Thursday, 12 January 2023

Anggota Wuduk Bercahaya Di Hari Kiamat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Anggota Wuduk Bercahaya Di Hari Kiamat

عَنْ نُعَيْمٍ الْمُجْمِرِ قَالَ رَقِيتُ مَعَ أَبِي هُرَيْرَةَ عَلَى ظَهْرِ الْمَسْجِدِ فَتَوَضَّأَ فَقَالَ إِنِّي سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الْوُضُوءِ فَمَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ

Daripada  Nu'aim bin Al Mujmir berkata, "Aku ke masjid bersama Abu Hurairah, lalu dia berwuduk dan berkata, "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya umatku akan dihadirkan pada hari kiamat dengan wajah berseri-seri kerana sisa air wuduk,  barangsiapa di antara kalian mampu memperpanjang cahayanya hendaklah ia lakukan (lebihkan kawasan basuhan anggota wuduk)."
(HR Bukhari No: 133) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara amalan yang digalakkan kepada setiap Muslim ialah sentiasa berwuduk.

2.  Mereka yang berwuduk, di hari kiamat akan dibangkitkan dengan wajah yang berseri-seri kesan daripada air wuduk semasa di dunia dahulu.

3.  Sunat melebihkan tempat basuhan anggota wuduk kerana di akhirat nanti kita akan dibangkitkan dengan anggota wuduk yang bercahaya. Lagi luas kawasan yang terkena air wuduk, lagi banyak kawasan yang bercahaya.

Marilah kita memperelokkan wuduk, menyempurnakannya serta menjaga wuduk.

13hb Januari  2023
20hb Jamadil Akhir 1444H

Wednesday, 11 January 2023

Halau Syaitan Dirongga Hidung

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Halau Syaitan Dirongga Hidung

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ مَنَامِهِ فَتَوَضَّأَ فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلاَثًا  فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيتُ عَلَى خَيْشُومِهِ

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda,  “Jika salah seorang di antara kalian bangun dari tidurnya, maka hendaklah berwuduk lalu beristintsar (mengeluarkan air dari hidung) sebanyak tiga kali kerana syaitan bermalam di rongga hidungnya.”
(HR. Bukhari No: 3295) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar kita beradab dan berakhlak dalam setiap perkara.

2.  Antara adab seorang Muslim selepas bangun daripada tidur adalah mengambl wuduk.

3.  Beristintsar (mengeluarkan air dari dalam rongga hidung selepas menghirupnya) ketika berwuduk adalah sunat dilakukan.

4.  Antara hikmah memasukkan air kedalam rongga hidung dan mengeluarkan kembali sebanyak tiga kali selain daripada membersihkan kotoran daripada hidung juga bertujuan untuk menghalau syaitan yang menumpang bermalam di lubang hidung.

Pastikan amalan memasukkan dan mengeluarkan air ke dalam rongga hidung kita lakukan sebaik sahaja bangun dari tidur melalui amalan berwuduk.

12hb Januari  2023
19hb Jamadil Akhir 1444H

Tuesday, 10 January 2023

Larangan Memburukan Orang Lain

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Larangan Memburukan Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila ada seseorang yang berkata; 'Celakalah manusia', maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka."
(HR Muslim No: 4755) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang Muslim tidak boleh berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri.

2.  Jangan sekali-kali kita memburukkan orang lain kerana kita mungkin lebih buruk dari mereka.

3.  Nasib diri kita adalah mengikut apa yang difikirkan oleh akal kita. Jika akal kita berfikiran negatif, maka natijahnya adalah negatif. 

4.  Seorang Muslim perlu memelihara baik sangka terhadap Allah.

5.  Kecelakaan yang berlaku ke atas diri kita bukanlah semestinya disebabkan oleh perbuatan atau kejahatan orang lain. Bahkan ia mungkin berlaku kerana sikap diri sendiri.

6.  Mengakui akan kelemahan dan kejahilan diri sebenarnya lebih penting dari menghukum kejahatan orang lain atau menyalahkan mereka. 

