السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
*Adab Berzikir Dan Berdoa*
عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَجَعَلَ النَّاسُ يَجْهَرُونَ بِالتَّكْبِيرِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهَا النَّاسُ ارْبَعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِنَّكُمْ لَيْسَ تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا إِنَّكُمْ تَدْعُونَ سَمِيعًا قَرِيبًا وَهُوَ مَعَكُمْ قَالَ وَأَنَا خَلْفَهُ وَأَنَا أَقُولُ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ فَقَالَ يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى كَنْزٍ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ فَقُلْتُ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ قُلْ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
_*Daripada Abu Musa al Ash’ari RA, beliau berkata; "Kami pernah menyertai Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan. Tiba-tiba, ada beberapa orang sahabat bertakbir dengan suara keras. Mendengar suara takbir yang keras itu, Rasulullah SAW pun berkata: Wahai manusia, perlahankan suara kalian! Sesungguhnya kamu bukan berdoa kepada Tuhan yang pekak dan bukan pula kepada Tuhan yang jauh. Sesungguhnya kamu berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat, dan Dia bersama kamu. Abu Musa berkata; 'Pada ketika itu aku berada di belakang Rasulullah SAW aku sedang membaca; 'Laa haula wa laa quwwata ilIa billaah' (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah). Kemudian Rasulullah SAW bersabda: 'Wahai Abdullah bin Qais, mahukah aku tunjukkan kepadamu satu khazanah daripada khazanah-khazanah syurga?. Aku menjawab; 'Sudah tentu ya Rasulullah.' Rasulullah SAW bersabda: 'Ucapkanlah, Laa haula wala quwwata illaa billaah' (Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah)."*_ (HR Muslim No 4873 Dar Ihya Kutub Arabiyyah) Status: Hadis Sahih
*Pengajaran:*
1. Berzikir dan berdoa hendaklah dilakukan dengan beradab.
2. Allah SWT ialah Maha Mendengar lagi Maha Dekat. Antara adab berzikir dan berdoa adalah dengan menggunakan suara yang rendah dan perlahan, tidak perlu dengan mengeraskan atau menguatkan suara kerana Allah Maha Mendengar.
3. Kekuatan zikir dan doa bukan terletak pada kuatnya suara, tetapi pada keikhlasan dan pengharapan hati kepada Allah.
4. Barangsiapa yang membaca Hawqalah
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
*(Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah)*
Akan dikurniakan kepadanya satu daripada perbendaharaan di Syurga.
5. Hawqalah mendidik kita mengakui bahawa kemampuan melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan berlaku dengan taufik dan pertolongan Allah. Ia merupakan pengakuan bahawa manusia tidak mampu mencapai kebaikan atau menghindari keburukan secara bebas daripada bantuan Allah.
6. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa kalimah hawqalah menunjukkan besarnya pahala yang disediakan bagi orang yang mengucapkannya dan menghayati maknanya. Sebagaimana khazanah dunia ialah sesuatu yang bernilai dan disimpan, pahala kalimah ini merupakan khazanah yang disediakan Allah untuk seseorang di akhirat.
7. Hadis ini mengajar bahawa hakikat doa bukan pada kuatnya suara, tetapi pada dekatnya hati kepada Allah.
11hb Rabiulakhir 1448H
23hb September 2026M
No comments:
Post a Comment