Thursday, 10 April 2025

JADILAH HAMBA ALLAH YANG BERSAUDARA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

JADILAH HAMBA ALLAH YANG BERSAUDARA

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
"إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ، فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ، وَلَا تَحَسَّسُوا، وَلَا تَجَسَّسُوا، وَلَا تَحَاسَدُوا، وَلَا تَدَابَرُوا، وَلَا تَبَاغَضُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا."

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
"Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta. Janganlah kalian saling mengintai, saling mengintip, saling dengki, saling berpaling, dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara."
(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 5717 | Dar Ibn Kathir | Status: Sahih)

Pengajaran Hadis:

1. Islam melarang prasangka buruk kerana ia boleh membawa kepada fitnah dan salah faham. Sebaliknya, kita digalakkan berbaik sangka sesama Muslim.


2. Dilarang mencari kesalahan orang lain atau menceroboh privasi mereka tanpa sebab yang dibenarkan syarak.


3. Sifat dengki, permusuhan, dan membenci sesama Muslim amat ditegah kerana ia merosakkan hubungan ukhuwah.


4. Muslim perlu menghindari sikap bermusuhan atau menjauhkan diri tanpa sebab yang syar’ie.


5. Islam menekankan agar menjaga tali persaudaraan, saling menyayangi dan membantu.


6. Hadis ini menyeru kita membina masyarakat berasaskan kasih sayang, saling menghormati dan menjauhi perpecahan.



12 Syawal 1446H | 11 April 2025M

Wednesday, 9 April 2025

Jadilah Cermin Mukmin Lain

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Jadilah Cermin Mukmin Lain*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ الْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ يَكُفُّ عَلَيْهِ ضَيْعَتَهُ وَيَحُوطُهُ مِنْ وَرَائِهِ

_*Daripada Abu Hurairah dari Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mukmin itu cermin bagi mukmin yang lain, dan seorang mukmin itu saudara bagi mukmin yang lain. Dia akan membantu saudaranya ketika kehilangan (ikut menanggung kesusahannya) serta melindunginya (membelanya) dari belakang."*_ (HR Abu Daud No: 4272) Status: Hadis Hasan

*Pengajaran:*

1.  Seorang Mukmin apabila melihat akhlak mulia pada diri saudara mukminnya, maka dia akan mencontohinya. Jika dia melihat berbagai sifat tercela dalam diri saudaranya, dia mengetahui bahawa dirinya memiliki keburukan yang sama, maka dia segera berusaha membersihkan dan menyingkirkan sifat-sifat tercela itu dari dirinya.

2.  Seorang Mukmin apabila melihat sifat tercela pada diri saudara mukminnya, dia akan segera menasihatkan saudaranya itu untuk menghilangkannya. Dia menjadi cermin bagi saudara Mukminnya. Dengan nasihat yang diberi diharap dia sendiri dapat melihat aibnya, seperti cermin yang menampakkan keburukan wajah seseorang.

3.  Seorang Mukmin akan memandang Mukmin yang lain sesuai dengan keadaan hatinya. Jika hatinya baik, suci, jujur dan bersih dari sifat tercela, maka dalam pandangannya semua Mukmin yang lain juga baik. Dia berprasangka baik kepada seluruh Mukmin dan sama sekali tidak akan berfikiran buruk terhadap orang lain.

4.  Seorang mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain. Dia akan saling bertolong bantu jika orang mukmin yang lain berada di dalam kesusahan dan membelanya jika mereka dianiaya atau dizalimi.

5.  Seorang mukmin sepatutnya memandang saudaranya seperti saudara kandungnya sendiri, dengan rasa kasih sayang, saling menghormati, dan menjaga kepentingan serta keselamatan mereka. Hubungan ini melampaui batasan fizikal dan kewangan, menjadikan setiap mukmin itu seperti satu keluarga yang saling menyokong.

6.  Seorang mukmin harus menjaga kehormatan dan keselamatan saudaranya dalam segala hal. Ia berusaha untuk mencegah kerugian atau kemudaratan yang mungkin menimpa saudaranya, baik dalam urusan duniawi mahupun ukhrawi. Hal ini termasuklah menutup aib saudaranya, memberi perlindungan kepada mereka, dan tidak membiarkan mereka terdedah kepada bahaya atau kezaliman.

