Tuesday, 31 October 2023

Makbulnya Doa Berkait Dengan Makan dan Minum

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makbulnya Doa Berkait Dengan Makan dan Minum 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ  وَقَالَ   يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ  ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak akan menerima sesuatu melainkan yang baik pula. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul. Firman-Nya: 'Wahai para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.' Dan Allah juga berfirman: 'Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu.'" Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang laki-laki yang telah lama berjalan kerana jauhnya jarak yang ditempuhnya. Sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: "Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku." Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?." (HR Muslim No: 1686) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah tidak menerima sebarang amalan hambanya melainkan yang baik dan mengikut syarak (halal dan baik).

2.  Allah SWT memerintahkan kepada orang mukmin agar makan dan minum dari sumber yang baik dan halal. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 172:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”

Menurut Imam al-Hafiz Ibn Kathir (dalam Tafsir Ibn Kathir), ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman agar memakan makanan yang baik (halal) daripada apa yang telah Allah SWT rezekikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan tersebut. Tambahan pula, memakan daripada apa yang halal merupakan sebab diterimanya doa dan ibadat sepertimana memakan daripada apa yang haram akan menghalang diterimanya doa dan ibadah.

3.  Allah SWT hanya menerima dari yang halal bermaksud bahawa memakan makanan yang halal boleh menolong dalam melakukan ketaatan kepada Allah kerana beramal soleh diperintahkan setelah perintah memakan makanan yang halal. Jadi, semakin baik makanan yang kita makan, semakin mudah pula kita dalam melakukan amal soleh. (Lihat bahasan Syaikh Solih Fauzan dalam Syarh Al Arba’in An Nawawiyah, hal. 163.)

4.  Antara waktu yang makbul berdoa adalah ketika bermusafir. Walaupun begitu, Allah SWT tidak memperkenankan doa orang yang makannya, minuman  serta berpakaian dari sumber yang haram seperti mengambil rasuah.

5.  Berkata Imam Wahab bin Munabbih rahimahullah: "Siapa yang ingin doanya dimakbulkan oleh Allah SWT, maka perbaikilah makanannya".

Pastikan rezeki yang kita perolehi dari sumber yang halal dan baik. Jangan sesekali memperolehi rezeki dari yang haram walau sekecil manapun.

01hb Nov.  2023
17hb Rabiul Akhir 1445H

Monday, 30 October 2023

Perintah dan Larangan

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perintah dan Larangan

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنِ صَخْرٍ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ یَقُوْلُ : مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلاَفُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ 

Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman ibn Sokhrin RA beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesuatu yang aku larang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu menjauhinya, dan apa-apa yang aku perintahkan kepada kamu, maka hendaklah kamu lakukannya seberapa daya kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu telah binasa lantaran banyak bertanya dan banyak perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka."   (HR Bukhari No: 6777) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap muslim mestilah menjauhi semua larangan Rasulullah SAW kerana apa yang dilarang oleh Baginda pada hakikatnya adalah larangan Allah SWT yang wajib dipatuhi.

2.  Setiap Muslim mestilah melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangan dengan semampu yang boleh. Perintah wajib atau fardhu mestilah dilakukan tanpa kelonggaran kecuali kelonggaran yang diizinkan syara’ iaitu kerana uzur atau sakit

3.  Perintah yang disuruh melakukan sekadar terdaya ialah perintah yang sunat. Dilaksanakan sekadar yang termampu, tanpa memaksa diri dan keterlaluan di luar kemampuan.

4.  Sifat terlalu suka bertanya perkara yang bukan-bukan, berbahas, banyak soal jawab dan membantah suruhan dan larangan para Nabi dan Rasul adalah perangai umat yang terdahulu. Lantaran itu, mereka telah ditimpa kesusahan dan kebinasaan. Umat Muhammad SAW diberi peringatan agar jangan mengulangi kesilapan ini.

5.  Larangan banyak bertanya adalah dalam perkara yang tidak mendatangkan faedah, atau pertanyaan berbentuk mempersendakan atau menghina seseorang serta bertanya tentang masaalah yang tidak berlaku.

