Wednesday, 30 November 2022

Sayangi Orang Lain Agar Kita Disayangi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sayangi Orang Lain Agar Kita Disayangi

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ارْحَمْ مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكَ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Daripada Abdullah bin Amir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang menyayangi (orang lain) pasti akan disayangi Allah. Sayangilah setiap penduduk bumi, nescaya engkau akan disayangi para penghuni langit”.
(Mu’jam Awsat li al-Tabarani No: 9009) Maktabah al-Maarif  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menjadi tanggungjawab setiap Muslim memiliki sifat penyayang mengikut panduan syarak.

2.  Orang yang menyayangi makhluk nescaya Allah akan menyayanginya

3.  Orang yang mengasihi orang lain, dia akan disayangi oleh penghuni dilangit

4.  Sifat saling menyayangi datang daripada mereka yang memiliki kejernihan jiwa dan kesucian rohani
  
Berusahalah menyayangi orang lain. Jauhi prasangka buruk, membuat tuduhan, menghukum, memberi gelaran buruk dan memfitnah terhadap orang lain. Elakkan permusuhan dan persengketaan. Pereratkan yang dekat, rapatkan yang jauh.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

01hb Dis  2022
06hb Jamadil Awal 1444H

Tuesday, 29 November 2022

Tidak Membalas Keburukan Dengan Keburukan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tidak Membalas Keburukan Dengan Keburukan

عَنْ عَائِشَةَ  رضي الله عنها قَالَتْ : اسْتَأْذَنَ رَهْطٌ مِنَ الْيَهُودِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا : السَّامُ عَلَيْكُمْ  فَقَالَتْ عَائِشَةُ : بَلْ عَلَيْكُمُ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ  فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ قَالَتْ : أَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا  قَالَ : قَدْ قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ 

Daripada Aisyah RA berkata, sekumpulan orang Yahudi meminta izin untuk bertemu baginda lalu mereka mengucapkan: Assam ‘alaikum (Mati ke atas kamu). Aku (Aisyah) berkata: Ke atas kamu mati dan laknat! Lalu baginda menegur: Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu penyantun menyukai kesantunan dalam semua perkara.” ‘Aku (Aisyah) bertanya: Kamu tak dengarkah apa yang mereka sebut? Baginda berkata: Ya, aku sudah jawab Wa a’laikum (keatas kamu).
(Sahih Bukhari no: 6927) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam agama rahmah yang mengajar umatnya berakhlak mulia dalam perbuatan, pertuturan mahupun penulisan.

2.  Islam mengajar umatnya sentiasa menunjukkan akhlak yang mulia dengan bersikap lunak dan santun kerana Allah itu menyukai kesantunan dalam semua perkara.

3.  Rasulullah SAW menegur perbuatan Aisyah RA yang membalas ucapan Yahudi yang memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan Assam ‘alaikum yang membawa maksud buruk iaitu “Mati ke atas kamu”. Aisyah membalas dengan Alaikum sam wa laknatu membawa maksud  “Ke atas kamu mati dan laknat!”

4.  Islam mengajar kita memelihara tutur kata yang baik-baik dan jangan sampai dipengaruhi oleh syaitan dalam mengeluarkan kata-kata sama ada dalam percakapan mahupun penulisan. Firman Allah:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ ٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ يَنزَغُ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ كَانَ لِلۡإِنسَٰنِ عَدُوّٗا مُّبِينٗا 
 
“Dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.”
(al-Isra: 53)

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini: “Allah memerintah Rasulullah SAW memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan.”
(Ibnu Kathir, Mekah: Dar al-Taybah).

5.  Seseorang boleh, bahkan disuruh menegur ataupun mengkritik sesuatu perkara yang salah. Namun, Islam mengajar agar kita berdisiplin dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa yang buruk dan kotor. 

Orang yang suka memaki orang lain merupakan golongan yang fasik (golongan pendosa). Mereka bukanlah penegak agama sebaliknya untuk memenuhi kehendak nafsu sendiri dan dipengaruhi syaitan.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

30hb Nov 2022
05hb Jamadil Awal 1444H

Monday, 28 November 2022

Mukmin Bukan Pencela dan Pelaknat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Bukan Pencela dan Pelaknat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ

Daripada Abdullah ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Seorang mukmin itu bukanlah orang yang suka mencela, suka melaknat, suka berperilaku keji dan suka berkata kasar.”  (Sunan Tirmizi No: 1900)   Status: Hadis Hasan 

Pengajaran:

1.  Seorang mukmin wajib menjauhi sifat buruk antaranya:

a.  Suka mencela (mengejek, menghina, membuka aib, memperlekeh).

b.  Suka melaknat

c.  Suka berperilaku keji (berperangai buruk)

d.  Suka berkata kasar (menyakiti orang lain)

2.  Seorang mukmin wajib memelihara lisan dan berhati-hati dalam ucapan dan tulisan. 

3.  Jangan sampai pertuturan, penulisan dan perbuatan, menjerumuskan kita kedalam dosa besar seperti memaki hamun, sumpah seranah, memperlekeh, menghina, mengumpat mahupun memfitnah.

