Thursday, 28 May 2026

Jangan Berbuat Zalim Dan Bakhil

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Jangan Berbuat Zalim Dan Bakhil
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكُمْ وَالظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُحْشَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَالتَّفَحُّشَ وَإِيَّاكُمْ وَالشُّحَّ فَإِنَّهُ دَعَا مَنْ قَبْلَكُمْ فَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ وَسَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَقَطَّعُوا أَرْحَامَهُمْ
 
Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian berbuat zalim, kerana kezaliman akan menjadi kegelapan pada hari kiamat di sisi Allah, janganlah berbuat keji kerana Allah tidak suka kekejian dan perbutan keji, janganlah bersifat bakhil, kerana sifat itu yang telah membinasakan orang-orang sebelum kalian, sehingga mereka menghalalkan perkara yang haram, menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim (kekeluargaan) mereka."  (HR Ahmad No: 9202) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Muslim dilarang melakukan kezaliman kepada dirinya dan orang lain.
 
2.    Perbuatan zalim ialah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Contohnya mencuri, meninggalkan solat, menindas orang lain, mengambil hak orang lain, tidak berlaku adil, menyakiti, mencela orang lain. Perbuatan ini adalah maksiat dan dosa. Kezaliman yang paling besar adalah perbuatan syirik yang tidak diampunkan oleh Allah.
 
3.    Allah tidak suka kepada orang yang melakukan perbuatan keji atau buruk. Seorang Muslim perlu menjaga lidah dengan mengelak dari mengeluarkan perkataan kasar, mencaci, menghina dan memalukan orang lain.
 
4.    Muslim juga dilarang bersifat bakhil dan tamak. Bakhil adalah buah dan akibat dari kecintaan kepada dunia.
 
5.    Orang yang bakhil akan berusaha memiliki harta dengan apa juga cara asalkan mereka dapat dan memiliki tanpa mengira dengan cara yang halal atau haram, sanggup menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim.
 
6.    Sifat bakhil berpunca dari sifat tamak dan cinta dunia. Sifat ini boleh menghancurkan individu, keluarga dan Masyarakat.
 
7.    Keruntuhan umat bukan hanya kerana kelemahan fizikal atau ekonomi, tetapi kerana rosaknya hati dan akhlak.
 
8.    Hadis ini menghimpunkan tiga amaran besar dalam kehidupan manusia iaitu sifat zalim, keji dan bakhil. Ketiga-tiganya menjadi sebab kehancuran individu dan masyarakat. Rasulullah SAW mendidik umat Islam supaya membina kehidupan atas asas keadilan, akhlak mulia, kasih sayang dan pengendalian nafsu dengan baik.
 
Jauhilah sifat zalim, keji dan bakhil.
 
12hb Zulhijjah1447H
29hb Mei 2026
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...