Saturday, 30 April 2022

Amalan Di Hari Raya

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Di Hari Raya

عَنْ حَفْصَةَ عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ قَالَتْ كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ

Daripada Hafshah RA daripada Ummu Athiyyah berkata, "Pada hari Raya Aidil kami diperintahkan untuk keluar sehingga kami mengajak anak-anak gadis dari biliknya dan juga para wanita yang sedang haid. Mereka duduk di belakang barisan laki-laki dan mengucapkan takbir mengikuti takbir laki-laki, dan berdoa mengikuti doanya laki-laki dengan mengharap barakah dan kesucian hari raya tersebut." (Sahih Bukhari No: 298) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hari Raya Eid Fitri perlu disambut dengan kegembiraan bersama seluruh isi keluarga

2.  Antara amalan yang diperintahkan oleh Rasulullah kepada para sahabat pada pagi hari raya ialah bersama anak isteri  (walaupun dalam haid) untuk sama-sama berada di tempat perhimpunan untuk sama-sama bertakbir dan berdoa mengharapkan keberkatan pada hari yang sepatutnya kita berada dalam keadaan fitrah, bersih daripada dosa.  Setiap lelaki dan wanita Islam diperintahkan bertakbir dan turut sama berdoa. 

3.  Antara amalan lain Rasulullah di pagi hari raya 

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى يَوْمَ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلَا بَعْدَهَا ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ وَمَعَهُ بِلَالٌ فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ فَجَعَلْنَ يُلْقِينَ تُلْقِي الْمَرْأَةُ خُرْصَهَا وَسِخَابَهَا

Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW melaksanakan solat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat dan tidak solat sebelum atau sesudahnya. Kemudian baginda mendatangi para wanita dan memerintahkan mereka untuk bersedekah. Maka para wanita memberikan sedekah hingga ada seorang wanita yang memberikan anting dan kalungnya." (Sahih Bukhari No: 921). Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

4.  Saling bersedekah sebagai tanda keperihatinan terhadap orang yang kurang berada terutama ketika kita bergembira dengan pelbagai juadah raya. Teruskan sumbangan kita walaupun sebaik-sebaik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan. Dengan sedekah yang diberi akan menggembirakan orang lain. Termasuklah pemberian duit raya kepada orang yang lemah serta kanak-kanak.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

01hb Mei  2022
29hb Ramadan 1443H

Friday, 29 April 2022

Bau Mulut Orang Berpuasa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bau Mulut Orang Berpuasa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال النبي صلى الله عليه وسلم: وَالَّذِي نَفْسُ ‏ ‏مُحَمَّدٍ ‌‏ بِيَدِهِ ‌‏ لَخُلُوفُ ‌‏ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Daripada Abu Hurairah RA, Bersabda Nabi SAW: Demi diriku berada ditangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi.
(Sahih Bukhari No 1795) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap kesusahan dan rasa kelaparan yang timbul kerana ketaatan akan memperolehi ganjaran yang manis di akhirat kelak.

2.  Pada hari kiamat, ketika manusia dibangkitkan dari kubur, ciri-ciri orang yang berpuasa adalah bau harum yang akan keluar dari mulut mereka, yang keharumannya melebihi harumnya minyak kasturi.

3.  Allah akan mengganti bau mulut orang yang berpuasa  (daripada makan dan minum dan perkara yang membatalkan puasa juga menahan seluruh pancaindera dan hati) dengan ganjaran yang besar di hari akhirat. Kerana sesungguhnya, puasa itu hanyalah untuk Allah dan Allah pula yang akan memberikan penghargaan dan balasan dengan nilaian yang hanya Allah yang tahu.

4.  Allah lebih menghargai dan menghormati bau mulut orang berpuasa daripada bau mulut orang tidak puasa. Jadi maksud kalimat tersebut lebih merupakan penghormatan kepada orang yang berpuasa. Kerana orang yang berpuasa, baunya mulut adalah sesuatu yang sukar untuk dihindari.

5.  Hal ini bukan bererti digalakkan kepada orang berpuasa agar mulut berbau tidak enak dengan tidak menggosok gigi. Menggosok gigi adalah amalan Rasulullah SAW setiap kali sebelum solat termasuk ketika berpuasa.

6.  Orang yang benar-benar berpuasa semestinya hati orang tersebut bersih dan suci daripada segala kotoran dan niat jahat. 