4.  Menjadi kewajipan kita mencontohi Rasulullah SAW yang diutus sebagai rahmat kepada seluruh alam, bukan sebagai pelaknat. 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ ادْعُ عَلَى الْمُشْرِكِينَ قَالَ ‏  إِنِّي لَمْ أُبْعَثْ لَعَّانًا وَإِنَّمَا بُعِثْتُ رَحْمَةً ‌‏ ‌‏

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Dikatakan kepada baginda: Ya Rasulullah, doakanlah kecelakaan kepada kaum Musyrikin. Baginda menjawab: Sesungguhnya aku tidak diutuskan sebagai pelaknat. Sesungguhnya aku diutuskan sebagai rahmat. (Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab No: 2599)

Jadilah kita orang yang mewarisi akhlak Rasulullah sebagai pembawa rahmah bukan pelaknat. Semoga kita tidak  memperkatakan atau menuturkan serta menulis, sesuatu yang buruk, kasar, kesat  dan menghina  serta melaknat orang lain.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

29hb Nov  2022
04hb Jamadil Awal 1444H

Saturday, 26 November 2022

Bersifat Lemah Lembut

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersifat Lemah Lembut 

عَنْ جَرِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُحْرَمْ الرِّفْقَ يُحْرَمْ الْخَيْرَ

Daripada Jarir RA dari Nabi SAW bersabda: Barang siapa dijauhkan dari sifat lemah lembut (kasih sayang), berarti ia dijauhkan dari kebaikan.
(Sahih Muslim  No: 4694) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sifat penyayang dan lemah lembut dituntut ke atas setiap Muslim

2.  Orang yang tidak mempunyai sifat penyayang atau lemah lembut terhadap orang lain akan dijauhkan dari rahmat Allah.

3.  Allah mengarahkan kita sentiasa bertingkah laku dengan lemah lembut bukan keras. Firman Allah:

فَبِمَا رَحۡمَةٖ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَۖ 

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu”.
(Ali Imran: 159)

4.  Jangan sampai kita dijauhi daripada segala kebaikan dengan sebab tidak memiliki sifat lemah lembut (kasih sayang).

Milikilah sifat lemah lembut dan penyayang terhadap orang lain. 

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

27hb Nov  2022
02hb Jamadil Awal 1444H

Friday, 25 November 2022

Jadilah Pengasih Untuk Dirahmati Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Jadilah  Pengasih Untuk Dirahmati Allah*

سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

_*Daripada Saad bin Ubadah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hambaNya yang pengasih"*_ (Sahih Bukhari No: 1284). Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Sifat penyayang dan pengasih adalah dituntut pada setiap Muslim

2.  Allah hanya merahmati Muslim yang memiliki sifat kasih sayang kepada sesama manusia dan makhluk lain untuk diberi ganjaran syurga.

3.  Milikilah sifat kasih sayang terhadap orang lain. Antaranya  ialah sifat  membantu kepada yang memerlukan pertolongan,  sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun pandangan dan motivasi kepada mereka.

4.  Kasihilah orang lain dengan mendoakan kebaikan, memaafkan mereka, menolong dan membantu mereka, memberi makan orang yang kelaparan serta mengunjungi orang sakit dan yang ditimpa musibah.

5.  Jika kita benci pada perbuatan buruk seseorang, jangan sampai kita tidak berlaku adil dengan menzalimi mereka. Lakukanlah dengan cara yang dibenarkan syarak bukan dengan cara memaki hamun dilaman sosial.

Jika kita ingin dirahmati Allah, maka milikilah sifat pengasih terhadap orang lain. Islam agama yang mulia dan berakhlak. 

*"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"*

26hb Nov  2022
01hb Jamadil Awal 1444H

Thursday, 24 November 2022

Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Bertakwa dan Berakhlak Dalam Pergaulan*

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

_*Daripada Abu Dzar RA ia berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya, serta pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik."*_ (Sunan Tirmizi No: 1910)  Status: Hadis Hasan Sahih.

*Pengajaran:*

1.Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dimana sahaja berada dan dalam setiap waktu.

