السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
Sifat Santun dan Berhati-hati
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِأَشَجِّ عَبْدِ الْقَيْسِ إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ
Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda kepada Asyaj bin Abdil Qais: "Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang dicintai oleh Allah, iaitu, lemah lembut dan sifat berhati-hati (tenang – tidak tergesa-gesa)." (Sunan Tirmizi No: 1934) Status: Hadis hasan Sahih
Pengajaran:
1. Allah mencintai orang yang memiliki sifat:
a) Lemah lembut (santun)
b) Berhati-hati (tidak tergesa-gesa)
2. Menurut Said bin Ali Al-Qattani: Al-Hilm (lemah lembut) adalah sebagai penahan diri dari gejolak marah, iaitu suatu keadaan pertengahan antara 2 sifat negatif (marah dan hina).
3. Al-Hilm (lemah lembut) itu ialah menahan diri dari sifat amarah. Seorang yang memiliki sifat hilm adalah orang yang boleh menguasai dirinya dan mengendalikan emosinya serta menjaga ketenangan jiwanya, mampu mengawal marah dan tidak bertindak kasar.
4. Seorang yang memiliki sifat al-Hilm adalah orang yang berlapang dada dan hatinya sentiasa terbuka. Ia sangat mudah untuk memaafkan kesalahan orang lain, malah ia akan cepat merasa dan mengakui kesilapan jika tersilap.
5. Al-Anah - Sifat Berhati-hati (tenang) adalah sifat yang tidak tergesa-gesa atau terburu-buru. Sentiasa berwaspada dan berhati-hati terhadap sesuatu dengan tidak terus membuat tindakan atau menghukum tanpa memikirkan kesan baik dan buruk.
6. Hadis ini menonjolkan dua akhlak besar yang sangat dicintai Allah SWT iaitu sifat lemah lembut dan tenang dalam tindakan. Rasulullah ﷺ mendidik umat Islam supaya tidak bersikap kasar, terburu-buru atau emosional dalam menghadapi kehidupan.
7. Seorang Mukmin yang memiliki kesabaran, kebijaksanaan dan ketenangan akan lebih mudah membawa kebaikan kepada dirinya dan masyarakat. Akhlak seperti inilah yang menjadi ciri insan yang dekat dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Marilah kita miliki sifat al-hilm iaitu mampu menguasai diri dengan tidak terburu-buru bertindak balas. Berusaha memiliki sifat tenang iaitu sentiasa berhati-hati menghadapi sebarang perkara dengan tidak bertindak dengan tergesa-gesa.
17hb Zulhijjah1447H
03hb Jun 2026
No comments:
Post a Comment