7.  Segala ucapan yang keluar dari mulut orang yang berpuasa tiada lain adalah yang baik, zikrullah dan perkataan menasihat serta mengajak orang lain kepada jalan Allah.

8.  Orang yang berpuasa seperti itu, Allah memberi penghargaan  kepada bau mulut orang tersebut dengan darjat yang indah dan tinggi kerana di hari akhirat nanti bau mulutnya menjadi wangi lebih daripada kesturi. 

9.  Rasulullah SAW pernah bersabda, "sebaik-baik kalimat, adalah kalimat yang mengajak orang kepada jalan Allah SWT".

30hb April  2022
28hb Ramadan 1443H

Thursday, 28 April 2022

Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Rugi (celaka) orang yang disebutkan namaku (nama Rasulullah SAW) di hadapannya, tetapi ia tidak mahu berselawat kepadaku. Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni. Rugi (celaka) seorang yang mendapatkan kedua orang tuanya di waktu tua (lanjut usia), tetapi keduanya tidak dapat menyebabkannya masuk Syurga.” (Sunan Tirmizi No: 3545) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih




Pengajaran:

1.  Satu daripada adab kita terhadap Rasulullah SAW ialah apabila nama baginda disebut, kita hendaklah menyahutnya dengan berselawat ke atas junjungan baginda SAW. Antaranya dengan lafaz

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Rugi mereka yang tidak menyahut dan berselawat ke atas Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. No: 3469]. Status: Sahih
  
2.  Ramadan adalah bulan anugerah Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW untuk melaksanakan ibadat puasa di siang hari dan menghidupkan malam hari dengan pelbagai ibadat di malam hari.

3.  Alangkah ruginya kita jika tidak berusaha bersungguh-sungguh menjadikan ibadat puasa, ibadat di malam hari bermula daripada berbuka puasa, solat maghrib, solat isya, solat tarawih, solat tahajud, solat witir, solat sunat yang lain, tilawah, iktikaf, wirid, zikir, istighfar, bersahur, berdoa dan bersedekah sebagai instrumen pengampunan dosa-dosa kita yang lalu.

4.  Memuliakan kedua orang tua berarti memuliakan Allah, kerana itu Allah menghubungkan berbuat baik kepada keduanya dengan bertauhid kepada Allah di dalam firman-Nya [Al-Israa': 23]: 

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

“Dan Rabb-mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkan-lah kepada mereka perkataan yang mulia.” 

Rugi mereka yang masih ada orang tua tidak berbuat baik kepada keduanya, tidak menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menyayangi dan membantu segala keperluan mereka. Santunilah keduanya dengan sebaik mungkin.

5.  Marilah kita muhasabah apakah ibadat puasa kita serta menghidupkan ibadat malam hari yang dilakukan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu?.

Jika ada dosa kita sepanjang ramadan berbentuk fitnah, umpatan dan sebagainya yang berkaitan dengan orang lain,  mohonlah kemaafan. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang celaka.

6.  Semoga Ramadan yang kita lalui benar-benar menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan kita kembali kepada fitrah bersih dari dosa.

29hb April  2022
27hb Ramadan 1443H

Wednesday, 27 April 2022

Dua Kegembiraan Orang Berpuasa




PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dua Kegembiraan Orang Berpuasa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ …. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ .....

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda… Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti…. (H.R. Muslim No : 1945)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bagi orang puasa, mereka akan mendapat kegembiraan ketika berbuka kerana dapat makan dan minum serta menghilangkan  rasa lapar dan dahaga selepas menahannya di siang hari. 

2.  Kegembiraan kedua apabila dapat bertemu Allah kelak. Ia hanya akan terhasil dari puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, menjaga segala syarat, kehendak dan mengharap keredhaan Allah. Hal ini penting untuk kita meraih kegembiraan yang hakiki di akhirat dengan ganjaran keampunan. 

3.  Bukan sekadar rasa nikmat selepas menahan lapar, iaitu tidak sekadar letih jasmani. Tapi yang kita inginkan juga nikmat rohani. Hubungan dan ikatan kita dengan Allah SWT  menerusi amalan kita. Ibadat yang benar-benar bertunjangkan keikhlasan dan kehambaan dalam menjalaninya. 

4.  Marilah kita berusaha meraih kedua-dua kegembiraan. Kita menjaga dan melatih mulut, pandangan dan segala pancaindera yang lain agar akur kepada perintah Allah. 