31hb Okt  2023
16hb Rabiul Akhir 1445H

Sunday, 29 October 2023

Kehormatan Muslim

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kehormatan Muslim

عَنِ ابْنِ عُمَر رَضِيَ الله عَنْهُمَا، أَنَّ رَسُوْلَ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى یَشْهَدُوا أَنْ لا إِلَهَ إِلاَّ الله، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ، وَیُقِيْمُوا الصَّلاةَ، وَیُؤْ تُوا الزَّكاةَ. فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى الله تعالى 

Daripada lbnu 'Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad utusan Allah, sehingga mereka mendirikan sembahyang dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah mereka dan harta mereka daripada aku, melainkan dengan hak lslam, dan hisab perhitungan amal mereka terserah kepada Allah Ta'ala."  (HR Bukhari No: 25) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sesiapa yang mengucap dua kalimah syahadah, dia menjadi seorang Islam dan nyawa, darah serta hartanya dijamin terpelihara.

2.  Seorang Islam yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat selepas memeluk Islam, dia memperolehi hak seorang Islam dan mempunyai kewajipan terhadap orang Islam lain.

3.  Pemerintah dibolehkan memerangi orang yang enggan membayar zakat dan mengingkari solat. Tentang meninggalkan solat, ulama berpandangan:

a.  Imam Syafi’e dan Imam Malik berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja wajib dihukum bunuh, namun tidak dikatakan kufur.

b.  Imam Ahmad bin Hambal berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja, wajib dibunuh kerana kekufurannya.

c.  Imam Abu Hanifah pendapat orang yang meninggalkan solat dengan sengaja kerana malas atau memandang ringan tidak dikufurkan dan tidak wajib dijatuhkan hukuman bunuh, hanya wajib dipenjarakan sehingga ia kembali mengerjakannya.

4.  Diperbolehkan pemerintah menghukum  mati bagi setiap muslim jika dia melakukan perbuatan yang menuntut dijatuhkan hukuman tersebut seperti: Berzina bagi orang yang sudah menikah (muhshan), membunuh orang lain dengan sengaja dan meninggalkan agama (murtad).

5.  Allah lebih mengetahui rahsia hati setiap kita dan Allah akan memperhitungkannya. Jika kita seorang mukmin yang sebenar, maka kita akan ditempatkan ke dalam syurga. Sebaliknya, jika kita penipu dan munafik, kita akan dihumban ke dalam neraka.

30hb Okt  2023
15hb Rabiul Akhir 1445H

Saturday, 28 October 2023

Agama Itu Nasihat

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Agama Itu Nasihat

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ   وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ  قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Daripada Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, bahawasanya Nabi SAW  bersabda, “Agama itu nasihat”. Kami pun bertanya, “Untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat itu adalah untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam-imam kaum muslimin dan seluruh muslimin (rakyatnya)”. (HR Muslim No: 50) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Agama ini terletak pada  nasihat menasihati kerana dengan nasihat akan menjadikan seseorang menunaikan hak-hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.

2.  Ibnu Mubarak pernah ditanya: Amal apakah yang paling utama? Beliau menjawab: Memberi nasihat kerana Allah.  

3.  Nasihat untuk Allah bermaksud beriman kepada Allah dengan mentauhidkan Allah, menunaikan hak-hak Allah sama ada hak yang wajib mahupun yang sunat. Ikhlas dalam beramal, menjauhi maksiat dan berjihad dijalan-Nya.

4.  Nasihat untuk kitab-Nya bermaksud menunaikan hak Al-Quran: hak untuk dipelajari, dibaca, dijadikan sebagai petunjuk dan hidayah dengan membenarkan beritanya dan melaksanakan perintahnya.

5.  Nasihat untuk Rasul bermaksud dengan cara membenarkan ajarannya, mengimani semua yang dibawa, mencintai dan mencontohi akhlaknya, berselawat serta menghidupkan sunnahnya, mentaati perintah dan larangannya, melawan para musuhnya, membela para pengikutnya, menghormati hak-haknya, memuliakannya, mengikuti seruannya juga menyebarluaskan sunahnya.