2.Takwa ialah sentiasa melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjauhi perkara yang dilarang.

3.Takwa itu ialah sifat berhati-hati dan sentiasa merasakan diri diawasi oleh Allah.

4.Abu Darda berkata: Taqwa yang paling sempurna ialah seorang hamba yang takut kepada Allah hinggakan dalam urusan seberat zarahpun dia masih takut. Setengah perkara yang halal pun ditinggalkan kerana takut ia menjadi haram.

5.Lakukanlah amal kebaikan kerana ia boleh menjadi penyebab kepada penghapusan dosa yang dilakukan seperti beristighfar, sedekah, berbuat baik sesama manusia tanpa mengira kawan mahupun lawan dan sebagainya.

6.Berakhlak baiklah dalam pergaulan sesama manusia sama ada ahli keluarga, jiran tetangga, rakan sepejabat mahupun anggota masyarakat yang Muslim dan Non Muslim.

7.Jagalah akhlak dalam perhubungan sesama kita dalam organisasi dan masyarakat. Elakkan umpatan, fitnah, hinaan, merendah-rendah orang lain dan sebagainya. 

Jadilah kita orang bertaqwa, yang melakukan amal soleh dan menjauhi mungkar, serta berakhlak mulia dalam pergaulan sesama manusia. Bersamalah kita membina masyarakat dan negara yang harmoni dan sejahtera.

*"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"*

25hb Nov  2022
30hb Rabiul Akhir 1444H

Wednesday, 23 November 2022

Jadilah Warganegara Terbaik

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah  Warganegara  Terbaik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ  فَقَالَ   أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ   قَالَ  فَسَكَتُوا  فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ  فَقَالَ رَجُلٌ  بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ  أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا  قَالَ : " خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ  وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ  

Daripada Abu Hurarirah RA berkata, “Nabi SAW melewati sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kalian, orang yang terbaik di antara yang terburuk dalam kalangan kalian?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW pun mengulangi pertanyaan tersebut sampai tiga kali. Kemudian mereka pun menjawab, “ya, wahai Rasulullah! Beritahu kepada kami siapakah orang yang terbaik di antara yang terburuk di antara kami.” Rasulullah SAW kemudian bersabda,“Manusia terbaik di antara kalian adalah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman dari gangguannya. Manusia terburuk di antara kalian adalah yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain juga tidak merasa aman dari gangguannya.”
(Sunan  Tirmidzi no. 2263) Status: Sahih dalam Shahih Al-Jami’ no. 2603.

Pengajaran:

1.Manusia yang terbaik adalah yang sentiasa mendatangkan  kebaikan kepada orang lain dan orang lain merasa aman dari gangguannya. 

2.Manusia terburuk adalah yang tidak mendatangkan kebaikan kepada orang lain malah orang lain merasa tidak aman dari gangguannya

3.Jadikanlah kehadiran kita ditengah-tengah masyarakat sebagai orang yang bermanfaat dan dirasai kebaikan oleh orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.
(HR Ibn Hibban) 

4.Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat pada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ

Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain.
(Riwayat at-Tabarani) Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139

Marilah kita berusaha untuk menjadi warganegara yang bermanfaat bukan menjadi mudarat kepada masyarakat dan negara. Bersama kita berperanan menyebarkan kebaikan di dalam masyarakat bagi mewujudkan suasana harmoni dan hormat menghormati. Semoga keberadaan kita dalam masyarakat dirasai kebaikannya dan ketiadaan kita akan dirindui.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

24hb Nov  2022
29hb Rabiul Akhir 1444H

Tuesday, 22 November 2022

Mendamaikan Lebih Utama

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mendamaikan Lebih Utama

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِصْلَاحُ ذَاتِ الْبَيْنِ وَفَسَادُ ذَاتِ الْبَيْنِ الْحَالِقَةُ

Daripada Abu Darda RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama dari darjat puasa, solat dan sedekah?" para sahabat berkata, "Tentu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Mendamaikan orang yang sedang berselisih. Dan rosaknya orang yang berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan)."
(Sunan Abu Daud No: 4273)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ibadah Puasa, Solat dan Sedekah adalah antara amal ibadah yang utama dalam kehidupan Muslim yang biasa dilaksanakan.

