Friday, 31 May 2024

Amal Yang Disukai Allah Pada Eidul Adha

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amal Yang Disukai Allah Pada Eidul Adha

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Daripada Aishah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada amal keturunan Adam yang lebih disukai Allah pada Hari Eidul Adha selain menyembelih korban. Sesungguhnya binatang itu akan datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku, dan bulunya. Dan sesungguhnya darah korban lebih dahulu menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu elokkan dirimu dengan melakukannya” (Sunan Tirmizi No:1413) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Hari Raya Korban (Eidul Adha) semakin hampir. Tahukah kita bahawa amal yang paling Allah sukai pada Hari Raya Eidul Adha daripada setiap Muslim ialah melaksanakan ibadah korban

2.  Mereka yang melaksanakan ibadah korban ini di hari akhirat nanti akan datang binatang yang dikorbankan berserta tanduk, kuku dan bulunya sebagai saksi ibadat yang telah mereka laksanakan semasa di dunia

3.  Ibadah Korban yang ikhlas dilaksanakan oleh Muslim, akan diterima Allah dan diredaiNya sebelum darahnya menitik ke bumi.

4.  Justeru itu, laksanakanlah ibadah korban dengan memastikan binatang yang terbaik berdasarkan kemampuan kewangan, cara penyembelihan dan pengagihan daging yang sempurna. 

01hb Jun 2024
23hb Zulkaedah 1445H

Thursday, 30 May 2024

Ujian Kehidupan dan Amal Penghapus Dosa

ASSALAMUALAIKUM w.b.t 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Ujian  Kehidupan dan Amal Penghapus Dosa*

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ كُنَّا عِنْدَ عُمَرَ فَقَالَ أَيُّكُمْ يَحْفَظُ حَدِيثَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْفِتْنَةِ كَمَا قَالَ قَالَ فَقُلْتُ أَنَا قَالَ إِنَّكَ لَجَرِيءٌ وَكَيْفَ قَالَ قَالَ قُلْتُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَنَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ يُكَفِّرُهَا الصِّيَامُ وَالصَّلَاةُ وَالصَّدَقَةُ وَالْأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيُ عَنْ الْمُنْكَرِ

_*Daripada Hudzaifah RA berkata: Kami berada di kediaman Umar lalu ia bertanya: Siapa diantara kalian yang hafal hadis Rasulullah SAW tentang fitnah (ujian) seperti yang baginda sabdakan? Hudzaifah bin Al Yaman menjawab: Aku. Umar berkata: Sesungguhnya engkau berani, apa yang baginda sampaikan? Aku (Hudzaifah bin Al Yaman) berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Fitnah atau ujian seseorang terhadap keluarganya, hartanya, dirinya, anak dan jiran tetangganya. Ianya akan terhapus (dosanya) apabila ia melakukan solat, bersedekah, mengajak kepada kebaikan (maaruf)  dan mencegah kemungkaran."*_ (HR Muslim No: 5150) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Setiap mukmin akan menghadapi ujian dalam hidup dan perlu sentiasa berwaspada.
 
2.  Ujian bukan hanya dalam perkara yang buruk sahaja malah termasuk yang berupa nikmat antaranya ujian terhadap kaum keluarga seperti seorang suami atau bapa terhadap isteri dan anak-anak hingga melalaikan. Atau tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya terhadap mereka.

3.  Kita akan diuji dengan harta sama ada sumbernya mahupun penggunaannya. Ada mereka yang dilalaikan dengan harta dari beribadat, ada yang tidak berzakat serta bakhil.

4.  Kita akan diuji dengan anak-anak. Ada yang keterlaluan memberi kasih sayang  kepada anak-anak hingga bercanggah dengan syariat seperti membiarkan anak tidak menutup aurat atau sebaliknya membiarkan anak-anak tanpa pendidikan agama yang sempurna. Atau kesedihan yang keterlaluan apabila anak-anak ditimpa sakit, kemalangan dan sebagainya.