Marilah kita jadi cermin kepada saudara Mukmin kita yang lain. Bangunkan Jiwa Taqwa.

11hb Syawal 1446H
10hb April 2025

Tuesday, 8 April 2025

PATUT KAH KITA SOMBONG?

PATUT KAH KITA SOMBONG?

*السَّلاَمُ .عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه*
*بِسْــــــــــــــــــمِ اللهِ*
*Tazkirah Pg Rabu, 10  Syawal 1446H* _Sila share dan semoga menjadi amal jariyah dgn menyebarkan ilmu_

Berkata Abu Bakar ash-Shiddiq radhiyallahu 'anhu

إياكم واتباع الهوى؛ فقد أفلح من حفظ من الهوى والطمع والغضب. وإياكم والفخر، وما فخر من خلق من تراب ثم إلى التراب يعود، ثم يأكله الدود،ثم هو اليوم حيٌ وغدًا ميت؟!

"Hati-hatilah kamu dari mengikuti hawa nafsu! Sesungguhnya telah beruntung sesiapa yang dijaga (dilindungi) dari hawa nafsu, kerakusan, dan sifat marah. Hati-hatilah kamu dari kesombongan! Apa yang perlu sangat untuk disombongkan  oleh makhluk yang telah tercipta dari tanah lalu dikembalikan ke tanah, kemudian tubuhnya dimakan oleh cacing? Hari ini dia hidup, dan esok dia mati?!"
Tarikh al-Khulafa', hlm. 197

Bersifat Lemah Lembut dan Penyayang

*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

*Bersifat Lemah Lembut dan Penyayang*

عَنْ جَرِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُحْرَمْ الرِّفْقَ يُحْرَمْ الْخَيْرَ

_*Daripada Jarir RA dari Nabi SAW bersabda: Barang siapa dijauhkan dari sifat lemah lembut (kasih sayang), bererti ia dijauhkan dari kebaikan.*_ (HR Muslim  No: 4694) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

*1.  Sifat penyayang dan lemah lembut dituntut ke atas setiap Muslim.*

*2.  Sifat penyayang dan lemah lembut adalah kunci kepada segala kebaikan. Ia menjadikan hubungan lebih harmoni, menjauhkan perselisihan, dan membantu kita memperoleh redha Allah. Dengan berlemah-lembut, seseorang akan mudah mendapat pertolongan daripada orang lain dan lebih berkemampuan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.*

*3.  Orang yang tidak mempunyai sifat penyayang atau lemah lembut sama ada ucapan, tulisan mahupun perbuatan terhadap orang lain, maka ia akan dijauhkan dari rahmat Allah. Sifat kasar dan keras hati akan menjauhkan seseorang daripada kebaikan. Bersikap keras dan tidak sabar, mungkin menyebabkan orang lain tersinggung, merosakkan hubungan, dan akhirnya menjauhkan diri daripada keredaan Allah.*

4.  Saling menyayangi dan mengasihi adalah tanda kesempurnaan iman. Rasul SAW. bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا 

*Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Kalian tidak masuk syurga hingga kalian beriman dan belum sempurna keimanan kalian hingga kalian saling mencintai* (HR Muslim No: 81).

5. Menjadi lemah lembut bukanlah tentang kelemahan, tetapi tentang kebijaksanaan dan kesabaran dalam menghadapi ujian kehidupan. Orang yang sabar dan bijaksana dalam bertindak akan lebih mampu menguruskan pelbagai situasi dengan baik.

Sempena kita masih berada dibulan Syawal ini, marilah kita suburkan sifat rahmah dengan berlemah lembut dan penyayang terhadap orang lain. 

Moga kita menjadi warganegara yang saling menyayangi. Kemenangan Dirai Silaturrahim Bersemi. Bangunkan Jiwa Taqwa.

10hb Syawal 1446H
09hb April 2025

Sunday, 6 April 2025

JADILAH PENGASIH UNTUK DIRAHMATI ALLAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

JADILAH PENGASIH UNTUK DIRAHMATI ALLAH

سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ

Daripada Saad bin Ubadah RA, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hamba-Nya yang penuh kasih sayang."

