*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*
*Gambaran Orang Sombong Di akhirat*
عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُحْشَرُ الْمُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ يَغْشَاهُمْ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الْأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الْخَبَالِ
_*Daripada Amru bin Syu'aib dari ayahnya dari datuknya, bahawa Nabi SAW bersabda: "Orang-orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia. Mereka diliputi kehinaan dari setiap penjuru. Mereka akan diiring menuju penjara di neraka jahanam yang dinamakan Bulas. Di atas mereka ada api paling panas, mereka diberi minum daripada muntahan darah dan nanah penduduk neraka yang namanya thinatul khabal."*_ (HR Tirmizi No: 2416) Status: Hadis Hasan
*Pengajaran:*
1. Sombong adalah sifat Iblis yang merasa dirinya lebih mulia dan lebih baik serta merendahkan orang lain. Sifat sombong sangat dibenci Allah dan antara dosa hati yang paling merbahaya.
2. Orang yang sombong tidak akan masuk syurga. Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ
*“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”.* (HR Muslim No:51)
3. Orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru.
4. Orang sombong akan diiring menuju ke neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas.
5. Orang yang sombong akan diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka (nanah) yang namanya thinatul khabal (lumpur kebinasaan).
6. Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT:
وَلَا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخرِقَ الأَرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا
*“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang”* (Surah al-Israa’ ayat: 37)
7. Hadis ini merupakan amaran keras terhadap sifat sombong dan takabbur. Orang yang membesarkan diri di dunia akan menerima kehinaan besar pada Hari Kiamat. Islam mendidik umatnya supaya memiliki sifat tawaduk, menghormati manusia dan sentiasa sedar bahawa semua nikmat datang daripada Allah SWT.
8. Kesombongan bukan sekadar pada pakaian atau harta, tetapi lebih berbahaya apabila ia berada dalam hati sehingga menyebabkan seseorang menolak kebenaran dan memandang hina orang lain.
16hb Zulhijjah1447H
02hb Jun 2026M
No comments:
Post a Comment