Wednesday, 31 May 2023

Gambaran Orang Sombong Di akhirat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Gambaran Orang Sombong Di akhirat

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُحْشَرُ الْمُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ يَغْشَاهُمْ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الْأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الْخَبَالِ

Daripada Amru bin Syu'aib dari ayahnya dari datuknya dari nabi SAW bersabda: "Orang-orang sombong dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru, mereka diiring menuju penjara di neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas, mereka diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka yang namanya thinatul khabal." (HR Tirmizi No: 2416) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Sombong adalah sifat Iblis yang merasa dirinya lebih mulia dan lebih baik serta merendahkan orang lain.

وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٣٤

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (Surah al-Baqarah: 34).

2.Orang yang sombong tidak akan masuk syurga. Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”. (HR Muslim No:51)

3.Orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru.

4.Orang sombong akan  diiring menuju ke neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas

5.Orang yang sombong akan  diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka (nanah) yang namanya thinatul khabal (lumpur kebinasaan).

6.Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT:

وَلَا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخرِقَ الأَرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang” (Surah al-Israa’ ayat: 37)

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan menjauhi sifat sombong. Sifat sombong itu apabila merasa dirinya lebih baik dari orang lain malah memperlekeh atau merendahkan mereka.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

01hb Jun 2023
12hb Zulkaedah 1444H

Monday, 29 May 2023

Muslim Yang Menyelamatkan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muslim Yang Menyelamatkan

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya". (Sahih Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2.  Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.

3.  Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah termasuk menulis, memforward sesuatu yang berbentuk fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain adalah dilarang.

4.  Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa besar yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti TikTok, FB, WhatsApp, telegram, tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis akan diminta pertanggungjawab dihadapan Allah. Firman Allah:
إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا 

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)

5.  Imam al-Khaththabi rahimahullâh berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

6.  Muslim yang paling utama ialah yang lisan dan tangannya menyelamatkan dirinya dan Muslim yang lain.

Berusahalah menjadi insan yang baik dan soleh dengan menjaga lisan dan tangan kita.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

30hb Mei 2023
10hb Zulkaedah 1444H

Sunday, 28 May 2023

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang ada kelapangan belanja tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri masjid kami. (Musnad Ahmad No: 7924) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.Ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi. 

2.Orang yang berkemampuan tetapi tidak melaksanakan ibadah korban seolah-olahnya tidak layak mendatangi masjid untuk melaksanakan ibadat solat.

3.Dalam Mazhab Syafie, kelapangan belanja bermaksud seseorang yang mempunyai wang untuk membeli binatang korban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari tasyrik (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah). 

4.Dalam Mazhab Hanbali pula, kelapangan belanja ialah mereka yang dapat membeli harga korban walaupun secara meminjam atau berhutang, dan hutang itu mampu dijelaskan.

5.Imam Malik berkata: “Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

6.Berusaha melaksanakan ibadat korban agar ia menjadi penghapus kepada dosa-dosa kita dan memberi kelegaan khususnya kepada fakir miskin dan kegembiraan jiran tetangga. 

7.Bagi mereka yang berkemampuan dan ada lebihan wang, afdhal  melaksanakan Ibadat Korban di mana kita tinggal.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

29hb Mei 2023
09hb Zulkaedah 1444H

Thursday, 25 May 2023

Haji dan Umrah Menghapuskan Kefakiran dan Dosa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Haji dan Umrah Menghapuskan Kefakiran dan Dosa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ وَالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلَّا الْجَنَّة

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Laksanakanlah ibadah haji berserta umrah, maka sesungguhnya kedua-duanya akan menghapuskan kamu daripada kefakiran dan dosa-dosa, sebagaimana al-kir (bahan yang digunakan untuk menghilangkan) segala kekotoran besi, perak dan emas. Tidak ada balasan bagi haji yang mabrur melainkan syurga”  (Sunan Tarmizi No: 738) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.Menjadi kewajipan bagi Muslim yang berkemampuan dan berkuasa untuk melaksanakan ibadat haji dan umrah 

2.Orang yang melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan bersungguh-sungguh sehingga mendapat haji yang mabrur akan mendapat ganjaran yang besar iaitu Syurga.

3.Mereka yang melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan mengeluarkan perbelanjaan yang besar, namun Rasulullah SAW menjanjikan keberkahan rezeki dan dijauhkan dari kemiskinan.   

