Saturday, 31 December 2022

Zikir Menjauhi Perkara Yang Tidak Diingini

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Menjauhi Perkara Yang Tidak Diingini

عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَالَ فِي دُبُرِ صَلاَةِ الفَجْرِ وَهُوَ ثَانٍ رِجْلَيْهِ قَبْلَ أَنْ يَتَكَلَّمَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ عَشْرَ مَرَّاتٍ كُتِبَتْ لَهُ عَشْرُ حَسَنَاتٍ وَمُحِيَ عَنْهُ عَشْرُ سَيِّئَاتٍ وَرُفِعَ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ وَكَانَ يَوْمَهُ ذَلِكَ كُلَّهُ فِي حِرْزٍ مِنْ كُلِّ مَكْرُوهٍ وَحُرِسَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَلَمْ يَنْبَغِ لِذَنْبٍ أَنْ يُدْرِكَهُ فِي ذَلِكَ اليَوْمِ إِلاَّ الشِّرْكَ بِاللَّهِ. 

Daripada Abu Dzar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: "Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata dia membaca: Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah tidak ada sekutu bagi-Nya, semua kerajaan milik-Nya dan bagi-Nya seluruh pujian, Dia yang menghidupkan, serta mematikan, dan Dia Maha Mampu melakukan segala sesuatu, sebanyak 10 kali, maka tercatat untuknya sepuluh kebaikan dan terhapus darinya sepuluh kesalahan serta diangkat untuknya sepuluh darjat, dan pada hari itu dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini, serta terjaga dari Syaitan, begitu juga tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu kecuali syirik kepada Allah."
(HR Tirmidzi No: 3474) Status: Hassan Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim digalakkan berzikir dan berdoa selepas solat.

2.  Antara zikir yang dianjurkan untuk dibaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata yang lain adalah; 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Barang siapa membaca sebanyak 10 kali, maka:

a.  Dicatat untuknya sepuluh kebaikan 

b.  Terhapus daripadanya sepuluh kesalahan

c.  Diangkat untuknya sepuluh darjat

d.  Pada hari tersebut dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini

e.  Terjaga dari Syaitan pada hari tersebut

f.  Tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu (terampun) kecuali dosa syirik kepada Allah

3.  Orang yang membaca zikir ini selepas solat subuh sebanyak 10 kali dalam keadaan masih duduk seperti tahiyat akhir dan belum bercakap yang lain, maka akan terpelihara daripada sesuatu yang tidak diingini termasuklah pelbagai penyakit seperti virus Covid 19 juga dilindungi dari mara bahaya yang lain.

Marilah kita mulakan awal tahun baharu Masihi 2023 ini untuk mengamalkan wirid ini selepas solat fardhu subuh juga maghrib. Moga kita sentiasa mendapat kebaikan dan terpelihara dari sebarang keburukan dan dosa.

01hb Januari  2023
08hb Jamadil Akhir 1444H

Friday, 30 December 2022

Amal Yang Dicintai Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amal Yang Dicintai Allah

أَبَا عَمْرٍو الشَّيْبَانِيَّ يَقُولُ حَدَّثَنَا صَاحِبُ هَذِهِ الدَّارِ وَأَشَارَ إِلَى دَارِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي بِهِنَّ وَلَوْ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي

Abu Amru Asy Syaibani berkata, "Pemilik rumah ini menceritakan kepada kami - seraya menunjuk rumah Abdullah - ia berkata, "Aku pernah bertanya kepada Nabi SAW, "Amal apakah yang paling dicintai oleh Allah?" Baginda menjawab: "Solat pada waktunya." Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa kagi?" Baginda menjawab: "Kemudian berbakti kepada kedua orang tua."Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa lagi?" Baginda menjawab: "Jihad fi sabilillah." Abdullah berkata, "Baginda sampaikan semua itu, sekiranya aku minta tambah, nescaya baginda  akan menambahkannya untukku."
(HR Bukhari No: 496) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pelbagai amal soleh dituntut untuk kita lakukan. Ada amal yang utama untuk dilakukan, ada amal yang paling dicintai Allah bergantung kepada keadaan, masa dan tempat.

2.  Tiga amal yang paling dicintai Allah:

a.  Solat pada waktunya dengan kita berusaha melaksanakan kewajipan ibadat solat di awal waktu.

b.  Berbakti kepada ibu bapa dengan berusaha melakukan kebaikan, berbakti kepada kedua ibu bapa dan mengembirakannya, sama ada semasa dia hidup mahupun selepas kematian mereka. 

c.  Berjihad dijalan Allah dengan berkorban harta, diri, keselesaan untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar

Berusahalah melakukan amal yang dicintai Allah melalui penjagaan waktu solat, berbakti kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah dalam pelbagai ruang amal kebaikan.

