Saturday, 30 July 2022

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari No: 12 ) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Kesempurnaan iman seseorang ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3.  Ibn Qayyim menyatakan:

a.  Kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Sebelum peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW telah mengislamkan beberapa orang pimpinan kaum Aus dan Khazraj dan mereka telah dipersaudarakan yang sebelum ini puluhan tahun sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling berkasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain. Apabila berlaku peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan pula golongan Muhajirin dan Ansar.  

5.  Langkah strategik Rasulullah SAW mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang digeruni dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi.

6.  Marilah kita menjadikan peristiwa hijrah ini saling berkasih sayang. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.

Sempena Maal Hijrah 1444 ini, marilah kita sempurnakan iman dengan saling berkasih sayang dan berukhuwah untuk mewujudkan Negara Malaysia yang cemerlang dan diampuni Allah. Berukhuwah dan berkasih sayang kearah Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1444.

31hb Julai  2022
02hb Muharram 1444H

Friday, 29 July 2022

Niat dan Hijrah Kerana Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Niat dan Hijrah Kerana Allah

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

Daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab RA, dia berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan  tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ia menginginkannya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya (yang dia niatkan). (HR Bukhari No: 1) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amal seseorang itu bergantung kepada niat. 

2.  Niat merupakan syarat diterima atau tidaknya sesuatu amal perbuatan. Amal ibadah tidak akan menghasilkan pahala kecuali berdasarkan niat (kerana Allah).

3.  Ikhlas melakukan sesuatu amal semata-mata kerana Allah adalah dituntut pada semua amal dan ibadah.

4.  Ganjaran pahala seorang mukmin akan diberi berdasarkan kadar niatnya.

5.  Orang yang berhijrah atau melakukan sesuatu perbuatan kerana dunia, maka dia hanya akan dapat dunia yang diinginkan.

6.  Orang yang berhijrah kerana wanita, dia juga hanya akan dapat seperti yang diniatkan.

7.  Orang yang berhijrah kerana Allah, dia akan memperoleh apa yang diniatkan dengan ganjaran pahala.

8.  Hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang buruk dan dilarang oleh Allah kepada melakukan sesuatu yang lebih baik dan diredai Allah. Mari bersama berhijrah.

Lakukanlah apa juga amal kebaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Berusahalah melakukan hijrah kepada sesuatu yang lebih baik dan diredai. 

Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1444.

30hb Julai  2022
01hb Muharram 1444H

Thursday, 28 July 2022

Hijrah Untuk Kemakmuran

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hijrah Untuk Kemakmuran

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Daripada Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah " (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain (sentiasa  selamat dari gangguan lisan dan tangannya seperti umpatan, fitnah, adu domba dan lain-lain).

2.  Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka  sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.

3.  Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain.  Seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala.

4.  Hijrah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.

5.  Hijrah dan perubahan menuntut pengorbanan.  Para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Mekah dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah sehingga mereka selamat sampai. Oleh itu untuk berhijrah dan berubah, setiap kita perlu berkorban.

Marilah kita melakukan pengorbanan untuk perubahan yang lebih cemerlang. Ayuhlah berhijrah dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah. 

Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1444

29hb Julai  2022
29hb Zulhijjah 1443H

Salam Jumaat

Salam Jumaat 

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ وَٱسْمَعُوا۟ وَأَطِيعُوا۟ وَأَنفِقُوا۟ خَيْرًۭا لِّأَنفُسِكُمْ ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ 

So keep your duty to Allah and fear Him as much as you can; listen and obey; and spend in charity, that is better for yourselves. And whosoever is saved from his own covetousness, then they are the successful ones. 

Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. 

Quran Surah At-Taghaabun (Mutual Disillusion) (64:16)

Wassalam and have a good weekend.

p.s. Please share.

Wednesday, 27 July 2022

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid pada pagi atau petang hari, maka Allah akan menyediakan persinggahan baginya di syurga, setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi atau petang hari." (Sahih Muslim No:1073) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang yang sentiasa solat waktu di masjid pagi dan petang akan disediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga.

2.Rasulullah SAW menjanjikan perlindungan di hari kiamat kepada tujuh golongan, satu daripada golongan itu adalah …. mereka yang hatinya terikat dengan masjid walau di mana dia berada:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ….. وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ 

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (di hari Akhirat): …. seorang yang hatinya sentiasa terikat ke masjid. (Sahih Bukhari: 660)

3.Bersungguhlah menjaga solat berjemaah khususnya di masjid bagi kaum lelaki. Ingatlah kisah Sulaiman Ibn Hamzah al-Maqdisi keturunan Ibn Qudamah seorang ketua hakim di Syam, beliau pernah berkata: Aku tidak pernah solat fardu secara sendirian kecuali 2 kali dan sehingga sekarang aku seakan-akan merasa masih belum mengerjakannya (padahal usianya ketika itu mencecah 90 tahun) (dalam ar-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid)

Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita untuk menunaikan solat berjemaah, mendalami ilmu agama, dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli kariah. Kunjungilah masjid khususnya apabila masuk waktu solat fardhu.