4.Orang yang melaksanakan ibadat haji dan umrah dengan bersungguh-sungguh akan menjadi penghapus daripada dosa seperti bahan kimia yang boleh menghilangkan  segala kekotoran pada besi, perak dan emas.

5.Mereka yang diterima ibadah hajinya (mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi melainkan syurga untuknya.

Bagi mereka yang akan mengerjakan ibadat haji, rebutlah peluang menjadikan ibadat haji dan umrah sebagai pembersih dosa-dosa dan mendapat keampunan serta ganjaran syurga.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

26hb Mei 2023
06hb Zulkaedah 1444H

Wednesday, 24 May 2023

Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Seperti Bayi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Haji Mabrur Menghapuskan Dosa Seperti Bayi

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّه

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa  melaksanakan ibadat haji semata-mata kerana Allah dan ia tidak menuturkan perkataan keji dan tidak melakukan kefasikan (keluar dari ketaatan) maka ia akan kembali seperti bayi yang baru dilahirkan ibunya (bersih dari dosa)  (Sahih Bukhari No:1690) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang yang melaksanakan ibadah Haji dengan tidak melakukan perkara yang dilarang akan diampunkan dosanya bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

2.Haji mabrur adalah haji yang dilaksanakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT (bukan kerana hendak melancong, berjual beli dan seumpamanya). Pelaksanaaan haji dengan kaifiyat (tata cara) yang betul sebagaimana yang diajarkan Nabi SAW akan menghasilkan pahala yang besar (syurga) dan keampunan dosa. Justeru, seseorang yang mahu melaksanakan ibadah haji mestilah memahami hukum-hukam berkaitan haji dan menjauhi perkataan yang kotor dan perbuatan fasiq.

3.Apabila seseorang melaksanakan ibadat haji dan menjauhi apa-apa yang Allah haramkan, berupa rafats dan fusuq iaitu meninggalkan perbuatan fasik dengan melakukan ketaatan, dan tidak meninggalkan apa-apa yang Allah wajibkan, serta tidak melakukan apa yang Allah haramkan - maka ia kembali dari ibadat haji dalam keadaan bersih dari dosa. Sebagaimana seseorang keluar dari perut ibunya tanpa membawa dosa, maka orang memenuhi syarat ini - dia akan bersih dari dosa.

4.Setiap Muslim yang akan melaksanakan ibadah haji hendaklah segera bertaubat (menyesali dan meninggalkan perbuatan maksiat) dan bertekad tidak akan mengulangi dosa-dosa tersebut. Bagi kesalahan dan dosa berkaitan dengan manusia atau mengambil haknya, hendaklah segera meminta maaf dan mengembalikan hak-hak mereka sebelum pergi melaksanakan haji. Sesungguhnya haji merupakan jalan menuju ke syurga dan membebaskan diri daripada api neraka.

5.Ibadat haji yang dilaksanakan akan menjadi penghapus dosa apabila dilaksanakan mengikut peraturan dan meninggalkan larangan. Imam al-Nawawi dalam Al-majmu berkata: “Apabila seseorang ingin mengerjakan ibadat haji maka ia wajib mempelajari tatacaranya, kerana tidak sah ibadah dari orang yang tidak mengetahuinya.” 

Ayuh pastikan ibadat haji yang dilakukan mengikut peraturan dan mematuhi larangan agar ia menjadi pengampun dosa kita.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

25hb Mei 2023
05hb Zulkaedah 1444H

Tuesday, 23 May 2023

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Tangguh Melaksanakan Ibadah Haji

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَجَّلُوا إِلَى الْحَجِّ يَعْنِي الْفَرِيضَةَ فَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَا يَدْرِي مَا يَعْرِضُ لَهُ 

Daripada Ibnu Abbas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah kamu menunaikan haji (yang wajib) kerana kamu tidak mengetahui apa-apa yang mungkin menimpa” (Musnad Ahmad No: 2721) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1. Menunaikan ibadat haji suatu kewajipan kepada mereka yang berkuasa dan berkemampuan. Jangan ditangguh dengan sengaja.

2. Mengikut Imam Shafi’i kewajipan menunaikan haji tidaklah mesti disegerakan tetapi tidak pula bererti boleh dilambatkan. 

