Saturday, 10 September 2022

Manusia Paling Dibenci Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Manusia Paling Dibenci Allah

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda: "Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh)".
(HR Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego. Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan merupakan sifat Iblis.

2.Iblis menjadi kufur akibat daripada sifat keras kepala dan sombong dengan merasakan dia lebih baik daripada orang lain.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعود عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Daripada Abdullah bin Masud RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi daripada kesombongan."
(Sahih Muslim No: 133) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

3.Orang yang suka membantah adalah mereka yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikannya  seorang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Akhirnya mewujudkan ketidak sefahaman dan permusuhan.

Hidup bermasyarakat menuntut kita memiliki hati yang lembut, boleh menerima nasihat dan teguran. Jauhi sifat keras kepala dan suka membantah.

11hb Sept  2022
14hb Safar 1444H

Friday, 9 September 2022

Jangan Saling Memusuhi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Saling Memusuhi

عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّام

Daripada Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, saling bermusuhan, saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari".
(Sahih Bukhari No: 5718) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Umat Islam dilarang saling membenci sesama mereka

1.Sifat iri hati dan cemburu kelebihan yang ada pada orang lain perlu dijauhi. Elakkan saling berdengki sesama Muslim

2.Sifat bermusuhan dengan sesama Muslim adalah dilarang kerana setiap Muslim adalah bersaudara. 

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka bermusuh".
(Sahih Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

3.Kita boleh berbeza pandangan dengan orang lain, namun perlu saling berlapang dada dan memaafkan.

4.Elakkan diri daripada tidak bertegur atau menjauhi saudara Muslim melebihi tiga hari.

Dalam kita hidup bermasyarakat dan bernegara, perlu ada sifat bertolak ansur dan saling memaafkan. Jauhi sikap bermusuh, benci dan dengki terhadap orang lain. Binalah ukhuwah melalui sifat saling berkasih sayang.

10hb Sept  2022
13hb Safar 1444H

Thursday, 8 September 2022

Mendamaikan Lebih Utama

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mendamaikan Lebih Utama

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِصْلَاحُ ذَاتِ الْبَيْنِ وَفَسَادُ ذَاتِ الْبَيْنِ الْحَالِقَةُ

Daripada Abu Darda RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama dari darjat puasa, solat dan sedekah?" para sahabat berkata, "Tentu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Mendamaikan orang yang sedang berselisih. Dan rosaknya orang yang berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan)." (Sunan Abu Daud No: 4273)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ibadah Puasa, Solat dan Sedekah adalah antara amal ibadah yang utama dalam kehidupan Muslim yang biasa dilaksanakan.

2.Mendamaikan dua orang yang berselisih atau dua kelompok yang bergaduh adalah lebih utama berbanding ibadat peribadi seperti puasa, solat dan sedekah

3.Perselisihan atau pergaduhan antara dua orang atau dua kelompok boleh menjadi pengikis pahala yang mungkin dicetuskan dari penyakit hasad dengki dengan saling mengumpat, menghina dan merendah-rendahkan pihak yang satu lagi

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar." (Sunan Abu Daud No:4257)

Hidup bermasyarakat dan bernegara memerlukan warganya saling bertolak ansur dan mengelakkan perselisihan yang membawa kepada pergaduhan. Bersikap ramah dan rahmah dengan berusaha mendamaikan dua saudara atau kelompok yang berselisih kerana ia adalah amal soleh yang utama.

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2022.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

09hb Sept  2022
12hb Safar 1444H

Wednesday, 7 September 2022

*Mukmin Yang Terpelihara

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Mukmin Yang Terpelihara*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

_*Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: 'Barang siapa membebaskan seorang mukmin dari suatu kesulitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat. Barang siapa memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan, maka Allah akan memberikan kemudahan di dunia dan akhirat. Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan selalu menolong hamba-Nya selama hamba tersebut menolong saudaranya sesama muslim. Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al-Quran, melainkan mereka akan diliputi ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya. Barang siapa yang ketinggalan amalnya (kurang), maka keturunannya tidak akan dapat meninggikannya (menambah amalnya).'*_ (Sahih Muslim No: 4867) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.Mukmin yang membebaskan mukmin lain dari suatu kesulitan di dunia, nescaya Allah akan membebaskannya dari suatu kesulitan pada hari kiamat.

