Friday, 22 December 2023

Tiga Amalan Penerus Ganjaran Pahala

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tiga Amalan Penerus Ganjaran Pahala

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang mendoakannya." (HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap keturunan anak Adam bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup.

2.  Ada amalan yang dilakukan semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal dunia antaranya:

a.  Sedekah jariah berbentuk harta seperti wakaf, derma yang disumbang semasa hidup yang manfaatnya diguna oleh orang lain termasuk haiwan.

b.  Ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain dan dimanafaatkannya untuk kemaslahatan hidup termasuk hasil ciptaan daripada ilmu yang dipelajari. Ilmu juga termasuk sesuatu yang dihasilkan berbentuk buku, artikel, video juga sebarang penulisan yang baik dan bermanfaat dalam bentuk elektronik seperti laman web, FB, tiktok, telegram, whatsapp dan lain-lain..   

c.  Anak soleh yang melakukan amal-amal soleh serta yang mendoakan keampunan untuk kedua ibu bapanya.

Lakukanlah sesuatu yang baik dan bermanfaat semasa kita hidup, agar ia  menjadi penerus amal dan pemberi ganjaran pahala berterusan walaupun kita telah meninggal dunia.

23hb Dis.  2023
10hb Jamadil Akhir 1445H

Thursday, 21 December 2023

Amalan Anak Soleh

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Anak Soleh

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أُمِّيَ افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ فَلِي أَجْرٌ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ

Daripada 'Aisyah RA, bahawa seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW, katanya, "Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, dan saya kira jika dia dapat berbicara dia akan bersedekah, apakah saya juga akan mendapatkan pahala jika saya bersedekah atas namanya?" baginda menjawab: "Ya." (HR Muslim No: 3082) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Anak yang soleh akan sentiasa berbakti untuk kedua ibu bapanya.

2.  Anak yang soleh masih boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

3.  Pahala amal soleh yang dilakukan oleh sianak akan turut diperolehi oleh kedua ibu bapa antaranya sedekah yang diniatkan untuk kedua ibu bapanya yang beriman.

Semoga amal baik yang dilakukan oleh anak yang soleh turut menyumbang ganjaran amal baik untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

22hb Dis.  2023
09hb Jamadil Akhir 1445H

Wednesday, 20 December 2023

Sepuluh Wasiat Rasulullah SAW

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sepuluh Wasiat Rasulullah SAW 

عَنْ مُعَاذٍ قَالَ أَوْصَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَشْرِ كَلِمَاتٍ قَالَ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ شَيْئًا وَإِنْ قُتِلْتَ وَحُرِّقْتَ وَلَا تَعُقَّنَّ وَالِدَيْكَ وَإِنْ أَمَرَاكَ أَنْ تَخْرُجَ مِنْ أَهْلِكَ وَمَالِكَ وَلَا تَتْرُكَنَّ صَلَاةً مَكْتُوبَةً مُتَعَمِّدًا فَإِنَّ مَنْ تَرَكَ صَلَاةً مَكْتُوبَةً مُتَعَمِّدًا فَقَدْ بَرِئَتْ مِنْهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَلَا تَشْرَبَنَّ خَمْرًا فَإِنَّهُ رَأْسُ كُلِّ فَاحِشَةٍ وَإِيَّاكَ وَالْمَعْصِيَةَ فَإِنَّ بِالْمَعْصِيَةِ حَلَّ سَخَطُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَإِيَّاكَ وَالْفِرَارَ مِنْ الزَّحْفِ وَإِنْ هَلَكَ النَّاسُ وَإِذَا أَصَابَ النَّاسَ مُوتَانٌ وَأَنْتَ فِيهِمْ فَاثْبُتْ وَأَنْفِقْ عَلَى عِيَالِكَ مِنْ طَوْلِكَ وَلَا تَرْفَعْ عَنْهُمْ عَصَاكَ أَدَبًا وَأَخِفْهُمْ فِي اللَّهِ