3. Segera menunaikan haji dalam keadaan kita sihat dan mampu adalah penting sebagai langkah berjaga-jaga. Apatah lagi jika telah mendapat surat tawaran. Jika dilewatkan berkemungkinan ia tidak dapat dilaksanakan langsung kerana luput masa atau berlaku sesuatu bencana. 

4.Jika ada kemudahan untuk tidak menunggu giliran yang mungkin lama lagi; contohnya menggunakan package yang lebih bayarannya dan kita berkemampuan, maka elok diusahakan pemergian itu.

Bagi mereka yang berkemampuan dan berkuasa, jangan tunggu tahun depan atau tahun berikutnya. Kita tak pasti, ketika itu adakah kita masih berkuasa atau berkemampuan?.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

24hb Mei 2023
04hb Zulkaedah 1444H

Monday, 22 May 2023

Kewajipan Ibadah Haji

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kewajipan Ibadah Haji

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ الْحَجَّ فَحُجُّوا فَقَالَ رَجُلٌ: أَكَلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasûlullâh SAW pernah berkhutbah: “Wahai sekalian manusia, Allâh telah mewajibkan haji bagi kalian, maka laksanakanlah ibadat haji.” Seorang laki-laki bertanya, “Wahai Rasûlullâh, apakah setiap tahun (kewajiban mengerjakan ibadat haji)?” Maka baginda diam, sehingga orang tadi bertanya tiga kali. Kemudian Rasûlullâh SAW bersabda, “Jika aku mengatakan ‘ya’, maka tentu wajib (haji setiap tahun), dan kamu tidak mampu.” (Sahih Muslim No: 1337) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ibadat Haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukalaf.

2.Kewajipan ibadat haji hanya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan dan berkuasa.

3.Mereka yang tiada halangan dari sudut wang ringgit, kesihatan mahupun kemudahan untuk mengerjakan ibadat haji, namun masih tidak berusaha menunaikankannya atas alasan "belum sampai seru" dibimbangi jika meninggal dunia akan menjadi Yahudi atau Keristian.

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَمْنَعْهُ عَنْ الْحَجِّ حَاجَةٌ ظَاهِرَةٌ أَوْ سُلْطَانٌ جَائِرٌ أَوْ مَرَضٌ حَابِسٌ فَمَاتَ وَلَمْ يَحُجَّ فَلْيَمُتْ إِنْ شَاءَ يَهُودِيًّا وَإِنْ شَاءَ نَصْرَانِيًّا

Daripada Abu Umamah, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa tidak terhalang untuk melakukan haji oleh suatu hajat yang jelas atau oleh penguasa yang zalim atau penyakit yang menahannya, kemudian ia meninggal dunia dan belum melakukan haji, boleh jadi ia meninggal dunia dalam keadaan sebagai Yahudi atau sebagai Nasrani." (HR Darimi No: 1719) Status: Isnad Dhaif

4.Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan. 

5.Walaupun pada tahun ini ada yang masih belum berpeluang untuk mendapat giliran, paling tidak anda telah berusaha menabung dan mendaftar dengan Tabung Haji sebagai persiapan menunaikannya.

6.Bagi pandangan Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti harta tak alih (i.e. rumah lebih dari satu, kenderaan lebih dari satu) atau sesuatu yang lebih daripada keperluan, maka wajib ia menjual sebahagian daripadanya untuk keperluan menunaikan haji.

Bersegeralah kita menyediakan kemampuan diri untuk menunaikan ibadah haji dan umrah bagi yang belum menunaikannya. Jika tidak menabung sekarang, bila lagi?.

Bagi yang terpilih menunaikan ibadat Haji pada tahun ini, Selamat Berangkat Duyufurrahman (tetamu Allah) dan didoakan moga dikurniakan kesihatan dan kemudahan dan beroleh haji yang Mabrur.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

23hb Mei 2023
03hb Zulkaedah 1444H

Sunday, 21 May 2023

Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pesanan Untuk Orang Yang Akan Bermusafir

عَنْ سَالِمٍ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ لِلرَّجُلِ إِذَا أَرَادَ سَفَرًا ادْنُ مِنِّي أُوَدِّعْكَ كَمَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوَدِّعُنَا فَيَقُولُ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

Daripada Salim RA bahawa Ibn Umar RA berkata kepada seseorang apabila hendak melakukan musafir: “Datanglah  kepadaku, aku ingin menyampaikan ucapan perpisahan sebagaimana Rasulullah SAW mengucapkan kepada kami, kemudian beliau mengucapkan: 

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.” (HR Tirmizi, No. 3443) Status: Hadis Sahih
.
Pengajaran:

1.Musafir adalah perjalanan seseorang daripada satu tempat ke satu tempat yang lain. Contohnya mengerjakan ibadat fardhu haji ke Mekah. Ianya boleh menyebabkan kesulitan dan kemudharatan kerana menimbulkan kesukaran, keletihan dan menghalang keselesaan, kerehatan serta kesempurnaan dalam beribadah sepanjang perjalanan. 
  