2.Mukmin yang memberi kemudahan kepada orang yang berada dalam kesulitan semasa di dunia, nescaya Allah akan memberikan kemudahan kepadanya di dunia dan akhirat.

3.Mukmin yang menutupi aib seorang muslim semasa di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. 

4.Allah akan menolong sesiapa yang menolong saudara muslim yang lain.

5.Sesiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya.

6.Orang yang berkumpul di masjid untuk membaca Al-Quran, Allah akan mengurniakan ketenangan, rahmat, dan dikelilingi para malaikat, serta Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.

7.Barang siapa yang kurang amalnya semasa di dunia,  maka keturunannya tidak akan dapat menambah amalnya. (Amal kita seperti solat, puasa, zakat, tilawah al-Quran adalah tanggung jawab kita).

Marilah kita cakna terhadap saudara kita yang lain dengan berusaha bertolong bantu dalam urusan kebaikan. Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2022.

*"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"*

08hb Sept  2022
11hb Safar 1444H

Tuesday, 6 September 2022

Makan Daging Saudara SeIslam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makan Daging Saudara SeIslam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ
 
Daripada Abdullah ibn Masud RA beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi SAW, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi SAW : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata : Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.”
(HR Thabarani  No: 13145) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Dalam kehidupan ini, setiap orang tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Namun kita dilarang menceritakan kekurangan dan aib orang lain. 

2.Orang yang menceritakan aib orang lain atau disebut mengumpat, diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢ 

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(al-Hujurat: 12)

3.Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan).
(Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)

4.Walaupun begitu, bukanlah larangan mutlak menceritakan aib dan kelemahan orang lain. Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut Enam keadaan mengumpat yang diharuskan oleh syarak:

a.Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau  hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.
b.Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat 
c.Meminta fatwa 
d.Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.
e.Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.
f.Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya

Bersamalah kita menjaga hubungan dalam hidup bermasyarakat. Elakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan hubungan ukhuwah sesama kita.

07hb Sept  2022
10hb Safar 1444H

Monday, 5 September 2022

Jangan Ambil Yang Bukan Hak

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Ambil Yang Bukan Hak

عَنْ أَبِي حُمَيْدٍ السَّاعِدِيِّ قَالَ اسْتَعْمَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا مِنْ الْأَسْدِ يُقَالُ لَهُ ابْنُ اللُّتْبِيَّةِ قَالَ عَمْرٌو وَابْنُ أَبِي عُمَرَ عَلَى الصَّدَقَةِ فَلَمَّا قَدِمَ قَالَ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا لِي أُهْدِيَ لِي قَالَ فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ وَقَالَ مَا بَالُ عَامِلٍ أَبْعَثُهُ فَيَقُولُ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا أُهْدِيَ لِي أَفَلَا قَعَدَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ أَوْ فِي بَيْتِ أُمِّهِ حَتَّى يَنْظُرَ أَيُهْدَى إِلَيْهِ أَمْ لَا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَا يَنَالُ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنْهَا شَيْئًا إِلَّا جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى عُنُقِهِ بَعِيرٌ لَهُ رُغَاءٌ أَوْ بَقَرَةٌ لَهَا خُوَارٌ أَوْ شَاةٌ تَيْعِرُ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى رَأَيْنَا عُفْرَتَيْ إِبْطَيْهِ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ هَلْ بَلَّغْتُ مَرَّتَيْنِ