5.  Kita juga mungkin akan diuji dengan jiran tetangga. Kadang-kadang dengan sebab kecil boleh bergaduh serta berhasad dengki. Mungkin juga dengan kita tidak mengambil tahu keadaan serta kesusahan jiran.

6.  Semua dosa dan kesalahan tersebut (dosa kecil) boleh terhapus dengan menunaikan solat, bersedekah, mengajak kepada kebaikan (maaruf)  dan mencegah kemungkaran. Dalam hadis lain baginda Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ عُثْمَانُ  قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَتَطَهَّرُ فَيُتِمُّ الطُّهُورَ الَّذِي كَتَبَ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيُصَلِّي هَذِهِ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ إِلَّا كَانَتْ كَفَّارَاتٍ لِمَا بَيْنَهَا

*Usman berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang muslim berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya sebagaimana Allah telah mewajibkan kepadanya, lalu melakukan solat lima waktu melainkan itu menjadi penebus dosa antara keduanya."* (HR Muslim No: 338) Status: Hadis Sahih 

Moga kita sentiasa berhati-hati dengan pelbagai ujian yang ada dan sentiasa melakukan ibadat dan kebajikan agar ia menjadi penghapus dosa-dosa yang kita lakukan.

31hb Mei 2024
22hb Zulkaedah 1445H

Wednesday, 29 May 2024

Tanggungjawab Orang Beriman*

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Tanggungjawab Orang Beriman*
  
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ حِينَ بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ إِنَّكَ سَتَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ فَإِذَا جِئْتَهُمْ فَادْعُهُمْ إِلَى أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

_*Daripada Ibnu Abbas RA berkata; Rasulullah SAW bersabda kepada Mu'adz bin Jabal RA ketika baginda mengutusnya ke Yaman: "Sesungguhnya kamu akan mendatangi kaum Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani), jika kamu sudah mendatangi mereka maka ajaklah mereka itu untuk mengucap syahadah bersaksi bahawa tidak ada Illah yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka hendaklah kamu beritahu kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan bagi mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka beritahu kepada mereka bahawa Allah mewajibkan bagi mereka zakat yang diambil dari kalangan orang mampu dari mereka untuk diagihkan kepada orang yang fakir dari kalangan mereka. Jika mereka mentaati kamu dalam hal itu maka janganlah kamu mengambil harta-harta terhormat mereka dan takutlah terhadap doa orang yang dizalimi kerana antara dia dan Allah tidak ada hijab (sekatan yang menghalangi)".*_ (HR Bukhari No: 1401) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Menjadi tanggungjawab dalam berdakwah untuk menyeru orang ramai supaya beriman kepada Allah dan Rasul dengan cara mengakui Allah yang menjadikan sekalian alam dan mentadbir sekalian makhluk di samping mentaati seruan dan perintah yang dibawa oleh Rasulullah.

2.  Menjadi tanggungjawab orang yang telah beriman untuk melaksanakan perintah solat yang wajib lima kali sehari semalam sebagai tanda ketundukan dan kepatuhan kepada Pencipta.

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَٰشِعِينَ ٤٥

*Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk* (Al-Baqarah: 45)

3.  Menjadi tanggungjawab orang yang telah beriman, yang memiliki harta untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka sebagai zakat kepada golongan fakir miskin yang memerlukan bagi melahirkan kehidupan yang rahmah dan harmoni.

4.  Sebagai pemimpin dan pentadbir, diingatkan agar berlaku adil kepada orang bawahan serta rakyat yang akur dan patuh kepada apa yang ditetapkan. Jangan sekali-kali berlaku zalim dengan menyalah gunakan kuasa untuk sebarang kepentingan diri dengan mengambil sesuatu yang bukan hak seperti rasuah, komisen, memerah rakyat bawahan, menyakiti mereka serta menzalimi mereka.

5.  Rasulullah SAW mengingatkan bahawa doa orang yang dizalimi itu amat mudah dimakbulkan Allah kerana tidak ada hijab antara dia dengan Allah.