6.  Nasihat untuk imam kaum muslimin dengan cara menolong dan mentaati pemimpin dan pemerintah  dalam perkara kebenaran dan keadilan, patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan. Menegur dan mengingati pemimpin dikala mereka lalai dari kewajipan dengan penuh hikmah. Nasihatilah mereka dengan hikmah agar menjadi pemimpin yang berintegriti, baik dan diredhai Allah.

7.  Nasihat untuk kaum Muslimin dengan memberikan bimbingan kepada mereka apa yang dapat memberikan kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat, memimpin mereka, memberikan bantuan kepada mereka, menutup aib dan cacat mereka, menghindarkan diri dari hal-hal yang membahayakan dan mengusahakan kebaikan bagi mereka, menyuruh mereka berbuat makruf dan mencegah mereka berbuat kemungkaran. Mengasihi mereka, memuliakan yang tua dan menyayangi yang muda, memberikan nasihat kepada mereka, menjauhi kebencian dan kedengkian, melindungi harta dan kehormatan mereka baik dengan ucapan mahupun perbuatan.

Semoga agama menjadi penasihat dan peringatan kepada kita untuk saling nasihat menasihati, ingat mengingati agar menjadi Muslim yang menunaikan hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.

29hb Okt  2023
14hb Rabiul Akhir 1445H

Friday, 27 October 2023

Halal Haram dan Syubahat

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Halal  Haram dan Syubahat

عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَ إِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَ بَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَ عِرْضِهِ وَ مَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَ إِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَ هِيَ الْقَلْبُ 

Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer RA. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubahat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubahat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubahat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, dibimbangi binatang yang digembalai akan menceroboh masuk ke dalamnya (untuk makan). Ketahuilah bahawa setiap raja itu ada sempadan (kawasan larangan) dan sesungguhnya sempadan (kawasan larangan) Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati.” (HR Bukhari  No: 52) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap mukmin mestilah berusaha mengenali dan mempelajari perkara halal dan haram seterusnya melaksanakan yang halal dan meninggalkan yang haram demi menjaga kemuliaan agamanya.

2.  Perkara yang kesamaran, yang belum jelas halal haramnya adalah perkara syubahat yang mesti dijauhi, demi menjaga maruah diri dan kemurnian agama.

3.  Banyak melakukan syubahat akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan haram.

4.  Antara sikap wara’ adalah meninggalkan perkara syubahat. Petanda ketakwaan seseorang jika dia meninggalkan perkara-perkara yang syubahat kerana khuatir akan terjerumus kepada hal-hal yang diharamkan.

5.  Sempadan murka dan redha Allah SWT ialah perkara haram. Sesiapa yang melewati garisan dan terjebak melakukan perkara haram, maka dia telah melewati sempadan kemurkaan Allah.

6.  Hati adalah raja, ia adalah anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruh anggota badan yang lain.

7.  Setiap Muslim perlu memberikan perhatian terhadap masalah hati, kerana daripada hati punca tingkah laku seseorang. Baiknya amal perbuatan anggota badan merupakan pertanda baiknya hati.

28hb Okt  2023
13hb Rabiul Akhir 1445H

Wednesday, 25 October 2023

Manusia dan Kehidupan

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Manusia dan Kehidupan

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ  بن مَسْعُود قَالَ حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ فَوَالَّذِي لَا إِلَهَ غَيْرُهُ إِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُهَا وَإِنَّ أَحَدَكُمْ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إِلَّا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُهَا

