DOA-DOA ARAFAH
Hari Arafah telah tiba. Hari yang dipenuhi rahmat, keampunan dan doa yang diangkat ke langit. Moga Allah membuka pintu-pintu kasih-Nya buat kita. Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
"Sebaik-baik do'a adalah do'a pada hari Arafah."
(Al-Tirmidhi no. 3585, hadith hasan).
Antara doa yang boleh dimasukkan dalam senarai munajat kita:
1. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kejayaan yang paling agung; selamatkanlah aku daripada api neraka, dan masukkanlah aku ke dalam Syurga Firdaus yang tertinggi dengan rahmat-Mu.
2. Ya Allah, masukkanlah aku, kedua ibu bapaku, keluargaku dan zuriatku ke dalam golongan orang-orang yang beriman, yang menerima kitab amalan mereka dengan tangan kanan dalam kegembiraan dan keselamatan.
3. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku pengakhiran hidup yang indah. Basahilah lidahku dengan kalimah syahadah ketika nafas terakhirku, dan limpahkanlah kepadaku syafaat Rasulullah SAW.
4. Ya Allah, himpunkanlah aku bersama Rasulullah SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, para solihin dan orang-orang yang Engkau cintai di Syurga Firdaus.
5. Ya Allah, bukakanlah pintu hidayah kepada sahabat-sahabatku yang belum mengenali Islam. Sinarilah hati mereka dengan cahaya iman dan rahmat-Mu.
6. Ya Allah, satukanlah aku di Syurga Firdaus bersama orang-orang yang aku kasihi kerana-Mu dan yang mengasihiku kerana-Mu.
7. Ya Rabb, sempurnakanlah agamaku, perbaikilah ibadahku, luruskanlah jalanku, dan peliharalah aku daripada segala keburukan yang menjauhkan aku daripada-Mu.
8. Ya Allah, terimalah segala amal kebaikanku walaupun sedikit, gandakanlah pahalanya dengan kemurahan-Mu, hapuskanlah dosa-dosaku dengan keampunan-Mu, dan selamatkanlah aku daripada kehinaan pada hari perhitungan.
9. Ya Allah, apabila Engkau menjemputku pulang kepada-Mu, jadikanlah hari itu hari yang paling indah dalam hidupku, dan jadikanlah penutup amalanku sebaik-baik amalan.
10. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku, ibu bapaku, keluargaku dan anak-anakku petunjuk, keteguhan jiwa, dan pertambahan iman yang tidak pernah berkurang.
11. Ya Allah, masukkanlah aku dalam golongan hamba-hamba yang Engkau ampuni, Engkau rahmati dan Engkau naungi di bawah naungan Arasy-Mu pada hari yang tiada naungan selain naungan-Mu.
12. Ya Tuhanku, teguhkanlah keyakinanku kepada-Mu, kuatkanlah tawakkalku kepada-Mu, dan jangan Engkau biarkan keraguan menyentuh keimananku terhadap keesaan, kekuasaan dan kebesaran-Mu.
13. Ya Allah, tanamkanlah dalam hatiku cinta yang mendalam kepada-Mu dan kepada Nabi-Mu SAW melebihi segala sesuatu.
14. Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku, luaskanlah rahmat-Mu ke atasku dan limpahkanlah rezeki-Mu yang berkat.
15. Ya Allah, bukakanlah sebanyak-banyaknya pintu kebaikan untukku, dan bimbinglah aku kepada perkara yang mendatangkan keredaan-Mu.
16. Ya Allah, sucikanlah niatku hanya kerana-Mu. Peliharalah aku daripada riya', ujub, kesombongan, menunjuk-nunjuk dan hati yang mencintai pujian manusia.
17. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan aku bersendirian tanpa pertolongan-Mu. Kurniakanlah kepadaku pasangan yang soleh dan zuriat yang menjadi penyejuk mata serta penenang hati.
18. Ya Allah, jadikanlah aku daripada kalangan orang-orang yang sabar ketika diuji, bersyukur ketika diberi nikmat dan taat kepada-Mu serta berbakti kepada kedua ibu bapaku.
19. Ya Allah, lindungilah aku daripada fitnah Dajjal dan segala fitnah yang menyesatkan hati.
20. Ya Allah, selamatkanlah aku daripada azab kubur dan azab api neraka.
21. Ya Allah, jadikanlah aku orang yang tidak pernah terputus melakukan amal jariah dan bukakanlah jalan-jalan kebaikan yang terus mengalir pahalanya.
22. Ya Allah, anugerahkanlah kepadaku kesihatan yang baik dan tubuh yang kuat dalam ketaatan kepada-Mu, agar aku mampu terus bersujud kepada-Mu sehingga penghujung usiaku.
23. Ya Allah, peliharalah aku dan seluruh umat Islam daripada kezaliman para penindas, daripada fitnah akhir zaman, dan kuatkanlah kami menempuh zaman yang semakin mencabar ini.
24. Ya Rabb, kurniakanlah kepadaku segala kebaikan di dunia dan segala kebaikan di akhirat, dan peliharalah aku daripada api neraka. Sesungguhnya aku sangat berhajat kepada rahmat-Mu.
25. Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan rasa syukur yang tidak pernah putus atas segala nikmat-Mu.
26. Ya Rabb, bersihkanlah hatiku daripada segala sifat kemunafikan, dan jadikan batinku seindah zahirku.
27. Ya Allah, jemputlah aku dan isteriku menjadi tetamu-Mu di Baitullah sebelum Engkau menjemput kami kembali kepada-Mu.
28. Ya Allah, lindungilah kami daripada gangguan syaitan, jin, dan segala keburukan yang zahir mahupun yang tersembunyi.
29. Ya Allah, ampunilah kedua ibu bapaku, rahmatilah mereka sebagaimana mereka menyayangiku, mendidikku dan membesarkanku ketika aku kecil. Lakukanlah yang demikian itu wahai Allah kepada sekalianguru-guruku.
30. Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada para pemuda dan seluruh umat Islam. Selamatkan kami daripada kekufuran, kesesatan, keputusasaan, maksiat dan syirik.
31. Ya Allah, kurniakanlah kepadaku kekuatan untuk melawan kemalasan dan kelemahan diri, agar aku dapat bangun bertahajud, menjaga solat Subuh dan istiqamah dalam mendekatkan diri kepada-Mu.
32. Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui segala yang tersimpan di dalam hatiku, segala air mata yang tidak tertumpah, segala harapan yang tidak terungkap dengan kata-kata. Maka janganlah Engkau pulangkan aku dari Hari Arafah ini melainkan dalam keadaan dosa-dosaku diampuni, hatiku ditenangkan, urusanku dipermudahkan, dan namaku tercatat dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang Engkau cintai.
Amin ya Rabb al-'alamin
No comments:
Post a Comment