31hb Dis  2022
07hb Jamadil Akhir 1444H

Thursday, 29 December 2022

Reda Allah Dengan Reda Ibu Bapa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Reda Allah Dengan Reda Ibu Bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Daripada Abdullah bin Amr RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Reda Allah terdapat pada reda seorang bapa, dan murka Allah juga terdapat pada murkanya seorang bapa."
(HR Tirmizi No:1821) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Adab seorang anak ialah berbakti dan berbuat baik kepada kedua orang tuanya

2.  Imam Al Ghazali berkata: Antara adab anak kepada orang tuanya; mendengarkan perkataannya, mentaati perintahnya (selagi tidak bertentangan syarak), tidak berjalan di hadapannya, tidak meninggikan suara, serta berusaha untuk mendapatkan keredaannya.

3.  Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan kedua orang tua

رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا

Reda Allah terletak pada reda kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua.
(HR Tabrani dari Ibnu Umar).

Berusahalah menjadi anak yang soleh terhadap kedua ibu bapanya.

30hb Dis  2022
06hb Jamadil Akhir 1444H

Wednesday, 28 December 2022

Membalas Jasa Ibu bapa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Membalas Jasa Ibu bapa

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ فَقَالَ أَحَيٌّ وَالِدَاكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

Abdullah bin 'Amru radliallahu 'anhuma berkata: "Datang seorang laki-laki kepada Nabi SAW lalu meminta izin untuk pergi berjihad. Maka Baginda bertanya: "Apakah kedua orang tuamu masih hidup?" Laki-laki itu menjawab: "ya". Maka Baginda berkata: "Kepada keduanyalah kamu berjihad (berbakti) ".
(HR Bukhari No: 2782) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berkhidmat dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah dituntut seperti membantu dari sudut kewangan, penjagaan terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta kasih sayang.

2.  Berkhidmat dan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah sebahagian daripada jihad.

3.  Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad dan diminta berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup.

4.  Berbakti juga dituntut selepas ibubapa meninggal dunia. Antaranya Menunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan juga hutang kepada manusia. Hadis Nabi SAWdaripada Ibn Abbas RA,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk ditunaikan.”
(HR Bukhari)

Berbuat baiklah kepada ibu bapa  yang telah berjasa kepada kita. Sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

29hb Dis  2022
05hb Jamadil Akhir 1444H

Tuesday, 27 December 2022

Golongan Mustajab Doa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Golongan Mustajab Doa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir, dan doa orang tua untuk anaknya."
(HR Tirmizi No: 1828) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Ada tiga golongan yang Allah bagi keistimewaan dimana doa mereka mustajab di sisi Allah:

a)  Doa dari orang yang dizalimi
b)  Doa orang yang  sedang bermusafir
c)  Doa dua ibu bapa kepada anak

2.  Muslim dituntut sentiasa berbuat baik dalam pergaulan dan perhubungan dengan anggota masyarakat termasuk kedua ibu bapa.

3.  Elakkan hubungan yang buruk dengan orang lain hingga menjadi penyebab kita menzalimi orang lain.

4.  Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang buruk dengan menzalimi orang lain sehingga menjadi penyebab mereka berdoa yang buruk untuk kita.

5.  Bagi yang bermusafir, ambillah kesempatan waktu mustajab doa sepanjang masa bermusafir dengan memperbanyakkan doa untuk diri dan orang lain.  

6.  Bagi ibu bapa, ambillah kesempatan perbanyakkan doa yang baik untuk anak-anak.  Kata-kata yang buruk kepada anak juga boleh menjadi doa buat mereka dan ia perlu dielakkan.

28hb Dis  2022
04hb Jamadil Akhir 1444H

Monday, 26 December 2022

Doa Hati Tidak Berbolak-balik

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Hati Tidak Berbolak-balik

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Abdullah bin 'Amru bin Al 'Ash berkata; bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hati semua manusia itu berada di antara dua jari dari sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. Allah SWT akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya." Setelah itu, Rasulullah SAW berdoa; “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!”
(HR Muslim No: 4798) Status: Hadis Sahih

Pengajaran: 

1.  Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.

2.  Begitulah fitrah hati yang cepat berubah dan bertukar antara kebaikan atau kejahatan. Maka berhati-hatilah dalam menjaga apa yang ada dalam hati agar tetap berada atas kebaikan. Sesungguhnya penglihatan, pendengaran, persekitaran, pergaulan dan apa yang dimakan atau diminum serta dibaca oleh seseorang mampu menyebabkan hati itu berubah-ubah dengan izin Allah SWT. Namun, Allah SWT jua yang memberikan ilham dan ikhtiar kepada hamba-Nya untuk memilih jalan bahagia ataupun sengsara. 

