Friday, 10 February 2023

Balasan Pengumpat dan Pengaib

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Balasan Pengumpat dan Pengaib

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ 

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda : ‘Ketika aku dinaikkan ke langit (pada malam isra dan mikraj), aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka, maka aku berkata : Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab : Merekalah orang-orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan mengaibkan maruah mereka.”
(Riwayat Abu Daud No: 4878) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama yang mementingkan akhlak dan adab terpuji

2.  Islam melarang umatnya berakhlak buruk seperti mengumpat serta mengaibkan orang lain.

3.  Rasulullah SAW diperlihatkan pada malam baginda di isra dan dimikrajkan sekumpulan manusia yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka menyiksa diri sendiri dengan mencakar-cakar muka dan dada mereka. Jibril memberitahu mereka berbuat demikian kerana semasa di dunia mereka mengumpat dan mengaibkan orang Islam lain.

4.  Orang yang gemar membicarakan aib orang  sama ada melalui tulisan, tiktok dan lain lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩ 

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).
(An-Nur: 19)

Orang mukmin perlu menjaga agar jangan sampai mengumpat dan mengaibkan orang lain hingga menjadi penyebab diseksa di akhirat dengan mencakar dada dan muka sendiri.

11hb Februari  2023
20hb Rejab 1444H

Thursday, 9 February 2023

Amal Kebaikan

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amal Kebaikan 

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْحَارِثِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَشْعَرِيِّ  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيْمَانِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلآنِ – أَوْتَمْلأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَالصَّلاَةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائِعُ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا 
 
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi (bukti). Sabar itu adalah sinaran (memberi cahaya). Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi (berusaha), ada yang menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsu dengan melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), ada yang memerdekakan dirinya (daripada kehinaan di dunia dan azab akhirat) dan ada pula yang mencelakakan dirinya (dengan melakukan maksiat).
(HR Muslim No: 223) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, sehingga menganggapnya sebahagian daripada lman. Jagalah kebersihan terutama di zaman Wabak Covid-19 ini.

2.  Bersuci merupakan syarat sahnya ibadah, oleh itu setiap Muslim perlu sentiasa mengambil perhatian.

3.  Menjaga ibadat solat akan mendatangkan cahaya petunjuk dan mampu memperbaiki diri seorang muslim terhadap manusia lain, menjadikan ia  berakhlak dan berperilaku terpuji, memiliki sifat kewarakan dan ketakwaan di sisi Allah.

4.  Semua amalan soleh merupakan kebaikan dan keindahan bagi seorang mukmin dan mempunyai nilai yang tinggi. Ada amalan yang menjadi hujah baginya, ada yang menjadi cahaya baginya, ada yang menjadi pemberat timbangannya dan sebagainya. Antaranya;

a.  Zikir al-Hamdulillah akan memenuhi neraca timbangan. 

b.  Zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. 

c.  Solat adalah cahaya. 

d.  Sedekah adalah saksi (Seruan untuk berinfaq pada jalan-jalan kebaikan dan bersegera melakukannya dimana hal tersebut merupakan pertanda dan bukti benarnya keimanan).

e.  Sabar adalah sinaran. (bersabar tatkala mengalami musibah, khususnya apa yang dialami seorang muslim kerana perbuatan amar ma’ruf nahi munkar)

f.  Al-Qur’an adalah hujah bagi mukmin (Membaca Al Quran dengan pemahaman dan mentadabbur (merenungkan) maknanya, mengamalkan kandungannya kerana hal tersebut dapat memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat).

5.  Setiap manusia dalam kegiatan hariannya mendedahkan dirinya sama ada kepada kebaikan atau kecelakaan. Ada yang menjual dirinya kepada Allah, lalu beroleh kebaikan dan kejayaan dan pula ada yang menjual dirinya kepada syaitan lalu beroleh kecelakaan.

6.  Pastikan segala aktiviti harian kita membawa kebaikan dan pahala bukan keburukan dan dosa.

10hb Februari  2023
19hb Rejab 1444H

Wednesday, 8 February 2023

Miliki Sifat Santun dan Malu

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Miliki Sifat Santun dan Malu 

حَدَّثَنَا يُونُسُ قَالَ زَعَمَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ أَشَجُّ بْنُ عَصَرٍ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ فِيكَ خُلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ قُلْتُ مَا هُمَا قَالَ الْحِلْمُ وَالْحَيَاءُ قُلْتُ أَقَدِيمًا كَانَ فِيَّ أَمْ حَدِيثًا قَالَ بَلْ قَدِيمًا قُلْتُ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي جَبَلَنِي عَلَى خُلَّتَيْنِ يُحِبُّهُمَا

