Tuesday, 30 April 2024

Pekerjaan Paling Baik

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pekerjaan Paling Baik

عن سعيد بن عمير الأنصاري قال : سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَىُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ قَالَ : عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ

Daripada Said bin Amir al-Ansari berkata, Rasulullah SAW ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling baik?” Baginda menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.” (HR. Baihaqi No: 1222) Status: Sahih lighairihi

Pengajaran:

1.  Setiap kita wajib melakukan usaha dan ikhtiar bekerja mencari nafkah dan perbelanjaan kehidupan. 

2.  Sumber nafkah hendaklah diperoleh daripada sumber yang halal dan diharuskan syarak.

3.  Pekerjaan yang paling baik ialah yang dilakukan dengan tangan sendiri juga perniagaan yang halal.

4.  Pekerjaan dengan tangan sendiri bermaksud pekerjaan yang dilakukan seseorang tanpa meminta-minta. Pekerjaan tersebut termasuk yang menggunakan tulang empat kerat seperti buruh, tukang, operator juga yang menggunakan kelayakan akademik seperti doktor, guru, pegawai tadbir dan yang lain-lain.

5.  Perniagaan yang baik bermaksud perniagaan atau perusahaan yang bersih dari penipuan dan kecurangan. Baik kecurangan timbangan mahupun kecurangan dengan menyembunyikan cacatnya barang yang dijual.

Selamat Hari Pekerja. Pekerja Kesuma Bangsa.

01hb Mei 2024
22hb Syawal 1445H

Sunday, 28 April 2024

Jauhi Prasangka Dan Mencari Aib Orang

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jauhi Prasangka Dan Mencari Aib Orang

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا 

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." (HR Bukhari No: 5604) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang beriman dilarang menaruh prasangka buruk kepada orang lain kerana ia akan mendorong kepada perbuatan menuduh tanpa bukti yang menjadi dosa besar. Ibnu Sirin berkata: “Jika sampai kepadamu berita yang tidak kamu sukai tentang saudaramu, maka carilah uzur untuknya. Jika kamu tidak mendapati uzur maka katakan, barangkali dia memiliki uzur yang aku tidak mengetahuinya.

2.  Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita dengan mencegah atau menasihat dengan hikmah mengikut kemampuan. 

3.  Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain. Lebih-lebih lagi isu atau kelemahan itu ditulis dan ditularkan di media elektronik seperti FB, Whatsapp, telegram dan sebagainya hingga mengaibkan peribadi seseorang. 

4.  Setiap kita juga dilarang saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci. Raikanlah perbezaan yang ada pada kita dengan saling bermaafan.

5.  Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim. 

Menjaga persaudaraan itu wajib seperti wajibnya solat dan puasa dengan  menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan dan aib orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia dari melakukan maksiat.

29hb April 2024
20hb Syawal 1445H

Saturday, 27 April 2024

Berakhlak Dalam Pertuturan

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berakhlak Dalam Pertuturan

عَنْ عَائِشَةَ  رضي الله عنها قَالَتْ : اسْتَأْذَنَ رَهْطٌ مِنَ الْيَهُودِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا : السَّامُ عَلَيْكُمْ  فَقَالَتْ عَائِشَةُ : بَلْ عَلَيْكُمُ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ  فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ قَالَتْ : أَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا  قَالَ : قَدْ قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ 

Daripada Aisyah RA berkata, sekumpulan orang Yahudi meminta izin untuk bertemu baginda lalu mereka mengucapkan: Assam ‘alaikum (Mati ke atas kamu). Aku (Aisyah) berkata: Ke atas kamu mati dan laknat! Lalu baginda menegur: Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu penyantun menyukai kesantunan dalam semua perkara.” ‘Aku (Aisyah) bertanya: Kamu tak dengarkah apa yang mereka sebut? Baginda berkata: Ya, aku sudah jawab Wa a’laikum (ke atas kamu juga).(Sahih Bukhari no: 6927) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam agama rahmah yang mengajar umatnya berakhlak mulia dalam perbuatan, pertuturan mahupun penulisan.

2.  Islam mengajar umatnya sentiasa menunjukkan akhlak yang mulia dengan bersikap lunak dan santun kerana Allah itu menyukai kesantunan dalam semua perkara.

3.  Rasulullah SAW menegur perbuatan Aisyah RA yang membalas ucapan Yahudi yang memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan Assam ‘alaikum yang membawa maksud buruk iaitu “Mati ke atas kamu”. Aisyah membalas dengan Alaikum sam wa laknatu membawa maksud  “Ke atas kamu mati dan laknat!”

4.  Islam mengajar kita memelihara tutur kata yang baik-baik dan jangan sampai dipengaruhi oleh syaitan dalam mengeluarkan kata-kata sama ada dalam percakapan mahupun penulisan. Firman Allah:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ ٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ يَنزَغُ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ كَانَ لِلۡإِنسَٰنِ عَدُوّٗا مُّبِينٗا 

“Dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (al-Isra: 53).

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini: “Allah memerintah Rasulullah SAW memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan.” (Ibn Kathir, 5/87. Mekah: Dar al-Taybah).

