السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Doa Untuk Pesakit Yang Diziarahi
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَتَى مَرِيضًا أَوْ أُتِيَ بِهِ قَالَ أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
Daripada Aisyah RA bahawa apabila Rasulullah SAW menziarahi orang sakit atau ada orang yang sakit datang kepada baginda, baginda akan berdoa: “Hilangkanlah penyakit wahai Tuhan sekalian manusia, Sembuhkanlah kerana Engkaulah Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan sedikit pun penyakit" (HR Bukhari No 5351 Dar Ibn Kathir) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menziarahi orang sakit merupakan sunnah Rasulullah SAW dan sebahagian daripada hak persaudaraan sesama Muslim.
2. Apabila kita menziarahi orang sakit atau dibawa kepada kita orang yang sedang sakit, sunat kita membacakan doa sebagai bentuk empati dan pengharapan. Antara doa yang dibacakan kepada pesakit :
أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
(“Hilangkanlah penyakit wahai Tuhan sekalian manusia, Sembuhkanlah kerana Engkaulah Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan sedikit pun penyakit")
3. Allah SWT ialah al-Shafi, Yang Maha Menyembuhkan. Kesembuhan hakiki datang daripada-Nya.
4. Islam mengajar keseimbangan antara doa, rawatan dan tawakal. Berdoa tidak bermaksud meninggalkan ikhtiar perubatan.
5. Hadis ini merupakan antara dalil bagi keharusan ruqyah syar‘iyyah menggunakan doa yang diajar Rasulullah SAW.
6. Mendoakan orang sakit ialah manifestasi rahmah dan ukhuwah Islamiah. Kita tidak sekadar bersimpati, tetapi membawa keperluannya kepada Allah melalui doa.
7. Antara adab ketika menziarahi orang sakit ialah dengan memberikan kata-kata yang menenangkan, mendoakan kesembuhan dan menimbulkan harapan kepada rahmat Allah. Nabi SAW juga mengajar doa:
لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
“Tidak mengapa, semoga penyakit ini menjadi penyuci (dosa), insya-Allah.” (HR Bukhari no: 5656)
Marilah kita menziarahi sahabat handai, kenalan dan saudara mara yang sakit dan mendoakan mereka.
04hb Rabiulakhir 1448H
16hb September 2026
No comments:
Post a Comment