28hb Julai  2022
28hb Zulhijjah 1443H

Tuesday, 26 July 2022

DEDALU MEREBAHKAN POKOK

DEDALU MEREBAHKAN POKOK
Oleh: Rais Yatim.. 

Di bawah nota ini ialah berita hari ini 25 Julai 2022.

 1. Pada 24 Julai 1988 saya sudah mula mengingatkan pihak2 berkuasa bahawa unsur yg bakal merudumkan negara ialah kemasukan pendatang haram dari Bangladesh, India dan lain2 negara. Dijawab oleh pihak atas..tak boleh sebut pendatang haram..mesti sebut pendatang tanpa izin. Kini kudis buta dah jadi pekong.

Kita dah tak tahu bagaimana nak hidup tanpa pekerja asing.

2. Pendatang haram ini paling hebat dan ramai dari Bangladesh yg masuk melalui jalan tikus di Johor, Melaka, N Sembilan dll. tempat. Mereka semacam ada jalan atas angin.

3. Masa itu dianggarkan 'manusia import' ini berjumlah sekitar 120,000. Mereka kerja di ladang, kilang, markas2 niaga dan pusat beli belah.

4. Kini pendatang Bangla melebihi anggaran 1.2 juta. Sebahagian besar mereka tak ada dlm sistem imigresen. Pasport pun takda. Di jln Cheras ada seorang Mohd Iqbal namanya..sudah berada di sini 28 tahun. Apa2 kertas perjalanan pun takda.

5. Teringat saya kisah dlm Sejarah Melayu bagaimana agen2 Feringgi dan Sepoi masuk negeri lantas dibiarkan saja oleh Orang2 berpangkat. 

6. Berita yg dikepilkan ini baru mewakili sekelumit kisah sebenar. Hakikatnya berjuta dah masuk bukan melalui jalan tikus tapi melalui lebuh raya..KLIA dan Pelabuhan2 lain. Mereka masuk khas di bawah undang2. Tapi mereka tak disusul bila nak balik ke Bangla. Ada pemimpin besar yg mengendalikan ops ini. Ramai Yg dah berkelamin dgn wanita kita juga. 

7. Ada jadam dalam senyum dan ucapan sesetengah  pemimpin,  ada racun kpd bangsa dn negara. Ada "abang Bangla" yg dah jadi Datuk Sri seraya ada mahligai besar di Kajang dn Putrajaya. Tiada pintu yg diketuknya yg tak dibuka. Setiap senyim dan salam ada ufti.

8. Semua orang tahu hal ini. Semua menteri tahu perkembangan ini. Saya sendiri dah muak memberi gesaan supaya bertindak. Tapi..kisahnya sedih. Tahu tapi tak ambil tahu. Kita sedang kembali kpd zaman Feringgi masuk Melaka.

9. Kini anak negeri tak tahu mcm mana nak masak gulai sendiri. Tak tahu tanam sayur. Kedai dobi, kedai gunting rambut diambil alih termasuk pasar borong dan pasar runcit. Mereka buat kartel. Anak negeri tengok tapi tak nampak. Tamadun kita dah hilang. Budaya gitu juga. Cuma yg nyata ialah politik memekik-memekak lantang siapa nak jadi perdana menteri. 

10.Kita dah dijajah oleh kebingungan kita sendiri. Tak ada sistem latihan anak bangsa kembali berdikari. Sistem nilai kosong. Ajaran agama dah gagal. Ditel lain  tak payah dihurai lagi.

11. Ada kawan ingatkan saya..supaya jgn cakap macam ini nanti kerja sbg Speaker lenyap. Usah gertak begitu.  Dalam sumpah jawatan takda syarat seseorang YDPertua Dewan tak boleh bersuara demi kebaikan negarabangsa. 

12. KETUA2 BERTINDAKLAH TERUS SEBELUM TERLEWAT. SELAMATKAN MALAYSIA DARI KERUMUNAN PENDATANG. 

13. JANGAN LUPA ROM JATUH LANTARAN ORANG LUAR YANG MASUK MENUASAI COLLOSEUM DAN SENATE SERTA MASYARAKAT BAWAHAN DAN PERTENGAHAN.

14. JANGAN LUPA DEDALU MAKAN POKOK.

Monday, 25 July 2022

Bersyukur Atas Nikmat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersyukur Atas Nikmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ.

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan bentuk tubuh, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.”
(HR Bukhari No: 6490). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Allah SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT juga memberikan kepada setiap hamba akan kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu perkara sebagai ujian. Menerusi ujian tersebut Allah SWT akan menilai hakikat keimanan seseorang hamba, adakah dia benar-benar bersyukur dengan kelebihan atau bersabar di atas kekurangan yang diberikan.