2.Mendamaikan dua orang yang berselisih atau dua kelompok yang berbalah adalah lebih utama berbanding ibadat peribadi seperti puasa, solat dan sedekah

3.Perselisihan atau perbalahan antara dua orang atau dua kelompok boleh menjadi pengikis pahala yang mungkin dicetuskan dari penyakit hasad dengki dengan saling mengumpat, menghina dan merendah-rendahkan pihak yang satu lagi

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar."
(Sunan Abu Daud No:4257)

Hidup bermasyarakat dan bernegara memerlukan warganya saling bertolak ansur dan mengelakkan perselisihan yang membawa kepada perbalahan. Saling bermaafanlah dalam perkara yang kita berbeza dan saling bertolong bantu dalam perkara yang disepakati. 

Bersikap ramah dan rahmah dengan berusaha mendamaikan dua saudara atau kelompok yang berselisih kerana ia adalah amal soleh yang utama. Elak diri kita dari menjadi penyimbah minyak bagi memarakkan api.

Buanglah ego yang ada demi maslahah yang lebih besar untuk rakyat dan negara tercinta.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

23hb Nov  2022
28hb Rabiul Akhir 1444H

Monday, 21 November 2022

Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Cintailah orang yang kamu cintai sekadarnya. Boleh jadi orang yang sekarang kamu cintai suatu hari nanti menjadi orang yang kamu benci. Dan bencilah orang yang kamu benci sekadarnya, boleh jadi suatu hari nanti dia menjadi orang yang kamu cintai.”
(Sunan Tirmidzi No: 1997) Status: Hadis Sahih  

Pengajaran:

1.  Sifat cinta dan kasih adalah fitrah manusia namun biarlah berpada. Contohnya mencintai pasangan juga ahli keluarga yang berlebihan sehingga jika berlaku kematian, atau orang yang disayangi meninggalkannya, impak kesedihan amat mendalam yang boleh membawa kecelakaan padanya.

2.  Maka cintailah saudaramu sewajarnya dengan memberikan hak-haknya tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan haknya.

3.  Hasan Bashri RA berkata, “Hendaknya kalian mencintai jangan berlebihan dan membenci tidak berlebihan. Telah ada orang-orang yang berlebihan dalam mencintai satu kaum akhirnya binasa. Ada pula yang berlebihan dalam membenci satu kaum dan mereka pun binasa.”

4.  Jika seseorang berlebihan dalam membenci lawannya, mungkin suatu masa nanti hubungan mereka menjadi baik maka mereka akan malu untuk menjadi sahabat dan kawan kerana merasa malu disebabkan berlebihan dalam membencinya sebelum ini. Kebencian berlebihan juga boleh membinasakan.
Ingatlah firman Allah SWT: 

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ  وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.”
(Al-Baqarah: 216)

5.  Awasilah sifat benci yang boleh mendorong kita berlaku zalim kepada orang lain juga menjadi penyebab kita tidak berlaku adil terhadap mereka.
Firman Allah surah al-Maidah ayat 8:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨  

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Berpadalah dalam mengasihi dan membenci seseorang dengan menjaga dan memberi hak mereka sepatutnya.

22hb Nov  2022
27hb Rabiul Akhir 1444H

Sunday, 20 November 2022

Larangan Memboikot Sesama Muslim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Larangan Memboikot Sesama Muslim

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian saling membenci, janganlah saling mendengki dan janganlah kalian saling membelakangi dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara, dan tidak halal bagi seorang muslim mendiamkan saudaranya melebihi tiga malam." (HR Bukhari No: 5612) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam melarang sifat saling membenci sesama Muslim.

2.  Islam juga melarang sifat saling dengki atau iri hati terhadap kelebihan orang lain

3.  Saling membelakangi atau saling bermusuh sesama Muslim adalah dilarang sama sekali

4.  Muslim dituntut saling bersaudara dan berkasih sayang

5.  Sesama Muslim dilarang  tidak bertegur sapa melebihi tiga malam.

6.  Tinggalkanlah segala umpat keji, fitnah yang mungkin dilakukan sebelum ini. Jalinkanlah kembali ikatan ukhuwah sesama muslim. Menjaga ukhuwah itu wajib seperti kita menjaga solat dan puasa.

7. Musim PRU telah berlalu, waktu kempen pun dah tamat. Terimalah dengan berlapang dada kerajaan yang akan dibentuk hasil keputusan PRU ke 15. Tinggalkanlah segala umpat keji, fitnah yang mungkin dilakukan sepanjang waktu kempen sebelum ini. Jalinkanlah kembali ikatan ukhuwah sesama muslim. Menjaga ukhuwah itu wajib seperti kita menjaga solat dan puasa.

Islam adalah agama RAHMAH, saling berkasih sayang, bukan membenci dan memusuhi.

Bina Negara Malaysia yang cemerlang dan diampuni Allah. Negara Rahmah Ummah Sejahtera

21hb Nov  2022
26hb Rabiul Akhir 1444H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...