5.  Seseorang boleh, bahkan disuruh menegur ataupun mengkritik sesuatu perkara yang salah. Namun, Islam mengajar agar kita berdisiplin dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa yang buruk dan kotor. Malangnya rata-rata di media sosial hari ini komen berbentuk celaan, makian, umpatan serta fitnah.

Orang yang suka memaki orang lain merupakan golongan yang fasik (golongan pendosa). Mereka bukanlah penegak agama sebaliknya untuk memenuhi kehendak nafsu sendiri dan dipengaruhi syaitan.

28hb April 2024
19hb Syawal 1445H

Friday, 26 April 2024

Segera Mohon Maaf

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Segera Mohon Maaf 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ  قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ  إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ  وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini (di dunia) sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham (hari Kiamat). Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya. (HR Bukhari No: 2282) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu sentiasa berusaha menghindarkan diri dari melakukan dosa dan maksiat sama ada kepada Allah mahupun sesama manusia lain. 

2.  Barangsiapa yang pernah melakukan kesalahan terhadap orang lain,  sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta maaf semasa hidup.

3.  Jika dosa seseorang terhadap orang lain tidak dimaafkan, dibimbangi ia menjadi hutang yang perlu dibayar dengan pahala amalan solehnya di akhirat nanti.

4.  Jika amal kebaikan yang dimiliki telah habis kerana membayar hutang kepada orang lain, maka dosa saudaranya itu akan dipikulkan kepadanya.

5.  Ingatlah firman Allah SWT:

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

Maksudnya: Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu.(Surah al-Zumar : 31)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Zubair bin Awwam, dia berkata: Ketika turunnya ayat 31 Surah al-Zumar (di atas), Zubair bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah perkara yang terjadi di antara kita di dunia akan diungkit kembali di samping dosa-dosa peribadi?” Baginda SAW menjawab:

نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَّ عَلَيْكُمْ حَتَّى يُؤَدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقٍّ حَقُّهُ

Maksudnya: Ya, benar. Semuanya akan diungkit semula sehingga setiap orang memperoleh hak yang semestinya. (HR: Tirmizi No: 3236)

Imam al-Suyuti ketika mengulas ayat ini berkata: “Orang yang dizalimi menuntut (haknya) daripada orang yang zalim, orang yang dhaif menuntut haknya daripada orang yang menindas, sehinggalah setiap mereka dipulangkan hak-hak mereka. Apabila telah dipulangkan hak masing-masing, maka diperintahkan kepada ahli syurga untuk masuk ke syurga manakala ahli neraka untuk masuk ke dalam neraka.” (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/16)

Semoga kita tidak memandang mudah dosa yang kita lakukan kepada orang lain semasa di dunia seperti dosa memfitnah, mengumpat melalui media sosial yang dengan mudah tersebar keseluruh dunia. Jika kita berdosa, maka bersegeralah meminta maaf dan tidak mengulangi lagi.

27hb April 2024
18hb Syawal 1445H

Thursday, 25 April 2024

Jangan Saling Bermusuh

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Jangan Saling Bermusuh*

عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّام

Daripada Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, jangan saling bermusuhan, jangan saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari" (Sahih Bukhari No: 5718) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Umat Islam dilarang saling membenci sesama mereka

2.  Sifat iri hati dan cemburu kepada kelebihan yang ada pada orang lain perlu dijauhi. Elakkan saling berdengki sesama Muslim

3.  Sifat bermusuhan dengan sesama Muslim adalah dilarang kerana setiap Muslim adalah bersaudara. 

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka bermusuh" (Sahih Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

4.  Sebagai Muslim, kita boleh berbeza pandangan namun perlu saling memaafkan. Berusahalah mencari titik persamaan.

5.  Elakkan diri kita daripada tidak bertegur atau menjauhi saudara Muslim melebihi tiga hari.

*Jauhi sikap bermusuh, benci dan dengki. Binalah ukhuwah melalui sifat saling berkasih sayang.*

26hb April 2024
17hb Syawal 1445H

Jauhi Perbuatan Keji Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jauhi Perbuatan Keji Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji)." (Sunan Tirmizi No: 1923) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki

2.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang daripada seseorang yang melakukan perbuatan keji.

3.  Perbuatan keji (seperti memfitnah, mengumpat dan mencela) termasuk segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain, akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim.

4.  Salman al-Farisi menyatakan: Jika sifat kasih sayang dicabut bermakna sebahagian dari imannya juga akan dicabut maka jika sudah demikian maka dia tidak akan menemui Allah melainkan dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat.

Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi akhlak terpuji dan mengukuhkan iman kita.

25hb April 2024
16hb Syawal 1445H

Tuesday, 23 April 2024

Kemanisan Iman

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kemanisan Iman

عن أنسٍ رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Ada tiga perkara, barangsiapa ada pada dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasakan manisnya iman (yaitu, yang pertama): Allâh Azza wa Jalla dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding dengan yang lain, (kedua) dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintai kecuali kerana Allâh dan (ketiga) dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api neraka (Sahih Muslim No: 43) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tiga perkara jika dimiliki oleh seorang Muslim akan menjadikannya memperoleh kemanisan iman:

a.  Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selain keduanya.

b.  Apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah.

c.  Ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

2.  Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).