Daripada Abdullah bin Masud mengatakan, telah menceritakan kepada kami Rasulullah SAW seorang yang jujur lagi di benarkan, baginda bersabda: “Sungguh salah seorang diantara kalian diciptakan kejadiannya dalam perut ibunya selama empat puluh hari daripada air mani, kemudian menjadi segumpal darah juga seperti itu (40 hari), kemudian menjadi segumpal daging juga seperti itu (40 hari), kemudian Allah mengutus malaikat bagi meniupkan ruh padanya, dan diperintahkannya menulis empat perkara iaitu; rezekinya, umurnya, amalnya, dan celaka atau bahagianya.’ Demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sungguh salah seorang dari kamu mengerjakan amal perbuatan ahli syurga, sehingga jarak antara dirinya dan syurga hanyalah satu hasta, namun suratan takdir telah ditetapkan baginya lalu ia mengerjakan amal perbuatan ahli neraka dan akhirnya ia pun masuk neraka. Ada pula seorang yang mengerjakan amal perbuatan ahli neraka, hingga jarak antaranya dan neraka hanya satu hasta, namun suratan takdir telah ditetapkan baginya hingga kemudian ia mengerjakan amal perbuatan ahli syurga dan akhirnya ia pun masuk syurga.’ (HR Muslim No: 4781) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah telah menetapkan proses kejadian manusia di dalam rahim ibu melalui 4 peringkat:

a.  Air mani yang dihimpunkan dengan seperma wanita selama empat puluh hari 

b.  Segumpal darah dimana air mani menjadi segumpal darah  selama empat puluh hari 

c.  Segumpal daging selepas menjadi segumpal darah selama empat puluh hari

d.  Ditiupkan ruh oleh malaikat menjelang janin berumur 120 hari dan malaikat menulis empat perkara iaitu; rezekinya, umurnya, amalnya, dan celaka atau bahagianya

2.  Manusia dijadikan daripada air mani menunjukkan ianya adalah makhluk yang lemah dan memerlukan pertolongan Allah.

3.  Manusia diciptakan daripada dua unsur yang penting iaitu unsur jasmani dan rohani. Kedua-dua unsur tersebut memerlukan tuntutan dan keperluan yang berbeza. Jasad memerlukan kepada makanan dan minuman serta keperluan fizikal. Begitu juga rohani memerlukan makanan dalam bentuk zikrullah dan ibadat.

4.  Manusia diperintahkan supaya sentiasa berusaha dan berikhtiar serta berdoa dan mengharap rahmat Allah agar sentiasa berada dijalan yang diredhai Allah untuk mendapat balasan syurga.

5.  Balasan syurga itu bergantung kepada rahmat Allah dengan menjadikan kita  istiqamah dengan amal solleh hingga ke akhir hayat. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW agar kita tetap di atas agama ini:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ

“Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

6.  Semoga kita sentiasa istiqamah melakukan amal yang solleh dan berdoa mengharap rahmat Allah agar sentiasa diredhai dan mendapat ganjaran syurga.

26hb Okt  2023
11hb Rabiul Akhir 1445H

Tuesday, 24 October 2023

Rukun Islam

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rukun Islam

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Islam dibangunkan di atas lima (tiang); bersaksi tidak ada Ilah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa di bulan Ramadan”. (HR Bukhari No: 7) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam dibangunkan atas lima  perkara iaitu rukun Islam yang terdiri daripada kalimah syahadah, Solat 5 waktu, zakat, puasa dan ibadat haji.

2.  Syahadah adalah satu pengakuan yang dilahirkan oleh perkataan yang terbit dari keyakinan hati yang terhasil dari ilmu pengetahuan tentang pengakuan keimanan kepada Allah dan RasulNya.

3.  Solat ialah melaksanakan ibadat sembahyang dengan sebaik-baiknya mengikut rukun dan peraturan dengan khusyuk berserta ikhlas dan kehadiran hati ketika melaksanakannya.

4.  Zakat adalah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang diwajibkan kepada orang yang berhak menerimanya.

5.  Berpuasa adalah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari.

6.  Ibadat Haji adalah menunaikan segala pekerjaan ibadat di Mekah menurut peraturan yang ditetapkan kepada setiap mukalaf yang berkemampuan dan berkuasa.

7.  Kewajipan menunaikan ibadah haji adalah kepada mereka yang berkuasa mengeluarkan belanja tambang dan segala perbelanjaan lain termasuk mempunyai bekalan dan perbelanjaan yang cukup bagi saraan nafkah orang yang ditinggalkan. 

