Thursday, 31 October 2013

Pintu Taubat Sentiasa Terbuka


KEINDAHAN taubat terletak kepada usaha yang belum terlambat. Bertaubatlah sebelum matahari terbit dari Barat yang menandakan hari kiamat. Setiap kali selepas Subuh hati dan jiwa umat Islam sentiasa tenang damai dan syahdu.
Hidup manusia tidak terlepas daripada maksiat dan dosa. Sama ada dosa kecil atau besar. Justeru, disebabkan nafsu jahat mengajak manusia melakukan pelbagai kejahatan yang dibenci oleh Yang Maha Esa.

Nabi SAW bersabda: "Iblis berkata kepada Tuhannya, "Dengan keagungan dan kebesaran-Mu, aku tidak akan berhenti menyesatkan Bani Adam selama mereka masih bernyawa. Lalu Allah berfirman: "Dengan keagungan dan kebesaran-Ku, Aku tidak akan berhenti mengampuni mereka selama mereka beristighfar." (riwayat Ahmad)

Bertaubatlah ketika hati telah keruh diselimuti oleh kabut dosa. Begitu juga dengan jiwa yang dipenuhi lumpur dosa. Jika inginkan hati dan jiwa bersinar kembali, jauhi diri daripada godaan perhiasan dunia yang melalaikan dan jernihkan hati daripada segala perhatian yang tidak tertumpu kepada-Nya.
Keindahan taubat juga dapat dilihat melalui panggilan Allah. 

Pintu taubat sentiasa terbuka, peluang untuk bertaubat juga terbuka luas. Bertaubatlah sebelum mati dan nyawa sampai ke kerongkong. Nabi SAW bersabda: "Penyesalan adalah satu taubat." (riwayat Abu Daud dan Al Hakim)

Taubat dapat difahami sebagai menyesal atas segala dosa dan terus meninggalkannya, kemudian berazam tidak mengulanginya lagi serta menggantikan amalan jahat dengan amalan yang baik.

Beruntunglah orang yang dapat menunaikan fardu haji dan dapat bertaubat di depan Kaabah. Pun begitu, bagai yang belum berkesempatan melaksanakan rukun Islam kelima ini, ia bukan halangan untuk bertaubat kerana taubat boleh dibuat pada setiap masa dan hari.

Malah doa bertaubat sentiasa dilafazkan selepas solat lima waktu. Nabi SAW bersabda: "Semua anak Adam membuat kesalahan dan sebaik-baik pembuat kesalahan ialah mereka yang bertaubat." (riwayat Ad Dailami)

Seorang lelaki telah melakukan satu dosa. Dia bertanya kepada Ibnu Mas'ud apakah ada taubat untuknya. Lalu Ibnu Mas'ud berkata, "Syurga mempunyai lapan pintu. Semuanya berkunci, selain pintu taubat. Maka pada pintu taubat terdapat seorang malaikat penjaga dan dia tidak mengunci pintu tersebut. Oleh itu, bertaubatlah janganlah engkau berputus asa."

Bertaubat bukan hanya untuk orang yang sudah terlanjur melakukan dosa. Orang yang hatinya hampir dengan Allah SWT akan sentiasa merasa bersalah sekalipun tidak melakukan kesalahan.

Malah Rasulullah SAW sendiri yang maksum (terhindar daripada dosa) bertaubat sekurang-kurangnya 70 kali sehari. Nabi SAW bersabda: "Orang yang bertaubat daripada dosanya seperti orang yang tidak melakukan dosa." (riwayat Ath Thabrani)



Allah SWT menguji manusia dengan pelbagai bentuk ujian sama ada kesenangan, kegembiraan, kesukaran dan penyakit. Semua bentuk ujian tersebut untuk menguji keimanan dan kemampuan hamba-hamba-Nya. Nabi SAW bersabda: "Tiada sesuatu yang lebih disukai Allah daripada seorang lelaki yang bertaubat." (riwayat Ad Dailami)



Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...