5.  Mohon jauh dari puasa yang sia-sia. Jika hanya kegembiraan yang pertama kita raih, rugi dan sia-sialah kita. Rugi juga jika hanya perut yang lapar, tapi nafsu masih sentiasa kenyang. "Dedah aurat, pergaulan bebas, asyik dengan hiburan, web lucah, mengumpat, menghina, dedah aib, berkata kotor, menyebarkan fitnah dan perkara yang tidak betul menerusi media sosial spt whatsApp, telegram, FB serta  bermacam-macam lagi dosa lain. Andai solat yang ditinggalkan, maka tiada guna seluruh puasanya".

Pastikan kita tidak hanya gembira ketika berbuka. Yang lebih penting kegembiraan ketika bertemu Allah di hari akhirat.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera
 
28hb April  2022
26hb Ramadan 1443H

Tuesday, 26 April 2022

Zakat Fitrah Menyucikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zakat Fitrah Menyucikan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ

Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Aidil Fitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah) baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Aidil Fitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa.
(Sunan Abi Daud No: 1609) Maktabah Asriyyah  Status: Hadis Hasan 



Pengajaran: 

1.  Zakat fitrah menjadi pembersih (penampal kekurangan puasa seseorang sepanjang Ramadhan)  yang disebabkan oleh perbuatannya yang mungkin sia-sia atau perkataannya yang mungkin kotor. Dengan membayar zakat fitrah, amalan seseorang di sepanjang bulan Ramadhan kembali bersih seperti salji putih.

2.  Zakat fitrah bertujuan untuk memastikan orang miskin mendapat makanan yang secukupnya agar dengan itu mereka dapat meraikan Aidil Fitri dalam suasana kecukupan bersama seluruh umat Islam yang lain. Islam tidak ingin melihat di hari pertama Syawal ada orang yang meminta-minta padahal di kalangan umat Islam ada yang meraikannya dalam suasana kecukupan.

3.  Zakat fitrah boleh dibayar bermula dari 1hb Ramadhan sehingga sebelum solat Sunat Aidil Fitri pada 1hb Syawal sama ada secara online mahupun kepada amil yang dilantik. 

4.  Zakat fitrah yang dikeluarkan selepas solat sunat hari raya Aidil fitri tidak menjadi zakat tetapi hanya menjadi sedekah biasa. Dia tetap menanggong dosa kerana tidak membayar zakat.

5.  Golongan yang wajib membayar zakat fitrah adalah yang memenuhi syarat berikut:

a.  Islam

b.  Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal. 

c.  Orang yang mampu, mempunyai lebihan harta pada malam hari raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) merangkumi makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang. Walaupun nilai lebihan hanya bernilai cukup untuk zakatnya seperti RM 7.00 Jika tidak mempunyai lebihan harta yang mencukupi untuk membayar harga zakat yang ditetapkan maka tidak wajib ia mengeluarkan zakat fitrah

Moga zakat fitrah yang dikeluarkan akan menjadi penampal kekurangan ibadat puasa kita. Bagi yang wajib mengeluarkan zakat harta, jangan terlupa nak bayar zakat harta pula.

27hb April  2022
25hb Ramadan 1443H

Monday, 25 April 2022

Berpuasa dan Solat Tapi Munafik



PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berpuasa dan Solat Tapi Munafik

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ عَلَامَاتِ الْمُنَافِقِ ثَلَاثَةٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
حَدَّثَنَا عُقْبَةُ بْنُ مُكْرَمٍ الْعَمِّيُّ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ قَيْسٍ أَبُو زُكَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ الْعَلَاءَ بْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُحَدِّثُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَقَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ وَإِنْ صَامَ وَصَلَّى وَزَعَمَ أَنَّهُ مُسْلِمٌ 

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Di antara tanda orang munafik ada tiga: apabila dia bercakap, dia berbohong, apabila dia berjanji dia mengingkari, dan apabila dia diberi amanah, dia berkhianat." 
Telah menceritakan kepada kami Uqbah bin Mukram al-Ammi telah menceritakan kepada kami Yahya bin Muhammad bin Qais Abu Zuhair dia berkata, saya mendengar al-Ala' bin Abdurrahman menceritakan dengan sanad ini seraya berkata, "Tanda-tanda orang munafik ada tiga, walaupun dia berpuasa dan solat serta menuntut atau mengaku bahawa dia seorang Muslim."
(HR Muslim No: 90) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tiga tanda orang munafik yang perlu dijauhi iaitu apabila dia bercakap, dia berbohong, apabila dia berjanji dia mengingkari, dan apabila dia diberi amanah, dia berkhianat.