Daripada Abu Humaid As Sa'idi dia berkata, "Rasulullah SAW mengambil seorang lelaki dari suku Al-Asad bernama Ibnu Luthbiyah sebagai pekerja. Amru dan Ibnu Abu 'Umar berkata (Nabi SAW mengupah lelaki tersebut) untuk mengumpulkan harta zakat. Ketika lelaki tersebut menyerahkan zakat yang dikutip, dia berkata, "Zakat ini kuserahkan kepada kamu  (Rasulullah), dan ini pemberian orang kepadaku." Abu Humaid berkata, "Rasulullah SAW lalu berkhutbah di atas mimbar, setelah baginda memuji-muji Allah, baginda menyatakan: "Adakah patut seorang petugas yang aku tugaskan untuk mengurus suatu tugas, dia berkata, 'Ini untuk kamu, dan ini hadiah orang kepadaku!.' Mengapa dia tidak duduk saja di rumah ibu bapanya menunggu orang menghantarkan hadiah kepadanya? “Demi (Allah), yang jiwaku berada di tanganNya. Tidaklah seseorang mengambil sesuatu daripadanya (harta), melainkan dia akan datang pada hari Kiamat membawa di lehernya. Jika (yang diambil) seekor unta, maka (unta itu) bersuara. Jika (yang diambil) seekor lembu, maka (lembu itu pun) bersuara. Atau jika (yang diambil) seekor kambing, maka (kambing itu pun) bersuara." Kemudian baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami melihat putih kedua ketiaknya, kemudian baginda bersabda: 'Ya Allah, telah aku sampaikan.' Baginda mengatakannya dua kali."
(HR Muslim No: 3413) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap pekerja yang diupah melakukan suatu pekerjaan, menjadi kewajipan kepadanya melaksanakan pekerjaan tersebut dengan sebaik-baiknya.

2.  Pekerja yang amanah dan jujur hanya akan mengambil upah yang diberi dan tidak sekali-kali mengkhianatinya.

3.  Sesiapa yang mengambil yang lain daripada upah yang dibayar yang bukan haknya akan dipersoal di hari kiamat.

4.  Menerima sebarang bentuk hadiah lebih-lebih lagi daripada orang yang berurusan dengan bidang kerjanya adalah dilarang kerana dibimbangi ada tujuan lain. 

5.  Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa setiap harta kita akan dipersoal dari mana sumbernya dan kemana dibelanjakan:

لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ …… وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ 

Tidak berganjak dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya ….. tentang hartanya dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan”.
(HR Tirmizi)

Sebagai warga negara yang bertanggungjawab dan memiliki semangat patriotik dan cintakan negara, pastikan setiap kita memelihara amanah yang diberi. Pastikan juga harta yang kita perolehi adalah yang bersih dan halal. Jangan sesekali mengambil dan menerima yang bukan hak kita.

06hb Sept  2022
09hb Safar 1444H

Sunday, 4 September 2022

Tali Kasut Penyebab Ke Neraka

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tali Kasut Penyebab Ke Neraka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ خَرَجْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى خَيْبَرَ فَفَتَحَ اللَّهُ عَلَيْنَا فَلَمْ نَغْنَمْ ذَهَبًا وَلَا وَرِقًا غَنِمْنَا الْمَتَاعَ وَالطَّعَامَ وَالثِّيَابَ ثُمَّ انْطَلَقْنَا إِلَى الْوَادِي وَمَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَبْدٌ لَهُ وَهَبَهُ لَهُ رَجُلٌ مِنْ جُذَامَ يُدْعَى رِفَاعَةَ بْنَ زَيْدٍ مِنْ بَنِي الضُّبَيْبِ فَلَمَّا نَزَلْنَا الْوَادِي قَامَ عَبْدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَحُلُّ رَحْلَهُ فَرُمِيَ بِسَهْمٍ فَكَانَ فِيهِ حَتْفُهُ فَقُلْنَا هَنِيئًا لَهُ الشَّهَادَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلَّا وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ إِنَّ الشَّمْلَةَ لَتَلْتَهِبُ عَلَيْهِ نَارًا أَخَذَهَا مِنْ الْغَنَائِمِ يَوْمَ خَيْبَرَ لَمْ تُصِبْهَا الْمَقَاسِمُ قَالَ فَفَزِعَ النَّاسُ فَجَاءَ رَجُلٌ بِشِرَاكٍ أَوْ شِرَاكَيْنِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَصَبْتُ يَوْمَ خَيْبَرَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شِرَاكٌ مِنْ نَارٍ أَوْ شِرَاكَانِ مِنْ نَارٍ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, "Pada hari Peperangan Khaibar kami keluar bersama Nabi SAW hingga Allah memberi kemenangan kepada kami, namun kami tidak mendapat harta rampasan perang berupa emas atau perak, melainkan harta benda, makanan dan pakaian. Kemudian kami bersama Rasulullah berangkat menuju Wadi Qura (lembah sebelum kota Madinah). Rasulullah SAW ketika itu bersama dengan budak (hamba) yang dihadiahkan oleh seorang lelaki dari Judzam yang dipanggil dengan nama Rifa'ah bin Zaid dari Bani Dhubaib. Ketika kami sampai di wadi, budak (hamba) tersebut berdiri untuk menambat unta Nabi SAW. Namun tiba-tiba dia dipanah, dan menemui ajalnya di sana. Para sahabat berkata, 'kami mengucapkan selamat baginya wahai Rasulullah kerana telah syahid.' Tapi Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak, demi Dzat yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, sungguh ia akan diazab oleh api neraka kerana selimut dari ghanimah perang Khaibar yang diambilnya sebelum dibahagi.' Ketika para sahabat mendengar sabda baginda, tiba-tiba seseorang membawa seutas tali atau sepasang tali (kasut) hasil rampasan perang yang disembunyikan kepada Nabi SAW seraya berkata, 'Wahai Rasulullah, aku ambil masa perang Khaibar'. Maka Rasulullah pun bersabda: 'Satu tali kasut  atau dua tali kasut berasal dari api neraka'."
(HR Muslim No: 166) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mati syahid satu anugerah istimewa daripada Allah yang menjanjikan balasan syurga.