8.  Bagi pandangan Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti harta tak alih (i.e. rumah lebih dari satu, kenderaan lebih dari satu) atau sesuatu yang lebih daripada keperluan, maka wajib ia menjual sebahagian daripadanya untuk keperluan menunaikan haji.

9.  Barangsiapa menunda-nunda sampai lebih lima tahun, padahal sudah memiliki kemampuan, maka dia benar-benar jauh dari kebaikan.

Nabi SAW bersabda :

يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ : إِنَّ عَبْدًا أَصْحَحْتُ جِسْمَهُ وَأَوْسَعْتُ عَلَيْهِ فِى الْمَعِيشَةِ تَأْتِى عَلَيْهِ خَمْسَةُ أَعْوَامٍ لَمْ يَفِدْ إِلَىَّ لَمَحْرُومٌ

Allâh Azza wa Jalla berfirman, “Sesungguhnya seorang hamba yang telah Aku anugerahi kesihatan badan, Aku telah luaskan penghidupannya, telah lewat padanya lima tahun, (namun) dia tidak mendatangiKu (iaini: melakukan ibadah haji), dia benar-benar dicegah (dari kebaikan). (HR al-Baihaqi No : 10695) Status: Hadis Sahih

Marilah kita berusaha membangun dan memperkukuhkan lima rukun Islam dengan sebaiknya.

25hb Okt  2023
10hb Rabiul Akhir 1445H

Sunday, 22 October 2023

Niat dan Hijrah Kerana Allah

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Niat dan Hijrah Kerana Allah

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

Daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab RA, dia berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan  tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ia menginginkannya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya (yang dia niatkan). (HR Bukhari No: 1) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amal seseorang itu bergantung kepada niat. 

2.  Niat merupakan syarat diterima atau tidaknya sesuatu amal perbuatan. Amal ibadah tidak akan menghasilkan pahala kecuali berdasarkan niat (kerana Allah).

3.  Ikhlas melakukan sesuatu amal semata-mata kerana Allah adalah dituntut pada semua amal dan ibadah.

4.  Ganjaran pahala seorang mukmin akan diberi berdasarkan kadar niatnya.

5.  Orang yang berhijrah atau melakukan sesuatu perbuatan kerana dunia, maka dia hanya akan dapat dunia yang diinginkan.

6.  Orang yang berhijrah kerana wanita, dia juga hanya akan dapat seperti yang diniatkan.

7.  Orang yang berhijrah kerana Allah, dia akan memperoleh apa yang diniatkan dengan ganjaran pahala.

8.  Hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang buruk dan dilarang oleh Allah kepada melakukan sesuatu yang lebih baik dan diredai Allah. Mari bersama berhijrah.

Lakukanlah apa juga amal kebaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Berusahalah melakukan hijrah kepada sesuatu yang lebih baik dan diredai.

23hb Okt  2023
08hb Rabiul Akhir 1445H

Saturday, 21 October 2023

Adakah Kita Umat Seperti Buih?

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Adakah Kita Umat Seperti Buih?

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

Daripada Tsauban ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Hampir  umat-umat berkerumun memusuhi kamu (umat Islam), seperti orang yang kuat makan mengerumuni makanan di dulang." Seorang laki-laki bertanya, "Apakah kami waktu itu jumlahnya sedikit?" baginda menjawab: "Jumlah kamu  pada waktu itu sangat banyak, namun kamu seperti buih laut. Sungguh Allah mencabut kehebatan gerun yang ada pada kamu daripada hati musuh, dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-Wahn." Seseorang lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, apa itu Al-Wahn?" baginda menjawab: "Cintakan dunia dan takutkan mati." (HR Abu Daud No: 3745) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Akan sampai suatu masa umat Islam bilangannya ramai namun penghayatan kepada amalan Islam amat longgar. Penghayatan terhadap al-Quran dan al-Hadis tidak dihiraukan, semangat jihad dan pengorbanan semakin luntur.