Daripada Mu'adz bin Jabal RA berkata; "Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepada saya mengenai sepuluh perkara.  Jangan menyengutukan Allah dengan sesuatu apapun walaupun kamu akan dibunuh atau dibakar.  Jangan kamu menderhakai kedua-dua ibu bapa kamu meskipun mereka menyuruh kamu berpisah dengan isteri dan harta-benda kamu.  Janganlah kamu meninggalkan solat fardu dengan sengaja kerana sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia terlepas daripada tanggungjawab Allah S.W.T.  Jangan sekali-kali minun arak kerana perbuatan ini adalah punca segala maksiat. Jauhilah diri kamu daripada perbuatan maksiat kerana perbuatan ini akan menyebabkan kemurkaan Allah S.W.T.  Jangan lari dari medan pertempuran walaupun semua rakan kamu telah terbunuh. Jangan berpindah dari tempat berlakunya kematian akibat wabak yang sedang merebak seperti taun dan sebagainya. Belanjalah untuk keluarga kamu mengikut kemampuan kamu. Jangan kamu mengelak daripada merotani anak-anak sebagai amaran supaya mereka berakhlak baik. Takutkan mereka (anak-anak) kepada Allah S.W.T." (HR Ahmad No: 21060).  Status: Hadis Hassan

Pengajaran:

Rasulullah SAW dalam hadis ini meninggalkan sepuluh wasiat berbentuk pesanan:

1.  Tidak melakukan syirik walaupun dibunuh

2.  Tidak menderhakai ibu bapa meskipun mereka menyuruh berpisah dengan isteri dan harta-benda yang kita miliki. 

3.  Tidak meninggalkan solat fardhu dengan sengaja kerana  dia terlepas daripada tanggungjawab Allah 

4.  Tidak minum arak (sesuatu yang memabukkan) kerana ia punca segala maksiat

5.  Tidak melakukan maksiat kerana perbuatan ini akan menyebabkan kemurkaan Allah

6.  Tidak lari dari medan perang walaupun semua rakan pejuang telah terbunuh

7.  Tidak berpindah dari tempat berlakunya kematian akibat wabak (kurantin) yang sedang merebak seperti covid 19, taun dan sebagainya 

8.  Berbelanjalah untuk keluarga mengikut kemampuan

9.  Jangan mengelak daripada merotani atau menghukum anak-anak (dalam mendidik jika mereka melakukan larangan) sebagai amaran supaya mereka berakhlak baik. 

10.  Takutkan mereka (anak-anak) kepada Allah (tanamkan rasa takut kepada Allah dalam diri mereka).

21hb Dis.  2023
08hb Jamadil Akhir 1445H

Tuesday, 19 December 2023

Ciri Wanita Untuk Dikahwini

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ciri Wanita Untuk Dikahwini

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung dan bernasib baik." (HR Bukhari No: 4700) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perkahwinan adalah ibadah yang digalakkan bagi yang berkemampuan bagi menyalurkan naluri seks yang halal serta dibenarkan oleh syarak untuk mencari keredhaan Allah.

2.  Wanita ideal yang dipilih menjadi isteri sebaiknya memiliki empat ciri berikut:

a.  Harta
b.  Keturunan (termasuk keturunan yang ramai)
c.  Kecantikan
d.  Agama 

3.  Pemilihan wanita yang berdasarkan kepada harta, keturunan dan kecantikan semata-mata tidak digalakkan oleh Islam. Pemilihan ini tidak dapat menjamin sepenuhnya kebahagiaan rumahtangga serta pendidikan anak-anak yang bakal dilahirkan.

5.  Pemilihan jodoh sama ada bagi lelaki mahupun wanita hendaklah mengutamakan kepada mereka yang beragama dan beramal dengan kehendak agama (soleh dan solehah). Selepas aspek beragama, barulah dilihat aspek harta, keturunan dan kecantikan.