Jadilah kita pendakwah yang mengajak kepada mentaati segala perintah Allah dan Rasul. Jangan sekali-kali kita berbuat zalim kepada orang lain, atau bersama serta menyokong orang yang berbuat zalim.

30hb Mei 2024
21hb Zulkaedah 1445H

Tuesday, 28 May 2024

Kemampuan Akal Terhad

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kemampuan Akal Terhad

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ خَمْسٌ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ وَلَا يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الْأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ وَلَا يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي الْمَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ وَلَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ وَلَا يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ

Daripada Ibnu 'Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Kunci perkara ghaib itu ada lima, tidak ada seorang pun yang mengetahuinya kecuali Allah, iaitu: Tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok kecuali Allah. Tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang dikandung oleh Rahim wanita kecuali Allah. Tidak ada seorang pun yang mengetahui bila turunnya hujan kecuali Allah. Tidak ada seorangpun yang mengetahui dimana dia akan meninggal dunia kecuali Allah. Dan tidak ada seorang pun yang mengetahui bila terjadi hari kiamat kecuali Allah." (HR Bukhari No: 4328) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah mengurniakan kepada manusia akal sebagai suatu kelebihan dengan makhluk lain, namun kemampuan akal terhad khususnya dalam perkara ghaib. Terdapat lima perkara yang tidak dapat dijangkau oleh akal manusia secara pasti:

a.  Tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok kecuali Allah. Kita disuruh berusaha dan merancang masa depan yang lebih baik, namun kita sendiri tidak boleh pastikan secara mutlak tentang masa depan kita.

b.  Tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang dikandung oleh Rahim wanita kecuali Allah. Kita tidak dapat mengetahui secara tepat bila persenyawaan benih berlaku serta memastikan jantina terhadap janin dalam kandungan. Namun berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkannya tidak dilarang.

c.  Tidak ada seorang pun yang mengetahui bila turunnya hujan kecuali Allah. Ketentuan turunnya hujan adalah dibawah ketentuan Allah namun tidak salah untuk berusaha dengan peralatan moden membuat pembenihan awan bagi menghasilkan hujan.

d.  Tidak ada seorangpun yang mengetahui dimana dia akan meninggal dunia kecuali Allah. Kematian itu adalah ketentuan Allah. Apa yang penting persediaan kita untuk menghadapinya.

e.  Tidak ada seorang pun yang mengetahui bila terjadi hari kiamat kecuali Allah.

2.  Kita dituntut untuk berusaha dan berikhtiar serta bertawakal kepada Allah dan menyedari keterbatasan yang ada pada makhluk. Namun kewajipan kita meyakini dan beriman terhadap perkara ghaib tersebut yang berada dibawah pengawasan Allah.

إِنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥ عِلۡمُ ٱلسَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ ٱلۡغَيۡثَ وَيَعۡلَمُ مَا فِي ٱلۡأَرۡحَامِۖ وَمَا تَدۡرِي نَفۡسٞ مَّاذَا تَكۡسِبُ غَدٗاۖ وَمَا تَدۡرِي نَفۡسُۢ بِأَيِّ أَرۡضٖ تَمُوتُۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرُۢ ٣٤ 

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua yang menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. (Luqman:34).

29hb Mei 2024
20hb Zulkaedah 1445H

Sunday, 26 May 2024

Kekayaan Orang Bertakwa

ASSALAMUALAIKUM w.b.t 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Kekayaan Orang Bertakwa* 

حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ خُبَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَمِّهِ قَالَ كُنَّا فِي مَجْلِسٍ فَطَلَعَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى رَأْسِهِ أَثَرُ مَاءٍ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَاكَ طَيِّبَ النَّفْسِ قَالَ أَجَلْ قَالَ ثُمَّ خَاضَ الْقَوْمُ فِي ذِكْرِ الْغِنَى فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا بَأْسَ بِالْغِنَى لِمَنْ اتَّقَى وَالصِّحَّةُ لِمَنْ اتَّقَى خَيْرٌ مِنْ الْغِنَى وَطِيبُ النَّفْسِ مِنْ النَّعِيمِ