Telah menceritakan kepada kami Yunus ia berkata, Abdurrahman bin Ubay berkata, Asyajj bin Ashr berkata, "Rasulullah SAW bersabda kepadaku: "Sesungguhnya pada dirimu terdapat dua sifat yang keduanya dicintai oleh Allah 'azza wajalla." Saya bertanya, "Sifat apakah itu?" baginda menjawab, "Al Hilm (santun, tidak mudah marah) dan rasa malu." Saya bertanya lagi, "Apakah kedua sifat itu telah ada padaku sejak lama atau baru melekat?" baginda menjawab: "Sejak lama." Saya berkata, "Segala puji Allah yang telah memberiku dua sifat yang dicintai-Nya."
(Musnad Ahmad No: 17160) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dua sifat yang dicintai Allah kepada pemiliknya:

a.  Al-Hilm iaitu sifat santun, mampu menahan emosi atau tidak mudah marah
b.  Malu iaitu sifat yang mendorong seseorang untuk meninggalkan segala keburukan sama ada  perkataan, perbuatan dan sikap yang dapat mencegah dirinya dari kelalaian.

2.  Antara bentuk malu:

a.  Malu melakukan kejahatan seperti mengadu domba
b.  Malu kerana merasa lemah
c.  Malu kepada diri sendiri

3.  Malu itu punca dari iman. Hadis Rasulullah SAW:

اَلحَيَاءُ والإِيمَانِ قُرَنَاءُجَمِيعًا  فَإِذَا رَفَعَ أَحَدَهُمَارَفَعَ الآخَرَ

Rasa malu dan iman adalah sama, apabila salah satu daripadanya hilang, maka yang lain akan hilang juga.
(HR al-Hakim dan Tabrani)

4.  Milikilah iman yang sempurna dengan sifat malu untuk berbuat dosa seperti dosa mengadu domba dan membuat fitnah. 

5. Marilah kita miliki sifat hilm mampu menahan emosi atau tidak mudah marah dan malu yang dicintai Allah.

09hb Februari  2023
18hb Rejab 1444H

Tuesday, 7 February 2023

Sedekah Berkualiti

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sedekah Berkualiti

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبَقَ دِرْهَمٌ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ قَالُوا وَكَيْفَ قَالَ كَانَ لِرَجُلٍ دِرْهَمَانِ تَصَدَّقَ بِأَحَدِهِمَا وَانْطَلَقَ رَجُلٌ إِلَى عُرْضِ مَالِهِ فَأَخَذَ مِنْهُ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ فَتَصَدَّقَ بِهَا

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW  bersabda, “Satu dirham dapat mengalahkan seratus ribu dirham“. Lalu ada sahabat yang bertanya, “Bagaimana boleh terjadi wahai Rasulullah?” Baginda menjelaskan, “Ada seorang yang memiliki dua dirham lalu mengambil satu dirham untuk disedekahkan. Ada pula seseorang memiliki harta yang banyak sekali, lalu ia mengambil dari hartanya seratus ribu dirham untuk disedekahkan.”
(HR. Nasai No: 2527) Status: Hadis Hasan 

Pengajaran:

1.  Sedekah setiap Muslim ganjarannya bergantung kepada keikhlasan dan harta yang dimiliki.

2.  Ada Muslim yang bersedekah dengan nilai satu dirham, namun ganjarannya mengatasi orang yang bersedekah seratus ribu dirham kerana ia bersedekah separuh dari harta yang dimilikinya (dua dirham) walaupun yang disedekahkan dari segi jumlahnya sedikit namun nilainya sangat besar pada dirinya.

3.  Ada Muslim yang bersedekah seratus ribu dirham, mungkin dari segi jumlahnya banyak namun nilainya kecil di sisinya (hanya sedikit) kerana dia memiliki jutaan dirham yang lain.

4.  Sedekah itu bukan bergantung pada kuantiti namun yang lebih penting adalah kualiti dan keikhlasan.

5.  Galakan bersedekah tidak hanya kepada orang kaya malah juga kepada orang yang kurang berada kerana sedekah itu tidak akan mengurangi hartanya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda: Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya."
(HR. Muslim no. 4689) Status: Hadis Sahih

Ayuh bersama ringankan beban sahabat-sahabat kita di Turkiye, Syria, dan Lubnan yang terkesan dengan siri gempa bumi yang sangat dahsyat ini.

Pada saat ini, bilangan yang terkorban telah mencecah lebih daripada 3000 orang di Turkiye dan Syria.

Mari kita hulurkan sedekah yang berkualiti.

