beriman  (sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri".
(Sahih Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mencintai sesama Muslim.

2.Jika kita suka diri kita mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib baginya mencintai saudara Muslim yang lain agar mendapat nikmat yang sama.

3.Jika kita suka memperolehi nikmat dunia kita juga sewajarnya suka agar saudara muslim yang lain juga memperolehinya.

4.Jangan sesekali kita memiliki sifat dengki dan khianat dengan nikmat yang dimiliki oleh saudara kita yang lain.

5.Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah yang mana kedua-dua kaum ini  begitu taksub dan fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah telah satukan hati mereka dengan kasih sayang dan mereka saling mencintai antara satu sama lain apabila menerima Islam. Mereka bersatu atas nama Islam dan mereka berjuang atas nama Islam.

6.Ingatlah bahawa setiap mukmin ini bersaudara. Firman Allah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat”.
(al-Hujurat: 10)

7.Saudara kita seagama adalah tanggungjawab kita untuk membantu jika mereka memerlukan bantuan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan kisah mereka, memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan akhir sekali jangan kita lupa untuk mendoakan kepada mereka kerana doa adalah senjata terbaik apatah lagi doa yang tidak diketahui oleh saudaranya sendiri.

Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan ini, marilah kita memperbaharui semangat perpaduan dan kebersamaan dengan saling mengasihi dan menyayangi orang lain. Semoga sifat tersebut mengukuhkan jati diri kita dalam bekerjasama mewujudkan Negara Yang Utuh Teguh dan mendapat keredhaan Allah.

02hb Ogos  2022
04hb Muharram 1444H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...