_*Mu'adz bin 'Abdullah bin Khubaib dari ayahnya dari pamannya meriwayatkan kepada kami bahawa; Ketika kami berada disuatu majlis kemudian Rasulullah SAW datang, dirambut baginda ada sisa-sisa air. Kami berkata; Wahai Rasulullah! Kami melihat Rasulullah seorang yang memiliki jiwa bahagia. Rasulullah SAW  menjawab: "Ya Benar." Kemudian di majlis itu orang-orang berbual mengenai kekayaan. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak mengapa kaya kalau disertai dengan ketakwaan. Namun kesihatan dengan ketakwaan kepada Allah itu lebih baik (dari kekayaan). Manakala kebahagian jiwa pula adalah sebahagian dari nikmat (Allah)*_ (Musnad Ahmad No:  22144)  Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Kekayaan yang dimiliki oleh seseorang tidak tercela asalkan ia diurus dengan cara yang bertakwa.

2.  Pemilik yang bertakwa akan memastikan sumber hartanya bersih lagi halal disamping menunaikan hak terhadap harta yang dimiliki seperti zakat dan sedekah. 

3.  Orang kaya yang dicela apabila ia tidak menunaikan hak harta dan tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimiliki.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ

*Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya sangat beruntung orang yang masuk Islam, diberikan rezeki yang cukup oleh Allah serta dia pula merasa puas (qanaah) dengan apa yang Allah berikan kepadanya.”* (HR Muslim no: 1746)

4.  Kesihatan yang dimiliki oleh orang yang bertakwa kepada Allah itu lebih baik dari harta kekayaan. Kesihatan yang dimiliki tidak boleh ditukar dengan wang ringgit dan harta.

5.  Kebahagiaan jiwa (ketenangan, ketenteraman dan kelapangan) merupakan sebahagian dari kekayaan  dan nikmat hidup. 

6.  Memiliki wang ringgit dan kekayaan harta benda belum tentu menjamin ketenangan jiwa.

Biar berharta, asalkan memiliki sifat qanaah (merasa cukup) dan sentiasa bersyukur dengan menunaikan hak-hak harta berkenaan, di samping jiwa pemilik harta sentiasa merasa tenang dan bahagia.

27hb Mei 2024
18hb Zulkaedah 1445H

Saturday, 25 May 2024

Al-Quran Syafaat dan Barakah

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Al-Quran Syafaat dan Barakah 

عَنْ زَيْدٍ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا سَلَّامٍ يَقُولُ حَدَّثَنِي أَبُو أُمَامَةَ الْبَاهِلِيُّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ

Daripada Zaid bahawa ia mendengar Abu Sallam berkata, telah menceritakan kepadaku Abu Umamah Al Bahili ia berkata; Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bacalah Al-Quran, kerana ia akan datang memberi syafaat kepada para pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaini surah Al-Baqarah dan Ali Imran, kerana keduanya akan datang pada hari kiamat nanti, seperti dua tumpuk awan menaungi pembacanya, atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam formasi hendak membela pembacanya. Bacalah Al-Baqarah, kerana dengan membacanya akan memperoleh barakah, dan dengan tidak membacanya akan menyebabkan penyesalan, dan pembacanya tidak dapat dikalahkan oleh tukang-tukang sihir." (HR Muslim No: 1910) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Al-Quran akan menjadi penolong (pemberi syafaat) kepada pembacanya pada hari akhirat nanti.

2.  Al-Munawi menjelaskan  bahawa apa yang dimaksudkan oleh Nabi bukanlah Al-Quran itu datang dalam bentuk lelaki, burung, awan dan sebagainya, akan tetapi yang dimaksudkan adalah pahala yang layak diberikan kepada mereka yang membaca dan beramal dengannya. Pahala-pahala itu nantinya akan datang dalam bentuk lelaki yang menjadi hujah di hadapan Allah. Ia juga menjadi seperti awan yang menaungi para pembacanya dari kepanasan di hari akhirat.