08hb Februari  2023
17hb Rejab 1444H

Monday, 6 February 2023

Pengembara Yang Merebut Peluang

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pengembara Yang Merebut Peluang 

عَنْ ابْن عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - بِمَنْكِبِي وَقَالَ: "كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّك غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ". وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ: إذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِك لِمَرَضِك وَمِنْ حَيَاتِك لِمَوْتِك.

Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW memegang kedua bahuku seraya bersabda: "Hiduplah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara", Ibnu Umar berkata: “Jika engkau berada di pagi hari, jangan tunggu sampai petang hari. Jika engkau berada di petang hari, jangan tunggu sampai pagi. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum datang sakitmu. Manfaatkanlah waktu hidupmu sebelum datang matimu.”
(HR Bukhari No: 6416) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Bersegeralah kita mengerjakan pekerjaan yang baik dan memperbanyak ketaatan, tidak lalai dan menunda-nunda untuk beramal kerana kita tidak tahu bila datangnya ajal. 

2.  Gunakanlah segala kesempatan dan peluang melakukan amal soleh sebelum ia hilang berlalu dan kita terlepas peluang. Moga Ramadan tahun ini kita gunakan sebaiknya untuk melipat gandakan amal ibadah kerana kita tak pasti tahun depan bertemu lagi atau tidak.

3.  Jadilah seperti pengembara yang sentiasa menyediakan bekalan untuk memastikan bekalan sepanjang pengembaraan sentiasa mencukupi. Sediakanlah bekalan amal solleh secukupnya untuk bertemu Allah di hari Kiamat. 

4.  Sentiasa berhati-hati terhadap siksaan azab Allah adalah sikap seorang musafir yang sentiasa berwaspada agar tidak tersesat daripada landasan jalan yang benar. 

5.  Berhati-hati dari kawan yang buruk akhlaknya. Jangan kerana terpengaruh dan percaya segala khabar yang disampaikan seperti melalui massage yang ditularkan sehingga menjadi penghalang kita menjadi soleh. 

6.  Pekerjaan didunia dituntut untuk menjaga jiwa dan mendatangkan manfaat, setiap muslim hendaklah menggunakan kesempatan dan amal di dunia itu untuk tujuan akhirat.

7.  Bersungguh-sungguh menjaga waktu dan mempersiapkan diri untuk kematian dan bersegera bertaubat serta beramal soleh. 

8.  Rasulullah SAW memegang kedua bahu Abdullah bin Umar, bertujuan agar dia fokus tentang apa yang akan disampaikan. Menunjukkan bahawa seorang pelajar sewajarnya memberi perhatian kepada apa yang akan diajar oleh gurunya agar ia dapat difahami dan diamalkan.

07hb Februari  2023
16hb Rejab 1444H

Sunday, 5 February 2023

Hiasi Diri Dengan Sifat Malu

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hiasi Diri Dengan Sifat Malu

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا كَانَ الْفُحْشُ فِي شَيْءٍ إِلَّا شَانَهُ وَمَا كَانَ الْحَيَاءُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ

Daripada Anas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah sifat buruk berada dalam sesuatu kecuali akan memperburuknya, dan tidaklah sifat malu ada dalam sesuatu kecuali akan menghiasinya". (Sunan Tirmidzi No: 1897) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Sifat malu yang ada pada seseorang akan menjadi penghias akhlak dan diberikan ganjaran pahala

2.  Sifat buruk yang ada pada seseorang akan menjadikannya bertambah buruk dan hina di sisi Allah dan makhluk.

3.  Sifat malu diganjari Syurga, sifat buruk diganjari neraka:

اَلْحَيَاءُ مِنَ الْإِيمَانِ وَالإِيمَانُ فِي الْجَنَّةِ وَالْبَدَاءُ مِنَ الْجَفَاءِ وَالْجَفَاءُ فِي النَّارِ

“Rasa malu adalah sebahagian dari keimanan dan keimanan berada disyurga. Sedangkan tindakan / ucapan kotor adalah sebahagian dari perangai yang kasar dan perangai kasar tempatnya di neraka” (Sunan Tirmidzi No: 1932)

4. Ibnu Allan menyatakan; Malu adalah sifat yang mendorong seseorang untuk meninggalkan segala keburukan sama ada melalui perkataan, perbuatan dan sikap yang dapat mencegah dirinya dari kelalaian.