2.  Sifat munafik akan kekal kepada pelaku munafik walaupun dia mengerjakan solat, berpuasa dan mengaku sebagai Muslim.

3.  Ibadat puasa adalah perisai dan benteng dari sifat munafik. 

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ

“Puasa adalah perisai atau benteng (yang melindungi pelakunya daripada keburukan).”
(Riwayat Tirmidzi No: 2749). 

4.  "Bercakap" termasuk dalam bentuk penulisan dan ditular sama ada di FB, WhatsApp, Telegram dan lain-lain. Jika faktanya salah, tidak benar maka ia dianggap berbohong dan orang tersebut ada tanda munafik pada dirinya.

5.  "Amanah" adalah tanggungjawab kita. Pemimpin perlu berlaku adil dalam kepimpinan. Setiap pekerja ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, jangan khianat seperti culas atau curi tulang. Tidak amanah jika gaji diambil tapi pekerjaan tidak sempurna. Bertambah tidak amanah bila gaji diambil, rasuah diterima.

6.  Ruginya jika mengaku seorang Muslim, berpuasa dan solat namun menjadi orang munafik kerana memiliki sifat munafik.

Jadikan puasa dan solat kita sebagai perisai dari sifat munafik. Berusaha agar tidak berbohong, memungkiri  janji dan khianat.

26hb April  2022
24hb Ramadan 1443H

Sunday, 24 April 2022

Jangan Terhalang Daripada Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Terhalang Daripada Kebaikan

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ دَخَلَ رَمَضَانُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ هَذَا الشَّهْرَ قَدْ حَضَرَكُمْ وَفِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَهَا فَقَدْ حُرِمَ الْخَيْرَ كُلَّهُ وَلَا يُحْرَمُ خَيْرَهَا إِلَّا مَحْرُومٌ

Daripada Anas bin Malik RA ia berkata, "Ketika datang bulan Ramadan, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya bulan ini telah hadir kepada kalian. Di bulan ini ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa diharamkan darinya, maka dia telah diharamkan kebaikan semuanya. Dan tidak diharamkan kebaikannya kecuali bagi yang terhalang daripada kebaikan".
(Sunan Ibn Majah No: 1644) Maktabah Ilmiyyah  Status: Hadis Hasan 

Pengajaran:

1.  Terdapat satu malam (lailatul Qadar) yang barang siapa beramal soleh pada malam tersebut, seumpama  dia telah melakukan amal soleh melebihi 1000 bulan

2.  Barang siapa yang terhalang daripada beribadah pada malam lailatul Qadar, sungguh ia telah terhalang dari kebaikan seluruhnya, dan tidaklah terhalang dari kebaikan malam itu kecuali orang yang mahrum (terhalang dari kebaikan).

3.  Setiap muslim sangat dianjurkan untuk menghidupkan lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap pahala yang dijanjikan. Sehingga apabila ia ikhlas melaksanakannya, dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan pada masa lalu akan diampunkan  Allah.

4.  Rebutlah peluang beribadat. Jangan sampai kita tergolong dari kalangan yang terhalang melakukan amal ibadat khususnya di sepuluh malam akhir Ramadan. 

JANGAN biarkan Ramadan berlalu tanpa kesungguhan kita beribadat
JANGAN biarkan Lailatul Qadar berlalu tanpa amalan yang bersungguh
JANGAN biarkan kita buat tak tahu saja.

25hb April  2022
23hb Ramadan 1443H

SALAM RAMADHAN HARI ISNIN

🌹السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
🌹SALAM  RAMADHAN 
       HARI ISNIN
✅ 25  April, 2022
✅ 23  Ramadhan 1443H
💐💐💐🌺🌺🌺💐💐💐

🌴*Ya Allah*
🌷Di pagi yang mulia ini kau ampunilah Dosa-Dosa kami semua.
🌷Jadikanlah zuriat keturunan kami tergolong yang menjaga solat.
🌷Sihatkanlah tubuh badan kami & Jauhkanlah kami dari penyakit & bala  bencana.
🌷Cukupkanlah rezeki kami & Permudahkanlah segala urusan kami di dunia & di akhirat. 
🌷Jadikan kami insan yg bertakwa, bersyukur dgn  segala rahmat &      ketentuan MU & berolih pengakhiran di dunia dgn *HUSNUL KHOTIMAH*
🌷Selawat & salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga & para sahabatnya...
 Segala puji-pujian  hanya utkMu Ya Allah Ya Rabbal Allamin.
🌿🌹🌿🌹🌿🌹🌿🌹🌿
*آمِيّنْ  آمِيّنْ  آمِيّنْ  يَا رَبَّ العَـــالَمِيْن*