(Sahih Bukhari, Hadis No: 1284)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sifat penyayang dan pengasih adalah dituntut pada setiap Muslim. Kasih sayang sesama manusia adalah asas kepada meraih rahmat Allah.


2. Allah hanya merahmati Muslim yang memiliki sifat kasih sayang kepada sesama manusia dan makhluk lain. Jika kita ingin mendapat rahmat-Nya, kita perlu menjadi orang yang penyayang dan penuh empati terhadap orang lain.


3. Milikilah sifat kasih sayang terhadap orang lain. Antaranya ialah sifat saling hormat menghormati, saling bermaafan serta sifat membantu mereka yang sedang menghadapi musibah, sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun pandangan dan nasihat.


4. Dengan mengamalkan kasih sayang dalam kehidupan seharian, ia bukan sahaja mendekatkan kita dengan Allah tetapi juga dapat memperbaiki hubungan sosial kita dengan orang lain. Sikap kasih sayang dapat membina masyarakat yang harmoni dan penuh dengan bantuan serta sokongan sesama ahli.


5. Di musim lebaran ini, suburkanlah sifat mengasihi orang lain dengan mendoakan kebaikan, membantu mereka yang sedang kesempitan, memberi makan orang yang kelaparan serta mengunjungi orang sakit dan yang ditimpa musibah.


6. Jika kita benci atau tidak suka kepada kejahatan seseorang, lakukan dengan cara yang dibenarkan syarak bukan dengan cara memaki hamun di laman sosial.



Jika kita ingin dirahmati Allah, maka milikilah sifat pengasih dan penyayang terhadap orang lain. Islam agama yang mulia dan berakhlak.

08 Syawal 1446H
07 April 2025

Saturday, 5 April 2025

KASIHI YANG MUDA, HORMATI YANG TUA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

KASIHI YANG MUDA, HORMATI YANG TUA

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا وَيَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَ عَنْ الْمُنْكَرِ

Daripada Ibnu Abbas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda:
"Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami, serta tidak menyuruh yang makruf dan melarang yang munkar."

(Sunan Tirmizi No: 1921) | Dar Kutub Ilmiyyah | Status: Hadis Hasan

Pengajaran Hadis:

1. Orang yang tidak mengasihi anak-anak kecil dan menghormati orang tua – mereka tidak mengikuti sunnah Rasulullah SAW dan adab seorang Muslim.


2. Menghormati orang tua termasuk tuntutan Islam. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ جِبْرِيلَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنِي أَنْ أُكَبِّرَ
"Jibril telah menyuruhku untuk mendahulukan orang-orang yang lebih tua"
(Musnad Ahmad No: 1555)


3. Menghormati orang tua adalah tanda mengagungkan Allah. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ إِجْلَالِ اللَّهِ إِكْرَامَ ذِي الشَّيْبَةِ الْمُسْلِمِ
"Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati orang Muslim yang sudah tua"
(Sunan Abu Daud No: 4203 – Dihasankan oleh Imam Nawawi & Ibn Hajar)


4. Dahulukan orang yang lebih tua. Malik bin Mighwal rahimahullah berkata:
"Seandainya aku tahu engkau lebih tua sehari daripadaku, nescaya aku tidak akan mendahuluimu"
(Diriwayatkan oleh Al-Khatib Al-Baghdadi, Al-Jaami’ li Akhlaaqir Raawi No: 249)


5. Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab setiap Muslim dalam aspek ibadah, akhlak dan kehidupan sosial.



Berusahalah untuk menyayangi yang muda, menghormati yang tua dan mengajak kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran.

07hb Syawal 1446H | 06hb April 2025M

Friday, 4 April 2025

Berjabat Tangan Mengerat Ukhuwah

*ASSALAMUALAIKUM wbt.*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berjabat Tangan Mengerat Ukhuwah

عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي مُسْلِمٍ عَبْدِ اللَّهِ الْخُرَاسَانِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَافَحُوا يَذْهَبْ الْغِلُّ وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا وَتَذْهَبْ الشَّحْنَاءُ