Hiasilah diri kita dengan sifat mulia dan terpuji seperti sifat malu. Moga sifat malu yang ada menjadi bukti keimanan kita untuk diganjari syurga. Jauhi sifat dan perangai buruk seperti menghina, mengeji, memfitnah dan mengadu domba kerana balasannya adalah neraka.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

06hb Februari  2023
15hb Rejab 1444H

Saturday, 4 February 2023

Tuduhan Tidak Benar

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuduhan Tidak Benar

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنها قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه و سلم يَقُوْلُ: وَ مَنْ قَالَ فىِ مُؤْمِنٍ مَا لَيْسَ فِيْهِ أَسْكَنَهُ اللهُ رَدْغَةَ اْلخَبَالِ حَتىَّ يَخْرُجَ مِمَّا قَالَ

Daripada Abdullah bin Umar RA berkata, aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang berkata mengenai seorang mukmin yang tidak ada padanya, maka Allah akan menempatkannya pada “rodghah al-Khabal” sehingga ia keluar dari apa yang ia katakan”.
(HR Abu Daud No: 3597) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mendidik umatnya agar sentiasa berakhlak dan beradab dalam hubungan sosial dengan orang lain.

2.  Jika seseorang menuduh muslim lain dengan sesuatu yang tidak benar padanya sekadar bersangka-sangka sama ada dengan percakapan mahupun tulisan, maka tuduhan itu akan membawanya kepada keburukan di hari kiamat. 

3.  Rasulullah SAW memberi ancaman keras bagi seseorang yang menuduh mukmin lain dengan suatu tuduhan dan fitnah, Allah akan menempatkan pada “rodghah al-Khabal”, yakni tempat yang berisi cairan dari penduduk neraka berupa keringat, darah, nanah, kotoran dan sebagainya sehingga ia keluar dari apa yang ia katakan atau dia mendapat kemaafan dari orang yang di tohmah dan fitnah.

Jauhkan dari mengadu domba dengan umpatan dan fitnah terutama di media sosial. Bagi kita sebagai pembaca,  elakkan share dan forward sesuatu yang berbentuk tuduhan dan sangkaan penulis. Jika salah ia menjadi fitnah. Jika betulpun dia jadi mengumpat.

05hb Februari  2023
14hb Rejab 1444H

Friday, 3 February 2023

Maksiat Mengundang Siksaan Allah

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Maksiat Mengundang Siksaan Allah


عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ جَرِيرٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي هُمْ أَعَزُّ وَأَكْثَرُ مِمَّنْ يَعْمَلُهُ لَمْ يُغَيِّرُوهُ إِلَّا عَمَّهُمْ اللَّهُ بِعِقَابٍ


Daripada Ubaidullah bin Jarir dari bapanya bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidak ada suatu kaum dimana terdapat di kalangan mereka orang yang melakukan maksiat, sedangkan mereka lebih mulia dan memiliki bilangan yang lebih ramai jumlahnya daripada orang yang melakukannya, namun mereka tidak mengubah perilaku kejahatan itu, maka Allah akan meratakan siksanya kepada mereka."
(HR Ahmad No: 18433) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Tanggungjawab mencegah kemungkaran diwajibkan kepada setiap mukmin sebagai bukti keimanan mereka. 

2.  Jika kemungkaran dibiarkan tanpa di cegah dan dihalang, nescaya akan berleluasalah kemungkaran dan keburukan di bumi ini.

3.  Jika kemungkaran berleluasa tanpa sebarang usaha mencegahnya dari orang beriman, nescaya Allah akan menurunkan musibah dan azab kepada semua. 

4.  Rasulullah SAW memberikan peringatan kepada orang beriman yang membiarkan maksiat tanpa dicegah dengan ancaman siksaan semasa hidup lagi.


عَنْ جَرِيرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ رَجُلٍ يَكُونُ فِي قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا عَلَيْهِ فَلَا يُغَيِّرُوا إِلَّا أَصَابَهُمْ اللَّهُ بِعَذَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَمُوتُوا

Daripada Jarir ia berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada seorang lelaki yang melakukan maksiat di kalangan suatu kaum, sedang mereka mampu mengubah maksiat tersebut lalu tidak melakukannya, maka Allah akan menimpakan siksa kepada mereka sebelum mereka meninggal dunia."
(HR Abu Daud)

Jangan biarkan maksiat berlaku tanpa usaha menghalang dan mencegahnya dari kita.