7.  Kita harus mengakui akan kelemahan diri dahulu dan tidak menjadikan orang lain sebagai pelarian (escapist) dengan menuding jari kepada orang lain.

Marilah kita berusaha menjauhkan diri dari sifat mudah untuk menghukum orang lain dan memburuk-burukkan mereka.

11hb Januari  2023
18hb Jamadil Akhir 1444H

Monday, 9 January 2023

Jaminan Masuk Syurga

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jaminan Masuk Syurga 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kalian yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menghantar jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menjenguk orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua itu ada pada seseorang kecuali dia pasti akan masuk syurga."
(HR Muslim No: 1707) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang soleh.

2.  Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah SAW yang menunjukkan amal soleh.

3.  Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada ibadat peribadi setiap Muslim sebagai bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.

4.  Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menjenguk orang sakit merupakan kewajipan Muslim kepada masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup bermasyarakat.

5.  Mukmin yang melaksanakan kewajipan ibadat individu seperti solat, puasa, zakat serta kewajipan untuk cakna kepada masyarakat seperti ziarah orang sakit, menolong orang susah, pasti akan masuk syurga. 

Marilah kita menyantuni orang yang lemah seperti golongan fakir dan miskin, orang yang sakit juga anak yatim. Hidupkan budaya menziarahi atau bertanya khabar kepada kerabat, sahabat, jiran sekeliling kita. Moga Allah mempertautkan hati-hati sesama kita.

10hb Januari  2023
17hb Jamadil Akhir 1444H

Sunday, 8 January 2023

Dibuka Pintu Beramal Soleh

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dibuka Pintu Beramal Soleh

عَنْ عَمْرِو ابْنِ الْحَمِقِ الْخُزَاعِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قِيلَ: وَمَا اسْتَعْمَلَهُ قَالَ: يُفْتَحُ لَهُ عَمَلاً صَالِحاً بَيْنَ يَدَيْ مَوْتِهِ حَتَّى يَرْضَى عَنْهُ مَنْ حَوْلَهُ

Daripada Amr Ibn al Hamiq al Khuza’i sesungguhnya dia mendengar Nabi SAW bersabda: “Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan membuatnya beramal.” Para sahabat bertanya; “Bagaimana membuatnya beramal?” Baginda bersabda: “Allah membukakan pintu kepadanya untuk beramal soleh sebelum kematiannya, sehingga ia diredhai orang-orang sekelilingnya”.
(HR. Ahmad No:21949) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah yang menjadikan seseorang itu baik dan soleh.

2.  Seseorang Muslim itu menjadi baik apabila Allah menggerakkannya untuk melakukan amal soleh.

3.  Allah membukakan pintu, relung serta penjuru bagi mendorong seseorang melakukan amal soleh yang berterusan sehingga orang sekelilingnya merasai dan memperakukan amal tersebut.

Semoga kita sentiasa ditunjukkan pintu-pintu serta penjuru untuk melakukan amal soleh, bukan sahaja amal peribadi malah juga untuk masyarakat dan Negara. Berusaha bersungguh-sungguh dengan amal soleh dan berdoalah agar kita sentiasa di tunjukkan pintu-pintu untuk beramal soleh hingga akhir hayat kita.

09hb Januari  2023
16hb Jamadil Akhir 1444H

Saturday, 7 January 2023

Berharap dan Memohon Keampunan Dari Dosa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berharap dan Memohon Keampunan Dari Dosa

حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

Telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik RA ia berkata; saya mendengar Rasulullah SAW berkata: "Allah tabaraka wa ta'ala berfirman: "Wahai anak Adam, jika kamu mengharap dan  berdoa kepadaKu, Aku pasti akan menghapuskan dosa mu yang telah lalu.  Aku tidak akan memperdulikannya lagi. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepadaKu nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiKu dengan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu, Aku pasti akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi."
(HR Tirmizi NO: 3463) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah Maha Pengampun ke atas hamba-hambaNya.

2.  Sebagai hamba, kita sewajarnya sentiasa berharap dan berdoa agar diampunkan segala dosa-dosa sama ada dosa yang kecil mahupun besar, dosa yang kita sedar atau tidak.