6.  Memilih pasangan yang beragama sebagai keutamaan dan pra syarat akan melahirkan kehidupan yang Sakinah mawaddah warahmah serta menjadikan hidupnya sentiasa kaya dengan akhlak, rohani dan jasmani serta beruntung di dunia dan akhirat

Rasulullah SAW juga mengingatkan kita:

لاَ تَزَوَّجُوا النِّسَاءَ لِحُسْنِهِنَّ فَعَسَى حُسْنُهُنَّ أَنْ يُرْدِيَهُنَّ وَلاَ تَزَوَّجُوهُنَّ لأَمْوَالِهِنَّ فَعَسَى أَمْوَالُهُنَّ أَنْ تُطْغِيَهُنَّ وَلَكِنْ تَزَوَّجُوهُنَّ عَلَى الدِّينِ وَلأَمَةٌ خَرْمَاءُ سَوْدَاءُ ذَاتُ دِينٍ أَفْضَلُ

Janganlah kalian menikahi para wanita semata-mata kerana kecantikan mereka, kerana kecantikannya mungkin akan merosakkan mereka (kerana tertipu dan sombong dengan kecantikan). Jangan juga menikahi para wanita kerana harta mereka kerana berkemungkinan harta akan menyebabkan mereka jatuh dalam maksiat dan kejahatan. Akan tetapi, hendaklah kalian berkahwin dengan perempuan atas dasar agama. Seorang hamba perempuan yang sumbing pada mulut dan telinga tetapi mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna lebih baik (daripada perempuan yang merdeka yang membelakangi perintah agamanya. (HR Ibn Majah No: 185).

20hb Dis.  2023
07hb Jamadil Akhir 1445H

Monday, 18 December 2023

Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka

Assalamualaikum warahmatullah

*السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ*
*بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم*


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka*

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَتْ امْرَأَةٌ مَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ مَنْ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنْ النَّارِ

Daripada ‘Aisyah RA berkata; Telah datang seorang wanita bersama dua puterinya menemuiku untuk meminta sesuatu namun aku tidak mempunyai apa-apa selain sebutir kurma lalu aku berikan kepadanya. 

Lalu wanita itu membahagi kurma itu menjadi dua bahagian yang diberikannya untuk kedua puterinya sedangkan dia tidak memakan sedikitpun. Lalu wanita itu berdiri untuk segera pergi. 

Ketika itulah Nabi SAW datang kepada kami, lalu aku ceritakan masalah itu, maka Baginda bersabda: 

“Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada kehadiran anak-anak perempuannya (lalu dia berbuat baik kepada mereka), maka mereka akan menjadi pelindung baginya dari api neraka”. 

(HR Bukhari No: 1329) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan keperluan ahli keluarga khususnya anak-anak, termasuk penyediaan makanan, pakaian tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya.

2.  Ibu bapa yang soleh akan mendahulukan keperluan anak-anaknya walaupun terpaksa mengikat perut.

3.  Ibu bapa yang bersusah payah memberikan sesuatu makanan atau menyediakan keperluan seperti pembiayaan pembelajaran dan lain-lain kepada anaknya, akan menjadi saham melindunginya dari api neraka.

4.  Sebagai ibu bapa, berusahalah sebaik mungkin menyediakan keperluan untuk ahli keluarga khususnya keperluan anak-anak dari sumber yang halal dan baik.

_19hb Dis.  2023_
_06hb Jamadil Akhir 1445H_

Sunday, 17 December 2023

Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ فَقُلْتُ عَنْ النَّبِيِّ فَقَالَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَنْفَقَ الْمُسْلِمُ نَفَقَةً عَلَى أَهْلِهِ وَهُوَ يَحْتَسِبُهَا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةً

Daripada Abu Mas'ud Al-Anshari maka aku berkata; Dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Jika seorang muslim memberi nafkah pada keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka baginya hal itu adalah sedekah." (HR Bukhari No: 4932) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bagi seorang suami dan bapa kepada anak-anak, memberi nafkah keperluan kepada ahli keluarga adalah tanggungjawab wajib.

