*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Ganjaran Pahala Berterusan*
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
_*Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya."*_ (HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih
*Pengajaran:*
1. Setiap Muslim bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup. Kematian bukan penamat pahala. Ada amalan yang pahalanya terus mengalir walaupun setelah seseorang itu meninggal dunia.
2. Hadis ini menerangkan amalan yang dilakukan oleh seorang Muslim semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal iaitu:
a. Sedekah jariah yang dilakukan semasa hidup sama ada berbentuk wakaf, derma, pemberian, hadiah dan sebagainya. Contohnya untuk derma pembinaan masjid, untuk Pendidikan, menyediakan sumber air. Selagi ia dimanafaatkan oleh makhluk sama ada manusia, binatang mahupun tumbuhan, ganjaran pahalanya akan tetap berterusan.
b. Ilmu bermanfaat yang diajar sama ada ilmu agama mahupun ilmu dunia, yang digunakan untuk kebaikan manusia juga kemaslahatan hidup termasuk penghasilan buku, artikel, juga dalam bentuk elektronik seperti laman sesawang, FB, telegram, whatsapp. Selagi ilmu tersebut diamalkan atau faedahnya dimanfaatkan, maka ganjaran pahala akan diperolehi oleh mereka yang menyampaikan atau yang memulakan.
c. Anak solleh yang sentiasa berbuat kebaikan dan mendoakan rahmat serta keampunan kepada kedua ibu bapa.
3. Kita digalakkan untuk melabur dalam amalan yang berterusan (sama ada sedekah jariah, ilmu bermanfaat juga mendidik anak yang soleh) semasa hidup.
4. Rancanglah kehidupan ini berorientasikan akhirat. Hadis ini mendidik kita agar merancang kehidupan dengan pandangan jauh, bukan hanya untuk dunia, tetapi untuk bekalan selepas mati. Binalah legasi kebaikan yang berterusan hingga ke akhirat.
5. Jazakumullahhu khairan katsira kepada guru sama ada yang mengajar di Nurseri, Tadika, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Madrasah, Masjid dan Surau, Institusi Pengajian Tinggi seperti Kolej, IPG, dan Universiti. Juga kepada setiap individu yang menyampaikan ilmu yang bermanfaat.
Semoga usaha para penyampai ilmu yang bermanfaat termasuk dengan tulisan, juga menggunakan media sosial akan menjadi penerus amal yang mendatangkan ganjaran pahala berterusan walaupun setelah meninggal dunia.
25hb Zulkaedah 1447H
13hb Mei 2026M
No comments:
Post a Comment