Saturday, 23 April 2022

Melipat Gandakan Amal Di Sepuluh Akhir Ramadan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Melipat Gandakan Amal Di Sepuluh Akhir Ramadan 

قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Aisyah Radhiyallahu anha, berkata:  “Rasulullah SAW lebih giat (dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir (Ramadan) yang tidak baginda lakukan pada hari-hari lainnya.” (Sahih Muslim No: 2009) Dar Ihya Kutub Arabiyyah.  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah mempergiatkan amal ibadah pada 10 terakhir daripada bulan Ramadan melebihi daripada waktu lain.

2.  Antara ibadat yang boleh dilakukan pada 10 terakhir Ramadan ialah amalan iktikaf, perbanyakkan ibadat khusus seperti membaca al-Quran, sedekah, berzikir solat sunat seperti solat tahajud, solat tasbih dan lain-lain.

a.  Dikatakan Saidina Umar sibuk menunaikan solat sepanjang malam hingga fajar. 
b.  Qatadah pernah mengkhatam seluruh al-Quran setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan

3.  Ada orang yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menumpukan ibadat sepanjang 10 hari terkahir Ramadan.  Anda bagaimana?

4.  Imām Ibn Rajab Al-Hanbali berkata : Ketahuilah bahawa seorang mukmin itu terhimpun baginya dua jihad untuk dirinya. (Iaitu) jihad pada waktu siang dalam berpuasa serta jihad pada waktu malam dalam melakukan qiamullail. Sesiapa yang menghimpunkan antara dua jihad ini dan melunaskan hak keduanya serta bersabar dalam melakukannya, dia telah memperoleh ganjaran pahala yang tidak terhitung. Rujuk Lathā’if Al-Ma’ārif, Ibn Rajab (1/171)

5.  Mari kita lipat gandakan amalan di sepuluh hari terakhir daripada Ramadan ini antaranya:

a.  Menjaga solat Fardu berjemaah, solat sunat mengiringi waktu, solat sunat Terawih dan tidak beredar sehinggalah imam meninggalkan tempatnya.

b.  Banyakkan Iktikaf pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan dengan mengajak ahli keluarga bersama. 

c.  Perbanyakkan doa. "Sesungguhnya doa di waktu sahur adalah anak panah qadar".  Doa untuk diri dan keluarga, doa untuk dakwah ini,  doa agar diangkat segala wabak dan musibah. Doa untuk kesejahteraan umat Islam di Malaysia juga umat Islam di Palestin, Syria, Iraq, Rohinga dan di seluruh dunia. Semoga Allah mengembalikan hak mereka dan melegakan musibah mereka

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

24hb April  2022
22hb Ramadan 1443H

Friday, 22 April 2022

Perbanyak Doa Keampunan Di Malam Lailatul Qadar

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perbanyak Doa Keampunan Di Malam Lailatul Qadar

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata, “Aku pernah bertanya pada Rasulullah SAW, iaitu jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah lailatul qadar, apakah doa yang mesti aku ucapkan?” Jawab Rasululullah SAW: “Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni  (Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan Engkau sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku” (Sunan Tirmizi No: 3513) Dar Kutub Ilmiyyah.  Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan menuntut kita memperbanyak amal ibadah termasuklah memperbanyakkan doa.

2.  Rasulullah SAW menganjurkan kita agar perbanyakkan doa memohon ampun di sepuluh malam terakhir dari Ramadhan khususnya apabila menemui lailatul qadar. 

3.  Kita bertawasul dengan sifat ‘afwu (Maha Pemaaf Allah) dengan memohon agar Allah  memaafkan dosa yang kita lakukan. 

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang maha pengampun dan Engkau sentiasa memberi pengampunan atas kesalahan hambamu, maafkanlah segala kesalahanku”

Marilah kita perbanyakkan doa ini memohon ampunan dari dosa dan kesalahan kita. Moga Ramadan ini benar-benar membersihkan diri kita daripada dosa.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

23hb April  2022
21hb Ramadan 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...