3.  Sesiapa yang mengamalkan membaca surah Al-Baqarah dan Ali Imran, pada hari kiamat nanti akan mendapat naungan kedua surah ini dengan izin Allah.

4.  Orang yang melazimi membaca surah al-Baqarah, ia akan memperoleh barakah

5.  Orang yang tidak membaca al-Quran, ia akan menyesal

6.  Orang yang melazimi membaca surah al-Baqarah, tidak akan dapat dikalahkan oleh tukang-tukang sihir (terhindar dari sihir).

Al-Quran Dihayati, Negara Diberkati

26hb Mei 2024
17hb Zulkaedah 1445H

Friday, 24 May 2024

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

_*Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang ada kelapangan belanja tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri masjid kami.*_ (Musnad Ahmad No: 7924) Status: Isnad Hasan

*Pengajaran:*

1.Ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi. 

2.Orang yang berkemampuan tetapi tidak melaksanakan ibadah korban seolah-olahnya tidak layak mendatangi masjid untuk melaksanakan ibadat solat.

3.Dalam Mazhab Syafie, kelapangan belanja bermaksud seseorang yang mempunyai wang untuk membeli binatang korban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari tasyrik (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah). 

4.Dalam Mazhab Hanbali pula, kelapangan belanja ialah mereka yang dapat membeli harga korban walaupun secara meminjam atau berhutang, dan hutang itu mampu dijelaskan.

5.Imam Malik berkata: *“Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”.* (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

6.Berusaha melaksanakan ibadat korban agar ia menjadi penghapus kepada dosa-dosa kita dan memberi kelegaan khususnya kepada fakir miskin dan kegembiraan jiran tetangga. 

7.Bagi mereka yang berkemampuan dan ada lebihan wang, afdhal  melaksanakan Ibadat Korban di mana kita tinggal.

22hb Mei 2024
13hb Zulkaedah 1445H

Manusia Paling Baik dan Paling Buruk

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Manusia Paling Baik dan Paling Buruk

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ قَالَ فَأَيُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ

Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya, bahawa seorang laki-laki berkata; "Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik?" Baginda bersabda: "Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya." Tanyanya lagi; "Siapakah manusia yang paling buruk?" Jawab baginda: "Orang yang panjang umurnya dan buruk amalannya." (Musnad Ahmad No: 19519) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Manusia yang paling baik ialah yang panjang umurnya serta sentiasa  melakukan amal soleh. 

2.  Orang yang paling baik adalah yang paling banyak amal kebaikannya dengan sebab umur yang bertambah dan membolehkannya melakukan amal soleh yang ganjarannya berterusan walaupun dia telah meninggal dunia.

3.  Orang yang paling buruk pula adalah mereka yang diberikan umur yang panjang namun berterusan melakukan amal maksiat dan dosa.

4.  Umur adalah ibarat modal kepada pedagang. Menyia-nyiakan modal oleh pedagang suatu yang merugikan.

Semoga umur yang Allah kurniakan pada kita sentiasa digunakan untuk  mendekatkan diri kepada Allah melalui pelbagai amal soleh khususnya amal yang menjadi fix deposit berterusan walaupun dia telah meninggal dunia seperti mengajarkan ilmu bermanfaat, berdakwah, wakaf dan sebagainya.

23hb Mei 2024
14hb Zulkaedah 1445H

Sahibul Al-Quran

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sahibul Al-Quran

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَأُ بِهَا

Daripada Abdullah bin 'Amru dari Nabi SAW baginda bersabda: "Pada hari pengadilan kelak akan diseru kepada (sohibul Quran) ahli Al-Quran; Teruskanlah bacaan al-Quran mu dan teruskanlah menaiki tingkat demi tingkat syurga dan  bacalah dengan tartil sebagaimana kamu membacanya ketika di dunia, sesungguhnya tempat terakhirmu ada pada ayat terakhir yang kamu baca.". (HR Tirmidzi No: 2838) Status: Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Sohibul Quran ialah mereka yang ahli dalam al-Quran, sentiasa mendampingi al-Quran juga penghafal al-Quran.