2.  Ada sahabat yang terbunuh oleh panah musuh dan telah dianggap syahid oleh para sahabat, namun Rasulullah SAW kata ia akan dibakar oleh api neraka kerana mengambil harta awam (ghanimah sebelum diagih sekadar berupa selimut atau pakaian). 

3.  Jika mengambil selimut atau tali kasut yang bukan hak dengan cara yang salah juga akan dibakar oleh api neraka, bagaimana jika yang diambil puluhan ribu dan juta ringgit?

4.  Menurut Imam Al-Qurthubi bahawa kekalahan yang dialami kaum muslimin pada Perang Uhud adalah akibat ghulul (zalim) yang dilakukan pasukan pemanah, mereka tidak menjaga amanah yang diberi untuk tetap berada diposisi. Mereka turun dari bukit  untuk mengumpulkan rampasan perang sebelum dibahagi. Akibat kesilapan mereka ini, ia telah memberi kesan kekalahan seluruh pasukan tentera Islam.

5.  Mereka yang tidak amanah dalam melaksanakan tugas malah mengambil harta yang bukan haknya boleh memberi kesan kepada kehancuran umat dan Negara.

Dalam kita membina negara yang utuh dan Sejahtera, jangan sesekali terlibat dengan mengambil harta yang bukan hak. Bersama kita mencegah aktiviti yang boleh menjurus kepada kehancuran negara.

05hb Sept  2022
08hb Safar 1444H

Saturday, 3 September 2022

Amanah Jangan Khianat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amanah Jangan Khianat 

عَنْ عَدِيِّ بْنِ عَمِيرَةَ الْكِنْدِيِّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ مِنْكُمْ عَلَى عَمَلٍ فَكَتَمْنَا مِخْيَطًا فَمَا فَوْقَهُ كَانَ غُلُولًا يَأْتِي بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالَ فَقَامَ إِلَيْهِ رَجُلٌ أَسْوَدُ مِنْ الْأَنْصَارِ كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ اقْبَلْ عَنِّي عَمَلَكَ قَالَ وَمَا لَكَ قَالَ سَمِعْتُكَ تَقُولُ كَذَا وَكَذَا قَالَ وَأَنَا أَقُولُهُ الْآنَ مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ مِنْكُمْ عَلَى عَمَلٍ فَلْيَجِئْ بِقَلِيلِهِ وَكَثِيرِهِ فَمَا أُوتِيَ مِنْهُ أَخَذَ وَمَا نُهِيَ عَنْهُ انْتَهَى