2.Justeru, Rasulullah SAW telah mengajar para sahabat mengenai sunnah yang sangat baik untuk diamalkan apabila seseorang hendak melakukan musafir ialah mengucapkan doa kepadanya.

أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ

“Aku menyerahkan kepada Allah urusan agama kamu, amanah kamu dan pengakhiran amalan kamu.”

3. Terdapat juga dalam hadis Riwayat Anas RA, bahawa seorang lelaki telah datang kepada Nabi SAW memberitahu dia akan bermusafir, lalu Nabi SAW mendoakannya:

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.” (Sunan Tirmizi No: 3444) Status: Hadis Sahih

4. Kebiasaannya, bermusafir akan menyebabkan hilangnya kesenangan dan keselesaan dalam melakukan amalan harian mahupun beribadah. Oleh sebab itu, Islam telah memberikan rukhsah (keringanan) kepada seseorang yang bermusafir.  

5. Sebagai Muslim hendaklah kita mendoakan orang yang akan bermusafir dan berpesan kepada mereka untuk sentiasa bertaqwa dan menjaga amalan ibadah sepanjang perjalanan tersebut.

6. Sempena musim orang bertolak untuk bermusafir mengerjakan ibadat haji, doakanlah mereka dengan doa di atas semoga mereka memperoleh kekuatan dan kemudahan sepanjang berada di sana dan mendapat haji yang mabrur.

Mari kita doakan  Duyufurrahman (tetamu Allah)  dengan lafaz:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

22hb Mei 2023
02hb Zulkaedah 1444H

Saturday, 20 May 2023

Makan Daging Saudara SeIslam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makan Daging Saudara SeIslam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ

Daripada Abdullah ibn Masud RA beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi SAW, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi SAW : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata : Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (HR Thabarani  No: 13145) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mengumpat adalah perbuatan yang dilarang oleh Islam.

2.  Orang yang mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢ 

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)

3.  Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan) (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)

4.  Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut Enam keadaan mengumpat yang diharuskan oleh syarak:

a.  Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau  hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.
b.  Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat 
c.  Meminta fatwa 
d.  Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.
e.  Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.
f.  Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya

21hb Mei 2023
01hb Zulkaedah 1444H

Friday, 19 May 2023

Allah Membuka Aib Kepada Pembuka Aib

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Allah Membuka Aib Kepada Pembuka Aib

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلْ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ فَإِنَّهُ مَنْ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعُ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ يَتَّبِعْ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ

Daripada Abu Barzah Al Aslami ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya namun keimanannya belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian mengumpat seorang muslim dan jangan pula mencari-cari kesalahannya. Sebab siapa saja yang mencari-cari kesalahan orang lain, maka Allah akan mencari-cari kesalahannya. Maka siapa saja yang Allah telah mencari-cari kesalahannya, Allah tetap akan menampakkan kesalahannya meskipun ia ada di dalam rumahnya." (Sunan Abu Daud No: 4236) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang beriman wajib memelihara lisannya dari mengumpat dan mencari kelemahan orang lain, sama ada sesuatu yang dituturkan mahupun yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan.

2.  Islam adalah agama rahmah yang mengajar umatnya untuk tidak mengumpat dan membuka aib orang lain.

3.  Sesiapa yang menutup aib saudaranya sesama muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda:

مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

"Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang tersebut di dunia dan akhirat." (Sunan Ibnu Majah)

4.  Barangsiapa yang mencari-cari kesalahan saudara muslimnya, maka Allah akan membuka kesalahan dan aibnya walaupun yang ada di dalam rumahnya.

5.  Orang yang gemar membicarakan aib orang lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩ 

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19)

Kepada pencela dan pembuka aib, ingatlah azab Allah di dunia dan akhirat.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

20hb Mei 2023
29hb Syawal 1444H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...