2.  Ahli al-Quran akan sentiasa menjaga hak al-Quran dengan membacanya, menghafal, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.

3.  Orang yang membaca dan menghafal al-Quran perlu memberi tumpuan dan perhatian serta bersungguh-sungguh secara berterusan membaca dan menjaganya. Semoga al-Quran menjadi pegangan dan panduan hidup.

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi " (HR. Malik No: 1395).

4.  Pada hari akhirat nanti orang yang membaca  al-Quran berterusan akan menaiki tingkat demi tingkat di dalam syurga dan  terus membacanya dengan tartil sebagaimana ia membacanya ketika di dunia.

Sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan  Tahun 2024 yang sedang berlangsung di Kuantan Pahang, marilah kita melazimi membaca al-Quran dan berusaha mentadabur, memahami dan mengamalkannya agar ia menjadi hidayah dan panduan hidup.

Berusahalah menjadi Sohibul Quran.

24hb Mei 2024
15hb Zulkaedah 1445H

Al-Quran dan Puasa Pemberi Syafaat

ASSALAMUALAIKUM w.b.t 

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Al-Quran dan Puasa Pemberi Syafaat*

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ وَيَقُولُ الْقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ قَالَ فَيُشَفَّعَانِ

_*Daripada Abdullah bin Amru RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Puasa dan al-Quran itu akan memberikan syafaat kepada seorang hamba pada hari kiamat nanti. Puasa akan berkata : "Wahai Rabb ku, saya telah menahannya daripada makan dan nafsu syahwatnya, kerananya perkenanankan aku untuk memberi syafaat kepada nya (kepada orang yang berpuasa)." Dan al-Quran berkata : "Saya telah melarangnya daripada tidur pada malam hari, kerananya perkenankan aku untuk memberi syafaat kepadanya." Baginda bersabda : "Maka syafaat keduanya diperkenankan."*_ (Musnad Ahmad No: 6589) Dar Ihya Turath Arab. Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Puasa dan al-Quran akan menjadi penolong dan pemberi syafaat kepada pencinta dan pengamalnya pada hari Kiamat.

2.  Orang yang berpuasa semasa di dunia, puasa akan  menolongnya dan memberi syafaat kerana semasa di dunia dahulu, orang yang berpuasa telah menahan diri dari makan dan minum di siang hari serta mengekang nafsunya.

3.  Orang yang menyibukkan diri dengan al-Quran  (membaca hingga terpaksa menyengkang mata di malam hari), al-Quran akan menjadi syafaat serta penolong di hari kiamat.

4.  Di hari kiamat nanti semua manusia akan membawa diri masing-masing kerana tiada siapa lagi pada hari tersebut yang dapat memberikan pertolongan. Namun selain daripada syafaat Nabi SAW ke atas umat baginda, solat, puasa, al-Quran dan amalan-amalan kebaikan lain akan menjadi syafaat yang diterima oleh Allah SWT untuk mereka yang telah menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya. 

5.  Alangkah indah dan beruntungnya kehidupan seorang Muslim yang pada waktu siangnya berpuasa termasuk di bulan Ramadan dan puasa sunat pada bulan-bulan lain. Beruntung juga orang yang membaca al-Quran pada siang dan malam harinya  dalam kerangka mendekatkan diri kepada Allah.

Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Umamah Al-Bahili,  Rasulullah SAW bersabda:

إِقْرَءُوالْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

*“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang kepada kamu pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada ahlinya”* (HR Muslim No: 1337) Status: Hadis Sahih

6.  Sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan  Tahun 2024 yang sedang berlangsung di Kuantan Pahang, marilah kita melazimi membaca al-Quran dan berusaha mentadabur, memahami dan mengamalkannya.

Berusahalah menjadikan al-Quran sebagai hidayah dan panduan hidup.

*Al-Quran Dihayati, Negara Diberkati*

25hb Mei 2024
16hb Zulkaedah 1445H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...