3.  Hati manusia berada di bawah kekuasaan Allah yang Maha Pemurah. Allah memalingkan hati manusia tersebut  sesuai dengan kehendak-Nya. Imam Nawawi menyebutkan: Allah membolak-balikkan hati seseorang sekehendak-Nya.

4.  Setiap Muslim dituntut agar sentiasa berdoa memohon hidayah kepada Allah SWT sekurang-kurang sebanyak 17 kali sehari (dalam solat).  Rasulullah SAW sendiri sentiasa memohon kepada Allah SWT agar diteguhkan hati dalam melaksanakan ketaatan dan beragama kerana hidayah itu adalah milik Allah SWT. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Ya Allah, Engkau yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.

5.  Jika seorang hamba bergantung dan bersandar pada dirinya sendiri, tentu ia akan binasa.

6.  Kita hendaklah menyerahkan segala usaha kepada Allah dan janganlah berpaling dari-Nya walaupun sebentar.

Hendaklah setiap kita sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah agar terus diteguhkan hati  dalam ketaatan dan tidak terjerumus dalam maksiat atau kesesatan.

27hb Dis  2022
03hb Jamadil Akhir 1444H

Sunday, 25 December 2022

Berbakti Kepada Ibubapa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berbakti Kepada Ibubapa

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوْ احْفَظْهُ

Daripada Abu Ad Darda dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Orang tua ibarat penengah pintu-pintu syurga, oleh kerana itu  letakkanlah ia atau jagalah ia baik-baik."
(Sunan Ibnu Majah No: 3653) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibu bapa ibarat pintu syurga bagi setiap anak.

2.  Menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa nescaya Allah akan memberikan ganjaran syurga.

3.  Al-Qadhi Baidhawi berkata: Cara terbaik untuk masuk syurga, dan cara mendapatkan darjat yang tinggi di syurga adalah dengan mentaati orang tua dan berusaha mengasihi dan berbakti padanya. Ada juga ulama yang mengatakan, ‘Di syurga ada banyak pintu. Yang paling selesa untuk dimasuki adalah yang paling tengah. Untuk membolehkan masuk ke syurga melalui pintu tengah itu adalah dengan berbakti kepada orang tua.’
(Tuhfatul Ahwadzi)

4.  Anak-anak yang tidak berbakti dan berbuat baik kepada orang tua, akan terlepas peluang ke syurga. 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ 

Daripada Abu Hurairah dia berkata; Nabi SAW bersabda: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" lalu baginda ditanya; "Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi SAW: "Barang Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah satu dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)."
(HR Muslim No: 4628) Status: Sahih

Berbaktilah sebaik mungkin kepada kedua ibu bapa sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia (dengan mendoakannya).

26hb Dis  2022
02hb Jamadil Akhir 1444H

Saturday, 24 December 2022

Kekayaan Dan Kesihatan Orang Bertakwa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kekayaan Dan Kesihatan Orang Bertakwa 

حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ خُبَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَمِّهِ قَالَ كُنَّا فِي مَجْلِسٍ فَطَلَعَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى رَأْسِهِ أَثَرُ مَاءٍ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَاكَ طَيِّبَ النَّفْسِ قَالَ أَجَلْ قَالَ ثُمَّ خَاضَ الْقَوْمُ فِي ذِكْرِ الْغِنَى فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا بَأْسَ بِالْغِنَى لِمَنْ اتَّقَى وَالصِّحَّةُ لِمَنْ اتَّقَى خَيْرٌ مِنْ الْغِنَى وَطِيبُ النَّفْسِ مِنْ النَّعِيمِ

Telah bercerita kepada kami Mu'adz bin 'Abdullah bin Khubaib dari ayahnya dari pamannya berkata; Kami berada disuatu majlis kemudian Rasulullah SAW datang, dirambut baginda ada sisa-sisa air, kami berkata; Wahai Rasulullah! Kami melihat Rasulullah sedang bahagia. Rasulullah SAW  bersabda: "Benar." Kemudian orang-orang membincangkan kekayaan. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak mengapa kekayaan bagi orang yang bertakwa kepada Allah dan kesihatan bagi orang yang bertakwa kepada Allah itu lebih baik (dari kekayaan) dan kebahagiaan jiwa itu termasuk sebahagian dari kenikmatan." (Musnad Ahmad No:  22144)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kekayaan yang dimiliki oleh seseorang tidak tercela asalkan ia diurus dengan cara yang bertakwa.

2.  Pemilik yang bertakwa akan memastikan sumber hartanya bersih lagi halal disamping menunaikan hak terhadap harta yang dimiliki seperti zakat dan sedekah. 

