السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Doa Penutup Majlis (Kaffaratul Majlis)
عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ بِأَخَرَةٍ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَقُومَ مِنْ الْمَجْلِسِ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ لَتَقُولُ قَوْلًا مَا كُنْتَ تَقُولُهُ فِيمَا مَضَى فَقَالَ كَفَّارَةٌ لِمَا يَكُونُ فِي الْمَجْلِسِ
Daripada Abu Barzah Al Aslami RA beliau berkata: "Ketika akan mengakhiri majlis, apabila Rasulullah SAW hendak bangun meninggalkan sesuatu majlis, Baginda biasa akan mengucapkan: "'SUBHANAKALLAH HUMMA WA BIHAMDIKA ASHADUAL LAA ILAAHA ILLA ANTA ASTAGHFIRUKA WA ATUUBU ILAIKA (‘Maha Suci Engkau, ya Allah, dan segala puji bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Aku memohon keampunan-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.’)." Seorang lelaki lalu bertanya: " Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau mengucapkan suatu ucapan yang sebelum ini tidak biasa engkau ucapkan" Baginda bersabda: "Itu sebagai penebus dosa yang terjadi sepanjang dalam majlis tersebut." (HR Abu Daud : 4217) Status: Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Iringi setiap perkara yang kita lakukan dengan zikir atau doa kepada Allah
2. Setiap pertemuan manusia, berpotensi mengandungi kekurangan dan kesalahan.
3. Rasulullah SAW mengakhiri sesuatu majlis atau pertemuan dengan bacaan kaffaratul majlis (doa penutup majlis):
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ
(‘Maha Suci Engkau, ya Allah, dan segala puji bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Aku memohon keampunan-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.’)
4. Kaffarah Majlis ialah doa yang dibaca untuk memohon Allah mengampunkan kesalahan dan kekurangan yang berlaku sepanjang sesuatu majlis.
5. Orang yang mengakhiri pertemuan atau majlis dengan doa kafaratul majlis di atas, nescaya ia menjadi penebus dosa (kecil) yang terjadi selama berada di majlis tersebut.
6. Orang Mukmin bukan hanya beristighfar selepas melakukan dosa; dia juga beristighfar selepas melakukan kebaikan kerana menyedari bahawa kebaikannya masih mempunyai kekurangan.
7. Sunnah mengajar kita menutup majlis dengan tauhid, tasbih, tahmid, istighfar dan taubat.
8. Bacaan doa penutup majlis ini sangat sesuai dibudayakan apabila mengakhiri mesyuarat, usrah, kuliah, perbincangan keluarga dan pertemuan sosial.
18hb Rabiulakhir 1448H
30hb September 2026
No comments:
Post a Comment