Daripada 'Adi bin Amirah Al Kindi dia berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa diantara kalian yang kami tugaskan untuk suatu pekerjaan (urusan), kemudian dia menyembunyikan dari kami (meskipun) sebatang jarum, atau sesuatu yang lebih kecil dari itu, maka itu adalah ghulul (pengkhianatan) yang pada hari kiamat akan ia bawa (untuk di dakwa)." 'Adi bin 'Amirah berkata, "Kemudian seorang lelaki hitam dari Anshar berdiri mengadap Nabi SAW, seolah-olah aku melihatnya, lalu dia  berkata, "Wahai Rasulullah, kalau begitu saya akan tarik kembali tugas yang pernah anda bebankan kepada saya!" Nabi SAW bertanya: "Ada apa denganmu?" dia menjawab, "Saya telah mendengar bahawa engkau  bersabda seperti ini dan seperti ini (maksudnya perkataan diatas)." Baginda bersabda: "Sekarang saya sampaikan, bahawa barangsiapa dari kalian yang kami tugaskan untuk suatu pekerjaan hendaklah ia membawa kembali (seluruh hasil), sedikit atau banyak. Kemudian apa yang memang diberikan untuknya ia boleh mengambilnya, dan apa yang memang dilarang untuknya, maka ia perlu menahan diri."
(HR Muslim No: 3415) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap orang yang menjawat sebarang jawatan dalam organisasi atau jabatan, ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

2.  Sebagai pekerja yang dibayar upah atau gaji, menjadi tanggungjawab melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan penuh amanah. Sama ada tugas yang berupa perkhidmatan atau servis, menghasilkan produk mahupun yang berkaitan dengan harta.

3.  Rasulullah SAW mengingatkan, jika urusan yang diamanahkan itu berkaitan dengan harta, maka ia berkewajipan untuk menyerahkan kesemuanya kepada majikan. Dilarang mengambil atau menyembunyikan untuk kegunaan peribadi walaupun hanya sebesar jarum. Jika ia merupakan hak awam, maka dilarang mengambilnya untuk kepentingan peribadi.

4.  Allah SWT mengingatkan :

وَمَن يَغۡلُلۡ يَأۡتِ بِمَا غَلَّ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۚ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفۡسٖ مَّا كَسَبَتۡ وَهُمۡ لَا يُظۡلَمُونَ ١٦١ 

Dan barangsiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), dia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).
(Ali-Imran: 161)

Imam al-Razi dalam tafsir al-Kabir menjelaskan berkhianat bermaksud mengambil hak negara secara diam-diam atau sembunyi 

Ia juga bermaksud suatu tindakan curang bagi mendapatkan wang ataupun keuntungan dengan cara atau kaedah membelakangkan peraturan atau undang-undang negara. Tindakan atau perlakuan ini merangkumi memberi atau menerima suapan (bribery), mencuri (theft),  menggelapkan (embezzlement), melakukan pemalsuan, pemerasan atau ugutan (extortion), dan menyalah gunakan pangkat atau jawatan awam ketika berkuasa (graft). Semua perbuatan ini dari aspek agama hukumnya adalah haram.

Bersama kita membina Negara Malaysia Merdeka yang utuh dan teguh dengan memiliki sifat amanah serta tidak khianat.

04hb Sept  2022
07hb Safar 1444H

Friday, 2 September 2022

Jujur Dengan Upah, Jangan Khianat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jujur Dengan Upah, Jangan Khianat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ بُرَيْدَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ اسْتَعْمَلْنَاهُ عَلَى عَمَلٍ فَرَزَقْنَاهُ رِزْقًا فَمَا أَخَذَ بَعْدَ ذَلِكَ فَهُوَ غُلُولٌ

Daripada Abdullah bin Buraidah RA dari ayahnya, dari Nabi SAW baginda bersabda: Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)".
(HR Abu Daud, no 2943) Status: Hadis Sahih; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)

Pengajaran:

1.  Setiap orang yang dilantik sebagai pekerja dan dibayar gaji oleh majikan hasil daripada pelaksanaan kerja seperti yang dipersetujui, maka pendapatan yang diperolehi adalah bersih dan halal.