3.  Orang kaya yang dicela apabila ia tidak menunaikan hak harta dan tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimiliki.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ

Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya sangat beruntung orang yang telah masuk Islam, diberikan rezeki yang cukup dan Allah menjadikannya merasa puas (qanaah) dengan apa yang diberikan kepadanya.” (HR Muslim no: 1746)

4.  Kesihatan yang dimiliki oleh orang yang bertakwa kepada Allah itu lebih baik dari harta kekayaan. Kesihatan yang dimiliki tidak boleh ditukar dengan wang ringgit dan harta.

5.  Kebahagiaan jiwa (ketenangan, ketenteraman dan kelapangan) merupakan sebahagian dari kekayaan  kenikmatan hidup. 

6.  Memiliki wang ringgit dan kekayaan harta belum menjamin ketenangan jiwa.

Biar berharta, asalkan memiliki sifat qanaah (merasa cukup) dan sentiasa bersyukur dengan menunaikan hak-hak harta serta jiwa pemilik harta sentiasa merasa tenang dan bahagia. 

25hb Dis  2022
01hb Jamadil Akhir 1444H

Friday, 23 December 2022

Mukmin Yang Lebih Dicintai Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Yang Lebih Dicintai Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: 'Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Bersemangatlah melakukan hal yang bermanfaat untukmu dan meminta tolonglah pada Allah, serta janganlah engkau malas (menjadi orang yang lemah). Apabila kamu tertimpa suatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan; 'Seandainya tadi aku berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan menjadi begini dan begitu'. Tetapi katakanlah; 'lni sudah takdir Allah dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan-Nya.Dan jauhilah olehmu dari ucapan 'Seandainya' (kalau), kerana sesungguhnya ungkapan 'Seandainya' (kalau) membuka peluang masuknya syaitan ".
(HR Muslim No: 4816) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah.

2.  Mukmin yang kuat dan dicintai Allah adalah yang kuat imannya dan mampu melaksanakan kewajiban dan menyempurnakan tanggungjawabnya.

3.  Mukmin yang lemah tidak melaksanakan kewajiban dan enggan meninggalkan yang haram. Orang seperti inilah yang memiliki kekurangan dan tidak disukai Allah

4.  Kedua-dua mukmin ini sama-sama memiliki kebaikan. Mukmin yang lemah imannya, masih tetap memiliki kebaikan dan dia tentu saja lebih baik daripada orang kafir. Namun mukmin yang kuat imannya tentu saja lebih dicintai oleh Allah.

5.  Rasulullah memerintahkan agar bersemangat dalam melakukan hal-hal yang bermanfaat dalam perkara yang berkaitan dengan agama dan dunia untuk menjadi mukmin yang lebih baik dan lebih dicintai Allah.

6.  Jika berlaku sesuatu yang kurang menyenangkan, redhalah di atas ketetapan taqdir dengan hati yang tenang sehingga bertambahlah imannya.

7.  Jauhilah berkata "kalau" atau "seandainya" kerana ia akan membuka peluang hasutan syaitan.

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan menjadi Mukmin yang KUAT IMAN.

24hb Dis 2022
29hb Jamadil Awal 1444H

Thursday, 22 December 2022

Doa Mohon Perlindungan Semasa Tahiyat Akhir

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Mohon Perlindungan Semasa Tahiyat Akhir

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُو وَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW berdoa: Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari siksa kubur dan dari siksa api neraka dan dari fitnah kehidupan dan kematian dan dari fitnah Al Masih Dajjal.
(HR Bukhari No: 1288) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hidup manusia sentiasa terdedah kepada bahaya dan kejahatan. Kita disuruh berdoa agar sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, selamat daripada ujian di dunia dan juga di hari akhirat.

2.  Antara tempat yang disunatkan berdoa ialah setelah selesai bacaan tahiyat akhir dan sebelum Salam.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَعَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Jika salah seorang di antara kalian bertasyahud, maka mintalah perlindungan pada Allah dari empat perkara yaitu dari siksa Jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari kejahatan Al Masih Ad Dajjal, kemudian hendaklah ia berdoa untuk dirinya sendiri dengan doa apa saja yang ia inginkan.”
(HR. An Nasai no: 1293) Status: Sahih

3.  Antara lafaz doa semasa selesai bacaan tahiyat akhir:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

4.  Doa di atas mengandungi permohonan perlindungan daripada siksa neraka jahanam serta daripada segala fitnah yang melanda manusia sepanjang masa hidup sehingga kematian. 

Ayuh kita amalkan doa ini agar sentiasa terhindar dari fitnah semasa hidup, fitnah dajjal, fitnah ketika mati, siksa kubur serta siksa neraka jahanam.

23hb Dis  2022
28hb Jamadil Awal 1444H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...