2.  Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga isteri dan anak-anak-anak mengikut kemampuannya. Menyia-nyiakannya akan menyebabkan berdosa. Sabda Rasulullah SAW:

كفى بًالمرء إثما أن يضيع من يقوت

“Cukuplah seseorang dikatakan berdosa jika ia menyia-nyiakan orang yang menjadi tanggungannya” (HR. Abu Daud 1692) Status:  Hadis Sahih 

3.  Memberi nafkah  ke atas orang yang berada di bawah tanggungannya adalah sedekah. Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga dengan sebab perkahwinan, merangkumi makan minum, rumah kediaman, penjagaan kesihatan, perlindungan, kasih sayang, pendidikan dan lain-lain.

4.  Dalam masyarakat hari ini, walaupun isteri sama-sama bekerja, namun tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Isteri masih boleh membantu di mana yang sesuai sebagai pelengkap. Sumbangan isteri kepada keluarga juga dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.

5.  Muslim yang memberi nafkah pada ahli keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka itu adalah sedekah

#FreePalestine
#TaufanAlAqsa
#IsraelCuak
#SubuhForGaza
#SedekahSubuh_SRaM

17hb Dis.  2023
04hb Jamadil Akhir 1445H

Sedekah Mengikut Keutamaan

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sedekah Mengikut Keutamaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَدَّقُوا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ أَنْتَ أَبْصَرُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bersedekahlah kalian", lalu seseorang berkata ya Rasulullah aku hanya memiliki satu dinar, baginda menjawab: "Bersedekahlah dengannya untuk dirimu," ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk isterimu, " ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk anakmu, " ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk pembantumu," ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Engkau lebih tahu yang berhak engkau beri." (HR Nasai No: 2488) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW  menganjurkan agar kita bersedekah jika memiliki harta. Setiap yang dibelanjakan kepada orang lain, ia akan mendapat pahala  sedekah.

2.  Jika kita memiliki harta atau wang ringgit, belanjakanlah untuk keperluan mengikut keutamaan dengan mendahului untuk :

a.  Diri sendiri  dengan menunaikan hak tubuh badan seperti makanan dan pakaian yang wajib. Jika ada lebihan, boleh diberi kepada;

b.  Isteri (keperluan isteri yang menjadi tanggungjawab suami sama ada yang wajib mahupun yang sunat). Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

c.  Anak (keperluan anak-anak seperti makan minum, pelajaran dan lain-lain), Jika ada lebihan boleh di beri kepada; 

d.  Pembantu. Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

e.  Mereka yang dirasakan layak dan berhak mengikut keutamaan.

Ayuh bersedekah mengikut keutamaan kepada yang berhak.

18hb Dis.  2023
05hb Jamadil Akhir 1445H

Friday, 15 December 2023

Sedekah Kepada Ahli Keluarga

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sedekah Kepada Ahli Keluarga 

عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Daripada Az Zuhriy berkata, telah mengkhabarkan kepada saya Sa'id bin Al Musayyab bahawa dia mendengar Abu Hurairah RA dari Nabi SAW  bersabda,: "Sebaik-baik sedekah adalah yang di luar keperluan (yang sudah cukup untuk keperluan dirinya). Maka mulakanlah pemberian untuk orang yang menjadi tanggunganmu".(HR Bukhari No: 1337) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amalan bersedekah atau pemberian kepada orang lain adalah amalan mulia yang dituntut kepada setiap Muslim.

2.  Antara perkara yang membawa kebahagiaan dalam berkeluarga adalah saling melaksanakan tanggungjawab. Satu daripada tanggungjawab ketua keluarga ialah menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pemberian kepada ahli keluarga merupakan sedekah. 