3.  Allah akan mengampunkan dosa hambanya melainkan dosa syirik.

وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا

“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(An Nisa’: 110)

4.  Berputus asa dari rahmat dan keampunan Allah termasuk dosa besar. Berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Abdurrazaq:

عن بن مسعود قال أكبر الكبائر الإشراك بالله والأمن من مكر الله والقنوط من رحمة الله واليأس من روح الله

“Daripada Ibnu Mas’ud, ia berkata bahawa di antara dosa besar yang terbesar adalah berbuat syirik pada Allah, merasa aman dari murka Allah dan merasa putus asa dan putus harapan dari ampunan Allah.”
(HR. Abdurrozaq, 10: 460, dikeluarkan pula oleh Ath Thobroni. Lihat Kitab Tauhid dengan tahqiq Syaikh Abdul Qodir Al Arnauth)

Berusahalah bersungguh-sungguh memohon ampun dari dosa yang lalu dan sentiasa mengharap rahmat dan kasih sayang Allah.

07hb Januari  2023
14hb Jamadil Akhir 1444H

Thursday, 5 January 2023

Kekayaan Hakiki

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kekayaan Hakiki 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (selalu merasa cukup)."
(HR Bukhari No: 6446) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kekayaan dalam Islam bukan dilihat kepada pemilikan harta yang banyak.

2.  Kekayaan hakiki seorang Muslim ialah apabila ia memiliki kaya hati (sifat merasa cukup dengan setiap rezeki yang dimiliki, redha dan tidak tamak).

3.  Berapa ramai orang kaya yang memilki harta namun sentiasa merasa masih kurang. Hatinya tidak merasa puas dengan rezeki yang dianugerah Allah. Ia masih terus mencari apa yang belum diraih. Hatinya masih belum puas dengan apa yang ada. Itu bermakna ia sentiasa miskin kerana ingin mencari dan mencari lagi.

4.  An Nawawi berkata: “Kaya yang terpuji adalah kaya hati, hati yang selalu merasa puas dan tidak tamak dalam mencari kemewahan dunia. Kaya yang terpuji bukanlah dengan banyaknya harta dan terus menerus ingin menambah dan terus menambah. 

Jadilah kita seorang pemilik hati yang sentiasa kaya dengan sifat merasa cukup dengan harta yang dimiliki namun sentiasa merasa miskin dengan amal-amal yang soleh.

06hb Januari  2023
13hb Jamadil Akhir 1444H

Wednesday, 4 January 2023

Doa Elak Mudarat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Elak Mudarat
 
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ مَا لَقِيتُ مِنْ عَقْرَبٍ لَدَغَتْنِي الْبَارِحَةَ قَالَ: أَمَا لَوْ قُلْتَ حِينَ أَمْسَيْتَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ لَمْ تَضُرَّكَ

Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi SAW bersabda: Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu: Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta”, nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudharatkan kamu.”
[Riwayat Muslim No: 2709] Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Doa merupakan salah satu ibadah yang hebat kerana menghubungkan di antara hamba dan Allah SWT.

2.  Rasulullah SAW mengajarkan doa agar dijauhkan daripada perkara yang memudaratkan. Antara doanya:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

“Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Allah SWT cipta”

3.  Barangsiapa membaca doa ini ketika waktu petang atau malam, nescaya tidak ada yang boleh memudaratkannya sehingga esok pagi.

05hb Januari  2023
12hb Jamadil Akhir 1444H

Monday, 2 January 2023

Jadilah Pembuka Pintu Kebaikan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Pembuka Pintu Kebaikan

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ وَإِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di antara manusia ada orang yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. Dan sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. Beruntunglah orang yang Allah jadikan dirinya sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. Dan celakalah orang yang menjadi pembuka pintu keburukan melalui tangannya.”
(HR. Ibnu Majah no. 237) Status: Hadis Hasan 

Pengajaran:

1.  Allah menciptakan manusia yang pelbagai. Ada diantara manusia yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. 