2.  Orang yang mengambil upah selain daripada yang ditetapkan oleh majikan yang bukan haknya adalah suatu pengkhianatan.

3.  Pengkhianatan itu boleh dalam pelbagai bentuk seperti wang ringgit, diskaun, komisyen, rebet, bonus, potongan, ‎peratusan, hadiah, kemudahan, jawatan, undi, kontrak, tuntutan palsu, perlepasan, penyelesaian, perlindungan dan sebagainya.

4.  Mereka yang terlibat dengan pengkhianatan ini akan dilaknat oleh Allah SWT dan RasulNya. Daging yang tumbuh dari sumber yang haram, Neraka lebih utama untuknya. Dengan rezeki pengkhianatan tersebut,  akan hilang keberkatan ‎dalam kehidupan. Hidup tidak terdorong ke arah kebajikan dan kebaikan malah terdorong ‎ke arah kemaksiatan dan kejahatan.‎

5. Berjaga-jagalah sesuatu yang diterima berupa hadiah. Saidina Umar al-Khattab turut memperingatkan gejala hadiah ini, “Berjaga-jagalah dengan hadiah kerana ia merupakan rasuah”. Tidak hairanlah Saidina Umar menghantar pulang hadiah anak kaisar Rom kepada isteri Umar dan menegahnya menerima apa-apa hadiah lagi. 

6. Saidina Ali pernah mengingatkan: “Zaman akan datang, manusia menghalalkan rasuah dengan (nama) hadiah”.

7. Dalam Nihayah al-Muhtaj menyebut, “Menutup pintu menerima (hadiah) secara mutlak adalah terlebih awla (terbaik), bagi menutup pintu (perselisihan)”.

Dalam kita membina Negara Malaysia yang harmoni dan Sejahtera, setiap kita khususnya pekerja dan pemimpin dapat melaksanakan tugas dengan penuh kejujuran. Jangan sesekali berlaku khianat.

03hb Sept  2022
06hb Safar 1444H

Thursday, 1 September 2022

Jadilah Pemimpin Dirahmati

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Pemimpin Dirahmati 

مَنْ وَلَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا مِنْ أَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَاحْتَجَبَ دُونَ حَاجَتِهِمْ وَخَلَّتِهِمْ وَفَقْرِهِمْ احْتَجَبَ اللَّهُ عَنْهُ دُونَ حَاجَتِهِ وَخَلَّتِهِ وَفَقْرِهِ

"Barangsiapa yang Allah 'azza wajalla serahkan kepadanya sebahagian urusan orang muslim (kepimpinan) namun ia menutup diri dari melayani keperluan mereka dan kefakiran mereka, nescaya Allah menutup diri darinya dan tidak melayani keperluannya, serta kefakirannya (pada hari kiamat)." (Sunan Abu Daud No: 2559) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap orang yang diberikan tanggungjawab kepimpinan perlu memiliki sikap amanah dan adil menunaikan kewajipan mereka yang berada di bawah kepimpinannya.

2. Antara tanggungjawab kepimpinan ialah sentiasa memenuhi keperluan mereka yang berada di bawah kepimpinannya di samping membantu kesusahan yang dialami bukan menyusahkan mereka.

3. Pemimpin yang tidak mengindahkan keperluan dan kesusahan orang yang berada di bawah kepimpinannya, nescaya Allah juga tidak akan memenuhi keperluan dan kesusahannya pada hari Kiamat kelak.

4. Sebagai pemimpin dimana sahaja peringkat kepimpinan, berusahalah memenuhi keperluan mereka yang berada di bawah kita tanpa mengira bangsa, agama mahupun kumpulan. 

5. Pemimpin yang dilantik mesti bersedia menjadi khadam kepada rakyat. Bukan rakyat yang terpaksa menjadi khadam kepada pemimpin.

Binalah semangat patriotisme dengan memiliki sifat integriti, sentiasa prihatin dan berusaha memenuhi keperluan orang yang berada di bawah kepimpinan. Keluarga Malaysia Teguh Bersama. 

Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2022.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

02hb Sept  2022
05hb Safar 1444H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...