Saturday, 26 April 2025

MUKMIN UMPAMA POHON MUDA

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

MUKMIN UMPAMA POHON MUDA

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
مَثَلُ الْمُؤْمِنِ كَمَثَلِ خَامَةِ الزَّرْعِ يَفِيءُ وَرَقُهُ مِنْ حَيْثُ أَتَتْهَا الرِّيحُ تُكَفِّئُهَا فَإِذَا سَكَنَتْ اعْتَدَلَتْ وَكَذَلِكَ الْمُؤْمِنُ يُكَفَّأُ بِالْبَلَاءِ وَمَثَلُ الْكَافِرِ كَمَثَلِ الْأَرْزَةِ صَمَّاءَ مُعْتَدِلَةً حَتَّى يَقْصِمَهَا اللَّهُ إِذَا شَاءَ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Perumpamaan orang mukmin adalah seperti sebatang tanaman muda yang lembut, yang melambai-lambai daunnya dan bergoyang apabila ditiup angin. Apabila angin berhenti bertiup, ia kembali tegak. Begitulah keadaan seorang mukmin; sentiasa diuji dengan bala dan musibah. Sebaliknya, perumpamaan orang kafir adalah seperti pohon jati yang keras, berdiri tegak, sehingga akhirnya Allah mematahkannya apabila Dia menghendakinya."
(Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 6912)
Status: Hadis Sahih

Pengajaran Hadis:

1. Setiap mukmin pasti akan melalui pelbagai ujian dan dugaan sepanjang kehidupan di dunia.


2. Perumpamaan mukmin seperti pokok muda yang lembut – condong apabila ditiup angin tetapi cepat kembali tegak – menggambarkan ketabahan mukmin yang diuji namun tetap bangkit semula.


3. Orang kafir diibaratkan seperti pokok kayu jati yang keras dan kaku; akhirnya rebah apabila datang musibah yang besar kerana tidak mempunyai asas keimanan.


4. Untuk menjadi mukmin sejati, seseorang mesti bersabar, reda, dan menerima ujian dengan penuh keyakinan terhadap ketetapan qada' dan qadar Allah.


5. Setiap kesusahan seperti diberhentikan kerja, diuji dengan kemiskinan, kesakitan, dan lain-lain, merupakan pembersihan dosa serta pengangkat darjat seseorang di sisi Allah SWT.



Rasulullah SAW bersabda:
مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً
"Tidaklah seorang mukmin ditimpa oleh sesuatu musibah, walaupun hanya tertusuk duri, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapuskan dosanya dengannya."
(Hadis Riwayat Muslim, No. 4665)

Kesimpulan:
Jadilah seperti pohon muda yang tidak patah atau tumbang apabila ditiup angin ujian, sebaliknya menjadi lebih kuat dan cekal. Jadilah mukmin yang tahan diuji, sabar, dan bertambah kukuh keimanannya kepada Allah SWT.

28 Syawal 1446H
27 April 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...