Daripada Atha bin Abu Muslim Abdullah Al-Khurasani berkata,  Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian saling berjabat tangan, dengan begitu akan menghilangkan kebencian, dan hendaklah kalian saling memberi hadiah nescaya kalian akan saling mencintai dan menghilangkan perasaan dendam” (Muwatta No: 1685)  Dar Ihya Ulum Arabiyyah. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Berjabat tangan akan melahirkan perasaan kasih sayang, “mengeratkan” ukhuwah Islamiyah diantara sesama muslim

2.  Berjabat tangan akan menghilangkan permusuhan dan kedengkian di dalam hati, menghilangkan rasa “al-ghil” (dengki atau hasad - perasaan tidak suka). Berjabat tangan menghilangkan perasaan benci dan mencipta suasana penuh kasih sayang dan saling menghormati.

3.  Berusaha untuk memulai berjabat tangan terlebih dahulu ketika  bertemu. Rasulullah SAW merupakan orang yang terlebih dahulu memulai berjabat tangan apabila bertemu sahabat.

4.  Bersalaman merupakan bentuk penghormatan, kita dianjurkan untuk membalas penghormatan dengan cara yang lebih baik daripada penghormatan yang dilakukan oleh saudara kita. Apabila saudara kita mengucapkan salam, maka hendaknya kita balas dengan salam serupa atau yang lebih baik (lebih sempurna) daripada salamnya, dan jika ia menjabat tangan, maka hendaklah kita membalasnya dengan jabatan tangan yang lebih erat dan lebih mesra kepadanya. Dalam sebuah riwayat disebutkan :

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضيَ اللهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مِنْ تَمَامِ التَّحِيَّةِ الْأَخْذُ بِالْيَدِ 

Daripada Abdullah bin Masud RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Diantara bentuk penghormatan yang paling sempurna adalah berjabat tangan. (Sunan Tirmizi No: 2730) Dar Kutub Ilmiyyah.

5.  Saling memberi hadiah akan melahirkan perasaan kasih dan sayang sesama kita. Memberi duit raya kepada kanak-kanak akan melahirkan rasa kegembiraan dan kasih sayang.

6.  Saling memberi hadiah menghilangkan perasaan dendam dan marah. Alangkah elok bagi yang muda menziarahi orang tua di musim perayaan dengan memberi hadiah kepada mereka sama ada berbentuk wang ringgit mahupun kuih muih.

Dengan melaksanakan sunnah berjabat tangan serta memberi hadiah, akan mampu menanam rasa kasih sayang, dapat mengelakkan perasaan dengki dan permusuhan, serta mewujudkan masyarakat yang penuh dengan ukhuwah dan keharmonian.

06hb Syawal 1446H
05hb April 2025

Thursday, 3 April 2025

UCAPAN SALAM DAN BERSALAMAN MENGGUGURKAN DOSA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

UCAPAN SALAM DAN BERSALAMAN MENGGUGURKAN DOSA

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا لَقِيَ الْمُؤْمِنَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ وَأَخَذَ بِيَدِهِ فَصَافَحَهُ تَنَاثَرَتْ خَطَايَاهُمَا كَمَا يَتَنَاثَرُ وَرَقُ الشَّجَرِ"

Daripada Huzaifah al-Yaman RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

"Sesungguhnya seorang mukmin apabila bertemu dengan mukmin lainnya lalu mengucapkan salam kepadanya dan mengambil tangannya untuk bersalaman, maka berguguranlah dosa-dosa mereka seperti gugurnya daun-daun dari pepohon."

(Mu’jam Awsat li Tabarani No: 247) Maktabah Maarif.
Status: Al-Munziri berkata tiada perawi dalam jalur sanad ini yang dikritik.

Pengajaran Hadis:

1. Mengucapkan salam merupakan adab penting yang perlu diamalkan apabila bertemu sesama Muslim.


2. Salam melambangkan kasih sayang antara sesama Muslim, sebagaimana sabda Nabi SAW:

“Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan, kalian akan saling mencintai? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kalian.”
(Sahih Muslim No: 54) Dar Ihya Kutub Arabiyyah.
Status: Hadis Sahih.


3. Berjabat tangan bukan sekadar adat, tetapi ibadah yang disyariatkan ketika bertemu dan berpisah serta menjadi sebab diampunkan dosa.