3.  Bersedekah atau pemberian yang sebaiknya adalah selepas menyempurnakan hak dan tanggungjawab keluarga. Firman Allah:

وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ

“Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ” Yang lebih dari keperluan.” (QS. Al Baqarah: 219).

Al ‘afwu dalam ayat di atas bermakna sedekah itu di luar keperluan asas (Ibnu Katsir, 2: 145).

4.  Sedekah atau pemberian kepada keluarga terlebih dahulu lebih diutamakan kerana ganjarannya lebih besar berbanding sedekah (pemberian) kepada orang lain.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَتُكَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الْقُرْبَى الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

Rasulullah SAW bersabda: "Sedekahmu pada orang-orang miskin bernilai satu sedekah, sedangkan sedekahmu pada kerabatmu bernilai dua iaitu; (1) sedekah dan (2) menyambung silaturahim." (Musnad Ahmad No: 17197) Isnad Hasan

Mulakan pemberian kepada ahli keluarga terlebih dahulu termasuk ibu bapa serta kaum kerabat yang terdekat, lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui ada ahli keluarga kita yang terkesan ekonomi mereka mutakhir ini.

#BangunkanJiwamu
#PalestinMerdeka

16hb Dis.  2023
03hb Jamadil Akhir 1445H

Thursday, 14 December 2023

Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Setiap Pemimpin Akan Dipertanggungjawabkan

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْأَمِيرُ رَاعٍ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW bersabda: "Setiap kita adalah pemimpin. Setiap kita akan diminta bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin. Seorang suami juga pemimpin atas keluarganya. Seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya." (HR Bukhari No: 4801) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap kita adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan setiap yang berada di bawah kepimpinan kita

2.  Seorang ketua sama ada sebagai pemimpin Negara, negeri, daerah, organisasi, jabatan, unit termasuk keluarga, besar atau kecil tetap akan dipertanggungjawabkan kepimpinan dibawahnya..

3.  Sebagai suami akan ditanya kepimpinannya terhadap isteri, anak-anak serta yang berada di bawah tanggungjawabnya.

4.  Sebagai isteri ada tanggungjawab dalam rumahtangga, sama ada terhadap suami mahupun anak-anak.

Dalam membina keluarga bahagia, suami dan isteri sewajarnya saling bekerjasama berperanan memimpin dan mencorakkan rumahtangga.

Laksanakanlah amanah tanggungjawab yang ada dengan sebaik mungkin kerana ianya akan dipertanggungjawabkan.

15hb Dis.  2023
02hb Jamadil Akhir 1445H

Wednesday, 13 December 2023

Jadilah Suami Mithali

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Suami Mithali

عَنْ الْأَسْوَدِ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ قَالَتْ كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ فَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ

Daripada Al Aswad berkata, "Aku pernah bertanya kepada 'Aisyah tentang apa yang dikerjakan Nabi SAW ketika berada di rumah. Maka 'Aisyah pun menjawab, "Baginda selalu membantu keluarganya, jika datang waktu solat maka baginda keluar untuk melaksanakannya (di masjid)." (HR Bukhari No: 635) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh apabila berada di rumah dengan membantu kerja-kerja rumah tangga seperti membasuh, memasak dan lain-lain.

2.  Rasulullah SAW juga tidak mengabaikan ibadat solat fardhu di masjid apabila sampai waktunya di samping peranannya dalam masyarakat.

3.  Pemimpin yang baik ialah yang dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah,  keluarga (rumah tangga) dan kemudian tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan baik dan sempurna.

4.  Keluarga yang bahagia akan terhasil apabila suami dan isteri dapat melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan saling membantu dalam urusan harian tanpa mengabaikan kewajipan kepada Allah S.W.T.

Para suami sewajarnya mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan berkeluarga dengan membantu urusan harian isteri di rumah dan menjaga kewajipan terhadap Allah seperti solat fardhu yang ditunaikan di masjid.

14hb Dis.  2023
01hb Jamadil Akhir 1445H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...