*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Jadilah Cermin Mukmin Lain*
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ الْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ يَكُفُّ عَلَيْهِ ضَيْعَتَهُ وَيَحُوطُهُ مِنْ وَرَائِهِ
_*Daripada Abu Hurairah dari Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mukmin itu cermin bagi mukmin yang lain, dan seorang mukmin itu saudara bagi mukmin yang lain. Dia akan membantu saudaranya ketika kehilangan (ikut menanggung kesusahannya) serta melindunginya (membelanya) dari belakang."*_ (HR Abu Daud No: 4272) Status: Hadis Hasan
*Pengajaran:*
1. Seorang Mukmin apabila melihat akhlak mulia pada diri saudara mukminnya, maka dia akan mencontohinya. Jika dia melihat berbagai sifat tercela dalam diri saudaranya, dia mengetahui bahawa dirinya memiliki keburukan yang sama, maka dia segera berusaha membersihkan dan menyingkirkan sifat-sifat tercela itu dari dirinya.
2. Seorang Mukmin apabila melihat sifat tercela pada diri saudara mukminnya, dia akan segera menasihatkan saudaranya itu untuk menghilangkannya. Dia menjadi cermin bagi saudara Mukminnya. Dengan nasihat yang diberi diharap dia sendiri dapat melihat aibnya, seperti cermin yang menampakkan keburukan wajah seseorang.
3. Seorang Mukmin akan memandang Mukmin yang lain sesuai dengan keadaan hatinya. Jika hatinya baik, suci, jujur dan bersih dari sifat tercela, maka dalam pandangannya semua Mukmin yang lain juga baik. Dia berprasangka baik kepada seluruh Mukmin dan sama sekali tidak akan berfikiran buruk terhadap orang lain.
4. Seorang mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain. Dia akan saling bertolong bantu jika orang mukmin yang lain berada di dalam kesusahan dan membelanya jika mereka dianiaya atau dizalimi.
5. Seorang mukmin sepatutnya memandang saudaranya seperti saudara kandungnya sendiri, dengan rasa kasih sayang, saling menghormati, dan menjaga kepentingan serta keselamatan mereka. Hubungan ini melampaui batasan fizikal dan kewangan, menjadikan setiap mukmin itu seperti satu keluarga yang saling menyokong.
6. Seorang mukmin harus menjaga kehormatan dan keselamatan saudaranya dalam segala hal. Ia berusaha untuk mencegah kerugian atau kemudaratan yang mungkin menimpa saudaranya, baik dalam urusan duniawi mahupun ukhrawi. Hal ini termasuklah menutup aib saudaranya, memberi perlindungan kepada mereka, dan tidak membiarkan mereka terdedah kepada bahaya atau kezaliman.
Marilah kita jadi cermin kepada saudara Mukmin kita yang lain. Bangunkan Jiwa Taqwa.
11hb Syawal 1446H
10hb April 2025
No comments:
Post a Comment