Wednesday, 16 April 2025

SEGERA MOHON MAAF

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

SEGERA MOHON MAAF

(Segera Mohon Maaf)

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Terjemahan:
Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Barangsiapa pernah menzalimi saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan (keampunan) daripadanya hari ini (di dunia) sebelum datang suatu hari yang tidak ada lagi dinar dan dirham (hari Kiamat).
Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, pahala amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar kezaliman yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan (dosa) saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya.

(Hadis Riwayat al-Bukhari, No: 2282) – Hadis Sahih


---

Pengajaran Hadis:

1. Setiap Muslim perlu berusaha menghindari dosa kepada Allah dan juga kepada sesama manusia.


2. Jika pernah melakukan kesalahan terhadap orang lain, seperti memfitnah, mengumpat atau mengambil haknya, hendaklah segera meminta maaf sebelum terlambat.


3. Dosa sesama manusia tidak diampunkan kecuali setelah mendapat keampunan orang tersebut.


4. Di akhirat nanti, pahala boleh berpindah tangan sebagai ganti kepada kezaliman, atau dosa orang lain pula akan dipikul.


5. Allah berfirman:
ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ
Maksudnya: Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu.
(Surah al-Zumar: 31)


6. Rasulullah SAW bersabda:
نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَّ عَلَيْكُمْ حَتَّى يُؤَدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقٍّ حَقُّهُ
Maksudnya: Ya, benar. Semuanya akan diungkit semula sehingga setiap orang memperoleh hak yang semestinya.
(Hadis Riwayat Tirmizi, No: 3236 – Sahih)


7. Imam al-Suyuti menyatakan bahawa segala hak akan dikembalikan sebelum ahli syurga masuk ke syurga dan ahli neraka ke neraka.



Semoga kita tidak memandang ringan dosa kepada manusia seperti memfitnah atau mengumpat, lebih-lebih lagi di media sosial. Segeralah memohon maaf dan bertaubat. Di akhirat kelak, tiada wang untuk membayar kesalahan kita.


---

17 Syawal 1446H | 16 April 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...