السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Membanyakkan Berselawat Dalam Berdoa
عَنْ الطُّفَيْلِ بْنِ أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَهَبَ ثُلُثَا اللَّيْلِ قَامَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ اذْكُرُوا اللَّهَ اذْكُرُوا اللَّهَ جَاءَتْ الرَّاجِفَةُ تَتْبَعُهَا الرَّادِفَةُ جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا فِيهِ جَاءَ الْمَوْتُ بِمَا فِيهِ قَالَ أُبَيٌّ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُكْثِرُ الصَّلَاةَ عَلَيْكَ فَكَمْ أَجْعَلُ لَكَ مِنْ صَلَاتِي فَقَالَ مَا شِئْتَ قَالَ قُلْتُ الرُّبُعَ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ النِّصْفَ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قَالَ قُلْتُ فَالثُّلُثَيْنِ قَالَ مَا شِئْتَ فَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ قُلْتُ أَجْعَلُ لَكَ صَلَاتِي كُلَّهَا قَالَ إِذًا تُكْفَى هَمَّكَ وَيُغْفَرُ لَكَ ذَنْبُكَ
Daripada Al-Thufail bin Ubai bin Ka'ab dari ayahnya Ubai bin Ka’ab RA berkata bahawa Rasulullah SAW, apabila berlalu dua pertiga malam, Baginda bangun lalu bersabda: "Wahai sekalian manusia, ingatlah Allah!, ingatlah Allah!. Telah datang tiupan sangkakala pertama yang diikuti oleh tiupan berikutnya. Telah datang kematian dengan segala kedahsyatannya. Telah datang kematian dengan segala kedahsyatannya.” Berkata Ubai: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku ingin membanyakkan berselawat kepadamu. Dari itu, berapa banyakkah dari doaku perlu aku jadikan untuk berselawat kepadamu?” Rasulullah SAW menjawab: Terserah kepadamu.” Aku pun berkata: “Adakah satu perempat darinya?” Rasulullah SAW menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku berkata: “Adakah separuh daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu Aku berkata: “Adakah dua pertiga?” Rasulullah SAW menjawab: “Terserah kepadamu, tetapi sekiranya kamu menambah, itu lebih baik bagimu.” Aku pun berkata: “Aku jadikan semua doaku berselawat keatas mu.” Baginda pun bersabda: “Sekiranya begitu, akan dicukupkan semua keinginanmu dan diampuni semua dosamu.” (HR Tirmizi No 2457 Dar Kutub Ilmiyyah) Status: Sahih dalam Sahih Targhib
Pengajaran:
1. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah contoh untuk diikuti.
2. Mengingati kematian dan hari akhirat mendorong seseorang memperbanyakkan amal soleh.
3. Memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW merupakan amalan yang sangat besar keutamaannya. Ubai bin Kaab antara sahabat yang banyak berselawat antaranya sewaktu berdoa.
4. Antara adab mukmin ketika berdoa ialah menyertakan selawat ke atas Nabi SAW di samping doa yang dipinta. Selawat dibaca dipembukaan doa dan ditutup juga dengan selawat.
5. Selawat yang sebenar hendaklah membuahkan kecintaan, ketaatan dan ittiba‘ kepada Rasulullah SAW. Banyak bilangan selawat ketika berdoa tidak dihadkan, jika banyak ia lebih baik.
6. Selawat merupakan antara sebab mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT. Mukmin yang menjadikan keseluruhan dari doanya dengan ucapan selawat, nescaya Allah akan mencukupkan semua keinginannya dan diampunkan segala dosa (dosa kecil).
23hb Rabiulawal 1448H
05hb September 2026
No comments:
Post a Comment