2.  Musuh Islam mengerumuni umat Islam seperti mengerumuni makanan kerana tidak ada lagi rasa gerun di atas kehebatan yang ada pada umat Islam. Sifat yang ada pada umat Islam adalah ingin memenuhi keperluan nafsu masing-masing.

3.  Walaupun bilangan umat Islam ramai namun umpama buih, tiada kekuatan dan kemuliaan. Ditiup angin pecah dan berterbangan, tidak tahan lama menghadapi suasana dan cabaran. Berbeza di zaman Rasulullah dan para sahabat, walaupun bilangan mereka sedikit namun mereka boleh mengalahkan musuh yang ramai.

كَم مِّن فِئَةٖ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةٗ كَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّبِرِينَ ٢٤٩ 

"Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 249)

4.  Umat Islam lemah kerana telah dicampakkan kedalam hati mereka  sifat al-wahan iaitu kecintaan kepada dunia dan bencikan kematian (mereka hanya berlumba mendapatkan kepentingan keduniaan seolah-olah mereka tidak akan mati).

5.  Penyakit al-Wahan berpunca dari kekosongan rohani, mereka hanya mengutamakan hawa nafsu dengan menumpukan kepentingan dunia dan menggunakan pelbagai cara dan tipu daya sehingga hilang nilai akhlak. Yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, fitnah dan dengki terhadap orang lain.

6.  Nilai kekuatan umat Islam bukan dari segi bilangan tetapi yang lebih penting adalah dari aspek kualiti, mereka yang menghayati dan beramal dengan ajaran Islam.

Marilah kita berusaha membina kekuatan serta bersatu padu demi menunaikan tanggungjawab ukhuwah sesama kita dan saling bertolong bantu memastikan kekuatan Islam dihadapan, bukan kepentingan peribadi.

Ketika saudara  Muslim kita di Palestin dihujani peluru dan bom setiap hari oleh Zionis Israel dimanakah kita?

Ayuh bersama membantu saudara Muslim di Gaza selain daripada doa, kita bersolidariti dengan rakyat Palestin termasuk kewangan.

22hb Okt  2023
07hb Rabiul Akhir 1445H

Friday, 20 October 2023

Jangan Biarkan Mukmin Direndahkan

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Biarkan Mukmin  Direndahkan

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ بْنِ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ أُذِلَّ عِنْدَهُ مُؤْمِنٌ فَلَمْ يَنْصُرْهُ وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يَنْصُرَهُ أَذَلَّهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Umamah bin Sahal bin Hunaif dari bapaknya dari Nabi SAW baginda bersabda: "Barangsiapa yang di sampingnya ada seorang Mukmin yang direndahkan, lalu dia tidak menolongnya padahal dia mampu, nescaya Allah Azzawajalla akan merendahkannya di hadapan semua makhluk pada Hari Kiamat" (HR Ahmad No: 15416) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut memelihara hak persaudaraan dengan memiliki sifat berkasih sayang dan bersaling bantu dalam perkara kebenaran.

2.  Jika saudara Islam kita dizalimi, dianiaya atau diperlakukan dengan sesuatu yang buruk maka menjadi tanggungjawab kita untuk membantu dan mempertahankannya.

3.  Mukmin yang membiarkan saudaranya direndahkan sedangkan dia mampu untuk menolongnya, di akhirat nanti dia akan direndahkan di hadapan semua makhluk.

4. Saudara Muslim kita di Palestin sedang dianiaya dengan di bom rumah kediaman dan harta mereka termasuk hospital, pembunuhan beramai-ramai sedang dilakukan. Sehingga 20 Okt (semalam) seramai lebih 4000 telah syahid dan lebih 13,000 cedera akibat dibom. Adakah kita akan membiarkan sahaja tanpa apa-apa tindakan dari kita?

Ayuh kita mempertahankan saudara yang dianiaya dan dizalimi di Palestin dengan turut sama bersolidariti, mendoakan kesejahteraan dan keselamatan dan menghulurkan bantuan termasuk wang ringgit.

21hb Okt  2023
06hb Rabiul Akhir 1445H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...