2.  Namun terdapat di antara manusia yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. 

3.  Beruntunglah kepada orang yang Allah jadikan sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. 

4.  Orang yang ingin dirinya menjadi pembuka pintu kebaikan serta menjadi penutup pintu keburukan, maka hendaklah melakukan hal-hal berikut:

a.  Mengikhlaskan segala perbuatan dan perkataan hanya untuk beribadah kepada Allah dan jadikan ia sebagai sumber kebaikan dan kemuliaan kita.

b.  Berdoa kepada Allah agar diberi taufik menjadi seseorang pembuka pintu kebaikan, kerana doa adalah kunci segala kebaikan. 

c.  Bersungguh dalam menuntut ilmu kerana ilmu mendorong seseorang kepada kebaikan dan kemuliaan. 

d.  Sentiasa beribadah kepada Allah, khususnya solat, kerana solat dapat mencegah dari perbuatan keji dan munkar.

e.  Bersikap dengan akhlak yang mulia dan lemah lembut, serta jauh dari akhlak yang buruk dan tidak beradab.

f.  Bersahabat dengan orang-orang yang soleh dan sering bersama mereka. Menasihati orang lain, baik yang dikenali atau tidak, agar kita kebaikan bersama kita dan jauh dari maksiat.

g.  Sentiasa ingat hari pembalasan agar kita sentiasa berbuat amal kebaikan sebagai bekalan

h.  Sentiasa berusaha memberi manfaat kepada yang lain. 

Berusahalah menjadikan diri kita sebagai pembuka pintu kebaikan dan sentiasa menutup pintu keburukan.

03hb Januari  2023
10hb Jamadil Akhir 1444H

Sunday, 1 January 2023

Doa Diberikan Hidayah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Diberikan Hidayah

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas’ud) daripada Nabi SAW bahawasanya baginda SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan kecukupan (tidak meminta-minta)."
(HR Muslim  No: 2721) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar kita berdoa agar dikurniakan petunjuk, memiliki sifat taqwa, dikurniakan sifat ‘afaf (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan ghina (tidak meminta-minta).

2.  Hidayah ialah petunjuk dan bimbingan daripada Allah SWT. Tiada seorang pun yang mendapat hidayah melainkan hanya Allah sahaja yang memberikannya.

3.  Setiap orang perlu meminta hidayah kepada Allah, agar dibimbing untuk mengukuhkan keimanannya, meningkatkan amal solehnya dan tutur bicaranya serta akhlak yang baik dalam menghadapi pelbagai masalah dunia dan akhirat.

4.  Jika seseorang yang menginginkan agar dirinya diberi hidayah untuk menjadi seorang Muslim yang baik, bertaqwa, dapat menjalani kehidupan ini dengan baik, selamat, hati yang damai dan terhindar daripada perbuatan yang buruk, maka mintalah hanya kepada Allah SWT, bukan kepada yang lain.

5.  Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: mengatakan, “”Afaf bermakna menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang tidak diperbolehkan. Sedangkan al-ghina adalah hati yang selalu merasa cukup dan tidak perlu kepada apa yang ada di sisi manusia.”

6.  Marilah sempena kehadiran tahun baru 2023 ini, kita perbanyakkan berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan al-ghina (kecukupan serta tidak meminta-minta)

Rasulullah mengajar kita agar meminta empat perkara dalam doa ini:

a.  Al-huda iaitu petunjuk dalam ilmu dan amal. 

b.  Al-taqwa iaitu sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan.

c.  Al-afaf iaitu dijauhkan dari perkara yang diharamkan seperti zina dan yang seumpamanya.

d.  Al-ghina iaitu dicukupkan oleh Allah dari apa yang ada di sisi manusia dengan sifat qonaah, selalu merasa cukup ketika Allah memberinya harta sedikit atau pun banyak.

Moga Allah menganugerahkan kita dengan petunjuk yang akan memandu kita menjadi orang yang bertakwa serta memiliki sifat yang menjauhkan kita dari yang haram dan sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang ada.

02hb Januari  2023
09hb Jamadil Akhir 1444H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...