04hb Februari  2023
13hb Rejab 1444H

Thursday, 2 February 2023

Berbakti kepada Ibu Bapa

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berbakti kepada Ibu Bapa

عَنْ أَبِي أُسَيْدٍ مَالِكِ بْنِ رَبِيعَةَ السَّاعِدِيِّ قَالَ: بَيْنَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلَمَةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: هَلْ بَقِيَ مِنْ بِرِّ أَبَوَيَّ شَيْءٌ أَبَرُّهُمَا بِهِ بَعْدَ مَوْتِهِمَا قَالَ: نَعَمْ, الصَّلَاةُ عَلَيْهِمَا وَالِاسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِنْفَاذُ عَهْدِهِمَا مِنْ بَعْدِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لَا تُوصَلُ إِلَّا بِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا

Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi'ah As-Sa'idi RA berkata: "Ketika kami sedang bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba ada seorang lelaki daripada Bani Salamah datang kepada Baginda SAW. Lelaki tersebut bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah masih ada ruang untuk aku berbuat baik kepada kedua orang tuaku setelah mereka meninggal dunia?." Baginda menjawab: "Ya, mendoakan dan memintakan keampunan untuk kedua-duanya, melaksanakan wasiatnya, menyambung silaturahim mereka dan memuliakan teman mereka."
(HR Abu Daud No. 5142) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang anak wajib mentaati dan berbakti kepada kedua ibu bapanya sama ada semasa hidup mahupun apabila keduanya telah meninggal dunia.

2. Antara amalan kebajikan yang boleh dilakukan oleh seseorang anak kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia ialah:

a. Berdoa agar dicucuri rahmat
b. Memohon keampunan bagi dosa keduanya 
c. Melaksanakan wasiatnya
d. Menyambung silaturahim keluarga dan kerabatnya
e. Memuliakan teman mereka 

3. Marilah kita menghayati peranan seorang anak kepada ibu bapa. Tanpa mereka siapalah kita dan adakah kita boleh berada dalam keadaan dan kedudukan yang kita miliki pada hari ini?. Sedarlah bahawa tanpa keredhaan mereka, kita juga tidak akan mendapat keredhaan Allah SWT. Semoga kita akan tergolong dalam golongan yang diredhai-Nya.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ وَلِوَالِدِيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صِغِيْرًا

“Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.”

03hb Februari  2023
12hb Rejab 1444H

Wednesday, 1 February 2023

Anak Boleh Menjadikan Ibubapa Bakhil

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Anak Boleh Menjadikan Ibubapa Bakhil

عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي رَاشِدٍ عَنْ يَعْلَى الْعَامِرِيِّ أَنَّهُ قَالَ جَاءَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ يَسْعَيَانِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضَمَّهُمَا إِلَيْهِ وَقَالَ إِنَّ الْوَلَدَ مَبْخَلَةٌ مَجْبَنَةٌ

Dari Sa'id bin Abu Rasyid dari Ya'la Al 'Amiri bahawa dia berkata, "Al-Hasan dan Al-Husain berusaha datang kepada Nabi SAW, kemudian baginda memeluk mereka berdua sambil bersabda: "Sesungguhnya anak adalah tempat kebakhilan dan kekhawatiran." (HR Ibnu Majah No: 3656) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Anak adalah amanah kepada ibu bapa untuk dijaga dan dididik 

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari apa Neraka (at-Tahrim: 6)

2.  Anak adalah ujian (fitnah) untuk kedua ibubapa. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memberi perlindungan, nafkah, pendidikan mahupun kasih sayang yang sebaiknya agar mereka menjadi anak yang soleh. Firman Allah: 

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

“Dan Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (QS. Al Anfal: 28)

3.  Anak boleh menyebabkan ibu bapa memiliki sifat bakhil (tidak mahu bersedekah kerana ingin mengutamakan anak. Anak juga boleh menjadi penyebab orangtuanya pengecut untuk berdakwah atau berjihad kerana takut sesuatu berlaku sebab sayangkan anak.

4.  Al-Munawiy berkata: anak-anak boleh membawa kedua orang tuanya untuk menjadi bakhil dan mendorongnya untuk bersifat demikian sehingga dia menjadi kedekut harta kerananya, serta meninggalkan jihad kerananya.

5.  Al-Mawardiy berkata: “Hadis ini menjelaskan seseorang perlu berhati-hati terhadap anak, kerana ia boleh menyebabkan munculnya sifat-sifat ini (kedekut). Juga akan memunculkan akhlak yang demikian…” 

6.  Sifat bakhil akan mendapat seksa di hari kiamat. Firman Allah:

وَلَا يَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبۡخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ هُوَ خَيۡرٗا لَّهُمۖ بَلۡ هُوَ شَرّٞ لَّهُمۡۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُواْ بِهِۦ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ ١٨٠ 

“Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan (Ali Imran:180)

Moga anak-anak kita menjadi penyejuk mata, penenang jiwa dan penyubur untuk beramal bukan penyebab kita bakhil dan melalaikan perintah Allah.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

02hb Februari  2023
11hb Rejab 1444H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...