Wednesday, 25 November 2026

Doa Memohon Pertolongan dan Bersyukur

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Doa Memohon Pertolongan dan Bersyukur
 
عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ بِيَدِهِ وَقَالَ: يَا مُعَاذُ، وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّكَ، وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّكَ. فَقَالَ: أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ، لَا تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ تَقُولُ: اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ.
 
Daripada Mu'az bin Jabal RA, bahawa Rasulullah SAW memegang tangannya lalu bersabda: "Wahai Mu'az, demi Allah, sesungguhnya aku mencintaimu. Demi Allah, sesungguhnya aku mencintaimu." Kemudian Baginda bersabda: "Aku berpesan kepadamu, wahai Mu'az, janganlah engkau meninggalkan bacaan ini pada penghujung setiap solat: Ya Allah, bantulah aku untuk sentiasa mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperelokkan ibadahku kepada-Mu." (HR Abu Dawud no: 1522) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.      Kasih sayang merupakan asas tarbiah. Rasulullah SAW menunjukkan bahawa nasihat yang baik boleh dimulakan dengan ungkapan kasih sayang dan hubungan yang rapat, mesra dan penuh perhatian.
 
2.      Nasihat merupakan tanda kasih sayang. Orang yang benar-benar mencintai saudaranya akan membimbingnya ke arah kebaikan.
 
3.      Manusia sentiasa memerlukan pertolongan Allah. Kemampuan untuk melakukan ketaatan merupakan nikmat dan taufik daripada Allah SWT.
 
4.      Rasulullah SAW mengajar bacaan doa di penghujung solat agar sentiasa mengingati juga mensyukuri nikmat Allah:
 
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
 
Ya Allah, bantulah aku untuk sentiasa mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperelokkan ibadahku kepada-Mu
 
5.      Seseorang mungkin mampu melaksanakan ibadah pada hari ini, tetapi belum tentu mampu mengekalkannya pada masa hadapan tanpa taufik dan pertolongan Allah SWT.
 
6.      Kualiti ibadah perlu sentiasa diperbaiki. Ibadah bukan sekadar memenuhi tuntutan zahir, tetapi perlu disertai keikhlasan dan penghayatan.
 
7.      Kita tidak boleh berbangga dengan ibadah yang dilaksanakan. Sebaliknya, kita perlu menyedari bahawa segala kemampuan beribadah merupakan kurniaan Allah.
 
8.      Doa merupakan sebahagian daripada usaha memperbaiki diri. Selain berusaha meningkatkan ibadah, kita perlu memohon pertolongan Allah agar usaha kita diberkati.
 
9.      Doa ini menghimpunkan tiga asas pendidikan rohani, iaitu zikir, syukur dan ihsan dalam ibadah.
  
16hb Jamadil Akhir 1448H
26hb November 2026
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...