3.  Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan Sunnahnya, menghidupkan, dan mengajak kaum Muslimin untuk mengamalkannya, serta berjuang membela As-Sunnah dari orang-orang yang mengingkari As-Sunnah dan melecehkannya. Termasuk cinta kepada Nabi SAW adalah menolak dan mengingkari semua bentuk bidah dan kesesatan.

4.  Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah sebagai tanda mencapai kemanisan iman. Mengikut ulama: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW  adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.

5.  Kemanisan iman juga tercapai apabila ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

24hb April 2024
15hb Syawal 1445H

Monday, 22 April 2024

Malaikat Mendoakan Kepada Pendoa

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Malaikat Mendoakan Kepada Pendoa   

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Daripada Abi Darda RA, Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat akan mendoakannya pula: 'Dan bagimu kebaikan yang sama.' (Sahih Muslim No: 4912) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.

2.  Mereka yang mendoakan sahabatnya ketika berjauhan (tanpa pengetahuannya), malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuknya.

3.  Doa seseorang kepada sahabatnya ketika berjauhan tidak akan tertolak. Sepertimana hadis Rasulullah SAW:

دُعَاءُ الأخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الغَيبِ لايُرَدُّ
"Doa seseorang kepada saudaranya yang tidak ada disisinya, tidak akan tertolak" (HR Al-Bazzar: 500)

Marilah kita mendoakan sahabat kita dengan kebaikan. Moga malaikat juga mendoakan yang sama untuk kita. Bangunkan Jiwa Taqwa.

23hb April 2024
14hb Syawal 1445H

Saturday, 20 April 2024

Jadilah Cerminan Mukmin Lain

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Cerminan Mukmin Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ الْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ يَكُفُّ عَلَيْهِ ضَيْعَتَهُ وَيَحُوطُهُ مِنْ وَرَائِهِ

Daripada Abu Hurairah dari Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mukmin itu cermin bagi mukmin yang lain, dan seorang mukmin itu saudara bagi mukmin yang lain; ia membantu saudaranya ketika kehilangan (ikut menanggung kesusahannya) serta menjaganya (membelanya) dari belakang." (HR Abu Daud No: 4272) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Seorang Mukmin apabila melihat akhlak mulia pada diri saudara mukminnya, maka dia akan mencontohinya. Jika dia melihat berbagai sifat tercela dalam diri saudaranya, dia mengetahui bahawa dirinya memiliki keburukan yang sama, maka dia segera berusaha membersihkan dan menyingkirkan sifat-sifat tercela itu dari dirinya.

2.  Seorang Mukmin apabila melihat sifat tercela pada diri saudara mukminnya, dia akan segera menasihatkan saudaranya itu untuk menghilangkannya. Dia menjadi cermin bagi saudara Mukminnya. Dengan nasihat yang diberi diharap dia sendiri dapat melihat aibnya, seperti cermin yang menampakkan keburukan wajah seseorang.

3.  Seorang Mukmin akan memandang Mukmin yang lain sesuai dengan keadaan hatinya. Jika hatinya baik, suci, jujur dan bersih dari sifat tercela, maka dalam pandangannya semua Mukmin yang lain juga baik. Dia berprasangka baik kepada seluruh Mukmin dan sama sekali tidak akan berfikiran buruk terhadap orang lain.

4.  Seorang mukmin akan saling bertolong bantu sesama mukmin jika berada di dalam kesusahan dan membela mukmin yang lain jika mereka dianiaya atau dizalimi.

Marilah kita jadi cermin kepada saudara Mukmin kita yang lain. Bangunkan Jiwa Taqwa.

21hb April 2024
12hb Syawal 1445H

Friday, 19 April 2024

Bersifat Lemah Lembut dan Penyayang

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersifat Lemah Lembut dan Penyayang

عَنْ جَرِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُحْرَمْ الرِّفْقَ يُحْرَمْ الْخَيْرَ

Daripada Jarir RA dari Nabi SAW bersabda: Barang siapa dijauhkan dari sifat lemah lembut (kasih sayang), berarti ia dijauhkan dari kebaikan. (HR Muslim  No: 4694) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sifat penyayang dan lemah lembut dituntut ke atas setiap Muslim

2.  Orang yang tidak mempunyai sifat penyayang atau lemah lembut terhadap orang lain akan dijauhkan dari rahmat Allah.

3.  Saling menyayangi dan mengasihi adalah tanda kesempurnaan iman. Rasul SAW. bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا 

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Kalian tidak masuk syurga hingga kalian beriman dan belum sempurna keimanan kalian hingga kalian saling mencintai  (HR Muslim No: 81).

Sempena kita masih berada dibulan Syawal ini, marilah kita suburkan sifat rahmah dengan berlemah lembut dan penyayang terhadap orang lain. 

Moga kita menjadi warganegara yang saling menyayangi. Kemenangan Dirai Silaturrahim Bersemi. Bangunkan Jiwa Taqwa.

20hb April 2024
11hb Syawal 1445H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...