2.Seorang yang benar-benar beriman akan memiliki hati yang sentiasa mengekalkan sifat syukur diatas segala nikmat dan rezeki yang dimiliki. Dia akan sentiasa menjauhi sifat hasad dengki terhadap nikmat yang diperoleh orang lain serta mengurangkan kerisauan hati daripada mengejar harta duniawi. Syukur dan sabar dengan ujian dan godaan duniawi seperti kemiskinan dan musibah boleh diperoleh secara memandang kepada orang lain yang lebih daif atau yang lebih rendah daripadanya.

3.Memandang kepada seseorang yang memiliki kelebihan harta dan tubuh badan akan menyebabkan bertambah keinginan atau kerunsingan yang membawa kepada kedengkian dan mengikis sifat syukur. Adapun jika memandang kepada seseorang yang kurang daripadanya, maka ia akan menjadikan seseorang itu lebih bersyukur, bertambah ketenangan dan merasa cukup dengan pemberian Allah SWT.

4. Seringlah memandang orang yang lebih rendah atau kurang daripada kita agar kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki. Namun dalam perkara yang berhubung dengan akhlak, ilmu dan ibadah maka lihatlah orang  yang lebih baik sebagai ikutan kita.

26hb Julai  2022
26hb Zulhijjah 1443H

Sunday, 24 July 2022

Sifat Santun dan Berhati-hati

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sifat Santun dan Berhati-hati

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِأَشَجِّ عَبْدِ الْقَيْسِ إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ

Daripada Ibnu Abbas bahawa Nabi SAW bersabda kepada Asyaj bin Abdil Qais: "Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang dicintai oleh Allah, iaitu, lemah lembut dan sifat berhati-hati (sabar)."
(Sunan Tirmizi No: 1934) Status: Hadis hasan Sahih 

Pengajaran:

1.Allah mencintai orang yang memiliki sifat:

a.Lemah lembut (santun)
b.Berhati-hati (sabar)

2.Menurut Said bin Ali Al-Qattani: Al-Hilm (lemah lembut) adalah sebagai penahan diri dari gejolak marah, iaitu suatu keadaan pertengahan antara 2 sifat negatif (marah dan hina). 

3.Al-Hilm (lemah lembut) itu ialah menahan diri dari sifat amarah. Seorang yang memiliki sifat hilm adalah orang yang boleh menguasai dirinya dan mengendalikan emosinya serta menjaga ketenangan jiwanya (tidak bertindak terburu-buru).

4.Seorang yang memiliki sifat al-Hilm adalah orang yang berlapang dada dan hatinya sentiasa terbuka. Ia sangat mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain, malah ia akan cepat merasa dan mengakui kesilapan jika tersilap.

5.Al-Anah - Sifat Berhati-hati (sabar) adalah sifat yang tidak tergesa-gesa atau terburu-buru. Sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap sesuatu dengan tidak terus membuat tindakan atau menghukum tanpa memikirkan kesan baik dan buruk.

Marilah kita miliki sifat al-hilm iaitu mampu menguasai diri dengan tidak terburu-buru bertindak balas. Berusaha memiliki sifat al-Anah iaitu sentiasa berhati-hati menghadapi sebarang perkara dengan tidak bertindak dengan tergesa-gesa.

25hb Julai  2022
25hb Zulhijjah 1443H

Saturday, 23 July 2022

Muslim Paling Baik

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muslim Paling Baik

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْإِسْلَامِ خَيْرٌ قَالَ تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلَامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ

Daripada Abdullah bin Amru RA, ada seseorang yang bertanya kepada Nabi SAW; "Islam manakah yang paling baik?" Nabi SAW menjawab: "Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”.
(Sahih Bukhari No: 12) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Muslim yang paling baik ialah yang memberi makan kepada orang lain sama ada yang dikenali atau tidak.

2.Mengucapkan salam kepada orang Islam yang lain sama ada kita kenal atau tidak termasuk dalam kategori Muslim yang paling baik.

3.JANGAN hanya memberi salam kepada orang yang kita kenal sahaja!

Jadilah kita muslim paling baik dengan sering menjadi pemberi kepada orang lain sama ada dalam bentuk makanan mahupun ucapan salam tanpa mengira orang yang dikenali ataupun tidak.

23hb Julai  2022
23hb Zulhijjah 1443H

Berilah Salam Walaupun Pada Kanak-kanak

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berilah Salam Walaupun Pada Kanak-kanak

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى غِلْمَانٍ فَسَلَّمَ عَلَيْهِم

Daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW pernah bertemu dengan beberapa orang anak kecil, lalu baginda memberi salam kepada mereka. (Sahih Muslim No: 4031) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Rasulullah SAW mengajar kita berakhlak mulia walau dengan sesiapapun

2.Antara akhlak mulia ialah mengucapkan salam apabila bertemu dengan orang Islam. 

3.Rasulullah SAW memberi salam walaupun kepada kanak-kanak kecil

Ayuh miliki sifat rendah hati dan menghormati orang lain walaupun kanak-kanak kecil.

21hb Julai  2022
21hb Zulhijjah 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...