4. Amalan berjabat tangan adalah sunnah para sahabat, sebagaimana riwayat berikut:

عَنْ قَتَادَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ قُلْتُ لِأَنَسٍ أَكَانَتْ الْمُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ

Daripada Qatadah RA, aku berkata kepada Anas bin Malik, "Apakah berjabat tangan selalu dilakukan oleh para Sahabat Rasulullah SAW?" Anas menjawab, "Ya".
(Sahih Bukhari No: 5908) Dar Ihya Kutub Arabiyyah.
Status: Hadis Sahih.


5. Ibn Hajar menyebut: "Berjabat tangan adalah melekatkan telapak tangan pada telapak tangan yang lain." (Fathul Bari, 11/54).


6. Berjabat tangan dengan penuh keikhlasan menggugurkan dosa-dosa seperti dedaun yang gugur dari pokok.



Ambillah keberkatan bulan Syawal untuk saling menziarahi, mengucapkan salam dan bersalaman dalam lingkungan yang dibenarkan syarak.

05 Syawal 1446H
04 April 2025

Wednesday, 2 April 2025

PERTEMUAN DUA MUSLIM MENGAMPUNKAN DOSA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PERTEMUAN DUA MUSLIM MENGAMPUNKAN DOSA

عَنْ أَبِي إِسْحَقَ عَنْ الْبَرَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلَّا غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا

Daripada Abu Ishaq daripada Al-Bara` ia berkata, Rasulullah SAW bersabda:

"Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu saling berjabat tangan (bersalaman), melainkan kedua-duanya akan diampuni sebelum mereka berpisah."

(Sunan Abi Daud No: 5212) Maktabah Asriyyah.
Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Pentingnya menjaga hubungan baik dan mempereratkan ikatan ukhuwah sesama Muslim. Ambil peluang sempena Syawal ini untuk saling ziarah-menziarahi, bertemu dan bersua muka.


2. Ketika bertemu sesama Muslim, ambil peluang untuk bersalaman, dengan syarat bukan dengan yang berlainan jantina secara yang dilarang.


3. Bersalaman menghilangkan perasaan dendam, kebencian, dan permusuhan, selari dengan ajaran Islam yang mengutamakan perdamaian dan persaudaraan.


4. Setiap interaksi sesama Muslim adalah peluang untuk meraih rahmat dan keampunan Allah SWT, terutama jika diiringi dengan salaman yang tulus.



Marilah kita mengambil kesempatan di Syawal yang mulia ini untuk saling bersalaman dan bermaafan.

Allah berfirman dalam Surah An-Nur ayat 22:

وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

"Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

📅 04 Syawal 1446H
📅 03 April 2025M

PUASA SUNAT ENAM SYAWAL

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

PUASA SUNAT ENAM SYAWAL

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ.

Daripada Abu Ayyub Al-Ansari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan puasa enam hari dari bulan Syawal, maka seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun.”
(Sahih Muslim No: 1984, Dar Ihya Kutub Arabiyyah)

Pengajaran:

1. Kewajipan mukmin melaksanakan ibadah puasa sebulan Ramadhan.


2. Orang yang berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadhan dan diikuti puasa sunat enam hari di bulan Syawal memperoleh ganjaran pahala setara dengan berpuasa sepanjang tahun.


3. Menurut Imam Nawawi: "Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan, manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan."


4. Puasa sunat enam hari pada bulan Syawal tidak semestinya dilakukan enam hari berturut-turut. Ia boleh dimulakan pada 2, 3 atau 4 Syawal atau bila-bila masa dalam bulan Syawal sehingga penghujungnya.


5. Imam al-Nawawi menaqalkan pendapat Ashab al-Syafie: "Yang paling afdhal adalah berpuasa enam hari berturut-turut selepas Aidilfitri. Namun, jika dilakukan secara berselang, asalkan cukup enam hari dalam bulan Syawal, ia tetap mendapat fadhilat al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi).”



Marilah dalam kemeriahan meraikan hari raya, kita tidak melupakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Jadilah kita seorang Rabbani (hamba Allah yang sentiasa beribadah kepada-Nya di setiap waktu dan tempat), dan bukan sekadar Ramadhani (orang yang hanya beribadah di bulan Ramadhan).

03 Syawal 1446H
02 April 2025

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...